Isnin, 5 April 2010

Pak Cik Kayo telah tiada!!!


Setahun setengah yang lalu, pendengar radio ini semakin susut para pendengarnya dan saban hari pendengar setianya berpindah ke stesen radio lain yang lagi hebat dan panas.Tatkala seorang seniman jalanan ini di bawa masuk ke stesen arus perdana ini, 'rating' sebagai stesen nombor satu negara (slot pagi) semakin meningkat bahkan betah bertahan dan menyaingi kehebatan stesen radio yang hangat tadi.

Celoteh yang selamba, gila-gila dan kadangkala di luar kotak pemikiran kita menjadikan beliau begitu hebat bertenaga melawak di kala pagi yang sejuk, mengantuk dan dingin. Persekonggolan beliau dengan pengacara nombor satu negara (dan terbaik Asia) semakin menjadi-jadi beberapa bulan kebelakangan ini.

Tidak dapat tidak, semua orang terpengaruh dan ‘terikat’ untuk membuka saluran stesen radio tersebut. Desakan untuk mendengar lawak-lawak ‘kurang ajar’ dan menggila di waktu pagi, setidak-tidaknya dapat membuka kelopak mata para pengguna kerata/radio yang mengantuk akibat bangun di awal pagi yang hening menuju ke destinasi masing-masing.

Derai tawa keseorangan dalam kereta sambil mendengar radio kelolaannya memang menggilakan. Kalau tidak lebih gila dari pelawak tersebut, setidak-tidaknya orang sekitar memerhatikan tingkah pendengar yang mengilai-ngilai ketawa terbahak-bahak sendirian.

Pagi ini (April 5, 2010) adalah pagi yang suram tanpa gelak tawa dan deraian hilai tersebut. Beliau telah kembali menghadap Sang Maha Pencipta Yang Esa memenuhi janji-Nya. Beliau adalah lagenda pelawak tersohor di abad ini yang diangkat dari pelawak jalanan sehingga ke arus perdana kerana bakat dan kelakonan lawaknya yang sedikit ‘lari’ dari lawak-lawak merapu yang lain. Kehadirannya, walaupun sedikit terlewat tetapi memberikan makna yang sangat signifikan.

Sehingga saya terkelu seribu bahasa dan terkesima bila mana beliau dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini dan sehingga pengumuman kehilangan beliau. Sehingga kini, saya masih terkelu dan masih tidak menerima hakikat beliau sudah meninggalkan kerjayanya itu dan kita semua.

Seperti Allahyarham Kak Yasmin Ahmad, beliau juga dipinjamkan dengan begitu singkat ketika berada di puncak kegemilangan masing-masing. Bak kata Mantan Perdana Menteri Malaysia; "lebih baik meninggalkan sesuatu itu bila kita berada di atasnya, kerana kita akan diingati dan dikenang berbanding ketika kita turun bila di benci". Bidalan Tun Dr Mahathir yang suka berkata ‘bila sedang sedap makan, maka berhenti’ benar-benar menjadi. Kata-kata itu muncul bila beliau sedang dipuncak kuasa meletak jawatan dan terus menjadi lagenda Malaysia.

Begitu juga Kak Yasmin yang meninggalkan kita ketika legasi filem-filem terbaik dunianya terus mendapat perhatian juri dan kritikan antarabangsa. Sedang Allahyarham Din Beramboi betul-betul di puncak kegilaan orang ramai mendengar lawaknya yang ekstrem kelakarnya, meninggalkan kita. Beliau juga lagenda pelawak picisan (sebelum ini melalui Ujang Pak Cik Kayo) yang berjaya diangkat oleh Hj Aznil Hj Nawawi ke persada aliran perdana yang menjadi.

Pelawak-pelawak seangkatan seperti Trio Santan Berlada, Senario dan raja-raja lawak tidak begitu menyerlah seperti bintang beliau yang benar-benar melawak dalam segenap segi aspek kehidupannya.Nyatakan peranan, masa dan keadaan – beliau masih boleh menjadikan imaginasi lawaknya tanpa had sempadan, spontan dan paling gila pernah didengar.Sawancara (wawancara) dan drama sebabak benar-benar menjadikan lakonan lawaknya digilai.
Menjadi kartunis di Majalah Ujang sehingga menghasilkan album sawancara yang begitu diminati (dengan dialek Negeri Sembilan – Minang) bakat beliau terus berkilau sehinggalah di pagi yang tenang jam 12:30 pagi, April 2, 2010 di pagi Jumaat yang tenang, penghulu segala hari beliau kembali kepada Sang Maha Pencipta-Nya.

Semoga janji tuhan akan terus berkekalan buat insan tersohor ini, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43 tahun yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah buat beliau, semoga beliau tenang istirahat di alam sana.

Hanya amalan dan doa kita mampu menjadi pendamping dan pengiring. Agar keceriaan kita di waktu pagi sebelum ini dibalas untuk beliau di sana dengan membacakan surah-surah Al-Fatihah, agar roh beliau pulalah yang tenang di sana.

Kami amat merindui lawakmu.......................... Semoga Allah SWT mengampuni dosamu.

Isnin, 29 Mac 2010

Intipati Model Ekonomi Baru (MEB)


KUALA LUMPUR 30 Mac - Berikut antara intipati Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

1. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibenar melabur lebih bahyak lagi di dalam aset di seberang laut.

2. Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan dan akan dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkannya lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.

3. Kerajaan dan KWSP akan membentuk usahasama bagi menggalakkan pembangunan tanah seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) di Sungai Buloh untuk menjadi satu hab baharu bagi Lembah Klang.

4. Beberapa bidang tanah di Jalan Stonor, Jln Ampang, Jln Lidcol di Kuala Lumpur akan ditender dan dimajukan oleh sektor swasta, yang jika gagal akan merupakan satu pembaziran kerana kerajaan membelanjakan kos penyelenggaraannya.

5. Pembangunan tanah di Sungai Buloh dan pembangunan beberapa bidang tanah di bandar raya ini dijangka menjana pelaburan baharu bernilai lebih RM5 bilion

6. Syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Malaysia, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd. dan Innobio kemungkinan diswastakan.

7. Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia, yang akan mengurangkan kehadiran kerajaan di dalam perniagaan dan meningkatkan peranan sektor swasta.

8. Khazanah Nasional Bhd. akan melupuskan kawalan kepentingan 32 peratusnya di dalam Pos Malaysia Bhd melalui proses pelupusan strategik dua peringkat.

Tukikan: Utusan Malaysia (March 30, 2010)

Dayus!!!


Membaca kisah kes penderaan rumah tangga antara Badrul Muhayat dengan isterinya sedari semalam ( March 29, 2010) amat membungkam amarah saya.

Betapa keji dan dayusnya seorang lelaki sebagai ketua keluarga dan ayah yang memukul sang isterinya waima dengan tangan dan kayu penyapu?

Betapa hinanya diri sendiri memukul teman tidur dan ibu anak-anaknya sendiri tanpa rasa bersalah dan budiman?

Tak betah saya membaca dan mencari kes-kes ini untuk di buku, ditambah pula dengan kelakonan buruk artis yang tak berapa nak popular ini. Dengan kendirinya yang buruk dan perilaku yang begitu menjengkelkan, lelaki ini seharusnya dipanggil DAYUS oleh kaum-kaum hawa.

Muka bak dibasuh tetapi perangainya mengalahkan haiwan amatlah tidak bertamadun dan sungguh jijik dipandang dengan mata hati dan mata akal seorang yang digelar khalifah dan manusia.

Nasihat saya kepada si dayus ini agar segeralah ke muka pengadilan untuk hukuman dunia anda. Walau marah macam mana sekali pun, janganlah dipukul perempuan tersebut apatah lagi dengan kayu sapu yang begitu hina martabatnya dalam adat istiadat budaya orang Melayu/Islam.

Isteri, teman tidur bahkan ibu kepada anak-anak anda bukanlah tempat untuk melepas geram dan amarah kamu. Syaitan sahajalah yang layak berperangai begitu rupa. Apakah anda ingin menjadi syaitan bertopeng manusia?

Kepada rakan pembaca janganlah kita menjadi sedemikian atau terjebak dengan lelaki yang sebegitu. Segeralah laporkan kes-kes begini ke pihak berkuasa dengan segera atau hubungi talian NUR di 15999 bagi kes-kes keganasan rumah tangga.

/mfa

Isnin, 1 Mac 2010

Menongkah Wanita Progresif

Membaca kenyataan Cuepacs bahawa sektor awam ‘dikuasai’ oleh kaum wanita, saya begitu teruja. Komen saya – biarkanlah wanita terus maju dalam mana-aman sektor yang dikehendakinya asalkan akademik dan kualiti pengurusannya begitu baik dan setanding dengan lelaki.

Menjadi dangkal sekiranya kelayakan itu disertai dengan emosi di mana keputusan yang diambil oleh pengurus wanita di mana-mana sektor dikuasai oleh emosi. Kita sedia maklum wanita dikuasai dengan 9 nafsu atau emosi dan 1 akal fikiran berbanding dengan lelaki 9 akal dan 1 emosi.

Wanita tanpa emosi atau berjaya memisahkan emosi dan profesional amat membanggakan saya, negara dan juga dunia. Bak kata pepatah, “tangan kanan yang mengayun buaian dan tangan kiri menggoncang dunia amat bertepatan sekiranya idea di atas diambil kira. Tetapi jika emosi diambil dalam mempertimbangkan sesuatu keputusan, keputusan itu menjadi buruk dan rosak di mata semua umat. Maka sebab itulah wanita tidak dibenarkan menjadi imam kepada kaum lelaki bagi hal-hal yang begitu berat risikonya seperti sembahyang, perang dan juga beberapa urusan mash’alat yang lain.

Lebih dari itu, wanita boleh. Nah, silakan kaum wanita untuk terus mencabar kaum lelaki dalam segala genap bidang dan sektor. Bak kata Perempuan Pertama Negara Datin Seri Rosmah Mansor, kaum lelaki lebih selesa menguasai sektor serenti dan penjara sahaja dewasa kini, maka biarkanlah. Desakan kaum wanita menguasai sektor pengurusan tertinggi negara sebanyak 30 peratus telah lama dipenuhi dan akan terus meningkat jika diberikan dokongan dan moral.

Wanita Hari Ini.

Wanita yang berjaya memecahkan atau memisahkan emosi dengan profesional keputusan yang dibuat amat menguja semua pihak. Jika tidak, ia menjadi bahan kutukan dan hinaan dari kaum wanita itu sendiri dan juga kaum Adam yang lainnya.

Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (Mac 2, 2010) edisi Mega menceritakan jerih perih wanita melayari rumah tangga dan kehidupan profesional sebagai seorang usahawanita dan suri rumah. Berkelulusan universiti luar negara dan segulung ijazah, tidak dapat tidak, dek kerana emosi yang lemah wanita ini akhirnya menceritakan tentang kegagalan perkahwinannya serta kemusnahan empayar perniagaannya. Lebih buruk beliau ditimpa dengan penyakit membawa maut – barah.

Wanita moden bukanlah wanita yang lemah. Seharusnya beliau dan wanita lain di luar sana lebih sedar dan mengerti dunia kini. Lelaki bukanlah tempat yang boleh digantung harap dengan begitu tinggi. Ego lelaki itu boleh membunuh bukan sahaja wanita bahkan kepada kaum lelaki itu sendiri. Itu semua harus tahu dan peka.

Dalam siri-siri kuliah saya dan ceramah saya yang sering memihak kaum wanita selalu mendapat kritikan lelaki. Tetapi apakan daya saya, kaum wanita itu harus dibela sekiranya kaum lelaki itu gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Wanita adalah tulang rusuk kiri lelaki yang harus dilenturkan dengan sebaiknya agar tidak mudah bengkok atau patah di antaranya.

Wanita harus memikirkan masa depan, kerjaya dan peranan profesionalnya sendiri di samping mempunyai suami atau lelaki di sisinya yang telah maju atau kurang maju. Terdapat lelaki yang merasa tercabar dengan sang isteri sendiri sehingga sanggup memaksa isterinya berhenti bekerja dengan jawatan profesional yang tinggi semata-mata menjadi suri rumah tangga yang baik untuk keluarga tersebut. Kelulusan ijazah serta kelayakan wanita tadi terus dinafikan dan disimpan dengan rapi. Si isteri yang setia membuta tuli terus meletakkan jawatan terbaiknya dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

Apabila si isteri tidak lagi secantik usia mudanya dan kurang bersolek dek sibuk dengan tugasan rumah, maka kesempatan ini dijadikan alasan sang suami memainkan peranan – kayu tiga. Yang dipersalahkan tetap sang isteri. Saya sedar dan maklum bukan semua suami begitu tetapi banyak dan rata-ratanya berakhir dengan berantakan rumah tangga. Si isteri terbiar terkontang-kanting sendirian melayari dunia jandanya. Sang suami kemaruk dengan perempuan lain, yang rugi siapa?? Profesional ditinggal lama bolehkah diasah dalam masa yang singkat? Kelayakan yang dipendam bolehkah menjadi emas sekelip mata tanpa gilapan? Masa belajar di universiti penuh dengan segala teori mampukah diingati? Yang salah tetap salah, wanita jangan lemah.

Jangan kerana emosi sayang dan cinta mereka harus dijadikan alat lelaki yang ‘gila’. Wanita jangan melibatkan emosi dalam segala bidang kehidupan. Cinta dan sayang tidak boleh diukur dengan apa sukatan sekalipun selainkan kata manis dan komitmen. Selebihnya, cinta dan sayang tidak boleh dibuat makan dan mengenyangkan diri sendiri. Bahkan ia boleh luntur dan luput dengan sedikit alasan sahaja.

Wanita jangan harus berhenti bekerja dan menjadi profesional muda yang baik. Ijazah serta kepandaian dalam bidang-bidang tertentu haruslah di tekalkan dan ditingkatkan dengan profesionalisme yang tinggi saban hari ke hari. Janganlah terlalu berharap dengan sang suami dan cinta sampai mati. Wanita harus tabah.

Selain itu, wanita yang berkerjaya dan punyai kedudukan profesional yang tinggi janganlah menjadi kaduk yang menaik junjung. Mentang-mentanglah sang suaminya bekerja sebagai kuli-kuli rendah dan peon-peon pejabat maka dibulinya sang suami semahu-mahunya. Sedang tanggungjawab lelaki itu selainnya memberi nafkah, ialah membentuk sebuah keluarga yang maha lengkap dengan kasih sayang. Wanita yang menjadi pasti sedar tanpa lelaki adalah sukar baginya untuk membentuk keluarga yang sempurna dan seamannya. Anak-anak masih memerlukan sang bapa dalam menjaga kelakonan, disiplin serta ketahanan kasih-sayang yang tinggi. Kegarangan bapa lebih ditakuti berbanding wanita dalam mendidik anak-anaknya walaupun sang bapa lebih cetek ilmunya berbanding sang isteri yang punyai bergulung-gulung kelayakan kertas.

Kepentingan ikatan suami dan isteri dalam melayari kehidupan haruslah dimulai dengan rasa hormat dan saling komited kepada sebuah ikatan. Jadilah sebuah keluarga yang harmoni dan aman dalam membentuk anak-anak yang bertamadun dan bermasa depan yang baik. Bagi suami yang kurang berakademik, janganlah dibebankan semua bil dan utiliti kepada sang isteri mentang pun si isteri bergaji lebih bagus. Si isteri pula janganlah membebankan dan mengungkit perihal suami yang sedikit kurang pendapatannya berbanding profesionalismenya tadi. Barulah satu penakatan seimbang dan setara dapat diwujudkan.

Oleh itu, wanita teruskanlah menjadi sebuah wadah membangunkan bumi Malaysia ini dengan penakatan yang terbaik, jadilah profesional wanita yang membuat keputusan atas pertimbangan waras dan rasional. Bukannya melalui emosi semata-mata. Bagi sang lelaki, janganlah menjadikan ego kita sebagai satu sumpahan kepada diri kita sendiri dan keluarga kita dan masyarakat di masa depan. Barulah Malaysia ini maju dan makmur hasil perkongsian kepakaran tadi.

Wanita Tunjang Negara dan Lelaki Aspirasi Bangsa.

/mfa
p/s: Gambar Hiasan (Yahoo Images)

Mohon Maaf!!

Sudah lama saya tidak menyumbang apa-apa pos dalam ruangan blog saya. Hampir tiga (3) minggu saya tidak berkesempatan berbuat begitu.

Pertamanya, saya harus menghadiri kursus di awal tahun dengan durasi masa yang agak panjang serta meletihkan minda.

Keduanya, saya terlalu sibuk dengan tesis dan cadangan pengetahuan ilmu (new body of knowledge) yang saya usahakan untuk program kedoktoran saya.

Dan yang ketiga, isu-isu semasa politik yang mengharu-birukan iklim politik Malaysia kurang menyenangkan untuk saya memberi ulasan.

Selain rutin harian saya yang begitu berkehendakkan perhubungan sosial yang lebih baik, kelewatan mengulas dan memberi pos terbaru di blog juga membataskan penulisan saya dewasa kini. Oleh yang demikian, saya memohon maaf di atas kelewatan tersebut.

Terima kasih kerana terus membaca blog dan pos/entri saya.

/mfa

Khamis, 4 Februari 2010

Holiday is a Working Day!!!






Sudah seminggu tidak menulis! Semacam ‘gian’ untuk memulakan karangan entri/pos terbaru di blog.

Mengikuti lawatan dan ‘bertugas semasa bercuti’ atau ‘bercuti tetapi bertugas’ bukanlah satu kerja mudah dan menyeronokkan melainkan satu cabaran mental dan fizikal.

Mengikuti lawatan Y.B Menteri KPDNKK ke Johor Bahru dan Singapura baru-baru ini amat meletihkan. Walau pun begitu, kepuasan bertugas dan dedikasi berkhidmat untuk masyarakat tetap terpancar di muka para petugas yang menjayakan acara di kedua-dua destinasi tersebut.

Masakan tidak, layanan orang Johor yang mesra amat menghiburkan kami yang keletihan bekerja (Berkhidmat Untuk Negara).

Seharian berjalan sekitaran Johor amat mendamaikan walaupun sedikit sesak. Kelibat Ke Bawah Duli Tuanku Johor yang baru, memandu sambil diiringi petugas polis kawalan trafik bersama yang terjebak dalam kesesakan amat mengharukan. Benarlah kata orang, Sultan Johor hanyalah Sultan pada nama tetapi jiwanya ada pada rakyat. Jika tidak masakan beliau sanggup turut terjebak dalam kesesakan di hadapan Kampung Melayu Majidee, tambahan pula beliau sendiri memandu Jaguar Merah milik beliau. Polis yang ada hanyalah mengawal keselamatan Ke Bawah Duli Tuanku. Daulat Tuanku atas perkongsian perasaan (seperti letih, penat, marah, geram) mengharungi kesesakan bersama rakyat terbanyak.

Kesempatan yang ada turut membawa kami ke sebuah taman-taman akhirat – Bukit Mahmudiyah. Tanah perkuburan yang terletak di belakang Hospital Sultanah Aminah amat mendamaikan. Di sana jugalah bersemadinya Almarhum Sultan Iskandar yang disayangi watan Johor. Ketenangan bukit tersebut seolah-olah menyambut kedatangan kami untuk menziarahi ke Bawah Duli Almarhum. Tenang dan damai untuk persemadian abadi – alam yang membezakan sempadan hidup dan sempadan akhirat. Semoga Duli Almarhum Tuanku tenang di sana. Lawatan jam 7:00 petang amat aneh bagi petugas di kompleks makam tetapi dek kami datang dari Kuala Lumpur, kedatangan kami dialu-alukan. Kami merafak sembah kerana dengan titah bagindalah maka jabatan kami ini terus wujud dan kukuh di Malaysia. Semoga doa ikhlas kami di petang Isnin lepas dimakbulkan Sang Maha Pencipta yang Esa.

Tidak lupa kunjungan ke negara seberang tambak. Penat berjalan ke seluruh Singapura. Letih dan memenatkan tidak mengurangkan usaha kami untuk bersiar-siar di sana. Bak kata rakan saya – “Apalah yang menarik di pulau ini!”. Singapura masih kekal seperti itu, tidak punya apa-apa yang menarik untuk para wisatanya. Hanyalah kosmopolitan moden untuk orang berniaga dan berurusan globalisasi, lebih dari itu – tiada.

Semasa di Merlion Park yang terkenal dengan arca singa sempatlah kami merakamkan foto-foto kenangan menunjukkan kami telah berada di negeri Sang Nila Utama atau dikenali sebagai Temasek ini yang terkenal dengan Pulau Dilanda Todak. Kemeriahan di situ menggamit pelancong asing tidak mengujakan kami langsung. Bahkan kami lebih hebat mempromosikan “Apa itu Kuala Lumpur” kepada pelancong yang hadir. Segerombolan pelancong dari Tanah Besar China mendapat khidmat ‘duta kecil pelancongan’ dari kami tentang kehebatan Kuala Lumpur. Begitu juga pemuda Indonesia dari Bandung, Indonesia sempat dimaklumkan akan lebih hebat untuk beliau berkunjung dan bercuti di Kuala Lumpur yang lebih menggamit keindahan percutian. Begitulah kami ‘menjual’ Malaysia kepada pelancong walaupun kami juga melancong di situ.

Menarik pelancong bukanlah untuk bersuka-suka walhal di luar tugasan rasmi kami, tetapi dek tanggungjawab untuk menyuntik ekonomi agar lebih baik kami tekad untuk membuatnya secara tidak langsung. Begitulah penjawat awam yang prihatin tentang negara ini. Kelakonan dan kemesraan kami memukau semua yang ada di taman itu. Termasuk Dennis pemuda dari Bandung tadi yang terpegun dengan keramahan kami, tidak lebih bagus berbanding penduduk sekitar.

Meninjau Johor dari seberang tambak melihatkan kecekalan Tun Dr. Mahathir untuk mengubah landskap ekonomi di Johor dan Malaysia amnya. Kepintaran Tun untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang sebagai hab pelabuhan hebat di selatan Selat Melaka tidak dapat direalisasikan. Kekeruhan lumpur di sepanjang Selat Tebrau begitulah keruhnya hati dan geramnya Tun untuk melihat Johor terus bangkit dan menjadi laluan utama kapal-kapal saudagar dan pedagang di samping bot-bot mewah yang dapat melintas selat kecil tersebut. Kami juga mengulas peri jika projek jambatan bengkok itu dilunasi. Sudah barang tentu kedua-dua pelabuhan dan ekonomi Johor pasti berkembang di samping menjadi tarikan baru para saudagar dan pengembara bot mewah ke selatan negara itu.

Makanan-makanan yang sedap dan pasti lazat di sini tentulah lebih kepada makanan Jawa dan peribumi setempat seperti martabaknya, soto, nasi beriani gam dan lain-lain hidangan pembuka selera yang lazat. Memang hebat kota Johor ini jika tidak sehebat Kuala Lumpur. Semoga berjumpa lagi Johor di masa depan.

Catatan ini adalah tulisan peribadi untuk dikongsi dalam batas masa yang terhad.

Selasa, 26 Januari 2010

Malaysia ~ Mini Asia....


Tanggal November 17, 2009 ~ Mantan Perdana Menteri paling berjaya membangunkan ekonomi negaranya menjadi Negara Maju ketiga di Asia mengakui beliau telah tersilap.

Beliau ialah Perdana Menteri Singapura, En. Lee Kuan Yew.

Mantan Perdana Menteri pertama Singapura yang berkuasa hampir dua dekad ini mengakui bahawa rakyatnya yang fasih berbahasa Inggeris serta menerobos jauh ke sistem ekonomi kapitalis yang membanggakan telah ‘hilang jati dirinya’.

Mereka bukan sahaja tidak mahir lagi berbahasa Mandarin (Cina) dan Bahasa Melayu (Melayu) terus tertinggal dek kelakonan diri yang semakin menyusut.

Penduduk mereka yang terlalu mengejar material dan meninggalkan nilai-nilai bangsa telah terus terpaku dengan globalisasi dan kemakmuran ekonomi sehingga menghilangkan seni dan kreativiti.

Penduduknya Cina dan Melayu yang sangat fasih berbahasa antarabangsa itu tidak mungkin menjadi ‘lebih orang putih’ berbanding orang putih sendiri. Tertinggalnya jati diri bangsa yang mereka anuti, Singapura tidak punya apa-apa nilai seni dan budaya serta kelakonan kreativiti seni kebudayaan terus tenggelam.

Kurangnya watan Cina bertutur dan bangga dengan bahasa Mandarin serta watan Melayu yang tidak pandai berkomunikasi dan berkreativiti bahasa Melayu terus menenggelamkan sebuah negara yang punya banyak warna dan rasa ini.

Berbanding Malaysia, watan Melayu sangat arif berbahasa Inggeris bahkan anak-anak mudanya juga boleh menjadi Naib Juara Debat Dunia – peringkat antarabangsa walaupun fasih dan peka dengan bahasa Melayunya yang makan belacan.

Manakala watan Cina Malaysia pula pandai dan peka dengan penstrukturan baru perkembangan bahasa Mandarin di Tanah Besar China juga sensitif dan arif menggunakan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

Tatkala masyarakat India yang berada di estet-estet pertanian suatu ketika dahulu juga kini berjaya menjadi peguam-peguam hebat di Malaysia bahkan juga di England. Tetap mahir berbahasa Tamil, mereka juga lebih arif dengan kesusasteraan Inggeris dan juga tahu bahasa Melayu.

Tidak hairan jika kerajaan ‘menjual’ Malaysia dengan bakat kreatif rakyat Malaysia yang pelbagai rencamnya – Mini Asia. Selain tidak kehilangan jati diri setiap watan (Melayu, Cina dan India), bakat dan kreativiti kita menimba dan meneroka dunia kapitalis dan globalisasi dengan acuan kita tetap setanding negara moden lain di kota raya dunia yang terkenal.

Tahniah Malaysia, jati diri kita di peta bumi ini kekal menjadikan kita MINI ASIA – Asia Kecil untuk semua bangsa besar dunia (Melayu dari bangsa Indonesia salah satu negara besar, Cina dari tanah besar Cina, dan India dari benua kecil India).

Semua bangsa besar dan negara hebat dan besar berkumpul di Malaysia dengan penakatan dan kelakonan yang tidak kurang hebatnya.

Ayuh Maju......

Selasa, 19 Januari 2010

Naik Gaji, Naik Barang??? --Biarlah!!



Rakyat Malaysia suka subsidi dan murah-murah. Berjangkit dengan jiran mereka, Singapura agaknya.

Jika barangan naik RM0.01 pun, riuhnya mengalahkan apa, bahkan barang-barang lain yang tak ada kena mengena dengan barang tersebut turut naik. Dikaitkanlah dengan sebanyak mungkin andaian perkaitan kenaikan tersebut.

Kalau boleh mereka nak percuma. Tapi kalau bab mendapat upah atau bayaran, mereka nak yang tertinggi, terbaik dan terhebat dari segala antara. Hebatkan penakatan rakyat Malaysia!

Bulan Februari bakal menjelma. Pemerintah bakal mengumumkan gaji buruh-buruh kelas D dan C. Kenaikan sehingga 25% dari upah semasa serta boleh melambung sehingga 45% meningkatkan lagi taraf hidup watan bakal menaikkan beberapa lagi barangan di pasaran.

Peniaga suka mengambil kesempatan. Kita pun apa kurangnya, jika berkesempatan sapu juga, ye tak? (Jangan marah)

Oleh itu, seperti kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, rakyat harus bersedia dengan segala macam kenaikan dan bekerja dengan lebih keras serta sentiasa menambah nilai sesuatu kerja dan produk, jika mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.

Jika mahukan gaji yang lebih baik dan setimpal, tambah lagi pengetahuan dan jadilah lebih kreatif. Bila kita produktif dan kreatif serta sentiasa menambah nilai sesuatu perkara dengan inovasi, maka syarikat atau organisasi kita akan punya untung yang baik. Keuntungan yang baik dan tinggi ini tentunya memberikan mereka peluang untuk membayar gaji dan imbuhan yang berbaloi kepada kakitangannya yang cekap.

Kenaikan gaji ini akan menuntut para majikan di sektor pembuatan, makanan serta lain-lain sektor sekunder dan perkhidmatan menaikkan caj perkhidmatan mereka. Kenaikan ini untuk menyerap keuntungan mereka pula dan seterusnya menaikkan gaji kakitangan mereka yang bekerja di sektor pembuatan (kilang-kilang) serta sektor perkhidmatan seperti keselamatan dan kesihatan selain makanan.

Kenaikan-kenaikan ini memberi keuntungan kepada para pekerja dan juga para peniaga agar mereka juga punya untung yang tinggi serta memberi semula kepada kerajaan melalui cukai berkaitan dan membayar imbuhan kepada tenaga kerja mereka.

Kerajaan pula akan meningkatkan projek-projek dan infrastruktur peniaga dengan penakatan yang baik di samping membayar gaji kakitangan khidmatnya dengan nilai terbaik juga pada mereka. Kenaikan ini menyebabkan KDNK negara akan meningkat, dan seterusnya menaikkan kadar indeks-indeks ekonomi utama negara seperti pelaburan asing langsung (FDI), cukai-cukai import, tarif-tarif luar negara, nilai mata wang yang meningkat, indeks-indeks saham pegangan asing serta pelaburan syarikat asing dengan milikan ekuiti tertentu.

Kenaikan-kenaikan ini sebenarnya berpusing di dalam negara juga dan sudah tentu memberi satu implikasi positif kepada ekonomi.

Ramai tertanya-tanya apakah tambah nilai dan ekonomi inovasi yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri?

Nilai tambah ialah jika kita membuat sesuatu itu dan memberi satu lagi peluang perniagaan lain. Misalnya bagi pengeluaran susu ternakan lembu boleh menghasilkan daging, susu, keju dan lain-lain produk tenusu. Jika ditambah nilai misalnya, produk tersebut boleh membuat bahan-bahan lain seperti kosmetik serta bahan-bahan perubatan nano dan sebagainya.

Manakala inovasi pula sebagai contoh, kita haruslah tidak bergantung pada projek hiliran dan huluan seperti sebelum ini dalam bidang tenusu tetapi mengubah landskap perniagaan tadi seperti memasuki bidang pertanian ladang sebagai subsektor. Baja-baja kompos boleh diperolehi dari najis lembu tenusu tadi, dan bahan-bahan kompos boleh ditukarkan menjadi produk pertanian. Manakala produk pertanian ladang boleh dijadikan makanan lembu tenusu tadi.

Produk-produk tenusu seperti keju boleh diusahakan dengan membuat kilang-kilang yang menambah nilai keju tersebut. Yogurt untuk makanan dan tujuan kecantikan boleh digunakan. Membekalkan produk tersebut ke kedai makanan segera dan kedai yang memerlukan tenusu bukanlah matlamat akhir. Produk-produk tadi haruslah dikemaskan dengan pembungkusan lebih baik untuk tujuan komersial jualan untuk rumah-rumah serta pengguna industri luar negara.

Nilai tambah, kreatif dan inovasi dalam lain-lain produk haruslah dikekalkan dan sentiasa ditambah baik lagi. Produk-produk pasir janganlah dieksport begitu sahaja. Pasir boleh ditukar menjadi cip komputer (jika bersilika), membuat cermin serta bahan mentah cermin lain seperti wafer cermin bagi kegunaan industri automotif dan industri komputer.

Lain-lain produk dan bahan haruslah mengikut arah kesesuaian bidang tersebut. Seperti di jabatan awam, setiausaha bukan sahaja menjaga bos dan kerja-kerja pengawalan pejabat dan diari/menjawab telefon, bahkan menjadi pegawai perhubungan awam (PRO) kepada bos dan juga tugas sebagai jurucakap bagi majlis mereka. Kadangkala mereka jugalah yang akan menjadi pengerusi majlis acara (Master of Ceremony), penulis buku dan risalah dalaman serta menjadi agen tapisan keselamatan dokumen dan pembentang polisi kerajaan.




Lihatlah, walaupun mempunyai bidang tugas kesetiausahaan, tetapi ilmu-ilmu sains politik dan pengajian polisi serta pengajian media dan komunikasi merupakan nilai tambah mereka. (Berapakah upah/pendapatan setiausaha yang cekap dan punyai pelbagai kepakaran ini berbanding setiausaha yang tahu menaip surat dan menjaga diari bos semata-mata? Tentu berbeza kan?)

Tingkatkanlah prestasi kerja dengan nilai tambah, kreatif dan inovasi, semoga anda tidak mengeluh jika harga barangan dinaikkan waima RM100 pun. Kerana kepakaran kita dan gaji/pendapatan kita berbaloi dan setimpal dengannya.

MyID GAGAL JIKA CUAI


Saudara pengarang,

Saya amat tertarik dengan satu laporan berita berkaitan “Penjaga Parkir Diisytiharkan Bankrap” baru-baru ini.

Dewasa kini semakin banyak kita dengar tentang penyalahgunaan dokumen peribadi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam membuat pinjaman atau menyertai mana-mana perjanjian perkhidmatan seperti memohon talian telefon dan kad kredit.

Cerita-cerita sebegini saban hari memenuhi ruangan akhbar dan acap kali dilaporkan. Manakala setiap kali aduan yang dibuat di balai-balai polis, jawapan yang diterima ialah “laporan akan disiasat” sehingga ia menjadi tenggelam punca.

Kes-kes sebegini sebenarnya boleh dikaitkan dengan agen-agen tertentu sama ada oleh pihak bank, agen talian pasca bayar telekomunikasi serta agen yang menawarkan kad kredit untuk mendapatkan komisen bulanan di atas kejayaan mereka mendaftarkan nama seseorang itu untuk menyertai mana-mana program yang dianjurkan mereka. Akibatnya, sesiapa jua akan didaftarkan walaupun tiada saringan maklumat dengan mendalam dibuat serta rujukan penting berkaitan individu malang tersebut.

Ragut, kehilangan serta tercicir dokumen sepenting kad pengenalan menyebabkan individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk menyertai mana-mana perkhidmatan yang akhirnya menyusahkan individu yang kehilangan kad pengenalan itu. Disamping itu, agen tadi tetap mampu mendapat komisen yang tinggi atas air mata orang lain.

Dalam kes terbaru, seorang penjaga parkir terpaksa 'muflis' gara-gara terlibat dengan pinjaman kenderaan yang bernilai ratusan ribu. Apakah mungkin seorang penjaga parkir mampu memiliki sebuah kereta semewah itu? Kita sedia maklum bahawa gajinya mungkin sekadar cukup makan dan kali ini terpaksa melunaskan hutang yang sama sekali bukan dibuat atas pengetahuan sedar beliau.

Kes-kes penipuan seperti pendaftaran telefon bimbit pasca bayar yang menyebabkan individu terpaksa berhutang ribuan ringgit akibat penyalahgunaan dokumen juga saban hari menjadi-jadi. Begitu juga dengan pendaftaran kad kredit. Kes-kes ini sebenarnya memerlukan satu kajian mendalam harus dibuat ke atas penggunaan MyID yang baru-baru ini dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri yang boleh disalah gunakan tanpa saringan maklumat yang benar-benar jelas dan sahih dan kawalan yang ketat.

Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya mewujudkan satu mekanisma penting untuk memastikan hal-hal sebegini tidak menjerat warga Malaysia. Kepada agen-agen berkaitan pinjaman, telekomunikasi serta bank dan kad kredit haruslah bertanggungjawab sekiranya terdapat keraguan dalam sesuatu permohonan dan bukannya ‘membantu’ orang yang tidak bertanggungjawab ini memusnahkan hidup orang lain sewenang-wenangnya. Tapisan keselamatan individu yang memohon haruslah disahkan dengan benar-benar sahih dan barulah transaksi itu dibenarkan. Juga harus diingatkan bahawa agen-agen yang mendaftarkan juga mestilah dipertanggungjawabkan di kemudian hari sekiranya berlaku kes-kes penyelewengan data dan maklumat. Ini membuatkan mereka juga prihatin untuk menyemak akan kebenaran dan kesahihan sesuatu dokumen itu sebelum mendaftarkannya.

Saya juga berharap agar Biro Bantuan Guaman (BBG) dapat memainkan peranan yang lebih penting dan signifikan dalam membantu mereka yang benar-benar teraniaya serta kurang kemampuan untuk membela nasib mereka. BBG seharusnya agresif dalam membantu individu teraniaya serta kurang mampu ini berbanding hanya diam di bilik-bilik pejabat mereka sahaja.

Jika tiada kawalan dan pematuhan yang lebih lengkap ini, amatlah malang bagi kerajaan yang mewujudkan program MyID untuk diguna pakai dalam sistem pentadbiran kerajaan. Kegagalan ini mengundang lebih banyak kepayahan berbanding membantu menyelesaikan masalah yang diharapkan. Semoga kita dapat menjaga keselamatan peribadi data kita seperti kad pengenalan. Semoga tiada bala musibah menimpa kita selepas menggunakan sistem MyID.



(seperti ruangan Forum Utusan Malaysia dan Berita Harian)

Rabu, 6 Januari 2010

Merawat Lebih Baik dari Mengubati


Falsafah seorang doktor, sebelum kamu mendapat sakit itu, lebih baik kamu jangan menjemputnya.

Lebih baik kita memadamkan punca api daripada kita membiarkannya dan terus mengawal sepanjang masa tanpa leka. Kelekaan yang sekejap menyebabkan semua penyakit akan singgah di tubuh dan sudah tentu sudah terlewat untuk menyembuhkannya. Jika tiada penawar, maka akan berterusanlah sakitnya dan boleh menyebabkan mati.

Falsafah di atas adalah satu penakatan tugas seorang pengamal perubatan secara umumnya dan boleh menjadi kepada semua orang yang mahu berfikir dengan matang.

Entri ini akan membincangkan peri pentingnya autokratik kadang kala untuk menutup kebobrokan dan kedangkalan demokrasi.

Pada zaman kegemilangan Melayu/Islam Malaysia di bawah pemerintah Dr Mahathir, ketegasan beliau kadang kala melihatkan betapa beliau begitu pantas bertindak dan memadamkan sumbu api yang terbakar. Walaupun kerap digelar MahaZalim, MahaFiraun tetapi makhluk Allah SWT ini tahu akan falsafahnya – Mencegah Lebih Baik dari Mengubati.

Ketegasan dan bertindak secara agresif mampu menunjukkan kejantanan beliau berpolitik serta matang dalam pertimbangannya. Suara beliau digeruni, ulasan beliau mendapat liputan dalam dan luar negara sama ada ditafsirkan secara negatif mahupun positif. Itulah Mahathir, Legasi beliau membentuk satu bangsa yang benar-benar merdeka dan ampuh.

Setelah menghadiri mesyuarat Kabinet Pertama Perdana Menteri, beberapa perkara pokok yang ditekankan oleh Perdana Menteri kita DS Najib bolehlah dilihat sebagai sesuatu yang boleh membantu situasi ini. Cuma beliau kena lebih tegas dan agresif lagi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara bangsa ini.

Aman, Makmur dan Bersatu-Padu

Tepat jam 9:00 pagi di Putrajaya, beliau memulakan ucapan alu-aluan dengan kedatangan tahun baru 2010 yang menurut beliau adalah tahun bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat.

Melihatkan keupayaan konsep 1Malaysia, beliau mahukan rakyat terus disemai semangat hormat-menghormati serta paling penting sentiasa bersatu padu dalam menjaga aspirasi negara.

Ekonomi

Semua genap kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan segala bentuk penjimatan dan ketelusan perbelanjaan berhemah. Memandang kelakonan ekonomi negara yang masih belum sekukuh tahun 2004 – 2006, beliau menyeru agar semua warga penjawat awam termasuk perkhidmatan awam (YB Menteri dan Pemerintah) menggunakan dana awam dengan cara yang jujur, ikhlas serta yang paling penting memberi nilai kepada masyarakat terbanyak.

Tidak ketinggalan, bagi projek-projek serta bidaan awam, perlulah mengikut segala kehendak awam yang mengutamakan kebajikan rakyat, memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kepenggunaan ruang yang maksimum dan lagi penting dari itu, menjimatkan wang awam dan berbaloi dengan nilai bidaannya.

Perbelanjaan dan pembinaan sesuatu projek yang baru haruslah sentiasa sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk tentang kemewahan dan pembaziran wang awam tersebut.

Suara yang dipusatkan

Seperti yang pernah saya tukikkan dalam blog saya sebelum ini, Semua orang suka bercakap, mengulas dan membuat andaian dan persepsi amatlah buruk kepada negara. Tidak dapat tidak, masalah ini melihatkan sistem komunikasi pemerintah seolah-olah bobrok dan goblok (bodoh).

Oleh itu, saranan YAB PM amatlah bertepatan bahawa setiap pemimpin termasuk kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan satu kordinasi dan kepusatan informasi.

Maklumat serta apa-apa ruang pengumuman, komentar serta apa juga komunikasi pemerintah dengan rakyat mestilah disatukan serta saling sentiasa bertaut dan membantu yang lain.

Pemerintah-pemerintah kecil dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat komen, ulasan serta pengumuman yang sering bercanggah serta tidak konsisten antara satu dengan yang lain. Haruslah berpusat dan tersusun kordinasinya.

Setidak-tidaknya beliau sudah menunjukkan bahawa kordinasi dan kesalingan bergantung dalam membuat hujah amatlah penting dalam menunjukkan kebersatuan pemerintah dengan agensinya serta kementerian. PM juga harus menunjukkan komitmen beliau yang tegas serta cekap menguruskan isu-isu dengan lebih baik lagi. Beliau kena lebih pantas mengulas sesuatu isu dengan nada yang tegas serta agresif.

Semoga Tahun 2010 mengubah landskap politik dan kemakmuran negara menghadapi era sebelum Pilihan raya ke-13.

p/s: DS Najib, saya prihatin dengan DS yang mendengar komen dan pandangan orang bawah seperti saya walaupun anda punya duduk letak yang tinggi.