Selasa, 14 Januari 2014

Bersenam Mengimbangi Pekerjaan dan Hidup Sihat



Work hard, play hard. Itulah istilah yang sering digunakan bagi pekerja yang menginginkan kehidupan dan pekerjaannya sama-sama berjaya dan bermanfaat. Namun kenyataannya, hal itu tidak semudah membalikkan telapak tangan atau melambung syiling.


Ini kerana saat bekerja mungkin kita kerap memikirkan hal-hal lain di luar pekerjaan yang sepatutnya. Sebaliknya ketika di rumah, kita mungkin masih memikirkan pekerjaan yang harus dibereskan. Namun menurut satu kajian yang dijalankan, olahraga atau bersenam dapat membantu mengatasi hal ini dan membuat kehidupan dan pekerjaan menjadi lebih seimbang.

Dalam penelitian tersebut, para penyelidik dari Universiti Saint Leo di Saint Leo, Florida, menanyakan sejumlah pertanyaan tentang kebiasaan olahraga dan cara menyelesaikan permasalahan antara kehidupan dan pekerjaan kepada 476 pekerja dewasa sebagai responden. Para penyelidik mendapati pekerja yang sering bersenam cenderung lebih sukar untuk merasakan tekanan dengan pekerjaannya dibandingkan mereka yang tidak kerap berolahraga.

"Orang yang kerap berolahraga lebih berkeyakinan untuk melakukan interaksi dengan lingkungan pekerjaan ataupun kehidupan di luar. Mereka juga tidak rentan dengan tekanan dalam pekerjaannya," ujar Russell Clayton, Penolong Profesor (Pengurusan) selaku ketua penyelidik kajian tersebut.

Menurut para penyelidik, olahraga atau bersenam dapat membantu tubuh untuk merembeskan sejenis kimia yang dinamakan neurotransmiter yang mampu membuatkan seseorang merasa bahagia sehingga dapat mengurangi kadar tekanan. Sebelum itu, para penyelidik dari Universiti Granada di Sepanyol dalam penelitian menunjukkan, olahraga juga dapat membantu seseorang untuk menyelesaikan pekerjaannya dengan waktu yang tepat.

"Ini kerana olahraga memberi kesan pengurangan kadar kerosakan pengoksidaan pada otak sehingga membuat seseorang lebih cerdas," menurut para peneliti.

Sayangnya, sebahagian pekerja masih berfikir terlalu sibuk dengan pekerjaannya sekali gus membuatkan mereka tidak sempat bersenam dan beriadah. Padahal, olahraga tidak perlu dilakukan dalam waktu yang lama. Bahkan bersenam dalam masa 20 minit atau kurang, sudah dapat memberikan manfaat asalkan ia dilakukan secara rutin.

Tukikan:  Kompas

Kafein Sebagai Penguat Daya Ingatan



Bagi sesetengah orang, kopi panas pada pagi hari merupakan kenikmatan tersendiri sebelum menjalani kehidupan pada hari tersebut. Kesan sampingan kafein dari kopi dipercayai dapat membantu meningkatkan rasa kesiagaan atau kepekaan yang maksimum. Namun, baru-baru ini satu kajian menemukan bahawa kafein juga dapat meningkatkan kemampuan ingatan.

Para peneliti dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, menganalisis terdapat penemuan minor bahawa kafein adalah salah satu faktor penguatan memori. Hasilnya, kafein terbukti dapat menguatkan memori tertentu dalam 24 jam setelah diambil.

"Penemuan ini menunjukkan kafein memiliki kesan sampingan dalam proses ingatan manusia. Proses ini membuatkan ingatan lebih kekal dan sukar untuk menjadi lupa," ujar penulis kajian tersebut, Michael Yassa, Penolong Profesor neurologi dan tingkah laku di Universiti California, Irvine, yang melakukan kajian tersebut di Universiti Johns Hopkins.

Kajian yang dibiayai oleh National Institute of Health dan National Science Foundation Amerika ini melibatkan 100 responden peminum kafein sederhana. Bahawa mereka tidak meminum kopi, teh, atau minuman soda dalam jumlah besar dan bukan suatu ketagihan dalam minuman tersebut.

"Kami memilih peserta yang minum kurang dari 500 miligram kafein seminggu. Kebanyakan bukan peminum kopi, tetapi minum soda setidak-tidaknya sekali atau dua kali seminggu," jelas Yassa.

Kandungan kafein dalam minuman sangat berbeza mengikut jenis. Yassa menyatakan, rata-rata secawan kopi mengandung 160 miligram, tetapi ada juga yang mengandung hingga 330 miligram kafein. Menurut beliau juga, untuk memberikan kesan penguatan memori, seseorang perlu mengambil paling tidak 200 miligram kafein.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Neuroscience ini, para peneliti meminta para peserta untuk melihat gambar-gambar yang mudah ditemui sehari-hari pada layar komputer, seperti kasut, kerusi, mainan itik getah, dan lain-lain lagi. Mereka meminta agar peserta menyebutkan apakah benda-benda tersebut termasuk benda dalam atau luar ruangan.

"Kami tidak terlalu mementingkan jawaban mereka, tetapi ingin mengetahui mereka memperhatikan objeknya dan mengingatinya," ujar Yassa.

Lima minit setelah peserta melihat gambar-gambar tersebut, sebahagian daripada mereka diberikan 200 mg kafein dan setengah lagi diberikan plasebo. Satu hari kemudiannya, mereka diminta untuk melihat gambar lagi yang diambil dari sudut yang berbeza, kemudian menjawab apakah objek tersebut baru, lama, atau sama dengan objek semalam yang telah mereka lihat.

Hasilnya, peserta yang diberikan kafein lebih baik dalam membezakan gambar dan menjelaskan struktur objek adalah baru, lama, atau mirip.

"Ini bererti, kafein memiliki kesan memperkuatkan ingatan dalam satu jangka waktu yang lebih panjang, selain bermanfaat kepada rasa kesiagaan, kepekaan, perhatian, dan waspada," kata Yassa

Tukikan: Kompas. 

Isnin, 13 Januari 2014

Menukar LABU Bukan Membaikinya Lagi.... Agenda Politik Tepu!

Sejak reformasi Indonesia pada 1998 yang menggulingkan Presiden Soeharto, Indonesia terus ketandusan pemimpin yang boleh menjamin kedaulatan dan kesinabungan sebuah Negara bangsa yang padat.  Jika Bapak Soeharto menjabat pejabat Presiden dengan insiden ‘pemberontakan komunis’ di Lobang Buaya, menggantikan Sukarno yang dilihat semakin mengguyur lemah – ia adalah satu perjuangan yang jelas berbayar. 


Di Malaysia, setelah gagal meredakan kemarahan orang Melayu dan kebiadapan kaum Cina selepas Pilihanraya pada 10 Mei 1969, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu ditunjukkan pintu keluar oleh beberapa penjabat jawatan dalam UMNO dan Kerajaan ketika itu.  Dek keganasan kaum yang membunuh puluhan jiwa di sebelah Melayu dan Cina, Tunku mengambil jalan tengah dengan membenarkan Timbalannya, Tun Razak menjabat jawatan nombor satu negara melalui Majlis Gerakan Nasional (MAGERAN). 

Di Turki, sebuah negara sekular konservatif barat juga mengalami perubahan setelah berjaya menumpaskan parti pemerintah Suleyman Damirel dan Ahmad Necdet Sezer  dari Parti Truth Path dan Parti Bebas.  Parti AK yang melakukan reformasi sekular kepada lebih Islamik dan moderat memperlihatkan dirinya sebagai parti pro-Amerika dan pro-Barat untuk mengambil hati pengundi yang ramai di kalangannya adalah sekular dan pro-Barat.  Cubaan Recep Tayyib Erdorgan berjaya membawa AK Party ke Parlimen dan terus membentuk Kerajaan sejak 2002 sehingga kini.  Jika sebelum ini parti-parti berteraskan Islam akan selalu kalah dan jika mempunyai kuasa pun akan dibatalkan oleh Presiden dan mahkamah, tetapi AK Party ini menunjukkan satu iltizam politik yang berbeza.  Sama seperti Indonesia, Malaysia dan Turki – Politik Tepu!


Indonesia


Sejak Presiden Soeharto digulingkan pada 1998 dan digantikan dengan beberapa susuk Presiden mengepalai negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia itu, ia tetap tidak sebaik dan semaju di zaman pemerintahan Soeharto yang “licik dan kejam” itu.  Presiden Habibie telah berjaya mengeluarkan Timor Leste menjadi negara bebas merdeka ke-11 di Asia Tenggara sejurus menjabat jawatan dari hasil penggulingan Soeharto.  Presiden Megawati anak kepada pengasas Indonesia juga telah berjaya menjabat jawatan Presiden telah memberikan ruang dan peluang yang cukup besar kepada warganegara bukan Indonesia (WNI) seperti kaum Tionghua dalam pelbagai kesempatan politik, ekonomi dan kebudayaan di negara tersebut.  Buruk dari segalanya, Presiden yang mempunyai masalah penglihatan iaitu Gus Dur atau Abdul Rahman Wahid telah berjaya membebaskan Indonesia menjadi sebuah negara sekular dan liberal baru di Asia Tenggara apabila membenarkan Kalimah 'Allah' digunakan oleh pihak Gereja dan usaha pemurtadan umat Islam Indonesia semakin menjadi-jadi kini. 

Pengganti seterusnya ialah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menjabat sejak 2004 sehingga kini tidak lekang dengan kontroversi rasuahnya.  Setelah menubuhkan sebuah badan anti rasuah dengan lantikan ahli keluarganya, satu persatu kader partinya ditahan kerana terlibat dengan pelbagai jenayah rasuah yang terus meluap-luap.  Rupiah Indonesia yang semakin melemah dan jurang ekonomi antara warga terus menjurangi kehidupan sosial warganya menjadi masalah kepada Indonesia pasca reformasi tersebut. 

Akhirnya dalam kesempatan pemilihan Presiden 2014, Indonesia tidak mempunyai sosok tubuh yang layak menjabat jawatan tertinggi negara pulau tersebut.  Maka percaturan baru telah dibuat oleh jutawan media di sana.  Dengan modal pengaruh dari media dan pembaca yang besar serta condong kepada idealisme Megawati yang pro WNI dan kaum Tionghua, akhbar Harian Kompas yang memiliki saham akhbar dan televisyen Trans TV ini menaja satu calon bukan pilihan untuk menjadi sosok pengganti Presiden negara tersebut.  Menguji kemampuan kader parti PDI-Perjuangan pimpinan Megawati anak kepada Presiden Sukarno, Joko Widodo telah dicalonkan dalam pemilihan Gabenor Jakarta Pusat (Daerah Khusus Ibukota) bergandingan dengan Tionghua pertama menjabat jawatan tertinggi di negara yang sensitif perkaumannya itu – Basuki atau dikenali Ah Hok (dieja “Ahok” di Indonesia). 

Setelah menang jawatan tersebut, tugas seterusnya konglomerat media di Indonesia itu ialah menjadikan Joko Widodo yang dikenali Jokowi sebagai satu calon yang positif serta pemegang aspirasi seluruh Indonesia sebagai satu-satunya calon Presiden yang terhampir mendapat sokongan umum melalui permainan pendapat umum.  Calon ini diketengahkan dan pelbagai teori komunikasi dikenalkan ke atas Jokowi ini agar akhirnya parti yang pro kaum Cina ini dapat membela nasib mereka di hari muka setelah “dikerjakan” semasa pemerintahan Soeharto dan era Reformasi 1998 dahulu. 

Agenda kaum Tionghua amat jelas bahawa mereka tidak lagi mahu menjadi warganegara penumpang atau warganegara kelas kedua, mereka inginkan “kuasa” yang boleh mengubah Indonesia mengikut kehendak dan kemahuan mereka setelah berjaya meliberalkan beberapa elemen Islam di sana di bawah kuasa Gus Dur dan Megawati sebelum ini.  Jika di zaman Order Baru (era Soeharto) perayaan Tahun Baru Cina tidak disambut dan tiada cuti, kali ini pasca reformasi yang telah membunuh ribuan Tionghua di sana telah menjadikan Tahun Baru Cina sebagai cuti umum negara dan kaum bukan peribumi boleh menjabat jawatan tertinggi di jabatan awam di negara tersebut. 

Maka, mewujudkan sosok tubuh keahlian politik baru menjadi kepakaran media di Indonesia telah berjaya melarikan pendapat rakyatnya tentang beberapa perkara pokok yang membentengi minda penduduk negara itu sebelum ini.  Permainan ini kelihatan hampir ke penghujung, jika pemilihan Presiden Indonesia 2014 memihak kepada Jokowi seorang kader PDI-Perjuangan pempinan Megawati sebagai Presiden Indonesia ke-7. 


Turki


Parti Islam tidak bena menjabat jawatan yang tinggi sejak tertubuhnya negara Turki hasil pemecahan empayar Turki Uthmaniah pada 1922-1923.  Mustafa Kemal Attarturk yang dikatakan pengasas Turki Moden dan sekular memperkenalkan pelbagai inisiatif pro-Barat dan Yahudi setelah menjabat jawatan Presiden hasil pemusnahan kuasa Islam terbesar dunia itu sejak dari awal lagi dan mewariskan legasinya zaman berzaman.  Jika ada parti berasaskan Islam bertanding di Turki hanya terdapat dua kemungkinan, sama ada parti tersebut akan dibatalkan ataupun calon terbabit akan disabitkan dengan pelbagai kesalahan pilihanraya sehingga akhirnya puak sekular terus mendominasi kerusi Parlimen di negara sub-Asia dan Eropah itu. 

Pada tahun 2002, AK Party nyaris-nyaris tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya umum kerana pemimpin utama parti tersebut, Receb Tayyib Erdorgan pernah disabitkan dengan kesalahan membaca sajak yang pro-Islam di negara tersebut.  Tetapi atas kebijaksanaan politik, parti tersebut terus bertanding dan memenangi buat kali pertama sejak 11 tahun dengan kemenangan dua pertiga kerusi parlimen di negara pro-sekular tersebut.  Abdullah Gul, selaku kader parti telah memimpin Kerajaan tersebut sehingga satu referendum umum diciptakan untuk memastikan Erdorgan menjadi Presiden sah Turki yang sebenar.

Mengambil kesempatan atas penjajahan Amerika ke Iraq pada 2003, Erdorgan menukar kulit AK Party yang Islamik kepada pro-Barat dan Pro-Amerika dan mengusulkan pindaan perlembagaan yang membolehkannya bertanding dalam pilihanraya setelah disekat oleh dasar negara sebelumnya yang sekular.  Tindakannya mengundang padah apabila beberapa pemimpin parti tersebut melompat kepada parti pembangkang (CHP) dan menentangnya.  Tetapi kebijakannya mengambil kesempatan atas pemberontakan tersebut dan kemelut Iraq berjaya mendapatkan sokongan Parlimen untuk memansuhkan larangan penggantungan politiknya.  Setelah menang dalam satu pilihanraya kecil di Siirt pada 2003, akhirnya Erdorgan menjadi Presiden Turki yang pro-Islam pertama dan pada masa yang sama pro-Barat dan progresif. 

Sehingga kini, Presiden Turki ini akan terus mentadbir Turki dan hanya sekali pernah bertukar jabatan dengan Abdullah Gul apabila Gul menjadi Presiden dan beliau menjadi Perdana Menteri kerana permintaan Perlembagaan yang menyekat Presiden dari dipegang selama dua penggal berturut-turut, beliau kelihatan terus pragmatik dalam mengatur perjuangan politik di negara berpenduduk 73.7 juta jiwa tersebut. 

Cerita ini juga hampir sama dengan pertempuran Vladamir Putin di Rusia dan Thaksin Shinawatra di Thailand melalui proksi adiknya Yingluck Shinawatra.  Cuma di Indonesia dan Turki yang rata-rata jiwa warganya adalah Islam lebih dekat untuk kita memetik mereka menjadi aspirasi politik tepu di Malaysia.


Malaysia

Setelah menjabat jawatan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak mengaturkan pelbagai pelan pemulihan kuasa di atas kehendak dan kemahuan orang Melayu yang dilukai oleh Tunku kerana 'prasangka baiknya' terhadap bukan bumiputera ketika itu.  Akhirnya, Peristiwa 13 Mei membunuh semua impian Tunku untuk melihat negara baru yang stabil.  Tun Razak membina MARA sebuah institusi yang memihak kepada ekonomi Melayu, FELDA, FELCRA, PETRONAS dan banyak lagi institusi milik Melayu bagi mengimbangi kuasa ekonomi bukan bumiputera yang telah lebih awal mengaut kekayaan Tanah Melayu atas bantuan British.  Beliau (Tun Razak) berjaya mengembalikan keyakinan awam kepada Kerajaan setelah masalah besar tersebut melanda dengan kekuatan politiknya.


Mahathir mewarisi semangat Tun Razak setelah beliau tiba-tiba meninggal dunia akibat sakit leukimia di London untuk terus mengubah landskap politik negara ini.  Dari sebuah negara pertanian kelas ketiga dan mundur, Malaysia bangkit menjadi Harimau Asia setanding Korea ketika itu dan terus meniru model Jepun untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyatnya menjadi sebuah negara perindustrian.  Pendidikan Tinggi, biasiswa, infrastruktur serta regim kewangan negara telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan maju dalam pelbagai bidang termasuk sukan.  Ditambah dengan dasar politik Mahathir yang lancang dan menentang aspirasi pro-Barat, Mahathir berjaya berdiri di pentas dunia dengan gah dan disokong oleh negara dunia ketiga terutama di blok Afrika. 

Pelbagai kemudahan asas telah dibangunkan oleh Mahathir semasa 23 tahun pemerintahannya yang dikatakan zalim dan kejam itu kononnya.  Tetapi dek kejam dan zalimnya beliau ketika itu, banyak warga Islam dan Melayu berjaya menyambung pelajaran ke peringkat teringgi di luar negara dan di universiti tempatan sehingga kini.  Pelbagai bangunan dan prasarana negara telah dibina dan akhirnya projek membazir ini menjadi tidak cukup besar untuk menampung keperluan rakyat yang semakin bertambah permintaannya.  Sebagai contoh, KLIA dan sistem rel LRT selaku pengangkutan awam di ibu kota terpaksa di tambah dan diperluaskan.  Pembaziran yang dikritik pembangkang itu kini telah menjadi satu keperluan masyarakat serta pelancong.  Penduduk Malaysia yang hanya mempunyai 28 juta jiwa kini menerima pelancong hampir sama banyak dengan jumlah penduduknya dan memberikan tukaran asing yang terbaik dalam negara Asia ini selepas Singapura. 

Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pemerintahan negara setelah Mahathirisme menunjukkan tanda-tanda yang beliau perlukan rehat panjang dek penat membangunkan negara ini selaju litar Formula Satu.  Tetapi masalah bermula apabila satu persatu projek Mahathir tidak diteruskan oleh Abdullah dan terus memburukkan keadaan apabila musuh utama Mahathir – Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.  Abdullah telah membatalkan pembinaan jambatan bengkok yang mampu menggoncangkan Pelabuhan Singapura.  Tetapi ia tidak menjadi realiti dan kembali mengecutkan ekonomi di Negeri Selatan tanah air tersebut.  Anehnya, projek tersebut telah membayar jutaan ringgit sebagai pampasan kepada pihak pemaju.  Bukan itu sahaja, perkara yang amat digeruni Mahathir menjadi realiti apabila rusuhan demi rusuhan serta hasutan kebencian politik terus berlaku oleh Anwar Ibrahim.  Ditambah dengan ketidakupayaan Abdullah meneruskan momentum Mahathir, beliau dikritik kerana gagal memajukan ekonomi yang telah membaik selepas Mahathir bersara.  Akhirnya, Abdullah terperosok di pintu kuasa apabila gagal mengulangi kemenangan bergayanya pada 2004 sejurus mengambil alih Putrajaya.


Abdullah telah ditewaskan di lima buah negeri yang kaya hasil mahsyulnya (Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan gagal merampas kembali Kelantan) serta gagal memperolehi dua pertiga kerusi Parlimen di mana ia tidak pernah berlaku sejak Merdeka lagi (kecuali PRU 1969).  Kritikan Mahathir di atas kegagalan politik, ekonomi dan pentadbiran awam Abdullah menambahkan lagi jurang pemisah antara rakyat dengan Kerajaan.  Akhirnya, Abdullah terpaksa melepaskan jawatan nombor satu Malaysia kepada pewarisnya juga ditunjukkan secara tidak langsung oleh Mahathir – Najib Tun Razak pada 3 April 2009. 

Mewarisi kerajaan yang lemah di Parlimen serta dasar negara yang tidak signifikan, Najib menaburkan pelbagai iltizam politik dalam memancing undi rakyat dan sekali lagi musuh utama Barisan Nasional – Anwar Ibrahim mengetuai kempen pembangkang Pilihanraya di Malaysia.  Seperti tekaan ramai dan Mahathir sendiri, Najib juga gagal dalam kempen PRU nya pada Mei 2013 apabila kerusi Parlimen turut melorot jatuh walaupun berjaya menawan kembali Perak dan Kedah.  Undi parti BN di negeri-negeri turut melorot dengan teruk seperti di Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.  Najib terus mentadbir Malaysia dengan kelemahan sistem yang ketara serta polisi awamnya yang kabur.  Inisiatif politiknya dalam Gagasan 1Malaysia telah memakan diri apabila beliau menghentam pengundi Cina yang tidak memilih BN sebagai krisis “Tsunami Cina”.  MCA dan Gerakan dua buah parti komponen Barisan Nasional yang diwakili kaum Cina kecundang dan menyebabkan undi Najib melorot tidak bercadang memegang jawatan dalam Kerajaan akibat tanggungjawab atas kekalahan yang buruk dalam sejarah pilihanraya Malaysia.  Bahkan sehingga kini, kaum Cina tidak berasa khuatir dengan ketiadaan wakilnya dalam Kerajaan Malaysia pasca PRU 2013. 

Sebenarnya, Najib telah tewas apabila rakyat terus menghentam dan mengkritiknya.  Jawapan dan penjelasan kader politiknya tidak tuntas bahkan terus mencambahkan idea penentangan dalaman dan disokong oleh pihak oposisi yang akan terus menghentam Najib dan BN secara terus-terusan. Mengambil beberapa contoh, kenaikan harga yang tidak terkawal, dasar polisi awamnya yang tidak jelas, perbelanjaan awam olehnya dan isterinya yang diperkatakan serta barisan Kabinetnya “bergoncang” menyebabkan kritikan tidak pernah padam dari saat ke saat berikutnya bahkan bertambah kencang. 

Menyalahkan Kerajaan semata-mata bukannya satu alternatif terbaik tunggal, tetapi menjawab persepsi yang terus-terusan memburukkan Kerajaan juga bukan satu pilihan.  Persepsi ini sudah tidak boleh dibaiki lagi melainkan mengikut teori komunikasi selanjutnya iaitu menggantikan sesuatu propaganda dengan propagada yang lain.  Memperbaiki labu yang telah dirosakkan tidaklah semudah dengan pelbagai program dan inisiatifnya, tetapi labu baru hendaklah dicari dan menggantikan labu yang telah rosak itu dengan nilai dan saiz yang sama. 

Apakah media Malaysia sekuat iltizam media di Indonesia dan iltizam pemimpin politik Malaysia sekuat AK Party di Turki?  Sebenarnya, bukan Kerajaan harus ditukar pada PRU14, tetapi labu lah yang harus digantikan dan media hendaklah menjawab isu ini dengan perkenalan labu baru yang lebih segar dan baik kepada khalayak.  Memang itulah resam, yang lama sudah tidak berguna kerana gading akan haus juga dihujung usianya.  Sayangkan kerusi atau sayangkan parti?  Media di Malaysia bolehkah menjadikan dirinya sebagai The Forth Estate of Democracy seperti di Indonesia?

Anda tahu jawapannya.... 

PM Kangkung Semalam?

Perdana Menteri Kangkung Semalam?

Pada 12 Januari 2014, Perdana Menteri Malaysia telah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman, Terengganu dengan memberi sumbangan sebuah peti televisyen 32 inci flat screen beserta sebuah peti sejuk dan tilam bantal kepada mangsa yang menderita akibat banjir pada awal Disember 2013 lalu.  Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia juga telah mengumumkan bantuan dengan pemberian RM500.00 kepada setiap mangsa banjir yang terlibat di seluruh Negara dan sebagai tambahan di Negeri Terengganu yang kaya hasil mahsyul minyak ini RM1,500.00 diberikan oleh Kerajaan Negeri. 


Semasa membuat penyampaian tersebut, Najib selaku wakil Kerajaan telah memaklumkan bahawa adalah tidak adil dengan menyalahkan Kerajaan semata-mata atas kenaikan harga barangan kebelakangan ini.  Menurut beliau, kenaikan harga adakalanya disebabkan oleh faktor cuaca serta faktor lain yang berkaitan dengannya.  Oleh itu, menyalahkan kerajaan semata-mata adalah tidak adil dan tidak tuntas pada pandangannya.  Dengan memberi contoh “Kangkung” misalnya, Perdana Menteri mengaitkan dengan harga kangkung yang naik sebelum ini telah kembali melorot semasa acara penyampaian hadiah tersebut diadakan namun rakyat hanya berdiam diri atas penurunan harga kangkung tersebut.  Tetapi rakyat bertegas jika berlaku kenaikan harga seolah-olah berlaku sesuatu yang dahsyat.  Cerita kangkung ini telah menjebak Perdana Menteri Malaysia sehingga ia menjadi trending di laman sesawang dan media sosial pada hari ini (Januari 13, 2014) bahkan ia terus diperkatakan oleh rakyat. 

Berlainan dengan komen di laman sesawang politik, komen Perdana Menteri ini telah memberikan satu modal politik kepada pihak oposisi dalam mengutip kesempatan dan membelasah Najib semahu-mahunya.  Menang atau kalah dalam pertaruhan persepsi, Najib yang telah tersungkur sejurus keputusan PRU 13 diumumkan pada Mei 2013 terus menjadi mangsa dan kerajaan sekali lagi terpaksa memperbaiki imejnya yang kian tergugat.  Tidak dapat tidak, isu ini bermain dengan sinikal di kalangan rakyat sejurus pulangnya PM ini dari percutian hujung tahunnya yang tenang di luar Negara.  Sedang PM dan keluarganya bercuti di suatu lokasi rahsia, rakyat bergelut dengan isu kenaikan harga sama ada secara realistik mahupun andaian spekulasi dan persepsi semata-mata.  Akhirnya PM mahu juga membuka mulut bahawa rasionalisasi tol yang menjadi topik hangat sebelum ini hanya akan dilakukan setelah kajian menyeluruh dilakukan oleh makmalnya. 


Benarlah kata pepatah pepatih dahulu bahawa “cakap kangkung semalam”, kononnya semasa kempen PRU 13 kenaikan harga akan dibendung tetapi dalam tempoh terdekat ini janji hanya dikangkungi menurut kata-kata komen di laman sosial terkini.  Adakah PM “serupa bikin” atau “kangkung semalam?” Kita hanya menanti aksinya seterusnya.  

Rabu, 8 Januari 2014

Allah Yang Maha ESA! Ia tidak beranak dan diperanakkan

Isu kontroversi kini melanda negara Malaysia ialah isu Kalimah Allah pada penganut Kristian. Amat pelik juga dengan permintaan mereka yang ingin menterjemahkan Tuhan dengan Allah. Secara lateral (boleh rujuk kamus), Tuhan ialah God dan adalah jamak (boleh jadi banyak, boleh jadi sedikit). Manakala nama khusus untuk Tuhan umat Islam ialah Allah (Tuhan dalam Bahasa Arab) yang di Esakan dan difahamkan dengan tidak Ia beranak dan di peranakkan dan tiada sesuatu apapun menyerupai kuasa dan zatNya kerana ia tidak bermula dan tidak berakhir.


Lungsuri sejarah Nazareth, pendeta-pendeta Yahudi telah berjaya menulis semula Injil (Bible) dan Old Testament (Zabur dan Taurat yang diubah suai) mengikut amalan dan kepentingan mereka. Tambahan pula, dua Utusan Allah yg besar iaitu Isa (dikatakan Jesus) dan Muhammad adalah dari kaum yg bukan dari kalangan mereka (Yahudi). Dalam pada usaha itu, mereka sgt tidak senang dengan Allah SWT kerana memilih UtusanNya bukan di kalangan Yahudi lagi (kebanyakan Nabi/Rasul dr kalangan Yahudi).

Oleh itu, mereka menggubal Bible mengikut cita rasa mereka selepas mereka berjaya menyalibkan kononnya Isa (difahamkan Jesus) sedangkan mereka terpedaya dengan Kudrat Allah bahawa yang disalibkan ialah Yahuda iaitu salah satu Hawariyun (Sahabat 12 Nabi Isa) yang membelot dengan bekerjasama dengan pendeta Yahudi dan Isa itu diangkatkan ke langit sehingga kini. Setelah mereka sendiri 'membunuh' kononnya Nabi mereka, mereka memuji dan memujanya seperti mana para Yahudi memuja Uzair ('Alim dan ulama' terkemuka dari kalangan pendeta Yahudi) dan mereka berjaya menyesatkan Akidah Tauhid para Nasrani.

Kini, usaha mereka diperpanjangkan kepada umat Islam pula. Memutuskan Islam dalam aspirasi orang Melayu samalah seperti mengeluarkan roh pada jasad seseorang yang mustahil dan ganjil. Tetapi mereka tiada pilihan. Bangsa Melayu Kuno (kini di Filipina) berjaya ditukarkan ke Kristian tetapi Melayu dan Islam di Tanah Emas ini tidak boleh dan didapati sukar walaupun ratusan tahun dijajah. Mereka tetap kukuh dan bersatu padu sehingga kini walaupun pelbagai teknik dan taktik telah digunakan.

Di Indonesia pula, disebabkan fahaman Islam itu tidak setebal pengikut Mazhab Syafie Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka berjaya meng'liberalkan'kan Islam dengan menggantikan Allah sebagai Tuhan yang Beranak dan Di Peranakkan, maka usaha mereka amat berjaya dengan ratusan jiwa berjaya murtad saban waktu dan menurut pemerhatian diketuai oleh para elit dan mereka yg ingin mewah dengan mengahwini bukan Islam.
Apakah kita juga ingin menjadi mangsanya begitu bila anak-anak muda kita yang kelihatan semakin 'liberal' kini faham dan maklum bahawa Allah itu tidak lagi ekslusif dan menjadi jamak serta dikongsikan dengan Kristan? Bahawa Allah jua beranak dan diperanakkan sebagaimana pihak Kristian faham? Bahawa Uzair dan Isa itu juga sebenarnya manusia dan ada hak di sisi Allah yang Esa untuk menjadi anak-anakNya? Apakah kerana setitik kuasa di dunia fana ini, seluruh kesatuan Islam di Malaysia ini ingin kita langsaikan dengan memahamkan setiap warganya bahawa Allah itu "LIBERAL" bahawa Dia juga boleh beranak dan diperanakkan dalam ajaran lain?

Semoga Allah merahmatimu Umat Muhammad. Mereka tidak akan berhenti memusuhimu sehingga langit bertemu bumi.