Khamis, 4 Februari 2010

Holiday is a Working Day!!!






Sudah seminggu tidak menulis! Semacam ‘gian’ untuk memulakan karangan entri/pos terbaru di blog.

Mengikuti lawatan dan ‘bertugas semasa bercuti’ atau ‘bercuti tetapi bertugas’ bukanlah satu kerja mudah dan menyeronokkan melainkan satu cabaran mental dan fizikal.

Mengikuti lawatan Y.B Menteri KPDNKK ke Johor Bahru dan Singapura baru-baru ini amat meletihkan. Walau pun begitu, kepuasan bertugas dan dedikasi berkhidmat untuk masyarakat tetap terpancar di muka para petugas yang menjayakan acara di kedua-dua destinasi tersebut.

Masakan tidak, layanan orang Johor yang mesra amat menghiburkan kami yang keletihan bekerja (Berkhidmat Untuk Negara).

Seharian berjalan sekitaran Johor amat mendamaikan walaupun sedikit sesak. Kelibat Ke Bawah Duli Tuanku Johor yang baru, memandu sambil diiringi petugas polis kawalan trafik bersama yang terjebak dalam kesesakan amat mengharukan. Benarlah kata orang, Sultan Johor hanyalah Sultan pada nama tetapi jiwanya ada pada rakyat. Jika tidak masakan beliau sanggup turut terjebak dalam kesesakan di hadapan Kampung Melayu Majidee, tambahan pula beliau sendiri memandu Jaguar Merah milik beliau. Polis yang ada hanyalah mengawal keselamatan Ke Bawah Duli Tuanku. Daulat Tuanku atas perkongsian perasaan (seperti letih, penat, marah, geram) mengharungi kesesakan bersama rakyat terbanyak.

Kesempatan yang ada turut membawa kami ke sebuah taman-taman akhirat – Bukit Mahmudiyah. Tanah perkuburan yang terletak di belakang Hospital Sultanah Aminah amat mendamaikan. Di sana jugalah bersemadinya Almarhum Sultan Iskandar yang disayangi watan Johor. Ketenangan bukit tersebut seolah-olah menyambut kedatangan kami untuk menziarahi ke Bawah Duli Almarhum. Tenang dan damai untuk persemadian abadi – alam yang membezakan sempadan hidup dan sempadan akhirat. Semoga Duli Almarhum Tuanku tenang di sana. Lawatan jam 7:00 petang amat aneh bagi petugas di kompleks makam tetapi dek kami datang dari Kuala Lumpur, kedatangan kami dialu-alukan. Kami merafak sembah kerana dengan titah bagindalah maka jabatan kami ini terus wujud dan kukuh di Malaysia. Semoga doa ikhlas kami di petang Isnin lepas dimakbulkan Sang Maha Pencipta yang Esa.

Tidak lupa kunjungan ke negara seberang tambak. Penat berjalan ke seluruh Singapura. Letih dan memenatkan tidak mengurangkan usaha kami untuk bersiar-siar di sana. Bak kata rakan saya – “Apalah yang menarik di pulau ini!”. Singapura masih kekal seperti itu, tidak punya apa-apa yang menarik untuk para wisatanya. Hanyalah kosmopolitan moden untuk orang berniaga dan berurusan globalisasi, lebih dari itu – tiada.

Semasa di Merlion Park yang terkenal dengan arca singa sempatlah kami merakamkan foto-foto kenangan menunjukkan kami telah berada di negeri Sang Nila Utama atau dikenali sebagai Temasek ini yang terkenal dengan Pulau Dilanda Todak. Kemeriahan di situ menggamit pelancong asing tidak mengujakan kami langsung. Bahkan kami lebih hebat mempromosikan “Apa itu Kuala Lumpur” kepada pelancong yang hadir. Segerombolan pelancong dari Tanah Besar China mendapat khidmat ‘duta kecil pelancongan’ dari kami tentang kehebatan Kuala Lumpur. Begitu juga pemuda Indonesia dari Bandung, Indonesia sempat dimaklumkan akan lebih hebat untuk beliau berkunjung dan bercuti di Kuala Lumpur yang lebih menggamit keindahan percutian. Begitulah kami ‘menjual’ Malaysia kepada pelancong walaupun kami juga melancong di situ.

Menarik pelancong bukanlah untuk bersuka-suka walhal di luar tugasan rasmi kami, tetapi dek tanggungjawab untuk menyuntik ekonomi agar lebih baik kami tekad untuk membuatnya secara tidak langsung. Begitulah penjawat awam yang prihatin tentang negara ini. Kelakonan dan kemesraan kami memukau semua yang ada di taman itu. Termasuk Dennis pemuda dari Bandung tadi yang terpegun dengan keramahan kami, tidak lebih bagus berbanding penduduk sekitar.

Meninjau Johor dari seberang tambak melihatkan kecekalan Tun Dr. Mahathir untuk mengubah landskap ekonomi di Johor dan Malaysia amnya. Kepintaran Tun untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang sebagai hab pelabuhan hebat di selatan Selat Melaka tidak dapat direalisasikan. Kekeruhan lumpur di sepanjang Selat Tebrau begitulah keruhnya hati dan geramnya Tun untuk melihat Johor terus bangkit dan menjadi laluan utama kapal-kapal saudagar dan pedagang di samping bot-bot mewah yang dapat melintas selat kecil tersebut. Kami juga mengulas peri jika projek jambatan bengkok itu dilunasi. Sudah barang tentu kedua-dua pelabuhan dan ekonomi Johor pasti berkembang di samping menjadi tarikan baru para saudagar dan pengembara bot mewah ke selatan negara itu.

Makanan-makanan yang sedap dan pasti lazat di sini tentulah lebih kepada makanan Jawa dan peribumi setempat seperti martabaknya, soto, nasi beriani gam dan lain-lain hidangan pembuka selera yang lazat. Memang hebat kota Johor ini jika tidak sehebat Kuala Lumpur. Semoga berjumpa lagi Johor di masa depan.

Catatan ini adalah tulisan peribadi untuk dikongsi dalam batas masa yang terhad.

Selasa, 26 Januari 2010

Malaysia ~ Mini Asia....


Tanggal November 17, 2009 ~ Mantan Perdana Menteri paling berjaya membangunkan ekonomi negaranya menjadi Negara Maju ketiga di Asia mengakui beliau telah tersilap.

Beliau ialah Perdana Menteri Singapura, En. Lee Kuan Yew.

Mantan Perdana Menteri pertama Singapura yang berkuasa hampir dua dekad ini mengakui bahawa rakyatnya yang fasih berbahasa Inggeris serta menerobos jauh ke sistem ekonomi kapitalis yang membanggakan telah ‘hilang jati dirinya’.

Mereka bukan sahaja tidak mahir lagi berbahasa Mandarin (Cina) dan Bahasa Melayu (Melayu) terus tertinggal dek kelakonan diri yang semakin menyusut.

Penduduk mereka yang terlalu mengejar material dan meninggalkan nilai-nilai bangsa telah terus terpaku dengan globalisasi dan kemakmuran ekonomi sehingga menghilangkan seni dan kreativiti.

Penduduknya Cina dan Melayu yang sangat fasih berbahasa antarabangsa itu tidak mungkin menjadi ‘lebih orang putih’ berbanding orang putih sendiri. Tertinggalnya jati diri bangsa yang mereka anuti, Singapura tidak punya apa-apa nilai seni dan budaya serta kelakonan kreativiti seni kebudayaan terus tenggelam.

Kurangnya watan Cina bertutur dan bangga dengan bahasa Mandarin serta watan Melayu yang tidak pandai berkomunikasi dan berkreativiti bahasa Melayu terus menenggelamkan sebuah negara yang punya banyak warna dan rasa ini.

Berbanding Malaysia, watan Melayu sangat arif berbahasa Inggeris bahkan anak-anak mudanya juga boleh menjadi Naib Juara Debat Dunia – peringkat antarabangsa walaupun fasih dan peka dengan bahasa Melayunya yang makan belacan.

Manakala watan Cina Malaysia pula pandai dan peka dengan penstrukturan baru perkembangan bahasa Mandarin di Tanah Besar China juga sensitif dan arif menggunakan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

Tatkala masyarakat India yang berada di estet-estet pertanian suatu ketika dahulu juga kini berjaya menjadi peguam-peguam hebat di Malaysia bahkan juga di England. Tetap mahir berbahasa Tamil, mereka juga lebih arif dengan kesusasteraan Inggeris dan juga tahu bahasa Melayu.

Tidak hairan jika kerajaan ‘menjual’ Malaysia dengan bakat kreatif rakyat Malaysia yang pelbagai rencamnya – Mini Asia. Selain tidak kehilangan jati diri setiap watan (Melayu, Cina dan India), bakat dan kreativiti kita menimba dan meneroka dunia kapitalis dan globalisasi dengan acuan kita tetap setanding negara moden lain di kota raya dunia yang terkenal.

Tahniah Malaysia, jati diri kita di peta bumi ini kekal menjadikan kita MINI ASIA – Asia Kecil untuk semua bangsa besar dunia (Melayu dari bangsa Indonesia salah satu negara besar, Cina dari tanah besar Cina, dan India dari benua kecil India).

Semua bangsa besar dan negara hebat dan besar berkumpul di Malaysia dengan penakatan dan kelakonan yang tidak kurang hebatnya.

Ayuh Maju......

Selasa, 19 Januari 2010

Naik Gaji, Naik Barang??? --Biarlah!!



Rakyat Malaysia suka subsidi dan murah-murah. Berjangkit dengan jiran mereka, Singapura agaknya.

Jika barangan naik RM0.01 pun, riuhnya mengalahkan apa, bahkan barang-barang lain yang tak ada kena mengena dengan barang tersebut turut naik. Dikaitkanlah dengan sebanyak mungkin andaian perkaitan kenaikan tersebut.

Kalau boleh mereka nak percuma. Tapi kalau bab mendapat upah atau bayaran, mereka nak yang tertinggi, terbaik dan terhebat dari segala antara. Hebatkan penakatan rakyat Malaysia!

Bulan Februari bakal menjelma. Pemerintah bakal mengumumkan gaji buruh-buruh kelas D dan C. Kenaikan sehingga 25% dari upah semasa serta boleh melambung sehingga 45% meningkatkan lagi taraf hidup watan bakal menaikkan beberapa lagi barangan di pasaran.

Peniaga suka mengambil kesempatan. Kita pun apa kurangnya, jika berkesempatan sapu juga, ye tak? (Jangan marah)

Oleh itu, seperti kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, rakyat harus bersedia dengan segala macam kenaikan dan bekerja dengan lebih keras serta sentiasa menambah nilai sesuatu kerja dan produk, jika mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.

Jika mahukan gaji yang lebih baik dan setimpal, tambah lagi pengetahuan dan jadilah lebih kreatif. Bila kita produktif dan kreatif serta sentiasa menambah nilai sesuatu perkara dengan inovasi, maka syarikat atau organisasi kita akan punya untung yang baik. Keuntungan yang baik dan tinggi ini tentunya memberikan mereka peluang untuk membayar gaji dan imbuhan yang berbaloi kepada kakitangannya yang cekap.

Kenaikan gaji ini akan menuntut para majikan di sektor pembuatan, makanan serta lain-lain sektor sekunder dan perkhidmatan menaikkan caj perkhidmatan mereka. Kenaikan ini untuk menyerap keuntungan mereka pula dan seterusnya menaikkan gaji kakitangan mereka yang bekerja di sektor pembuatan (kilang-kilang) serta sektor perkhidmatan seperti keselamatan dan kesihatan selain makanan.

Kenaikan-kenaikan ini memberi keuntungan kepada para pekerja dan juga para peniaga agar mereka juga punya untung yang tinggi serta memberi semula kepada kerajaan melalui cukai berkaitan dan membayar imbuhan kepada tenaga kerja mereka.

Kerajaan pula akan meningkatkan projek-projek dan infrastruktur peniaga dengan penakatan yang baik di samping membayar gaji kakitangan khidmatnya dengan nilai terbaik juga pada mereka. Kenaikan ini menyebabkan KDNK negara akan meningkat, dan seterusnya menaikkan kadar indeks-indeks ekonomi utama negara seperti pelaburan asing langsung (FDI), cukai-cukai import, tarif-tarif luar negara, nilai mata wang yang meningkat, indeks-indeks saham pegangan asing serta pelaburan syarikat asing dengan milikan ekuiti tertentu.

Kenaikan-kenaikan ini sebenarnya berpusing di dalam negara juga dan sudah tentu memberi satu implikasi positif kepada ekonomi.

Ramai tertanya-tanya apakah tambah nilai dan ekonomi inovasi yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri?

Nilai tambah ialah jika kita membuat sesuatu itu dan memberi satu lagi peluang perniagaan lain. Misalnya bagi pengeluaran susu ternakan lembu boleh menghasilkan daging, susu, keju dan lain-lain produk tenusu. Jika ditambah nilai misalnya, produk tersebut boleh membuat bahan-bahan lain seperti kosmetik serta bahan-bahan perubatan nano dan sebagainya.

Manakala inovasi pula sebagai contoh, kita haruslah tidak bergantung pada projek hiliran dan huluan seperti sebelum ini dalam bidang tenusu tetapi mengubah landskap perniagaan tadi seperti memasuki bidang pertanian ladang sebagai subsektor. Baja-baja kompos boleh diperolehi dari najis lembu tenusu tadi, dan bahan-bahan kompos boleh ditukarkan menjadi produk pertanian. Manakala produk pertanian ladang boleh dijadikan makanan lembu tenusu tadi.

Produk-produk tenusu seperti keju boleh diusahakan dengan membuat kilang-kilang yang menambah nilai keju tersebut. Yogurt untuk makanan dan tujuan kecantikan boleh digunakan. Membekalkan produk tersebut ke kedai makanan segera dan kedai yang memerlukan tenusu bukanlah matlamat akhir. Produk-produk tadi haruslah dikemaskan dengan pembungkusan lebih baik untuk tujuan komersial jualan untuk rumah-rumah serta pengguna industri luar negara.

Nilai tambah, kreatif dan inovasi dalam lain-lain produk haruslah dikekalkan dan sentiasa ditambah baik lagi. Produk-produk pasir janganlah dieksport begitu sahaja. Pasir boleh ditukar menjadi cip komputer (jika bersilika), membuat cermin serta bahan mentah cermin lain seperti wafer cermin bagi kegunaan industri automotif dan industri komputer.

Lain-lain produk dan bahan haruslah mengikut arah kesesuaian bidang tersebut. Seperti di jabatan awam, setiausaha bukan sahaja menjaga bos dan kerja-kerja pengawalan pejabat dan diari/menjawab telefon, bahkan menjadi pegawai perhubungan awam (PRO) kepada bos dan juga tugas sebagai jurucakap bagi majlis mereka. Kadangkala mereka jugalah yang akan menjadi pengerusi majlis acara (Master of Ceremony), penulis buku dan risalah dalaman serta menjadi agen tapisan keselamatan dokumen dan pembentang polisi kerajaan.




Lihatlah, walaupun mempunyai bidang tugas kesetiausahaan, tetapi ilmu-ilmu sains politik dan pengajian polisi serta pengajian media dan komunikasi merupakan nilai tambah mereka. (Berapakah upah/pendapatan setiausaha yang cekap dan punyai pelbagai kepakaran ini berbanding setiausaha yang tahu menaip surat dan menjaga diari bos semata-mata? Tentu berbeza kan?)

Tingkatkanlah prestasi kerja dengan nilai tambah, kreatif dan inovasi, semoga anda tidak mengeluh jika harga barangan dinaikkan waima RM100 pun. Kerana kepakaran kita dan gaji/pendapatan kita berbaloi dan setimpal dengannya.

MyID GAGAL JIKA CUAI


Saudara pengarang,

Saya amat tertarik dengan satu laporan berita berkaitan “Penjaga Parkir Diisytiharkan Bankrap” baru-baru ini.

Dewasa kini semakin banyak kita dengar tentang penyalahgunaan dokumen peribadi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam membuat pinjaman atau menyertai mana-mana perjanjian perkhidmatan seperti memohon talian telefon dan kad kredit.

Cerita-cerita sebegini saban hari memenuhi ruangan akhbar dan acap kali dilaporkan. Manakala setiap kali aduan yang dibuat di balai-balai polis, jawapan yang diterima ialah “laporan akan disiasat” sehingga ia menjadi tenggelam punca.

Kes-kes sebegini sebenarnya boleh dikaitkan dengan agen-agen tertentu sama ada oleh pihak bank, agen talian pasca bayar telekomunikasi serta agen yang menawarkan kad kredit untuk mendapatkan komisen bulanan di atas kejayaan mereka mendaftarkan nama seseorang itu untuk menyertai mana-mana program yang dianjurkan mereka. Akibatnya, sesiapa jua akan didaftarkan walaupun tiada saringan maklumat dengan mendalam dibuat serta rujukan penting berkaitan individu malang tersebut.

Ragut, kehilangan serta tercicir dokumen sepenting kad pengenalan menyebabkan individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk menyertai mana-mana perkhidmatan yang akhirnya menyusahkan individu yang kehilangan kad pengenalan itu. Disamping itu, agen tadi tetap mampu mendapat komisen yang tinggi atas air mata orang lain.

Dalam kes terbaru, seorang penjaga parkir terpaksa 'muflis' gara-gara terlibat dengan pinjaman kenderaan yang bernilai ratusan ribu. Apakah mungkin seorang penjaga parkir mampu memiliki sebuah kereta semewah itu? Kita sedia maklum bahawa gajinya mungkin sekadar cukup makan dan kali ini terpaksa melunaskan hutang yang sama sekali bukan dibuat atas pengetahuan sedar beliau.

Kes-kes penipuan seperti pendaftaran telefon bimbit pasca bayar yang menyebabkan individu terpaksa berhutang ribuan ringgit akibat penyalahgunaan dokumen juga saban hari menjadi-jadi. Begitu juga dengan pendaftaran kad kredit. Kes-kes ini sebenarnya memerlukan satu kajian mendalam harus dibuat ke atas penggunaan MyID yang baru-baru ini dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri yang boleh disalah gunakan tanpa saringan maklumat yang benar-benar jelas dan sahih dan kawalan yang ketat.

Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya mewujudkan satu mekanisma penting untuk memastikan hal-hal sebegini tidak menjerat warga Malaysia. Kepada agen-agen berkaitan pinjaman, telekomunikasi serta bank dan kad kredit haruslah bertanggungjawab sekiranya terdapat keraguan dalam sesuatu permohonan dan bukannya ‘membantu’ orang yang tidak bertanggungjawab ini memusnahkan hidup orang lain sewenang-wenangnya. Tapisan keselamatan individu yang memohon haruslah disahkan dengan benar-benar sahih dan barulah transaksi itu dibenarkan. Juga harus diingatkan bahawa agen-agen yang mendaftarkan juga mestilah dipertanggungjawabkan di kemudian hari sekiranya berlaku kes-kes penyelewengan data dan maklumat. Ini membuatkan mereka juga prihatin untuk menyemak akan kebenaran dan kesahihan sesuatu dokumen itu sebelum mendaftarkannya.

Saya juga berharap agar Biro Bantuan Guaman (BBG) dapat memainkan peranan yang lebih penting dan signifikan dalam membantu mereka yang benar-benar teraniaya serta kurang kemampuan untuk membela nasib mereka. BBG seharusnya agresif dalam membantu individu teraniaya serta kurang mampu ini berbanding hanya diam di bilik-bilik pejabat mereka sahaja.

Jika tiada kawalan dan pematuhan yang lebih lengkap ini, amatlah malang bagi kerajaan yang mewujudkan program MyID untuk diguna pakai dalam sistem pentadbiran kerajaan. Kegagalan ini mengundang lebih banyak kepayahan berbanding membantu menyelesaikan masalah yang diharapkan. Semoga kita dapat menjaga keselamatan peribadi data kita seperti kad pengenalan. Semoga tiada bala musibah menimpa kita selepas menggunakan sistem MyID.



(seperti ruangan Forum Utusan Malaysia dan Berita Harian)

Rabu, 6 Januari 2010

Merawat Lebih Baik dari Mengubati


Falsafah seorang doktor, sebelum kamu mendapat sakit itu, lebih baik kamu jangan menjemputnya.

Lebih baik kita memadamkan punca api daripada kita membiarkannya dan terus mengawal sepanjang masa tanpa leka. Kelekaan yang sekejap menyebabkan semua penyakit akan singgah di tubuh dan sudah tentu sudah terlewat untuk menyembuhkannya. Jika tiada penawar, maka akan berterusanlah sakitnya dan boleh menyebabkan mati.

Falsafah di atas adalah satu penakatan tugas seorang pengamal perubatan secara umumnya dan boleh menjadi kepada semua orang yang mahu berfikir dengan matang.

Entri ini akan membincangkan peri pentingnya autokratik kadang kala untuk menutup kebobrokan dan kedangkalan demokrasi.

Pada zaman kegemilangan Melayu/Islam Malaysia di bawah pemerintah Dr Mahathir, ketegasan beliau kadang kala melihatkan betapa beliau begitu pantas bertindak dan memadamkan sumbu api yang terbakar. Walaupun kerap digelar MahaZalim, MahaFiraun tetapi makhluk Allah SWT ini tahu akan falsafahnya – Mencegah Lebih Baik dari Mengubati.

Ketegasan dan bertindak secara agresif mampu menunjukkan kejantanan beliau berpolitik serta matang dalam pertimbangannya. Suara beliau digeruni, ulasan beliau mendapat liputan dalam dan luar negara sama ada ditafsirkan secara negatif mahupun positif. Itulah Mahathir, Legasi beliau membentuk satu bangsa yang benar-benar merdeka dan ampuh.

Setelah menghadiri mesyuarat Kabinet Pertama Perdana Menteri, beberapa perkara pokok yang ditekankan oleh Perdana Menteri kita DS Najib bolehlah dilihat sebagai sesuatu yang boleh membantu situasi ini. Cuma beliau kena lebih tegas dan agresif lagi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara bangsa ini.

Aman, Makmur dan Bersatu-Padu

Tepat jam 9:00 pagi di Putrajaya, beliau memulakan ucapan alu-aluan dengan kedatangan tahun baru 2010 yang menurut beliau adalah tahun bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat.

Melihatkan keupayaan konsep 1Malaysia, beliau mahukan rakyat terus disemai semangat hormat-menghormati serta paling penting sentiasa bersatu padu dalam menjaga aspirasi negara.

Ekonomi

Semua genap kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan segala bentuk penjimatan dan ketelusan perbelanjaan berhemah. Memandang kelakonan ekonomi negara yang masih belum sekukuh tahun 2004 – 2006, beliau menyeru agar semua warga penjawat awam termasuk perkhidmatan awam (YB Menteri dan Pemerintah) menggunakan dana awam dengan cara yang jujur, ikhlas serta yang paling penting memberi nilai kepada masyarakat terbanyak.

Tidak ketinggalan, bagi projek-projek serta bidaan awam, perlulah mengikut segala kehendak awam yang mengutamakan kebajikan rakyat, memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kepenggunaan ruang yang maksimum dan lagi penting dari itu, menjimatkan wang awam dan berbaloi dengan nilai bidaannya.

Perbelanjaan dan pembinaan sesuatu projek yang baru haruslah sentiasa sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk tentang kemewahan dan pembaziran wang awam tersebut.

Suara yang dipusatkan

Seperti yang pernah saya tukikkan dalam blog saya sebelum ini, Semua orang suka bercakap, mengulas dan membuat andaian dan persepsi amatlah buruk kepada negara. Tidak dapat tidak, masalah ini melihatkan sistem komunikasi pemerintah seolah-olah bobrok dan goblok (bodoh).

Oleh itu, saranan YAB PM amatlah bertepatan bahawa setiap pemimpin termasuk kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan satu kordinasi dan kepusatan informasi.

Maklumat serta apa-apa ruang pengumuman, komentar serta apa juga komunikasi pemerintah dengan rakyat mestilah disatukan serta saling sentiasa bertaut dan membantu yang lain.

Pemerintah-pemerintah kecil dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat komen, ulasan serta pengumuman yang sering bercanggah serta tidak konsisten antara satu dengan yang lain. Haruslah berpusat dan tersusun kordinasinya.

Setidak-tidaknya beliau sudah menunjukkan bahawa kordinasi dan kesalingan bergantung dalam membuat hujah amatlah penting dalam menunjukkan kebersatuan pemerintah dengan agensinya serta kementerian. PM juga harus menunjukkan komitmen beliau yang tegas serta cekap menguruskan isu-isu dengan lebih baik lagi. Beliau kena lebih pantas mengulas sesuatu isu dengan nada yang tegas serta agresif.

Semoga Tahun 2010 mengubah landskap politik dan kemakmuran negara menghadapi era sebelum Pilihan raya ke-13.

p/s: DS Najib, saya prihatin dengan DS yang mendengar komen dan pandangan orang bawah seperti saya walaupun anda punya duduk letak yang tinggi.

Rabu, 30 Disember 2009

Perubahan Signifikan


Siapa Perdana Menteri Malaysia Hari Ini???

Perdana Menteri Malaysia keenam ialah Datuk Seri Najib Tun Razak mencapai kuasanya pada 3 April 2009 diwarisi dari era malap Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang mengundang kontroversi dalam sejarah negara bangsa Malaysia.

Desakan dari para penyokong dan juga pihak-pihak tertentu, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik untuk ‘membetulkan’ segala kekeruhan yang dirungutkan dan di marah rakyat. Datuk Seri Najib Tun Razak di’paksa’ untuk membersihkan segala macam onar dan liku akibat dari kesan Pilihan raya Umum ke 12 Malaysia.

Barisan Nasional (BN) parti perikatan yang diketuai Datuk Seri Abdullah ketika itu mendapat prestasi terburuk selepas mencipta kejayaan gemilang pada 2004 sejurus mengambil alih kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Apa pencapaian Datuk Seri Najib sehingga kini yang mencengkam ke benak rakyat?

1. Dasar Liberalisasi Ekonomi – Menghapuskan ekuiti Bumiputera

2. Kerajaan Berpandukan Prestasi (KPI) – Memperkenalkan NKRA dalam 6 bidang Keberhasilan Utama Negara (Keselamatan, Pendidikan, Pengangkutan, dan lain-lain)

3. Konsep 1Malaysia (16 Sept 2009) – Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan (Slogan dan motto beliau yang malap)

4. Penggunaan Internet dalam Wadah Komunikasi (1Malaysia web, Facebook, Twitter dan lain-lain media internet)

5. Memperbaiki Perhubungan Antara Agama dan Etnik di Malaysia

6. Belanjawan Negara 2010

7. Cadangan Mengemukakan Dasar Ekonomi Pendapatan Tinggi

Pun begitu, adakah setiap satu tindakan beliau meninggalkan kesan di sanubari watan Malaysia? Isu ini menuntut satu penjelasan:-

1. Kes siasatan rasuah dalam parti-parti politik pembangkang (SPRM dan kematian Teoh Beng HocK)

2. Kehilangan Enjin Pesawat TUDM F-5E

3. Kekurangan sokongan undi Belanjawan 2010 dengan undi tipis

4. Isu-isu rasuah dan politik parti komponen yang bercakaran sesama sendiri


Selain dari itu, terdapat pelbagai lagi isu dan perkara yang tidak dinyatakan saya secara khusus. Pun begitu, secara teknikalnya, Datuk Seri Najib masih belum dapat memadam ‘lumpur-lumpur’ kerajaan silam dalam pentadbiran beliau kini.

Beliau perlu masa, tetapi adakah masa akan menunggu beliau??? Beliau perlu kejar masa dan bukannya ‘baling dan menunggu hasilnya’ setelah semua rencananya dikeluarkan. Kerja lagi DS NAJIB!!!

Para pemikir-pemikir atau ‘think-tanker’ beliau dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh dalam membantu meningkatkan usaha Datuk Seri Najib. Secara seriusnya saya melihat kelemahan pihak-pihak tertentu dalam meningkatkan mutu dan kualiti kepimpinan beliau. Antara yang mahu saya ulas adalah:-

1. Pengurusan Media dan Personaliti yang lemah (media memaparkan berita-berita membodek DS Najib lebih ketara dalam semua genap segi bukannya membentuk peribadi beliau di mata rakyat) – rakyat meluat tengok ‘cara berita’ tentang DS Najib dipaparkan di media-media Malaysia

2. Projek-projek Pembangunan tidak memberikan impak signifikan tentang betapa seriusnya beliau menguruskan kelakonan ekonomi negara kini yang semakin tenat. (Berita lebih berkisar pergolakan politik pembangkang serta laporan politik kerajaan yang membabi-buta semata-mata)

3. Konsep 1Malaysia yang seakan-akan ‘lebih canang dari buat’ serta hanya melibatkan kaum Melayu tanpa penglibatan kaum-kaum lain. Kempen lebih bersifat “potray image” bukannya secara inklusif dan cara penglibatan mendalam.

4. Dasar/Konsep Kerajaan yang samar – Datuk Seri Najib dilihat kurang tegas serta tidak bertindak secara agresif dan pro-aktif dalam memberikan komen-komen serta membentuk satu tindak balas yang pantas dan dinanti oleh rakyat. Sebagai contoh dalam kes menggantikan Timbalan Menteri Pelancongan, beliau lebih suka berdiam serta menggalakkan spekulasi yang sebenarnya tidak membantu political millage beliau.

5. Teks-teks ucapan beliau tidak mengandungi “Political rhetoric” dan hala tuju yang jelas dan kurang mendapat perhatian media, umum serta ahli politik untuk diulas. Beliau lebih bercakap secara ‘personal touching’ berbanding ‘national impact’ dalam kenyataan politik beliau. Beliau seharusnya lebih peka dan tegas dalam isu-isu seperti menubuhkan Suruhanjaya bebas untuk menyiasat Tun Dr Mahathir dan bukannya menunggu beberapa ketika baru hendak mengulas.


Sebenarnya, banyak lagi kelemahan yang boleh dilihat dan disampaikan akan gaya kepimpinan Datuk Seri Najib yang dilihat tidak tegas serta lambat responsif dalam banyak perkara. Kegagalan ini sebenarnya mengulang kembali kegagalan Tun Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri yang kurang responsif serta tidak tegas malah tidak konsisten.

Kegagalan itulah yang membunuh Tun Abdullah di medan pertempuran politik menentang ‘pakar public relations’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sentiasa memberi markah penuh kepada Ketua Pembangkang tersebut.

Jika Datuk Seri Najib mahu mendapatkan karisma, beliau perlu mempunyai pakar think tanker dan public relations group yang bagus dalam membentuk dan menajamkan imej beliau di mata rakyat. Kegagalan beliau mematikan usaha UMNO/BN untuk kembali berkuasa penuh dalam pilihan raya akan datang.

Bukanlah saya menyokong parti-parti politik di Malaysia secara terus dan membabi-buta tetapi teguran saya dibuat berdasarkan perkembangan terkini politik tanah air dengan media dan pegawai perhubungan awam Perdana Menteri yang lembap serta tidak agresif menentang kekuasaan Datuk Seri Anwar yang jauh lebih lama berkecimpung dalam dunia politik serta memaksimumkan tahap perhubungan awam dan think tanker beliau.

Datuk Seri Anwar tidak lebih terkenal berbanding dengan mentornya Tun Dr Mahathir kerana para think tanker Tun Mahathir adalah think tanker yang jauh lebih muda, berpengalaman, ‘kampung’ serta tempatan berbanding Datuk Seri Anwar yang kelihatan lebih barat serta menggunakan konsep ‘pembentukan imej’ all-in.

Tun Mahathir mempunyai karisma tersendiri telah berjaya mengalahkan pakar-pakar perhubungan awam Datuk Seri Anwar yang diyakini oleh pakar perhubungan awam sebagai dua kumpulan pembentuk karisma yang hebat serta cekap yang pernah ada di Malaysia.

Mampukah Datuk Seri Najib menandingi Datuk Seri Anwar dalam perang imej dan karisma ini? Sediakah Datuk Seri Najib menerima teguran terbuka saya? Setujukah Datuk Seri Najib mendapat nasihat dari bekas Think Tanker Tun Dr Mahathir dalam menjulang martabat dan keperluan UMNO yang semakin tersungkur di pintu kuasa??

Jawapannya ada dalam tangan beliau sendiri. Tepuk dada tanyalah diri?

Datuk Seri Najib, saya mohon mencadangkan pendapat saya.

Ahad, 27 Disember 2009

Antara Desakan Hidup dan Prinsip


Adakah anda sanggup mencuri sedangkan anda benar-benar lapar dan orang tidak mengendahkan kelaparan anda yang tak berduit??

Adakah anda akan berbohong sedangkan alasan sebenar anda sangat-sangat berbeza dari nilai anda yang jujur tetapi diragui orang??

Kenapa saya ajukan persoalan itu?

Saya pernah digelar anti-establishment, anti-kapitalis serta tidak suka dengan dunia order baru. Saya akur, mungkin sebab tertentu tetapi bukanlah saya anti order baru semuanya. Atas desakan hidup kita kena korbankan prinsip satu atau dua yang kita rasa hidup itu lebih penting.

Ceritanya, saya memang terkenal dengan sikap yang anti kepada bank dan juga kapitalis yang menekan hidup manusia. Pun begitu saya bukanlah pro-sosialis.

Saban tahun kita akan membayar penyambungan polisi insurans kereta serta memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan persendirian kita sama ada motosikal mahupun motokar. Atau kita tidak punya satu atau kedua-duanya?

Setiap tahun kita peruntukkan satu jumlah yang agak besar selain ansuran sewa-belinya untuk memastikan kenderaan kita boleh berada di jalan raya Malaysia. Bank-bank di Malaysia akan mengambil upah untuk mengaktifkan insurans tersebut serta memegang hak ke atas ‘geran’ kenderaan tersebut selagi belum selesai menjelaskan sewa-beli tersebut.

Sebenarnya, kita boleh mengambil geran kenderaan tersebut selepas beberapa ketika kita membayar sewa-beli tersebut (paling lama setahun). Jika kita tidak ambil, bank akan kenakan bayaran simpanan ke atas geran kenderaan tersebut dengan jumlah tertentu sebagai yuran simpanan barangan berharga (peti simpanan persendirian).

Bank juga akan menuntut bayaran polisi insurans dengan harga lebih tinggi berbanding harga sebenar kenderaan yang diinsuranskan kononnya agar kenderaan tersebut lebih bernilai jika ‘apa-apa’ terjadi kepada si empunya kenderaan.

Tahukah anda bahawa polisi insurans hanya akan membayar harga sebenar/semasa mengikut harga pasaran jika kenderaan anda mengalami ‘apa-apa’ di luar jangka anda. Mereka tidak akan membayar lebih bahkan mengikut nilaian semasa sahaja. Semasa anda membayar insurans, bulan-bulan mendatang, harga nilaian polisi anda terus berkurang dan bukannya bertambah. Oleh itu mengapa anda membayar polisi dengan harga lebih dari sepatutnya?

Ini kerana staf di bank akan mengambil komisen di atas setiap transaksi dan ditambah dengan komisen bank untuk tujuan proses kononnya. Anda akan membayar lebih kerana ‘benda-benda’ yang tidak perlu ini. Kadangkala anda terpaksa berhutang demi ‘memenuhi’ penipuan si kerani bank membuat duit poket dengan agen insuransnya. Diskaun kononnya hanyalah menyedapkan halwa telinga anda.

Pergilah ke daftar rasmi kenderaan untuk memperbaharui skim insurans dan cukai jalan anda.

Di Malaysia, Persatuan Kenderaan ditubuhkan untuk membantu anda dalam hal-hal berkaitan automobil ini. Tetapi kita sering lepas pandang apatah lagi fungsi persatuan ini tidak boleh dikomersialkan sebagai usaha melindungi hak-hak kapitalis untuk ‘menipu’ wang anda.

Pergilah ke AAM (Persatuan Automobil Malaysia) di serata Malaysia serta bandingkanlah dengan harga yang ditawarkan oleh bank-bank kapitalis Malaysia. Anda akan lihat perbezaan harga 20 ke 30%.

Tanya polisi syarikat insurans adakah mereka akan membayar polisi mengikut harga polisi yang di bayar atau mengikut harga pasaran polisi tersebut? Tanyalah bank berapa caj-caj perkhidmatan yang dirahsiakan dari pengetahuan anda dalam hal-hal mengaktifkan polisi dan memperbaharui cukai jalan anda???? (Jika anda mengatakan saya tipu)

Sedarlah, bukan semua hal menguntungkan kita sebagai pengguna. Walaupun perbezaan adalah sebanyak 20 ke 30% tetapi sekiranya berlaku ‘apa-apa’ hanya itulah yang akan di bayar si ejen insurans bukannya ‘lebih’ pun.

Di AAM perkhidmatannya adalah percuma serta memang dikhususkan untuk pemilik kenderaan yang anti-kapitalis membuat untung dengan cara mengaburi mata pengguna seperti saya.

Saya bukanlah mempromosikan perkhidmatan persatuan ini tetapi saya sebagai pengguna sentiasa mencari alternatif menyedarkan pengguna agar jangan ditipu pihak kapitalis yang membuat duit tanpa memikirkan jerih payah kita mencari wang untuk hidup.

p/s: Teringat cerita “Drag Me To Hell” kisah anti kapitalis Bank dengan nenek tua – Sylvia Ganuesh.

/mfa

Selasa, 22 Disember 2009


Selamat Tahun Baru 2010M/1431H

Semoga Azam Menjadi Kenyataan


Isnin, 21 Disember 2009

Kepompong


Dulu kita sahabat teman begitu hangat
Mengalahkan sinar mentari
Dulu kita sahabat berteman bagai ulat
Berharap jadi kupu-kupu

Kini kita melangkah berjauh-jauhan
Kau jauhi diriku kerana sesuatu
Mungkinku terlalu bertindak kejauhan
Namun itu kerana ku sayang

Persahabatan bagai kepompong
Mengubah ulat menjadi kupu-kupu

Persahabatan bagai kepompong
Hal yang tak mudah menjadi bintang-bintang
Persahabatan bagi kepompong
Malu berteman hadapi perbezaan
Persahabatan bagai kepompong
Na na na nana na ......................

Semua yang berlalu biarkanlah berlalu
Seperti hangatnya mentari
Siang berganti malam sembunyikan sinarnya
Hingga dia bersinar lagi

Dulu kita melangkah berjauh-jauhan
Kau jauhi diriku kerana sesuatu
Mungkinku terlalu bertindak kejauhan
Namun itu kerana ku sayang

Persahabatan bagai kepompong
Mengubah ulat menjadi kupu-kupu
Persahabatan bagai kepompong
Hal yang kau guna mengubah jadi bintang-bintang
Persahabatan bagi kepompong
Malu berteman hadapi perbezaan
Persahabatan bagai kepompong
Na na na nana na ....................



Lagu: Sindestosca

Selasa, 1 Disember 2009

Hidup Mati Akhbar di Malaysia.

Saya suka mengulas tulisan ruangan Cuit oleh Zaini Hassan dari Utusan Malaysia (edisi Disember 2, 2009)

Beliau telah yakin dan mengakui hakikat-hakikat perhubungan media yang telah saya canangkan. Atau beliau baru perasan hal ini ketika menghadiri Sidang Puncak Dunia Kewartawanan di Hyderabad, India baru-baru ini?

Patutkah media lambat? Sepatutnya saya yang lambat kerana media harus mengejar audiensnya dan bukannya saya bak ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ menghentak kepala media agar mendengar tegur orang.

Zaini mengulas bahawa pembaca media Melayu/Watan Asal Malaysia saban hari terus menyusut. Mereka lebih gemar membaca tabloid dan juga akhbar berbahasa Inggeris kerana menjauhi nilai-nilai ke’Melayu’an dan takut dengan cap rasis (Blog Faizal Faxel Wel: Betulkah Melayu Penakut? November 29, 2009).

Beliau turut mengulas tentang peranan kewartawanan sosial konsep yang sama telah saya jelaskan dalam blog saya sebelum ini (Blog Sembang Kosong Kedai Kopi: Semua Suka Bercakap, November22, 2009). Konsep news-wire atau komen/ulasan pembaca yang memuatkan bahan berita semasa yang sebenar dalam media arus perdana harus diambil kira.

Orang media seperti beliau seharusnya lebih cepat faham dengan kondisi ini bahkan lebih awal dari saya atau anak-anak muda yang lain agar media terus stabil dan berdaya saing dalam penakatannya. Sosiologi Melayu/Islam perlulah dibaca seolah-olah membaca sebuah buku yang jilidnya telah diperbaharui bukannya khatam dengan buku yang sama sahaja.

Kesian juga pada Zaini, kalaulah Zaini tidak ke Hyderabad untuk mengetahui hakikat itu, sudah barang tentu beliau tidak tahu hal-hal ini. Saya pula, bukanlah arif dalam dunia iklan dan surat khabar tetapi sensitif dalam dunia komunikasi dan pengajian media secara tidak langsung yang semakin hari semakin suram dalam editorialnya.

Bukankah gatekeeper media ini seharusnya peka dengan kehendak pelanggan mereka? Atau dek sebabkan terlalu kukuh dalam industrinya serta kurang pesaing, mereka jadi terlalu selesa dalam zonnya (comfort zone) sehingga tak dengar apa kata orang dan apa persepsi orang pada mereka. Kerana apa? Kerana mereka percaya lagi bahawa Teori Agenda Setting akan membantu mereka. Media yang menentukan apa yang harus diberitahu dan apa rakyat perlu baca?

Silap besar kepada tauke-tauke media kalau berfikiran begitu. Media kini bukanlah terjejas dek teknologi dan medium penyampaiannya tetapi kerana kandungannya serta editorialnya yang ‘tertinggal gerabak’. Maka, fikirkanlah hakikatnya.

p/s: Suka menyibuk hal orang demi membantu orang yang perlu. Itu hal media.