Selasa, 3 Disember 2013

Bila Semua Barang Naik Harga: Rakyat, Naik Minyak?


Bila Semua Barang Naik Harga:  Rakyat, Naik Minyak?


 

Margina bawakan fail ke maril!

Baik, tuan.

Tandatangan di sini.

Eh eh, kanda, ini surat pajak!

Eh! Margina, kau nie malukan aku sahaja.  Bawa fail yang satu lagi.

Kanda, kanda orang kaya pun ke pajak gadai jugak ker?

Apa kau fikir orang kaya tue semua senang ke? Kadang-kadang pun sesak der!


(Dialog di atas adalah perbualan dalam filem Melayu klasik, Ali Baba Bujang Lapuk.)

Konotasi dari cerita tersebut mengimbau kita kepada Ali Baba yang suka meminjam dan si abang yang kedekut mengenakan riba senilai (100%) dari barang pinjamannya.  Manakala dalam kedudukan kewangan bukan semua orang kaya itu kaya senantiasa hidup bergelumang kemewahan.  Adakalanya mereka juga terkesan dengan perniagaan serta sepak terajang ekonomi yang tak menentu.  Tidak dapat tidak, mereka juga mempunyai kesulitan tersendiri dalam menghadapi masalah ekonominya sendiri.

Sejak memenangi pilihanraya yang lepas, Perdana Menteri Malaysia terus berdiam dengan segala isu yang menjadi keluh kesah rakyat.  Dari kenaikan harga gula sebanyak RM0.44 sen, pengenalan kepada cukai GST yang baru, penghapusan kereta berusia 12 tahun (ditarik balik semula), kenaikan tenaga elektrik serta kenaikan cukai pintu di Kuala Lumpur terus membungkam jiwa dan fikiran rakyat.  Selepas ini, apa yang akan naik lagi?

Benarlah kata pihak di sana mengundi BN bererti barangan akan terus naik dan naik tanpa kawalan dan sekatan.  Sedang ekonomi Negara semakin mengucup dek hutang KDNK, inflasi terus menghantui setiap jiwa dalam Malaysia tercinta ini.  Apa lagi yang BN mahu? Atau perlukah kita ucapkan “Terima Kasih, BN atas undi yang diberi dan kenaikan dibalas!”.  Ramai dikalangan warga mengeluh dan merasa terkesan (walaupun caj elektrik RM70.00 ke bawah dikatakan tidak mengalami kenaikan) termasuk mereka yang dikatakan berada.

Ada pula suara nakal yang berkata kenaikan ini adalah untuk menampung kerugian Negara melalui hasil kepada cukai selain menampung kos elektrik di Seri Perdana yang bernilai RM2.2juta setahun.  Apakah mereka yang tidak membayar bil utiliti ini tahu kesan dan akibat kenaikan ini kepada warga?  Atau mereka ini memang tidak pernah peduli dengan apa juga perkara yang berlaku kepada warga di Negara ini.  Untuk makluman, setiap kenaikan ini walaupun dibayangi dengan rasuah BRIM, ia tetap tidak menghalalkan cara untuk mengutip kembali wang BRIM yang diberikan itu selain kadar per bulan yang keluar dari kocek pembayar bil akan terus menipis.  Apalah guna mendapat gaji minimum RM900.00 sebulan sedangkan barangan lain terus meningkat dan mengecilkan saiz dompet mereka setiap hujung bulan?

Tugas pemerintah adalah menjanakan keuntungan sebanyak-banyknya dan memberikan hasil itu bersama-sama menikmati kemakmuran bersama rakyat.  Bukannya hany pemegang saham menerima upah berjuta-juta ringgit sebagai gaji tetapi menghisap darah rakyat untuk menyenangkan hidup mereka yang senang itu.  Apakah dengan cara ini (menggunakan duit rakyat untuk mengecilkan saiz hutang Negara) dianggap hebat dalam kerjaya politik?  Memang hebat bila BN telah memenangi pilihanraya, tetapi lebih hebat kepada para penyokongnya yang terpedaya dengan manifesto mendahulukan rakyat serta keprihatinan mereka terhadap rakyat.

Atau apakah ini semua satu muslihat politik semasa Perhimpunan Agung UMNO?  Bahawa bila mereka mengura-uarkan kenaikan harga ini aka nada superhero yang menentangnya sebagai “Hero Orang Melayu” yang menyelamatkan keadaan?  Sedang rakyat terkesan dan panik dengan berita tersebut saban hari, mereka sebenarnya dibawakan virus mencari publisiti disebalik isu yang mencengkam itu?  Apakah benar begitu?  Sesungguhnya politik merapu seperti itu tidak wujud lagi.  Ketika Menteri Besar Selangor mengumumkan kenaikan gaji Speaker dan Ahli Dewannya sehingga melebihi gaji Perdana Menteri Malaysia, semua berkokok membantahnya termasuk di kem pemerintah, tetapi adakah mereka setiap satunya kisah dan ambil peduli tentang nasib ibu tunggal, nenek dan makcik di kampong-kampung yang makannya tak menentu dengan hasil kampong atau jualan jajaan mereka sahaja?  Adakah mereka ini kisah???


HINAKAH AKHBAR MELAYU?



HINAKAH AKHBAR MELAYU?


PENGENALAN
Akhbar Melayu diterbitkan di Tanah Melayu sejak kehadiran penjajah di Tanah Melayu (Azmah: 2001).  Meminjam teknologi barat tersebut, akhbar Melayu turut serta dalam industri percetakan dan persuratkhabaran.  Walaupun akhbar Melayu di awal kemunculannya bukanlah akhbar yang selengkap (Azmah: 2003) akhbar hari ini, tetapi terma asal dalam penerbitannya seperti menyebarkan maklumat kerajaan kepada rakyat (Safar Hashim: 1996), menerbitkan iklan serta ruangan editorialnya telah mengasuh dan membantu masyarakat Melayu untuk mengetahui bahan berita, laporan serta peristiwa semasa yang berlaku pada waktu itu (Azmah: 2003).


Selain berfungsi sebagai alat sebaran maklumat, kesusasteraan Melayu juga dimuatkan dalam akhbar di awal penerbitannya seperti ruangan puisi, surat dan juga komentar-komentar dari ahli-ahli orang Melayu terawal seperti Dr. Burhanuddin Helmi Kamarudin: 2008) yang mengajak orang Melayu menyemai sikap patiotsme dan nasionalisme yang tinggi kepada orang Melayu.  Oleh itu, akhbar bukanlah sebagai satu alat komunikasi penyebaran maklumat kepada masyarakat yang terpelajar sahaja, bahkan ia dijadikan medan untuk menyemaikan nilai-nilai kemasyarakatan yang adil, dinamik serta melahirkan individu yang sayang dan cintakan kesusasteraan seni budayanya (Azmah: 2003).


Sebagai contoh, peranan surat khabar secara amnya seperti yang dilakarkan oleh Mingguan Malaysia: 23 April 1989:

“Utusan bukan tidak bersikap adil tetapi keadlan tidak dapat dilihat oleh sesorang yang melihat sesuatu kepentingan untuk dirinya sahaja.  Kebenaran tidak perlu diceritakan.  Perubahan-perubahan yang berlaku akan memberikan kesedaran kepada manusia untuk melihat jalan yang benar dan jalan yang salah” (Zainudin Maidin: 1994)

Oleh itu, akhbar Melayu telah bersama-sama membangunkan fikiran Melayu supaya menjadi satu bangsa besar dan mengangkat darjat dan maruah mereka di tanah air mereka sendiri selepas terjajah lebih ratusan tahun (ILBS: 1991).  Kekuatan orang Melayu bukanlah terletak pada fizikalnya, tetapi dari minda dan hati yang bersatu membentuk kekuatan bangsa yang disegani.  Malaysia bukanlah sebuah negara plural tetapi terdiri dari pelbagai etnik dan kepelbagaian (Ho: 2004).

TESIS

Bolehkah orang Melayu mendapat apa yang mereka perolehi hari ini tanpa akhbar Melayu yang menyatukan aliran fikiran mereka sebelum merdeka dahulu?  Adakah bangsa lain akan prihatin ke atas bangsa Melayu (Sidek Baba: 2009)yang inginkan kemerdekaan mereka di tanah air mereka sendiri? Sudah tentulah peranan akhbar Melayu ini untuk menyatukan fikiran dan falsafah orang Melayu (Zainudin Maidin: 1994) untuk bertindak dan berbuat seperti tanah ini adalah hak milik mereka sendiri, kerana mereka bukan menumpang di Tanah Melayu ini.

Menerusi tulisan Chew Hock Thye (Utusan Malaysia: 26 September 1987) ‘Adakah Akhbar Cina Mencintai Bahasanya?...’ (Syed Mahadzir: 2010) membawa paradoks bahawa sentimen kebangsaan antara kaum di Malaysia masih menebal di tambah pula dengan kewujudan sekolah vernakular (Ho: 2004) yang disemarakkan oleh British sebelum memerdekakan Tanah Melayu.  Jurang-jurang kaum antara Melayu, Cina dan India dilebarkan dengan fahaman perkauman (Ashraf: 2004) masing-masing yang sempit sehingga membina tembok tebal yang memisahkan orang Melayu dan kaum-kaum asing (Zanudin Maidin: 1994, 2004) ini dalam Tanah Melayu.

Majlis Perundingan Ekonomi Negara pada 27 Januari 1970 mempersoalkan ‘Manakah yang lebih penting antara kaum dan negara’ (Syed Mahadzir: 2010) dalam menyemai makna sebuah kemerdekaan?  Siapakah yang akan sayang dan cintakan bahasa Melayu dan institusi orang Melayu kalau bukan kaumnya sendiri.  Adakah salah pada orang Melayu yang dilahirkan Melayu dan mencintai jiwa nurani Melayu?  Oleh itu, siapakah yang akan memperjuangkan kesemua sistem kenegaraan Malaysia jika bukan sebahagian penduduknya adalah tuan tanah ini adalah Melayu?

Akhbar Melayu diasaskan untuk meneruskan legasi fikiran rakyat selain disajikan maklumat dari akhbar-akhbar aliran Inggeris, Falsafah Kristian dan Komunisme (Azmah: 2003).  Akhbar Melayu memberikan nafas baru dalam makna sebuah warganegara yang merdeka.  Kerajaan telah didesak menurut kehendak-kehendak rakyat terbanyak (Safar Hashim: 1996) dan bukannya hanya berpolitik siang dan malam semata-mata.  Dengan itu, akhbar Melayu sentiasa mengingatkan kerajaan akan tugasnya membangunkan masyarakat (Safar Hashim: 1996) lebih dari sekadar menuntut kemerdekaan.


ISU 1 – AKHBAR MELAYU SEBAGAI “SUARA HATI” BANGSA MELAYU

Hari ini realitinya,  akhbar Melayu sering dilabelkan dengan pelbagai tanggapan negatif seperti rasis (Zainudin Maidin: 1994), membina ketuanan Melayu tanpa memikirkan rakyat yang lain serta berjuang untuk kaum mereka sahaja.  Adakah akhbar kaum lain akan mengambil berat dan prihatin masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pada hari ini (Syed Mahadzir: 2010).  Adakah akhbar-akhbar aliran lain boleh ‘memahami isyarat dan suara hati orang Melayu’ (Sidek Baba: 2009) itu sendiri.  Jika mereka sendiri membangunkan dan mementingkan kebangsaan mereka sahaja, adakah kaum Melayu turut akan terbela?

Akhbar Melayu seakan-akan takut dan perlu tunduk kepada tekanan gerakan politik kepartian dari kaum-kaum lain.  Lebih mengecewakan apabila parti politik orang Melayu juga tidak sealiran dan sependapat dengan akhbar Melayu yang telah menyatukan mereka suatu ketika dahulu untuk merdeka - hari ini yang paling lantang menghentam akhbar Melayu dalam memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.   Bahkan mereka sanggup menuduh akhbar Melayu yang diwarisi ini dengan tuduhan bahawa ‘Akhbar Melayu arus perdana bodohkan minda Melayu dengan isu seks‘ (Keadilan Daily) 

Sebagai pemikir bagi orang Melayu, akhbar Melayu itu sendiri adalah pemikir dan juga suara hati orang Melayu itu sendiri (Zainudin Maidin: 2004, 1994).  Merekalah yang tahu apa yang mereka hendak dan mereka jugalah yang akan minta apa yang mereka mahu.   Kerajaan sanggup merampas akhbar (Zainudin Maidin: 1994, Safar Hashim 1996) ini dari para pedagangnya semata-mata untuk melihat akhbar Melayu ini ‘sepakat dalam mengusulkan cadangan-cadangan yang memberikan manfaat kepada orang Melayu’ (Zainudin Maidin: 1994, Safar Hashim 1996) lebih-lebih lagi selepas merdeka.  Akhbar Melayulah yang menjadi medan “suara hati” bagi bangsa Melayu untuk terus bersatu agar nasib mereka terus terbela dan didengar oleh kerajaan.

Akhbar Utusan Malaysia paling lantang dikritik kononnya akhbar yang rasis, hanya kerana memberi kesedaran dan pengkhabaran agar peri pentingnya orang Melayu bersatu pada pasca pilihanraya umum ke-12. Kepentingan orang Melayu sering kali diduga dan diusik oleh bangsa lain yang tak pernah puas dengan apa yang mereka ada hari ini. Ramai dikalangan pemimpin politik dari pelbagai parti termasuk parti kerajaan yang tidak senang dengan pendedahan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia tentang kebobrokan pemimpin yang hendakkan kuasa semata-mata.


ISU 2 – AKHBAR MELAYU MEMPERTAHAN SERTA MEMBELA HAK RAKYAT MALAYSIA KHASNYA ORANG MELAYU.

Sekiranya Akhbar Melayu tidak berjuang untuk orang Melayu siapakah yang akan berjuang untuknya? Adakah Akhbar Tamil? Akhbar Cina? Akhbar inilah yang beriya-iya memperjuangkan hak cauvanis mereka sahaja dengan mengecam akhbar-akhbar Melayu sedangkan orang Melayu tidak pula membaca dan cuba belajar apa yang ditulis di akhbar-akhbar mereka.

Mengapa harus marah dan memboikot Akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia yang telah berjasa menuntut hak sah kaum Melayu (Zaidunin Maidin: 1994) dan apabila ia berjuang untuk orang-orang Melayu. Bagaimana pula Akhbar Tamil dan Akhbar Cina yang bercakap dan menyuarakan pendapat mereka terang-terangan tanpa ada rasa bersalah meminta kerajaan menunaikan permintaan mereka (Syed Mahadzir: 2010) dan menyalurkan fikiran kaum mereka agar terus mendesak-dan mendesak kerajaan menunaikan kesamarataan (ILBS: 1991).

Sejak sebelum merdeka lagi, Akhbar Melayu inilah yang memartabatkan bangsa Melayu dengan bahasanya (Zainudin Maidin: 1994), kedudukan sahnya, keistimewaannya, Raja-rajanya dan paling penting Agamanya – Islam.  Oleh itu, sebagai tuan yang empunya tanah dan tahu selok belok bangsa dan batang tubuhnya, surat khabar Melayu harus terus mempertahankan hak-hak Melayu di atas tanahnya.  Tindakan ini tidak membawa maksud hak kaum lain dinafi atau cuba diambil cuma untuk memastikan tidak akan ada pencerobohan hak ke atas bangsa Melayu oleh segelintir mereka yang gigih menghakis hak dan keistimewaan Melayu untuk keuntungan peribadi mereka.

Sikap sebegini pasti merosakkan negara kita dan menyalakan api permusuhan antara kaum sedangkan kita telah hidup aman damai tanpa perbalahan hasil dari perpaduan yang kukuh sesama rakyat berbilang bangsa dan agama yang berkongsi tanah, udara dan air yang sama.  Akhbar Melayu telah banyak membantu orang Melayu dalam membangunkan ekonomi, sosial dan juga perpaduan (Zainudin Maidin: 1994) sejak rusahan kaum 13 Mei lalu akan keperluan bekerjasama. Tetapi kebanyakkan oportunis memandang hina akhbar Melayu yang kononnya “ketinggalan” dan “tidak Malaysia”. Walaubagaimanapun kita harus sentiasa ingat bahawa Akhbar Melayu banyak membantu membina minda bangsa Melayu dan sentiasa mengingatkan Melayu supaya bersatu padu dan bertolak ansur sesama kaum.


ISU III – AKHBAR MELAYU MENJAMIN KEUTUHAN PERPADUAN

Sejak merdeka dan peristiwa berdarah 13 Mei, orang Melayu yang senantiasa curiga dengan kaum lain telah mula berlembut hati dengan kaum-kaum lain terutamanya peranan yang dimainkan media yang menggalakkan perpaduan kaum.  Akhbar-akhbar Melayu telah mendidik dan mengajar orang Melayu akan erti perkongsian, tolak ansur serta sikap tidak mementingkan diri sendiri (Zainudin Maidin: 1994).  Akhbar-akhbar Melayu telah bersungguh-sungguh mendesak kerajaan mewujudkan keperluan orang Melayu (Safar Hashim: 1996) agar tuntutan kaum Melayu ini tidak merosakkan kaum lain dan negara ini.

Desakan-desakan akhbar Melayu ini telah memberikan hak orang Melayu di tanah airnya serta mengurangkan jurang-jurang perbezaan dan penghapusan identiti ‘kaum mengikut fungsinya’ (Syed Mahadzir: 2010).  Dengan perhatian yang diberikan kerajaan serta penekanan akhbar agar menuntut mengikut keadaan dan berpada-pada dalam tindakan, orang Melayu patuh dan terus bertolak ansur dalam segala genap segi walaupun bahasa kebangsaan tidak dijadikan bahasa wajid di sekolah persendirian vernakular mereka.  Orang Melayu tidak terguris dengan penolakan sekolah wawasan oleh orang Cina dan India kerana mereka pandai berbudi bahasa.

Oleh itu, dengan didikan akhbar-akhbar Melayu ini yang tidak menaikkan sentimen perkauman maka negara ini terus melakar pembangunan yang pesat tanpa apa-apa pertelingkahan.  Hal-hal yang remeh-temeh mereka abaikan agar kesentosaan kaum terpelihara dan keharmonian demokrasi terus berjalan lancar.  Akhbar Melayulah yang membantu kerajaan mengurangkan kesan kemarahan rakyat terhadap kaum-kaum lain di Malaysia.  Dengan peranan yang sebegitu penting, sudah tentu kaum lain seharusnya berterima kasih dengan akhbar Melayu yang tidak mengapi-apikan permusuhan dan perbezaan antara kaum demi mendapatkan jumlah edaran yang tinggi di pasaran.  Adakah hina bagi sesebuah akhbar yang mempertahankan keutuhan perpaduan kaum di negara ini?  Sudah tentu ia memberi manfaat kepada semua orang untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang makmur.


KESIMPULAN

Akhbar Melayu memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam meyebarluaskan maklumat penting, khususnya yang berkaitan dengan isu politik, ekonomi, sosial selain isu-isu berbangkit terhadap orang Melayu (Azmah: 2001). Dengan cara ini, rakyat dapat diberikan dan disajikan oleh maklumat yang betul, tepat dan jelas tanpa menafikan hak sah kaum lain di Malaysia (ILBS: 1991).  Akhbar Melayu menjadi lidah rasmi bagi menyampaikan mesej utama masyarakat Melayu, iaitu perjuangan terhadap kepentingan orang Melayu, perpaduan dan keharmonian minda orang Melayu (Sidek baba: 2009), isu kebajikan rakyat, tuntutan dan hak orang Melayu di sisi demokrasi dan perjuangan meneruskan legasi kemerdekaan yang harus diperjuangkan oleh semua pihak.


Akhbar-akhbar Melayu ini bukan sahaja berusaha menyedarkan orang Melayu, malah mendidik dan mengajak orang Melayu nasib-nasib mereka yang terpinggir, menyampaikan mesej kepada kerajaan supaya bertindak demi kepentingan bangsa Melayu itu sendiri tanpa mengetepikan hak kaum lain.   Kaum lain tidak seharusnya menuduh orang Melayu dan akhbar Melayu bersikap perkauman dan hina kerana sejarah telah membuktikan nilai budi orang Melayu yang memang secara semulajadinya bersikap tolak ansur, berbudi bahasa dan sentiasa membantu tidak kira siapa saja tanpa mengenal bangsa dan agama.  Keluhuran akhbar Melayu ini tidak wajar dipandang enteng dan sepi apatah lagi di hina kerana jasa-jasanya ke atas orang Melayu dan kaum lain.


Setiap akhbar di Malaysia ini mempunyai ‘cabaran keadilan masyarakat’ (Hng H.Y.:  2003) sebagai agenda mereka yang tersendiri sama ada menjadi pendokong parti politik mereka, membantu ekonomi bangsa mereka (Hng H.Y.:  2003) atau sebaliknya terpulanglah kepada mereka untuk menentukannya kerana Malaysia adalah negara yang demokrasi yang banyak memberi peluang kepada setiap bangsa untuk menyuarakan pendapat mereka.  Maka akhbar Melayu tidak wajar di hina kalaupun ia memang berjuang untuk hak sah kaumnya di bumi Tanah Melayu.

Isnin, 2 Disember 2013

Melayu Ala Kadar!!



Melayu Ala Kadar



Dalam rangka Malaysia ingin menjadi maju, perhatikan sekeliling kita.  Adakah bangsa Melayu/Islam ini inginkan kemajuan dan kemakmuran yang didambakan seperti negara maju lain (dalam konteks Ketamadunan Bangsa acuan Islam)?  Perhatikan bangunan yang ada, tetapi diconteng ala vandalisme.  Anak tidak sah taraf bertambah dan ada yang dibuang di dalam longkang umpama sampah.  Ada bangunan yang di bina boleh runtuh, ada masjid tetapi disalah gunakan fungsinya dari menyebarkan syiar Islam kepada syiar isu tertentu (politik dan maki hamun).  Ada juga yang berjaya lahir dan batin tetapi mempunyai masalah pada hati dengan dengki dan khianat, tidak senang dengan kejayaan orang lain.

Bangsa Melayu/Islam ini sebenarnya tidak dapat membawa dirinya dengan kemajuan teknologi terkini!  Inilah satu analisis ringkas jika diperhatikan secara berterusan bahawa bangsa Melayu/Islam di Malaysia ini masih tidak dapat membawa pemikiran mereka ke kelas dunia yang mencapai keutuhan Islam dan kebangsaan.  Mereka berpecah dan inginkan sesuatu dengan cara mudah, murah dan tidak berpandangan jauh.  Mereka masih lagi inginkan harapan dan bantuan yang tidak putus serta tidak mahu bersusah payah dalam kehidupannya.  Maka sebab itulah Melaka menjadi mundur dan akhirnya dijajah 500 tahun lampau.  Kerana mereka inginkan kesenangan mudah! 

Dalam menakat menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan makmur, prinsip mudah dan cepat ini adalah satu refleksi dari sikap mereka yang ‘ala kadar’.  Mereka tidak mahu bersusah payah dan bersungguh-sungguh dalam semua lapangan termasuklah lapangan akademik dan kehidupan seharian.  Mereka inginkan makan, tidur dengan selesa tanpa perlu berpenat lelah dan bermandi peluh untuk sesuap nasi.  Lantaran dari idea itu, mereka menjadi malas dan kurang bersungguh-sungguh dalam menjadi warga dan masyarakat yang baik.  Seperti  firman Allah SWT yang membawa hampir kepada maksud surah Ar-Rad: Ayat 11 bahawa “…sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka…” 

Mereka masih selesa sebenarnya dengan pola kehidupan desa yang mereka turuni sejak zaman bahari lagi.  Oleh itu, sikap untuk menjadi sebuah bangsa agung dan besar tidak pernah ditonjolkan dalam suasana moden kini.  Mereka tidak pernah terlibat secara langsung dalam pola kehidupan yang lebih bertamadun itu.  Kelihatan hanya kerajaan sahaja yang membangunkan industri, bangunan dan segala macam prasarana fizikal dan intelek tetapi ia tidak diambil pusing oleh kebanyakan masyarakat.  Kita lihat secara relatifnya, orang Melayu masih ditahap itu dan terus mendesak untuk meminta itu dan ini sehingga akhirnya ia menimbulkan satu keresahan dan perasaan menyampah kaum lain dengan umat Islam itu.  Lantaran dari sikap menyampah itu, mereka akhirnya sebulat tekad ingin mencampakkan kuasa ‘orang Melayu’ ini sejauh mungkin dan ingin turut serta dalam pola pentadbiran yang lebih agresif dan berani untuk mengubah kaum itu. 

Lihat di Singapura, Melayu/Islam di sana terpaksa berdikari dan menakat dalam segala sudut kehidupan.  Dari hal akademik, pekerjaan bahkan sehingga ke rebutan dalam hal-hal sosial dan kebajikan.  Yayasan Mendaki ditubuhkan sesama sendiri (umat Islam) agar mereka juga mampu bersaing dalam lapangan akademik dan berjuang dengan padang yang sama dengan masyarakat bukan Islam di sana.  Kebanyakan dari mereka ‘terselamat’ dan terus berjuang dengan penakatan yang berbeza dan rencam.  Ini kerana mereka tidak dimanjakan dengan ‘gula-gula politik’ itu dan ini. 

Jelang pilihan raya, maka kelihatan orang Melayu/Islam yang malas ini akan tetap menyalahkan Kerajaan itu dan ini sedangkan pada hakikatnya mereka sendirilah yang tidak mahu mengubah kemalasan dan sikap ala kadar yang tertanam pada diri mereka.  Melihat kemajuan yang ada pada Melayu/Islam lain mereka akan cuba untuk membunuh karakter itu dan terus menerus menghentam Kerajaan kononnya tidak prihatin akan duduk letak hal itu dan ini.  Bahkan sehingga mengugut kerajaan untuk memboikotnya.  Mereka gilakan kuasa dan harta tetapi mereka inginkan dengan cara yang mudah dan senang.  Berilah ratusan lesen dan permit, mereka akan meng’ali baba’kan lesen dan permit itu kerana inginkan untung yang singkat di atas angin.  Sedangkan untuk berusaha sehingga berjaya mereka malas.  Lain dari itu, mereka turut akan meminta itu dan ini untuk kemudahan anak cucu mereka tetapi sedarlah bahawa Melayu/Islam ala kadar ini hanya mahu mengenyangkan tembolok mereka sendiri sehingga penuh berketurunan dan bersenang-lenang dengannya. 

Persetankan anak cucu kerana hidup hanya sekali.  Tidak dapat tidak, Melayu/Islam terus meminta itu dan ini untuk tembolok yang lain pula sedangkan bagi yang berani dan berusaha sedikit dan mendapat kejayaan mereka katakan itu adalah kroni dan mendapat habuan yang besar kerana tipu muslihat sang pemerintah.  Bahkan nafsu itu tidak berhenti, mereka sanggup menjadi sang Kitol dan terus berkomplot dengan mereka yang bukan dari bangsa dan agama mereka sendiri untuk membunuh Melayu/Islam yang berjaya tadi.

Sedarkah kita bahawa memang lumrah Melayu/Islam itu begitu atau kita hanya meneruskan diri untuk menjadi stereotaip begitu?  Sedang sepanjang 22 tahun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi ‘Doktor Ekonomi Melayu/Islam’ juga mengaku kalah dengan budaya dan sikap buruk orang Melayu/Islam  itu sendiri apatah lagi kita yang marhaen ini?  Kajian dan dapatan menunjukkan stereotaip itu terus dilakukan dan Dilema Melayu itu akan terus mekar dan menakat dalam minda orang Melayu/Islam yang malas dan ala kadar itu.  Bila menjadi Melayu/Islam yang cekal dan yakin berani, ia akan terbunuh dengan nafsu buruk Melayu yang lain.  Akhirnya, Melayu/Islam itu terus melukut di tepi gantang.  Sedarlah orang Melayu/Islam, zamanmu sudah hampir memutuskan bangsa dan agamamu yang bertaut sejak dari zaman Iskandar Zulkarnaen  nan lalu.  Sang Sapurba tidak akan kembali turun dan menjadikan bangsamu kembali sebagai satu bangsa besar seperti Sang Nila Utama dan Demang Lebar Daun.  Al-kisah sebuah bangsa yang ala kadar otaknya nan sekilo hidup dimuka bumi tuhan ini.  Allahu’Alam!

        Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.        
      (A-li'Imraan 3:28) 


 Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
(A-li'Imraan 3:28)

Adakah Aku Menipu?

Adakah Aku Menipu

Kalau bicara soal wang
Orang miskin pun ingin berlagak kaya
Tapi mereka yang kelihatan miskin pun punya akaun di Swiss
Orang suka panggil sesiapa sahaja sebagai pencuri
Tapi bila berkesempatan
Mereka turut menggunakannya utk mencuri

Tiada bekalan elektrik atau air tidak mengapa
Tapi masih perlukan wi-fi percuma
Negara gelap, kelihatan sang 'raja' korup

Ahli politik tertidur setelah kenyang dengan nasi lemak
Melihat demokrasi seolah salah
Mereka kata Malaysia Cemerlang dalam setiap PRU
Tapi rakyat yg polos tetap terjebak dengan kenaikan harga barang

Adakah aku menipu? Tidak Mengapa
Adakah aku munafik? Tidak Mengapa
Adakah aku meracuni fikiranmu? Tidak Mengapa

Orang berhubung dengan internet ke seluruh dunia
Tapi siapa kisah dengan jiran kebulur di sebelah rumah
Adakah sibuk 'update' status sempat 'update' masalah jiran?
Semua berkata besar untuk menderma dan berbuat pahala
Pakai pakaian zuhud tapi bersiar-siar dengan kereta 'rakyat'

Untuk suatu bayaran besar, pelajar diberikan Ijazah
Pengajian Universiti memberi satu cabaran, tapi cubalah dapatkan pekerjaan?
Kalau beruntung dapatlah kerja, jika tidak - hutng tetap perlu dibayar
Termenunglah sambil makan gula-gula getah
Perlukah berfikir? Adakah aku menipu?

Tidak Mengapa Adakah aku munafik? Tidak Mengapa
Adakah aku meracuni fikiranmu? Tidak Mengapa Kenapa? -
Kamu bukan sesiapa di Malaysia!!!!

Ahmad Shabery Cheek: Menteri K-Pop!



Ahmad Shabery Cheek:  Menteri K-Pop!

“Siakap senohong gelama ikan duri,
            Bercakap bohong lama-lama mencuri”

“Siakap senohong gelama ikan duri,
            Bercakap bohong lama-lama jadi Menteri”


Di atas merupakan pantun dua kerat yang menjadi panduan dan bidalan orang tua-tua mengingatkan anak-anak bahawa jika kerap bercakap bohong, lama kelamaan akan menjadi seorang pencuri kelak.  Oleh itu, membohongi atas apa juga perkara adalah asas kepada menjadi pencuri.


Berbalik kepada pantun dua kerat yang baru, bercakap bohong lama-kelamaan boleh dilantik menjadi menteri di Malaysia bukanlah satu mustahil.  Jika pada tahun 1970-an pembohongan bahawa terdapat satu kejadian “mati kebuluran” di Sik, Kedah di cari dan digali sejarah membuktikan sebaliknya.  Bahkan petualang yang membuat onar dan rusuhan tersebut telah menjabat jawatan yang agar lumayan tingginya dalam Menteri Kabinet Malaysia.  Kini, lagu lama dikenang kembali.  Cuma kali ini ia dituduh kepada pihak Kerajaan oleh pembangkang Malaysia yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. 

Menteri yang tertangkap kerana berbohong kepada orang ramai tidak perlulah disebut satu persatu, Cuma ia menjadi satu paradigm baru bahawa menjadi pembangkang di Malaysia juga tidak mengapa.  Apalah guna mendokong dan menyokong kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat serta tidak popular.  Bagi kem Pembangkang, menjadi popular dengan isu-isu sensitive serta diolah untuk dijayakan memang satu peluang yang besar.  Jika dahulu di zaman 70-an, menjadi pembangkang seperti satu dosa besar bahkan dipulaukan.  Kini pandangan itu berubah, menjadi pembangkang pun tidak mengapa asalkan kental jiwa rakyat itu disuarakan dengan seluas-luasnya.

Menjadi pembangkang di Malaysia memberikan satu platform besar sama ada untuk bercakap benar mahupun menipu demi kelangsungan kerjaya politik.  Platform kononnya untuk suarakan hak rakyat digunakan dengan meluas kononnya selaku Freedom of Speech padahal pada masa yang sama mereka menafikannya.  Kita lihat pihak pembangkang secara konsisten dan bermati-matian memusuhi Utusan Malaysia tetapi pada masa yang sama cuba membela sikap Malaysiakini yang kelihatan lebih cenderung melaporkan yang kurang tepat dari sudut keberitaannya.  Sudah tentu Malaysiakini yang dibiayai pelabur dari sebelah sana bertindak begitu dan Utusan Malaysia yang dibiayai oleh pelabur sebelah sini membiayai dokongan dan sokongan kepada Kerajaan.  Maka, keadilan dalam juara berhujah telah dapat dilihat dengan jelas; pilihan terakhir tetaplah ditangan dan minda rakyat.  Cuma, sepandai manakah media dan pemimpin Berjaya berbohong. 

Dalam satu kes Audit Kementerian Belia dan Sukan pada 2013, Menteri Belia dan Sukan ketika itu telah berhabis RM1.6juta ringgit wang awam bagi menganjurkan konsert K-Pop iaitu konsert penyanyi Korea yang popular dengan lagu sekerat Inggeris dan bakinya Korea sempena Himpunan Jutaan Belia Putrajaya pada Mei 2013.  Menurut menterinya ketika itu, Ahmad Shabeery Cheek penaja akan membiayai konsert tersebut tanpa melibatkan dana awam.  Walau bagaimanapun, setelah masa berlalu pergi rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan audit bahawa wang pembayar cukai akan digunakan untuk membayar konsert tersebut RM1.6juta yang tidak dapat dikutip oleh penaja kerana enggan membiayainya atas sebab-sebab yang tidak diketahui.  Apakah satu kewajaran untuk wang awam dibelanjakan untuk konsert Korea tersebut?  Sudah habiskan penyanyi Malaysia yang tersohor dan ingin dimartabatkan?  Sudah hilangkah jati diri penyanyi Malaysia yang berbakat untuk dijadikan suri teladan (ikon) kepada belia Malaysia yang terpengaruh dengan K-Pop itu?

Apakah pihak Korea pernah menjemput artis-artis Malaysia membuat persembahan di sana sama ada pertukaran budaya mahupun secara komersil?  Adakah ia melambangkan bahawa seni dan budaya Malaysia ini memang ‘kampong’ dan tidak maju sejak dahulu lagi dan berbeza dengan Korea yang menjadi trend modern?  Apakah dengan mengundang Psy yang terkenal dengan lagu tarian kudanya melambangkan satu nilai budaya modern yang seimbang kepada warga Malaysia?  Berbelanja untuk konsert Psy di Pulau Pinang dengan tajaan RM2 juta dalam satu persembahan lain, bukanlah ingin membezakan citra bahawa persembahan artis luar Negara tidak digalakkan di Malaysia, Cuma mengapa tajaan besar ini demi politik dibenarkan sedangkan artis tempatan di tanah air sendiri ibarat melukut di tepi gantang, meminta ehsan penganjur? 

Maka, tidak salah menjadi Kerajaan mahupun pembangkang asalkan misi dan visi mempertahankan rakyat diutamakan terlebih dahulu berbanding memenangi hati dan minda rakyat dengan menaburkan wang jutaan ringkat pada mereka yang salah dan tidak memberikan apa-apa pulangan ekonomi mahupun faedah ramah budaya.