Khamis, 4 Februari 2010

Holiday is a Working Day!!!






Sudah seminggu tidak menulis! Semacam ‘gian’ untuk memulakan karangan entri/pos terbaru di blog.

Mengikuti lawatan dan ‘bertugas semasa bercuti’ atau ‘bercuti tetapi bertugas’ bukanlah satu kerja mudah dan menyeronokkan melainkan satu cabaran mental dan fizikal.

Mengikuti lawatan Y.B Menteri KPDNKK ke Johor Bahru dan Singapura baru-baru ini amat meletihkan. Walau pun begitu, kepuasan bertugas dan dedikasi berkhidmat untuk masyarakat tetap terpancar di muka para petugas yang menjayakan acara di kedua-dua destinasi tersebut.

Masakan tidak, layanan orang Johor yang mesra amat menghiburkan kami yang keletihan bekerja (Berkhidmat Untuk Negara).

Seharian berjalan sekitaran Johor amat mendamaikan walaupun sedikit sesak. Kelibat Ke Bawah Duli Tuanku Johor yang baru, memandu sambil diiringi petugas polis kawalan trafik bersama yang terjebak dalam kesesakan amat mengharukan. Benarlah kata orang, Sultan Johor hanyalah Sultan pada nama tetapi jiwanya ada pada rakyat. Jika tidak masakan beliau sanggup turut terjebak dalam kesesakan di hadapan Kampung Melayu Majidee, tambahan pula beliau sendiri memandu Jaguar Merah milik beliau. Polis yang ada hanyalah mengawal keselamatan Ke Bawah Duli Tuanku. Daulat Tuanku atas perkongsian perasaan (seperti letih, penat, marah, geram) mengharungi kesesakan bersama rakyat terbanyak.

Kesempatan yang ada turut membawa kami ke sebuah taman-taman akhirat – Bukit Mahmudiyah. Tanah perkuburan yang terletak di belakang Hospital Sultanah Aminah amat mendamaikan. Di sana jugalah bersemadinya Almarhum Sultan Iskandar yang disayangi watan Johor. Ketenangan bukit tersebut seolah-olah menyambut kedatangan kami untuk menziarahi ke Bawah Duli Almarhum. Tenang dan damai untuk persemadian abadi – alam yang membezakan sempadan hidup dan sempadan akhirat. Semoga Duli Almarhum Tuanku tenang di sana. Lawatan jam 7:00 petang amat aneh bagi petugas di kompleks makam tetapi dek kami datang dari Kuala Lumpur, kedatangan kami dialu-alukan. Kami merafak sembah kerana dengan titah bagindalah maka jabatan kami ini terus wujud dan kukuh di Malaysia. Semoga doa ikhlas kami di petang Isnin lepas dimakbulkan Sang Maha Pencipta yang Esa.

Tidak lupa kunjungan ke negara seberang tambak. Penat berjalan ke seluruh Singapura. Letih dan memenatkan tidak mengurangkan usaha kami untuk bersiar-siar di sana. Bak kata rakan saya – “Apalah yang menarik di pulau ini!”. Singapura masih kekal seperti itu, tidak punya apa-apa yang menarik untuk para wisatanya. Hanyalah kosmopolitan moden untuk orang berniaga dan berurusan globalisasi, lebih dari itu – tiada.

Semasa di Merlion Park yang terkenal dengan arca singa sempatlah kami merakamkan foto-foto kenangan menunjukkan kami telah berada di negeri Sang Nila Utama atau dikenali sebagai Temasek ini yang terkenal dengan Pulau Dilanda Todak. Kemeriahan di situ menggamit pelancong asing tidak mengujakan kami langsung. Bahkan kami lebih hebat mempromosikan “Apa itu Kuala Lumpur” kepada pelancong yang hadir. Segerombolan pelancong dari Tanah Besar China mendapat khidmat ‘duta kecil pelancongan’ dari kami tentang kehebatan Kuala Lumpur. Begitu juga pemuda Indonesia dari Bandung, Indonesia sempat dimaklumkan akan lebih hebat untuk beliau berkunjung dan bercuti di Kuala Lumpur yang lebih menggamit keindahan percutian. Begitulah kami ‘menjual’ Malaysia kepada pelancong walaupun kami juga melancong di situ.

Menarik pelancong bukanlah untuk bersuka-suka walhal di luar tugasan rasmi kami, tetapi dek tanggungjawab untuk menyuntik ekonomi agar lebih baik kami tekad untuk membuatnya secara tidak langsung. Begitulah penjawat awam yang prihatin tentang negara ini. Kelakonan dan kemesraan kami memukau semua yang ada di taman itu. Termasuk Dennis pemuda dari Bandung tadi yang terpegun dengan keramahan kami, tidak lebih bagus berbanding penduduk sekitar.

Meninjau Johor dari seberang tambak melihatkan kecekalan Tun Dr. Mahathir untuk mengubah landskap ekonomi di Johor dan Malaysia amnya. Kepintaran Tun untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang sebagai hab pelabuhan hebat di selatan Selat Melaka tidak dapat direalisasikan. Kekeruhan lumpur di sepanjang Selat Tebrau begitulah keruhnya hati dan geramnya Tun untuk melihat Johor terus bangkit dan menjadi laluan utama kapal-kapal saudagar dan pedagang di samping bot-bot mewah yang dapat melintas selat kecil tersebut. Kami juga mengulas peri jika projek jambatan bengkok itu dilunasi. Sudah barang tentu kedua-dua pelabuhan dan ekonomi Johor pasti berkembang di samping menjadi tarikan baru para saudagar dan pengembara bot mewah ke selatan negara itu.

Makanan-makanan yang sedap dan pasti lazat di sini tentulah lebih kepada makanan Jawa dan peribumi setempat seperti martabaknya, soto, nasi beriani gam dan lain-lain hidangan pembuka selera yang lazat. Memang hebat kota Johor ini jika tidak sehebat Kuala Lumpur. Semoga berjumpa lagi Johor di masa depan.

Catatan ini adalah tulisan peribadi untuk dikongsi dalam batas masa yang terhad.