
Membaca kenyataan Cuepacs bahawa sektor awam ‘dikuasai’ oleh kaum wanita, saya begitu teruja. Komen saya – biarkanlah wanita terus maju dalam mana-aman sektor yang dikehendakinya asalkan akademik dan kualiti pengurusannya begitu baik dan setanding dengan lelaki.
Menjadi dangkal sekiranya kelayakan itu disertai dengan emosi di mana keputusan yang diambil oleh pengurus wanita di mana-mana sektor dikuasai oleh emosi. Kita sedia maklum wanita dikuasai dengan 9 nafsu atau emosi dan 1 akal fikiran berbanding dengan lelaki 9 akal dan 1 emosi.
Wanita tanpa emosi atau berjaya memisahkan emosi dan profesional amat membanggakan saya, negara dan juga dunia. Bak kata pepatah, “tangan kanan yang mengayun buaian dan tangan kiri menggoncang dunia amat bertepatan sekiranya idea di atas diambil kira. Tetapi jika emosi diambil dalam mempertimbangkan sesuatu keputusan, keputusan itu menjadi buruk dan rosak di mata semua umat. Maka sebab itulah wanita tidak dibenarkan menjadi imam kepada kaum lelaki bagi hal-hal yang begitu berat risikonya seperti sembahyang, perang dan juga beberapa urusan mash’alat yang lain.
Lebih dari itu, wanita boleh. Nah, silakan kaum wanita untuk terus mencabar kaum lelaki dalam segala genap bidang dan sektor. Bak kata Perempuan Pertama Negara Datin Seri Rosmah Mansor, kaum lelaki lebih selesa menguasai sektor serenti dan penjara sahaja dewasa kini, maka biarkanlah. Desakan kaum wanita menguasai sektor pengurusan tertinggi negara sebanyak 30 peratus telah lama dipenuhi dan akan terus meningkat jika diberikan dokongan dan moral.
Wanita Hari Ini.
Wanita yang berjaya memecahkan atau memisahkan emosi dengan profesional keputusan yang dibuat amat menguja semua pihak. Jika tidak, ia menjadi bahan kutukan dan hinaan dari kaum wanita itu sendiri dan juga kaum Adam yang lainnya.
Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (Mac 2, 2010) edisi Mega menceritakan jerih perih wanita melayari rumah tangga dan kehidupan profesional sebagai seorang usahawanita dan suri rumah. Berkelulusan universiti luar negara dan segulung ijazah, tidak dapat tidak, dek kerana emosi yang lemah wanita ini akhirnya menceritakan tentang kegagalan perkahwinannya serta kemusnahan empayar perniagaannya. Lebih buruk beliau ditimpa dengan penyakit membawa maut – barah.
Wanita moden bukanlah wanita yang lemah. Seharusnya beliau dan wanita lain di luar sana lebih sedar dan mengerti dunia kini. Lelaki bukanlah tempat yang boleh digantung harap dengan begitu tinggi. Ego lelaki itu boleh membunuh bukan sahaja wanita bahkan kepada kaum lelaki itu sendiri. Itu semua harus tahu dan peka.
Dalam siri-siri kuliah saya dan ceramah saya yang sering memihak kaum wanita selalu mendapat kritikan lelaki. Tetapi apakan daya saya, kaum wanita itu harus dibela sekiranya kaum lelaki itu gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Wanita adalah tulang rusuk kiri lelaki yang harus dilenturkan dengan sebaiknya agar tidak mudah bengkok atau patah di antaranya.

Wanita harus memikirkan masa depan, kerjaya dan peranan profesionalnya sendiri di samping mempunyai suami atau lelaki di sisinya yang telah maju atau kurang maju. Terdapat lelaki yang merasa tercabar dengan sang isteri sendiri sehingga sanggup memaksa isterinya berhenti bekerja dengan jawatan profesional yang tinggi semata-mata menjadi suri rumah tangga yang baik untuk keluarga tersebut. Kelulusan ijazah serta kelayakan wanita tadi terus dinafikan dan disimpan dengan rapi. Si isteri yang setia membuta tuli terus meletakkan jawatan terbaiknya dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
Apabila si isteri tidak lagi secantik usia mudanya dan kurang bersolek dek sibuk dengan tugasan rumah, maka kesempatan ini dijadikan alasan sang suami memainkan peranan – kayu tiga. Yang dipersalahkan tetap sang isteri. Saya sedar dan maklum bukan semua suami begitu tetapi banyak dan rata-ratanya berakhir dengan berantakan rumah tangga. Si isteri terbiar terkontang-kanting sendirian melayari dunia jandanya. Sang suami kemaruk dengan perempuan lain, yang rugi siapa?? Profesional ditinggal lama bolehkah diasah dalam masa yang singkat? Kelayakan yang dipendam bolehkah menjadi emas sekelip mata tanpa gilapan? Masa belajar di universiti penuh dengan segala teori mampukah diingati? Yang salah tetap salah, wanita jangan lemah.

Jangan kerana emosi sayang dan cinta mereka harus dijadikan alat lelaki yang ‘gila’. Wanita jangan melibatkan emosi dalam segala bidang kehidupan. Cinta dan sayang tidak boleh diukur dengan apa sukatan sekalipun selainkan kata manis dan komitmen. Selebihnya, cinta dan sayang tidak boleh dibuat makan dan mengenyangkan diri sendiri. Bahkan ia boleh luntur dan luput dengan sedikit alasan sahaja.
Wanita jangan harus berhenti bekerja dan menjadi profesional muda yang baik. Ijazah serta kepandaian dalam bidang-bidang tertentu haruslah di tekalkan dan ditingkatkan dengan profesionalisme yang tinggi saban hari ke hari. Janganlah terlalu berharap dengan sang suami dan cinta sampai mati. Wanita harus tabah.
Selain itu, wanita yang berkerjaya dan punyai kedudukan profesional yang tinggi janganlah menjadi kaduk yang menaik junjung. Mentang-mentanglah sang suaminya bekerja sebagai kuli-kuli rendah dan peon-peon pejabat maka dibulinya sang suami semahu-mahunya. Sedang tanggungjawab lelaki itu selainnya memberi nafkah, ialah membentuk sebuah keluarga yang maha lengkap dengan kasih sayang. Wanita yang menjadi pasti sedar tanpa lelaki adalah sukar baginya untuk membentuk keluarga yang sempurna dan seamannya. Anak-anak masih memerlukan sang bapa dalam menjaga kelakonan, disiplin serta ketahanan kasih-sayang yang tinggi. Kegarangan bapa lebih ditakuti berbanding wanita dalam mendidik anak-anaknya walaupun sang bapa lebih cetek ilmunya berbanding sang isteri yang punyai bergulung-gulung kelayakan kertas.
Kepentingan ikatan suami dan isteri dalam melayari kehidupan haruslah dimulai dengan rasa hormat dan saling komited kepada sebuah ikatan. Jadilah sebuah keluarga yang harmoni dan aman dalam membentuk anak-anak yang bertamadun dan bermasa depan yang baik. Bagi suami yang kurang berakademik, janganlah dibebankan semua bil dan utiliti kepada sang isteri mentang pun si isteri bergaji lebih bagus. Si isteri pula janganlah membebankan dan mengungkit perihal suami yang sedikit kurang pendapatannya berbanding profesionalismenya tadi. Barulah satu penakatan seimbang dan setara dapat diwujudkan.
Oleh itu, wanita teruskanlah menjadi sebuah wadah membangunkan bumi Malaysia ini dengan penakatan yang terbaik, jadilah profesional wanita yang membuat keputusan atas pertimbangan waras dan rasional. Bukannya melalui emosi semata-mata. Bagi sang lelaki, janganlah menjadikan ego kita sebagai satu sumpahan kepada diri kita sendiri dan keluarga kita dan masyarakat di masa depan. Barulah Malaysia ini maju dan makmur hasil perkongsian kepakaran tadi.
Wanita Tunjang Negara dan Lelaki Aspirasi Bangsa.
/mfa