Isnin, 10 Mei 2010

Malaysia Bukan Negara Polis


Malaysia bukanlah sebuah negara polis “police states” di mana polis sering berada di mana-mana ceruk rantau untuk menjaga aman atau untuk menangani jenayah dan menguatkuasakan undang-undang.

Polis di Malaysia juga bukanlah polis yang terlalu tegas serta kecekapannya kadangkala ‘dangkal’ di mata rakyat. Tugas polis ialah menjaga keamanan dalam negeri serta menguatkuasakan undang-undang. Manakala NGO (badan bukan keuntungan) berkaitan kepolisian bertanggungjawab untuk mengajar masyarakat untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam dan harta benda termasuk nyawa.

Polis Malaysia tidak setegas polis di Republik Singapura dan di mana-mana polis di dunia maju. Falsafah polis di Malaysia ialah menggunakan sebaik mungkin budi bicara dan jika boleh mengurangkan impak kepada masyarakat termasuk kalau boleh kepada penjenayah secara amnya dan secara tidak langsung mendidik masyarakat agar menangani jenayah secara bersama dan menghormati undang-undang.

Menjadi warga Malaysia memang tak mudah, jika kita merasakan diri kita bagus ada lagi pihak yang boleh menyangkal dengan mengatakan mereka juga bagus walaupun kedua-duanya boleh dipertikaikan.

Baru-baru ini kes kematian remaja akibat ditembak oleh polis mendapat liputan yang meluas dari seluruh media termasuk pendapat awam yang liar membincangkan isu tersebut di mana-mana. Polis menjadi galang ganti cerita masyarakat tentang tidak cekapnya ‘ketetapan pelaksanaan’ (standard of operation) polis dalam mendepani jenayah dan kesalahan dibuat dek orang awam.

Polis tidak boleh menembak orang awam sesuka hati dan sewenang-wenangnya, itu kita akur dan semua harus tahu. Tapi persoalannya kini mengapa polis menjadi bahan kutukan dan cacian umum lebih-lebih lagi dari kem-kem pembangkang di Malaysia seolah-olah semua polis adalah sama iaitu suka menembak orang awam sesuka hati?

Menjadi tugas polis untuk mengurangkan kadar jenayah dan mencegah kerosakan dan kemusnahan nyawa dan harta awam selain memastikan keamanan terjamin. Jika polis tidak bertindak seharusnya, NKRA polis mengurangkan indeks jenayah tidak dapat dibanteras dengan mudahnya dan sekali lagi polis akan dilontarkan kata-kata nista yang memedihkan telinga. Pihak kerajaan pula akan dipersalahkan sebagai tidak bertanggungjawab serta pelbagai lagi kritikan sinis yang tidak sepatutnya dihamburkan dek masyarakat umum lebih-lebih lagi ahli politik.

Saya tidak menyalahkan tindakan kerajaan mengheret polis yang bersalah di atas kelakonannya menembak sesuka hati tetapi melihatnya secara sosiologi. Adakah masyarakat kita kini sering melanggar peraturan dan mengingkari tugas-tugas kepolisian sewenang-wenangnya? Remaja atau masyarakat secara umumnya kini lebih suka ‘tidak berhenti’ jika terdapat sekatan jalan raya serta tidak mengendahkan arahan polis untuk diperiksa. Bak kata pepatah, berani kerana benar takut kerana salah. Apalah salahnya berhenti atau setidak-tidaknya memberikan kerjasama kepada polis untuk menangani jenayah yang kini semakin membimbangkan dengan keselamatan nyawa dan harta kita selain ketenteraman yang kita nikmati ini?

Adakah dek hasutan pihak-pihak yang berpolitik dewasa kini telah berjaya meruntuhkan jaringan sistem keselamatan polis masyarakat? Apakah demokrasi telah menghalalkan cara untuk kita mengkritik secara sesuka hati dan melemparkan tuduhan dan merendahkan sesebuah institusi sesuka hati tanpa ada sedikit pertimbangan yang wajar? Apa akan jadi jika sistem kepolisian ini terus dicemuh masyarakat dalam segenap segi perkara yang dibuatnya?

Adakah kita prihatin dengan polis yang cedera mahupun terkorban ketika mendepani jenayah semasa bertugas? Atau kita rela melihat badan kepolisian kita runtuh tanpa dapat membantu menjaga nyawa dan harta kita serta ketenteraman awam lagi?

Say juga suka menekankan sekiranya institusi kepolisian ini terus ‘layu’ dek kritikan-kritikan pedas ahli politik dan orang awam adakah kita mampu mendepani tugas-tugas mencegah jenayah dan mendidik masyarakat agar mengurangkan kesan jenayah dan jenayah itu sendiri? Adakah ahli politik terlupa bahawa sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan, kepolisian yang bagaimanakah yang mereka inginkan? Adakah mereka akan melatih dan menubuhkan sistem kepolisian yang baru selepas mengambil tampuk kuasa? Sudah tentu keamanan yang dinginkan semasa proses peralihan kuasa jika perlu dan juga menjaga ketenteraman awam selepas kempen pilihan raya. Adakah mereka terlupa akan hal ini.

Seharusnya NGO dan juga ahli politik mengkritik dengan penuh berhemah, duduk di kerusi dan berbincang dengan telus bersama pihak kerajaan, badan kehakiman dan juga Ketua Polis negara dan SUHAKAM agar persekitaran kondusif dan permesyuaratan dapat mengambil alih dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Jika kita mengkritik dan menghamburkan kata-kata nista sehingga hati terluka, apakah kita dapat memperbaiki kesilapan tersebut serta mengembalikan nyawa?

Sedarlah setiap nyawa yang ada di bumi Malaysia ini lebih berharga berbanding di negara-negara lain. Sehinggakan di Amerika sendiri pun kepolisiannya masih menghadapi masalah dan ditangani dengan cara berhemah kerana kritikan yang membina dapat membangunkan dan memuliakan sesebuah institusi bukannya ‘bak tin yang kosong’. Oleh itu, hentikanlah mengkritik dan kembali kepada kepercayaan kepada sistem kita sendiri dan perbaiki yang mana yang perlu. Kita lebih beruntung kerana bukan berada di negara maju dan juga bukan berada di negara polis seperti Singapura. Ambillah iktibar dari kesemua peristiwa, hadapi saman yang rata-rata boleh dibayar (RM300 maksimum) berbanding nyawa yang melayang atau setidak-tidaknya meruntuhkan institusi yang kita percayai dan harapkan sekian hidup ini. Jika kita terus tidak meyakini, tunggulah musibah menimpa kita dan barulah kita sedar pengorbanan mereka selama ini yang berjaga menjaga aman dan nyawa serta harta kita.