Khamis, 27 Ogos 2009

Kotornya Seberang Perai dan Bukit Mertajam

Sepanjang saya menghadiri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N11 Permatang Pasir, saya berulang alik dari Bukit Mertajam ke Permatang Pauh.

2. Sekali sekala saya ke Seberang Perai dan Georgetown, melepaskan mata dari bahang kempen yang hangat. Sepanjang berada di sana, saya seolah-olah tersentak dengan sekitaran di sana - KOTOR!

3. Sampah sarap merata, tak terjaga dan tak terkawal dek Perbandaran gamaknya. Bukan apa, sebagai sebuah negeri yang kurang besar sedikit dari Melaka, Pulau Pinang terutamanya di sebelah Tanah Besar seolah-olah tidak bertuan dan tidak terurus. Sampahnya di sana sini.

4. Bukanlah disebabkan kempen maka jadi begitu, di sekitaran Bukit Mertajam yang tidak terlibat juga di sekitaran PERDA juga kotor. Di bahu-bahu jalan, sampah berlonggok. Di siar kaki juga begitu.

5. Hai, apa dah jadi dengan Pulau Pinang??? Harap-harap jagalah kebersihan. bagi yang beragama Islam; "Kebersihan sebahagian daripada Iman"

Rabu, 26 Ogos 2009

N11 Permatang Pasir

Berada dalam sekitaran kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Permatang Pasir baru-baru ini amatlah bermakna kali ini. Dengan bahang kempen dan jentera-jentera parti bergerak dengan semangat berkobar-kobar untuk menang, tidak dapat tidak menaikkan semangat penduduk termasuk orang luar yang mengikutinya secara dekat.

2. Keputusannya telah pun diumumkan tepat jam 8:32 malam, 25 Ogos 2009 melalui berita-berita semasa dan mendapat liputan media keesokan harinya. Keputusannya adalah seperti berikut.

3. Mohd Salleh Man mewakili Parti Islam Malaysia (PAS) mendapat 9,618 undi dan pencabarnya dari Barisan Nasional mewakili UMNO mendapat 5,067 undi. Justeru, Mohd Salleh Man mendapat kemenangan majoriti 4,551 undi. Peratusan keluar mengundi walau bagaimanapun susut kepada 73.1 peratus (14,832) berbanding pilihan raya umum lepas 82.57 peratus.

4. Turut dimaklumkan bahawa pengundi Permatang Pasir terdiri 73.3 peratus adalah Melayu, 25.9 peratus adalah Cina dan India dengan 1.6 peratus. Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di sini ialah 20,290 orang.

5. Tiada statistik terperinci dari segi demografi pengundi melainkan melalui jumlah peti undi yang dibuang. Golongan muda biasanya membuang undi di saluran empat (4) dan tiga (3), manakala pengundi matang dan warga emas biasanya di saluran satu (1) dan dua (2). Trend menunjukkan saluran-saluran di semua tempat pengundian memihak kepada PAS atau Pakatan Rakyat (PR) dengan didominasi saluran 3 dan 4 ini. Membuktikan bahawa golongan muda ini sememangnya memihak kepada pakatan pembangkang persekutuan tersebut. (Pulau Pinang diketuai barisan Pembangkang Persekutuan).

Itu Fakta.

Selasa, 11 Ogos 2009

Si Kitul Moden

Tan Sri Muhyidin Yassin tengah hari ini (Ogos 12, 2009) semasa merasmikan sebuah Hotel di ibu negara sekali lagi mengutuk keras akan "Pengkhianat Bangsa Melayu". Antara kenyataannya memaklumkan bahawa kita tidak pernah terfikir politik sempit ini terus dimainkan sehinggalah kerajaan BN/UMNO "dititik" pada Pilihan raya Umum 12 yang lepas.

2. Nampaknya adegan "si kitul" dalam aspirasi orang Melayu tidak pernah lekang. Sedari zaman bahari Kesultanan Melayu Melaka lagi orang Melayu dikhianati bangsa sendiri dengan kaedah yang seakan sama - menjadi tali barut orang lain.

3. Kini, si kitul moden menggunakan penakatan yang sama juga, menjadi kaduk yang menjunjung kehendak orang lain. Walau bangsa sendiri melukut di tepi gantang. Asalkan apa yang dihajati dapat memuaskan nafsu, itu tidak apa.

4. Biarlah Melayu melukut asalkan "aku" dapat kuasa berbilion dolar nilainya. Kan mudah begitu, dunia dapat dibeli, adikuasa dapat menundukkan pihak lain, menutup mulut.

5. Emas segunung tak dapat beli beli nyawa nan tunggal, tak dapat tebus diri di alam sana. Oleh itu, fikirkanlah si kitul, janganlah nak menjadikan diri sebagai nama baru untuk dihina anak cucu berketurunan.

6. Bak kata bidalan, pakai baju ukur badan. Sukat beras ikut periuk. walau apa pun kita janganlah mudah melatah dengan si kitul moden ini. Apa yang penting, kerjasama meningkatkan penakatan kita dan biarlah si kitul ini terjun dengan labu-labunya. Realisasikanlah tujuan itu.

p/s: Yang dikejar tak dapat yang dikendong bertaburan, alih-alih tangan berbau tahi

Penangan Permatang Pasir

Tatkala tulisan ini disiarkan, pilihan raya kecil (PRK) DUN Permatang Pasir dalam Parlimen Permatang Pauh akan diumumkan tarikh dan calon-calon yang bakal terlibat. Soalnya?

2. Apakah parti bertanding telah menyediakan satu penakatan jelas tentang peri pentingnya isu semasa untuk ditangani secara berhemah, kemas dan penuh etika bermasyarakat?

3. Kalah menangnya calon atau parti bukanlah menjejaskan manifestasi keukhwahan kita sebagai bangsa. Maka janganlah berpolitik yang tidak tidak dengan mengaitkan soal personaliti serta mengherdik antara satu dan yang lain.

4. DUN di Pulau Pinang tidak terjejas dek bertambah atau berkurang satu kerusi tersebut sama seperti di Kelantan (Manek Urai). Tetapi bersediakah mereka membincangkan isu-isu semasa demi penakatan terbaik untuk 10 ke 20 tahun mendatang? Bersediakah berdepan dengan pelbagai isu sosial yang membelenggu masyarakat Melayu/Islam kini selain isu sebesar Kg. Buah Pala?

5. Dan akhirnya, yang menang menjadi abu dan yang kalah menjadi arang. Janganlah menang kampung/maruah tergadai dan yang kalah berkerat rotan membalas tuba di kolam air.

p/s: Sediakan payung sebelum hujan.

Yasmin Ahmad (Allahyarham)

(dedikasi gambar: http://gambar.blogspot.com/2006_07_30_gambar_archive.html)

Telah dua minggu sejak lalu kita terus meratapi dan mengenang karyawan/seniman terbilang negara di alam moden Malaysia kini - Yasmin Ahmad.

2. Seorang tokoh karyawan yang berjasa dan menghasilkan filem-filem serta iklan komersil yang berjaya menarik perhatian khalayak. Keikhlasannya dalam menegur masyarakat melalui cermin filem dan karyanya mengangkat prestij beliau.

3. Berkelulusan jurusan psikologi, tidak dapat tidak beliau mengangkat tema kasih sayang yang luas sebagai tema karya beliau. Tidak lekang dengan senyumannya seayu kebaya putih dan berkain batik, personalitinya terserlah dengan jujur akan kritikannya terhadap budaya sosial.

4. Terdidik dengan kasih sayang yang penuh, menghormati kedua ibu bapanya dengan sejujur hati, beliau menggarap filem dengan kemas tanpa menampakkan lipatan jurang antara kaum melainkan satu falsafah "kita adalah sama".

5. Tidak pernah mendabik dada dek anugerah antarabangsa akan filem dan karyanya, beliau sentiasa merendah diri dan akur dengan kritikan pengkritik terhadap karyanya yang bersifat klise. Jalinan hasilnya memberi kesan mendalam kepada penonton, betapa beliau jujur terhadap cerminan budaya bangsanya.

6. Kak Min, walau pun badan dikandung tanah, ideologi dan karyamu sentiasa menjadi penanda aras baru penerbit dan pembikin karya kreatif selepas Tan Sri Dr P. Ramlee. Semoga Tuhan yang satu sentiasa merahmati dan menempatkanmu di tempat orang yang berbilang.

p/s: Rindu beliau tatkala tiba musim perayaan Malaysia (Hari Raya, Tahun Baru Cina, Merdeka dll).

Influenza A H1N1



Wabak Selsema Babi atau "Swine Flu H1N1" semakin menular. Sehingga semalam (11 Ogos 2009), 38 kematian dicatatkan diseluruh Malaysia.


2. Nampaknya, pihak media, kerajaan serta tokoh kesihatan telah gagal mendidik masyarakat dalam terus mengekang penularan wabak ini.

3. Saban hari jumlah korban terus meningkat sedangkan kerajaan seolah-olah tidak berbuat apa-apa melainkan menambah bekalan ubat sahaja. Seolah-olah menunggu individu diserang sakit barulah hendak di rawat.

4. Pendidikan, langkah pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang kawalan langsung tidak dilaksanakan dengan berkesan.

5. Dengan itu, kerajaan telah gagal mengawal isu ini tidak sebaik dan secekap kawalan ke atas penyakit Japanese Echipilitis (JE/Virus Nipah) sebelum ini.

p/s: Tunggu dan lihat

(gambar: Berita Harian Online (Ogos 12, 2009)

Ahad, 9 Ogos 2009

Konsert Jamal Abdillah

Kagum dengan kehebatan konsert Jamal Abdillah - Jamal....Kembara Seniman yang berlangsung baru-baru ini di pentas antarabangsa - Istana Budaya.

2. Akhbar mengulas bahawa tanpa sokongan penaja hebat, konsert selama 5 hari itu tetap mendapat tempat. Dua hari pertama jualan tiket mencecah 70% dan baki 3 malam terakhir "jualan habis" bagi semua tiket-tiket beliau. Kenamaan seperti Tun Dr. Mahathir dan isteri, Menteri KKKW, Dr. Rais Yatim turut serta selain kerabat Istana Kedah sebagai sokongan terhadap penyanyi ini.

3. Jamal, bukanlah orang asing bagi industri muzik Malaysia. Sejak menang Juara Bintang RTM 1979, beliau terus menempa nama. Tidak lupa akan kontroversinya sendiri seperti ditangkap akibat penyalah gunaan dadah, kes perceraian dan ugutan mencederakan isterinya.

4. Sebagai orang lain yang biasa juga, dia tidak terlepas ujian. Bahkan sesetengah pihak terus menghukumnya akibat kelakonannya yang tidak elok dipandang dan didengar. Inilah dia insan/seorang manusia bernama Jamal Abdillah - satu insan seni di bumi Malaysia. Berilah Jamal peluang lagi... (tapi sampai bila tidak mahu berubah?)

5. Semoga Jamal terus memacu bahtera hidupnya dengan lebih baik disamping anak-anak dan kerjayanya. Artis-artis Malaysia yang lain agar terus meningkatkan mutu seni tanah air.

6. Memetik/meminjam kata Siti jarum (Mingguan Malaysia Ogos 9, 2009) Industri Hiburan Malaysia umpama industri budu.

p/s: Gelak tertapi sirat makna.....

Ulasan Politik Melayu

Mengulas mengenai berita hari ini (Ogos 10, 2009) amatlah menarik perhatian. Kebanyakan media melaporkan mengenai kebobrokan pihak-pihak tertentu mengulas isu-isu dangkal dalam agama Islam serta laporan yang dipetik mengenainya.
2. Dalam isu Jeff Ooi di Pulau Pinang, beliau terus berkeras enggan mengaku akan kenyataan beliau sebagai satu penghinaan terhadap agama Islam apabila mengaitkan penguatkuasaan syariah sebagai ekstremis.
3. Manakala kenyataan Ronnie Liu dalam isu Arak di Selangor mempertikaikan kandungan alkohol yang dibenarkan konsumsi oleh umat Islam serta sekatan jualannya di kedai-kedai berpenduduk majoriti Melayu/Islam menjadi hangat juga.
4. Lain dari dua tokoh itu, mengulas tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah (Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia merangkap Pensyarah Kanan UPNM) di dalam Mingguan Malaysia (Ogos 9, 2009), Loke Siew Fook (Ketua Pemuda DAPSY) sebagai reaksi terhadap tulisan menghina dan mengkritik terus tulisan-tulisan Dr. Ridhuan.
5. Perkembangan ini amat tidak membina dalam misi dan visi gagasan 1Malaysia mahupun pembentukan sebuah negara yang aman lagi sejahtera.
6. Utusan Malaysia (UM) sebagai akhbar paling ramai pembaca Melayu terus memainkan isu-isu ke'Melayu'an agar siren sensitiviti orang Melayu/Islam dapat terus membangkitkan kesedaran mereka tentang perpecahan orang Melayu/Islam mengundang justifikasi kehilangan kuasa tunggal mereka - "Politik".
7. Kenyataan YM Seri Paduka Raja Dr. Nazrin mengenai 7 wasiat Raja-raja Melayu (Utusan Malaysia Ogos 7, 2009) juga adalah salah satu contoh mendesak Melayu/Islam agar segera sedar perilaku perpecahan ini tidak menguntungkan sesiapa termasuk institusi berdaulat - Ke'Raja'an malah menguntungkan seterus politik kita, pihak luar, cauvanistik serta ekstremis kaum di negara kita.
8. Oleh itu, ulasan-ulasan ini sebenarnya satu "kayu" yang memukul kepala dan telinga orang Melayu/Islam agar segera sedar dan bangun, bahawa mereka kini ditunggang oleh cauvanis dan pihak berkepentingan sempit yang saban berleluasan. Ini tidak baik untuk kita, anak cucu kita serta keturunan bangsa dan agama kita.
9. Sebagai satu ulasan adil (fair comment) akhbar Utusan Melayu telah membangkitkan semangat Ke"Melayu"an/Islam sejak 1950-an mengenai Isu Natrah (hal berkaitan Agama Islam) dan dari awal lagi mengajak orang Melayu sedar dan bangkit dari peristiwa Malayan Union (1946-1948). Hasilnya, Malaysia telah terbentuk akibat Melayu/Islam yang bersatu-padu pada akhirnya.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Pengenalan

"Selamat Datang!"

Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung laman ini. Lelaman/blog ini akan memuatkan komen, kritikan, ulasan, journal, berita serta apa-apa penulisan mengikut pandangan/pendapat penulis. Sembang Kosong Kedai Kopi ini hanyalah berkisar mengenai politik, ekonomi, sosial, hiburan serta psikologi penulis tanpa apa-apa prejudis/bias kepada mana-mana pihak dan tidak kena mengena dengan hal individu lain melainkan secara kebetulan dan ditulis mengikut budi bicara penulis tanpa apa-apa niat buruk, melainkan justifikasi penulis sebagai "Orang Media". Sebarang maklum balas hendaklah berbentuk "Fair Comment" dan tidak menggunakan kata-kata kesat, menghina, fitnah serta apa-apa pandangan subversif yang menyalahi tata-etika undang-undang. Emailkan maklum balas anda di sembangkosong@yahoo.com.
Terima kasih.