Selasa, 11 Ogos 2009

Yasmin Ahmad (Allahyarham)

(dedikasi gambar: http://gambar.blogspot.com/2006_07_30_gambar_archive.html)

Telah dua minggu sejak lalu kita terus meratapi dan mengenang karyawan/seniman terbilang negara di alam moden Malaysia kini - Yasmin Ahmad.

2. Seorang tokoh karyawan yang berjasa dan menghasilkan filem-filem serta iklan komersil yang berjaya menarik perhatian khalayak. Keikhlasannya dalam menegur masyarakat melalui cermin filem dan karyanya mengangkat prestij beliau.

3. Berkelulusan jurusan psikologi, tidak dapat tidak beliau mengangkat tema kasih sayang yang luas sebagai tema karya beliau. Tidak lekang dengan senyumannya seayu kebaya putih dan berkain batik, personalitinya terserlah dengan jujur akan kritikannya terhadap budaya sosial.

4. Terdidik dengan kasih sayang yang penuh, menghormati kedua ibu bapanya dengan sejujur hati, beliau menggarap filem dengan kemas tanpa menampakkan lipatan jurang antara kaum melainkan satu falsafah "kita adalah sama".

5. Tidak pernah mendabik dada dek anugerah antarabangsa akan filem dan karyanya, beliau sentiasa merendah diri dan akur dengan kritikan pengkritik terhadap karyanya yang bersifat klise. Jalinan hasilnya memberi kesan mendalam kepada penonton, betapa beliau jujur terhadap cerminan budaya bangsanya.

6. Kak Min, walau pun badan dikandung tanah, ideologi dan karyamu sentiasa menjadi penanda aras baru penerbit dan pembikin karya kreatif selepas Tan Sri Dr P. Ramlee. Semoga Tuhan yang satu sentiasa merahmati dan menempatkanmu di tempat orang yang berbilang.

p/s: Rindu beliau tatkala tiba musim perayaan Malaysia (Hari Raya, Tahun Baru Cina, Merdeka dll).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.