Rabu, 25 Ogos 2010

Orang Tak Suka UMNO???


Acap kali saya menulis tentang politik Alam Melayu sebelum ini, sehingga ada yang kata saya kini sudah malas mengulasnya. Sedar atau tidak, terlalu banyak dan penat sudah mengulasnya.


Terbaru, saya suka memetik akhbar Utusan Malaysia (Ogos 26, 2010) di muka surat 4. Antara tukikannya ialah Adakah UMNO telah berubah sedari PRU12? Kajian Lapangan ini menunjukkan dapatan 43.7% mengatakan tidak dan 35.9% mengatakan dan selebihnya 20.4% mengatakan tidak pasti.


Hal ini amat mudah untuk diterjemahkan dalam kajian sains politik dan komunikasi massa.


Sebagai pengkaji pendapat umum dan kajian media, saya selalu mengulas isu-isu dapatan ini sama ada melalui bacaan media mahupun bertanya langsung dengan kenalan baru di mana-mana saya sempat untuk bertanya, kerana itu minat dan skop pengajian saya sebelum ini juga.


Hal ini menunjukkan bahawa sejak Datuk Seri Najib memimpin UMNO dan Barisan Nasional sebenarnya rakyat tidak nampak apa-apa pun manfaat dan perubahan kepimpinannya. Senang cerita, ada tak ada sama sahaja. Itulah komentar awam. Adakah Pegawai penerangan, JAKSA dan KEMAS telah bekerja dengan baik? Jawapannya seperti mana kajian tersebutlah – TIDAK.


Sebenarnya memang tidak nampak apa-apa perubahan yang signifikan serta memberi kesan dan nilai tambah kepada kehidupan rakyat. Pernah seorang penyokong kuat UMNO di Selangor mengatakan dengan saya bahawa UMNO mungkin terus lumpuh selepas ini manakala Selangor terus ditadbir pembangkang walaupun media massa menunjukkan laporan yang memihak kepada kerajaan persekutuan. Tidak dapat tidak itu hakikat yang harus dipandang oleh pemerintah kini. Mereka gagal mendengar suara rakyat!.


Bak kata orang Rom “ Suara Rakyat, Suara Tuhan”, adakah pak-pak Menteri kita nak dengar? Seorang demi seorang Menteri ini jika kita tanya rakyat, ada sahaja yang mereka tak puas hati. Dengan Menteri Kanannya sehinggalah anak-anak Menteri yang baru, semuanya nampak mewah, kelas dan brand tersendiri sampaikan orang berkata, nampaknya Menteri jadi kaya sebab dia jadi Menteri.


Komen memanglah sesedap rasa dan semudah kata, tanpa fakta apalah gunanya. Saya senaraikan kelemahan pentadbiran yang biasa diberitahu oleh awam:


1. DS Najib tidak cergas dan memberikan respons yang lambat dalam isu-isu penting negara dan UMNO;

2. DS Najib tidak memantau menteri-menterinya dalam membuat keputusan sehingga dia sendiri kena umumkan kenaikan harga gula dan petrol;

3. DS Najib tahu retorik sahaja tanpa ada apa-apa tindakan susulan – sebagai contoh, kata KDNK 10% dan suku kedua 9% tetapi apa pulangannya kepada rakyat. Sama juga isu NKRA. NKEA yang bak omongan kosong

4. DS Najib macam Pak Lah bangun koridor tapi tak nampak apa-apa begitu juga dengan projek liberalisasi ekonomi dan menghapuskan pink form;

5. DS Najib suka bagi duit/tabur duit merata-rata tapi sering merungut ekonomi tidak terlalu baik;

6. DS Najib tidak tegas dalam membuat keputusan dan mengur menteri-menterinya;

7. Gagasan 1Malaysia sebenarnya lebih ditumpukan pada Melayu sedangkan Cina terus lari dari konsep itu. Suka Melayan permintaan Cina dengan abaikan permintaan kaum Melayu;

8. Cuba tengok apa yang Mahathir dan bangunkan, sebiji bangunan pun DS Najib atau Pak Lah boleh buat;

9. Keputusan DS Najib sering bertangguh dan bertimpa; contohnya DS Najib kata nak fikir sambung atau tidak projek Jambatan Bengkok, tapi sampai lah ni senyap sepi

10. DS Najib bagi ceramah entah apa-apa sehinggakan lebih bersikap umum dan tidak dapat tangkap maksudnya

11. UMNO tetap UMNO yang korupsi; rakyat tak nampak apa-apa nikmat UMNO seperti zaman Mahathir dulu walaupun orang kata Mahathir itu Diktator tetapi dia berjaya di pentas dunia dan pentas Malaysia.


Komen-komen ini adalah bersifat umum dan dicatatkan oleh saya menerusi percakapan dengan rakyat. Ada juga satu dua yang harus diberikan perhatian oleh pemerintah negara, jika tidak wallahualam!


p/s: Si Tukang Catat.

Malaysia Harus Sedar Diri!!!


Betapa ketika yang lepas saya telah mengulas isu ini menerusi perbincangan “Malingsia Harus Sedar Diri”.

Tetapi orang Melayu/Islam dan watan Malaysia jarang nak sedar diri, atau kadangkala buat-buat tak sedar diri.

Isnin (Ogos 23, 2010) bersamaan dengan 13 Ramadan 1431H, kedaulatan negara kita sekali lagi diinjak. Kali ini Jalur Gemilang (bendera Persekutuan Malaysia) di pijak-pijak dan dilumurkan najis.

Sekali lagi martabat dan maruah bangsa Malaysia dihina dalam jelang hari kita meraikan kemerdekaan kita dari penjajah yang ke 53 tahun.

Akal dan budi fikiran kita yang bersih lagi luhur masih betah menerima hakikat kedaulatan kita dihina. Bangsa Melayu/Islam dan Malaysia bukannya bodoh bangang yang senang-senang diprovokasikan dengan benda-benda yang tak datang untung.

Dek sebab itulah, kita masih senyap dan diam untuk membalas ‘cara’ kurang ajar tersebut menangani isu-isu kedaulatan negara berjiran. Kita sedar, kerana kita bijak pandai ini tahu yang kita adalah satu rumpun Melayu yang sama – yang berbeza hanya sempadan politik dan jarak geografi sahaja.

Tetapi bangsa Indonesia yang kononnya telah 65 tahun merdeka lebih awal dari kita dan dengan melibatkan korban jiwa yang besar telah bertindak melampaui emosi dan batas susila seorang patriotik kebangsaan dan mencemarkan diri dalam bulan kesucian Islam – Ramadan.

Jika orang mengeluarkan kata-kata kesat, ajak bergaduh atau melakukan perkara yang sesia di bulan mulia ini lebih baik untuk kita berkata “Sesungguhnya saya sedang berpuasa” itu lebih baik dan diredai Allah SWT. Itulah sebaik-baik ikutan dan pedoman kita yang berakal budi dan bersusila sopan orang Timur. Tetapi bukan orang Indonesia yang ‘gahnya’ setinggi bukit, dalamnya sejauh gaung tetapi wahasil balik asal (habuk pun tiada).

Demi apa pun, suka saya menyeru kepada watan Melayu/Islam khususnya dan Malaysia amnya, lebih molek sekiranya kita dapat membantu saudara seagama kita di Selatan Thailand untuk bekerja sebagai pembantu rumah atau kerja-kerja lapangan yang memerlukan tenaga kerja asing yang tidak mahu dilakukan watan Malaysia sendiri.

Prosedur dan tindakan undang-undang juga sama Cuma kurangkanlah bergantung pada warga Indonesia yang terlampau fanatik dan ekstrem membenci dan mencemburui kejayaan kita. Biarlah kemakmuran hasil bumi Malaysia yang dihinanya ini diberikan kepada orang yang tahu bersyukur dengan nikmat Allah SWT ini. Orang Islam di Selatan Thailand seperti Patani, Satun, Hatyai dan Narathiwat yang menganut agama yang Tauhid pasti menghulurkan salam muhibah dan tahu pula nikmat syukur akan nikmat Tuhannya dan kepada warga Malaysia yang makmur yang mahu berkongsi kekayaan bumi ini.

Tuan/Puan,

Janganlah kita membiarkan martabat, daulat dan keutuhan negara kita dipijak-pijak walaupun sekadar bendera sahaja. Memang bendera tak rasa apa-apa tetapi di bendera kita itulah tersemat nilai, jati diri serta martabat maruah kita mendapatkan kedaulatan negara ini sedari 460 tahun kita dijajah. Nilai bendera itu mengikat maruah kita menuntut kemerdekaan dan mengisikannya dengan pembangunan lapangan ekonomi dan politik yang makmur.

Bukan mudah pemimpin kita hendak membangunkan tanah kontang ini pada asalnya jika tidak berjuang menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah dan jika tidak menyusun pelan pembangunan yang panjang lagi jerih. Penderitaan ibu-bapa dan nenek moyang kita menetap dan membangunkan bangsanya telah diletakkan atas Jalur Gemilang itu. Oleh itu, ayuhlah kita hargainya dan sedarkanlah kenegaraan kita ini yang dimakmurkan bukan percuma.

Setiap kita yang punya pembantu rumah warga asing, setelah tamat tempoh, hantarlah mereka pulang sebaik-baiknya dan ambillah pula pembantu dari Selatan Thailand pula. Kita beralih dengan membantu mereka yang tahu berterima kasih dan mengenang budi. Pekerja-pekerja sektor lapangan bukan pilihan dari Indonesia kita kurangkanlah penggunaannya. Hantarkanlah mereka pulang agar mereka tahu untung nasib mereka di bumi yang patriotiknya boleh memberikan mereka kenyang dan aman sentosa tanpa usaha.

Biarlah mereka dengan patriotik mereka yang boleh bagi mereka aman dan tenang tanpa bantuan kita menyuapkan nasi ke mulut mereka. Barulah mereka tahu, berapakah harga sebuah Merdeka?

Kita yang naif ini amat sedar dan peka dengan harga sebuah kemerdekaan dan nikmat merdeka akal dan budi, jiwa dan raga, maruah dan martabat. Ayuh, sempena bulan merdeka Ogos ini, marilah kita bersatu dan berseru, BOIKOT INDONESIA.

p/s: Bos kami pun akan mengurangkan operasi di Jakarta dan Medan. (Kesian anak Malaysia di perantauan yang hidup tak keruan akan keselamatan, sedang mereka di sini aman sentosa – tanpa jenayah dan rasuah)

Selasa, 10 Ogos 2010

Watan Malaysia Harus Bersyukur!!


Membaca kolum Dr. Nordin Kardi dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, amatlah tajam dan insaf akan isi kandungnya. Terutamanya kesayangan watan kepada tanah dan airnya selain menyemai sikap prihatin akan rakyat terhadap tempat yang dikatakan tanah tumpahnya darah masing-masing.

Baru-baru ini saya sempat meluangkan masa melawat negara jiran kita. Seperti kata Dr. Nordin Kardi, jika sayangkan watan, maka sayanglah tanah dan airnya. Ibarat melihat air dengan minyak, tetap rupa yang sama tetapi jisim yang tidak bercampur boleh membezakan satu antara keduanya. Begitulah kita di Malaysia dengan pelbagai etnik yang sama tetapi tidak serupa lahiriah mahupun batinnya.

Tetapi jika dilungsuri kehidupan watan seberang yang sanggup ‘mati’ menentang arus ombak menyeludup masuk ke negara ini, mereka amat bersyukur dengan rezeki dan nikmati kemurahan hidup tanah air ini berbanding negara mereka sendiri. Tetapi satu hal yang membezakan mereka dengan kita ialah keadaan mereka yang menerima sesuatu itu dengan penuh perasaan patriotik walau berbeza lahir dan batin antara bangsanya sendiri. Walaupun miskin harta dan benda, tetapi naluri jiwa patriotik mereka mendahului segala bentuk materi di dunia ini.

Apalah guna menjadi kaya, berada dan kesentosaan yang walafiat berbanding dengan akal budi yang penuh sifat dengki, khianat, sentiasa mencemuh negara sendiri dan paling penting tidak tahu erti syukur akan nikmat Tuhan ke atas semenanjung emas ini.

Tidak dapat tidak, lebih bagus merempat di tanah air orang tetapi budi bahasa santunan patriotik tetap terpahat semangat cinta negara, bangsa dan budaya menjadi kekuatan akal dan budi sesuatu bangsa. Rakyat Malaysia kini semakin alpa dan dangkal dengan kesyukuran nikmat yang telah Tuhan kurniakan. Mereka mahu lebih dan lebih lagi. Sentiasa tidak pernah cukup dan tidak pernah puas dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Ada sahaja yang salah dan tidak kena dengan mata mereka.

Dari sekecil-kecil perkara pokok sehinggalah kepada lambang dan simbol kedaulatan negara semua mahu dipolitikkan dan dijemur atas satu ampaian yang sama. Mereka tidak kisah menghina negara bangsa sendiri kononnya tidak demokratik dan tidak adil dalam serba-serbinya, tetapi mereka lupa keamanan dan demokrasi subur itulah yang memberi mereka makan, pakai dan minum dengan sentosa di tanah ‘pusaka’ ini.

Dibandingkan dengan jiran kita yang serba kekurangan dan daif adanya bertarung nyawa demi sesuap nasi, kita betah memperlecehkan mereka tetapi kita lupa bahawa mereka tetap teguh dengan semangat betapa mereka menghargai erti kemerdekaan yang disambut pada 65 tahun dahulu. Sedang makan pakai hidup mereka tak keruan dek kelakonan politik dan ekonomi, kita pula yang cukup segala segi tidak pernah tahu erti puas dan berterima kasih atas sistem yang telah menghidupkan kita dan tanah air ini sedari merdeka yang beberapa detik lepas mencengkam anak watan mengerah keringat demi sesuap nasi dikongsikan dengan penjajah.

Kita tidak tahu lagi erti berterima kasih atas nikmat demokrasi yang membenarkan kerajaan negeri bertukar dan pemimpin rasuah disumbat ke penjara. Paling penting, tak ramai watan Malaysia merempat mencari sesuap dua nasi mengisi kantung hidup mereka. Tidak kelihatan pula rakyat Malaysia mati di tengah lautan sedang diperdagangkan untuk mengisi hambatan perut sehingga kini. Betapa kita harus bersyukur dengan apa yang kita miliki kini dibandingkan dengan awal merdeka dahulu.

Orang sering berkata apa sumbangan negara kepada kehidupan mereka? Tetapi mereka lupa pula sumbangan mereka kepada negara ini sejak merdeka? Tidakkah kita pernah terfikir apakah sumbangan kita sejak hidup di tanah air ini kepada kemakmuran damai sentosa di sini? Apa sumbangan kita itu sesuai untuk melayakkan kita digelar sebagai watan anak bangsa? Apa kita betah dengan mempertikaikan itu dan ini kita sedang membina negara? Atau kita sebenarnya sedang menghancurkan sistem kita sendiri dan melihatkan betapa tak perlu orang luar menghancurkan negara melainkan kita sendiri?

Dalam bulan kemerdekaan ini marilah kita menginsafi diri disusuli bulan keberkatan Ramadan agar kembali insaf sedari diri bahawa kita yang tidak pernah puas dan kemaruk itu dan ini sehingga tindak tanduk kita betah menjahanamkan negara bangsa yang kita tuntut untuk merdeka. Apakah erti kemerdekaan itu pada kita jika kita masih melarat dan merempat berbanding kesentosaan hidup nan mewah kini? Betah kita menghina bangsa negara jiran yang dianggap korupsi dan sistemnya bercelaru tetapi kita sebenarnya menuding empat lagi jari ke arah kita yang lebih menjahanamkan bangsa dan negara dengan cara kita mempertikaikan apa adanya dan tidak tahu erti terima kasih dan bersyukur atas nikmat merdeka itu.

Oleh itu, marilah kita panjatkan kesyukuran dan berterima kasih ke atas pembangun negara bangsa ini dari sebuah negara terpencil dan kecil sehingga gah di mata dunia dek pembangun PR dan arkitek Malaysia berbanding diri kita yang kerdil yang tak jemu-jemu menghina negaranya dan sistemnya sendiri. Setidak-tidaknya, pemimpin kita pernah menabur bakti membina negara berbanding kita yang hanya tahu bercakap dan mengkritik tanpa memberi sumbangan apa-apa pun pada negara. Wahai marhaen Malaysia, sambutlah kemerdekaan kita tahun ini dengan azam menyemai sikap tatanegara yang tinggi, cintakan tanah air dan bersyukur dengan kesentosaan ini sebelum ditarik balik oleh-Nya. Merdeka Malaysia, Merdeka minda watannya. Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 53!