Selasa, 10 Ogos 2010

Watan Malaysia Harus Bersyukur!!


Membaca kolum Dr. Nordin Kardi dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, amatlah tajam dan insaf akan isi kandungnya. Terutamanya kesayangan watan kepada tanah dan airnya selain menyemai sikap prihatin akan rakyat terhadap tempat yang dikatakan tanah tumpahnya darah masing-masing.

Baru-baru ini saya sempat meluangkan masa melawat negara jiran kita. Seperti kata Dr. Nordin Kardi, jika sayangkan watan, maka sayanglah tanah dan airnya. Ibarat melihat air dengan minyak, tetap rupa yang sama tetapi jisim yang tidak bercampur boleh membezakan satu antara keduanya. Begitulah kita di Malaysia dengan pelbagai etnik yang sama tetapi tidak serupa lahiriah mahupun batinnya.

Tetapi jika dilungsuri kehidupan watan seberang yang sanggup ‘mati’ menentang arus ombak menyeludup masuk ke negara ini, mereka amat bersyukur dengan rezeki dan nikmati kemurahan hidup tanah air ini berbanding negara mereka sendiri. Tetapi satu hal yang membezakan mereka dengan kita ialah keadaan mereka yang menerima sesuatu itu dengan penuh perasaan patriotik walau berbeza lahir dan batin antara bangsanya sendiri. Walaupun miskin harta dan benda, tetapi naluri jiwa patriotik mereka mendahului segala bentuk materi di dunia ini.

Apalah guna menjadi kaya, berada dan kesentosaan yang walafiat berbanding dengan akal budi yang penuh sifat dengki, khianat, sentiasa mencemuh negara sendiri dan paling penting tidak tahu erti syukur akan nikmat Tuhan ke atas semenanjung emas ini.

Tidak dapat tidak, lebih bagus merempat di tanah air orang tetapi budi bahasa santunan patriotik tetap terpahat semangat cinta negara, bangsa dan budaya menjadi kekuatan akal dan budi sesuatu bangsa. Rakyat Malaysia kini semakin alpa dan dangkal dengan kesyukuran nikmat yang telah Tuhan kurniakan. Mereka mahu lebih dan lebih lagi. Sentiasa tidak pernah cukup dan tidak pernah puas dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Ada sahaja yang salah dan tidak kena dengan mata mereka.

Dari sekecil-kecil perkara pokok sehinggalah kepada lambang dan simbol kedaulatan negara semua mahu dipolitikkan dan dijemur atas satu ampaian yang sama. Mereka tidak kisah menghina negara bangsa sendiri kononnya tidak demokratik dan tidak adil dalam serba-serbinya, tetapi mereka lupa keamanan dan demokrasi subur itulah yang memberi mereka makan, pakai dan minum dengan sentosa di tanah ‘pusaka’ ini.

Dibandingkan dengan jiran kita yang serba kekurangan dan daif adanya bertarung nyawa demi sesuap nasi, kita betah memperlecehkan mereka tetapi kita lupa bahawa mereka tetap teguh dengan semangat betapa mereka menghargai erti kemerdekaan yang disambut pada 65 tahun dahulu. Sedang makan pakai hidup mereka tak keruan dek kelakonan politik dan ekonomi, kita pula yang cukup segala segi tidak pernah tahu erti puas dan berterima kasih atas sistem yang telah menghidupkan kita dan tanah air ini sedari merdeka yang beberapa detik lepas mencengkam anak watan mengerah keringat demi sesuap nasi dikongsikan dengan penjajah.

Kita tidak tahu lagi erti berterima kasih atas nikmat demokrasi yang membenarkan kerajaan negeri bertukar dan pemimpin rasuah disumbat ke penjara. Paling penting, tak ramai watan Malaysia merempat mencari sesuap dua nasi mengisi kantung hidup mereka. Tidak kelihatan pula rakyat Malaysia mati di tengah lautan sedang diperdagangkan untuk mengisi hambatan perut sehingga kini. Betapa kita harus bersyukur dengan apa yang kita miliki kini dibandingkan dengan awal merdeka dahulu.

Orang sering berkata apa sumbangan negara kepada kehidupan mereka? Tetapi mereka lupa pula sumbangan mereka kepada negara ini sejak merdeka? Tidakkah kita pernah terfikir apakah sumbangan kita sejak hidup di tanah air ini kepada kemakmuran damai sentosa di sini? Apa sumbangan kita itu sesuai untuk melayakkan kita digelar sebagai watan anak bangsa? Apa kita betah dengan mempertikaikan itu dan ini kita sedang membina negara? Atau kita sebenarnya sedang menghancurkan sistem kita sendiri dan melihatkan betapa tak perlu orang luar menghancurkan negara melainkan kita sendiri?

Dalam bulan kemerdekaan ini marilah kita menginsafi diri disusuli bulan keberkatan Ramadan agar kembali insaf sedari diri bahawa kita yang tidak pernah puas dan kemaruk itu dan ini sehingga tindak tanduk kita betah menjahanamkan negara bangsa yang kita tuntut untuk merdeka. Apakah erti kemerdekaan itu pada kita jika kita masih melarat dan merempat berbanding kesentosaan hidup nan mewah kini? Betah kita menghina bangsa negara jiran yang dianggap korupsi dan sistemnya bercelaru tetapi kita sebenarnya menuding empat lagi jari ke arah kita yang lebih menjahanamkan bangsa dan negara dengan cara kita mempertikaikan apa adanya dan tidak tahu erti terima kasih dan bersyukur atas nikmat merdeka itu.

Oleh itu, marilah kita panjatkan kesyukuran dan berterima kasih ke atas pembangun negara bangsa ini dari sebuah negara terpencil dan kecil sehingga gah di mata dunia dek pembangun PR dan arkitek Malaysia berbanding diri kita yang kerdil yang tak jemu-jemu menghina negaranya dan sistemnya sendiri. Setidak-tidaknya, pemimpin kita pernah menabur bakti membina negara berbanding kita yang hanya tahu bercakap dan mengkritik tanpa memberi sumbangan apa-apa pun pada negara. Wahai marhaen Malaysia, sambutlah kemerdekaan kita tahun ini dengan azam menyemai sikap tatanegara yang tinggi, cintakan tanah air dan bersyukur dengan kesentosaan ini sebelum ditarik balik oleh-Nya. Merdeka Malaysia, Merdeka minda watannya. Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 53!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.