Khamis, 11 November 2010

Kemana Hala Tuju Graduan Matang?


Saudara Pengarang,


Suka saya mengulas cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menganjurkan pendidikan sepanjang hayat ke atas seluruh warga. Dengan cara ini, keperluan guna tenaga manusia akan menjadi lebih baik, berkualiti selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi sesuai dengan keputusan peperiksaan atau sijil kelayakan profesional. Menjadikan pendidikan sepanjang hayat juga adalah tujuan murni untuk mendidik dan melatih rakyat untuk terus mempelajari teknologi dan keperluan yang senantiasa berubah mengikut keadaan dan kecanggihannya.


Pun begitu, di manakah pula peluang kepada mereka yang menyambung pengajian ini pada akhirnya? Suka saya memaklumkan bahawa saya antara sebahagian daripada kakitangan yang telah berkhidmat atau bekerja dan menyambung pengajian secara separuh masa untuk meningkatkan kualiti dan mutu pendidikan saya sebelum ini. Dengan mengambil kursus separuh masa, pelbagai dugaan dan pengorbanan terpaksa dibuat demi menggenggam sijil yang lebih tinggi bahkan yang terbaik dalam disiplin ilmu. Tetapi sehingga kini, peluang kenaikan pangkat, atau setidak-tidaknya untuk mencari pekerjaan yang baru dan mempunyai gaji serta peluang yang lebih baik tidak secerah langit dan semudah kata-kata.


Setelah setahun ‘menganggur’ dengan memegang ijazah kelas pertama, banyak syarikat mahupun jabatan kerajaan yang ‘tidak ingin’ mengambil kami sebagai kakitangan mereka. Tidak dapat dipastikan kenapakah hal itu terjadi kepada graduan matang ini? Ada di kalangan kami yang tidak dapat meningkatkan kerjayanya hanya kerana para pengusaha atau syarikat tidak mampu membayar gaji yang tinggi atau berbaloi kerana mempunyai pengalaman kerja dan sijil yang telah dipertingkatkan. Mereka lebih rela mengambil para graduan muda yang dilihat ‘mentah’ dan boleh membayar gaji yang lebih rendah serta boleh didapati dengan mudah atau ‘berlambak’ di pasaran kerja.


Baru-baru ini, Parlimen dimaklumkan bahawa tidak ramai graduan menganggur di pasaran kerja. Kenyataan daripada seorang Timbalan Menteri tersebut dilihat amat umum serta tidak menyeluruh. Kebanyakan graduan kini hanya bekerja di pasar-pasar raya, menjadi agen pemasaran mahupun bekerja di mana-mana restoran sebagai penyambut tetamu. Bagi graduan ini, asalkan dapat bekerja dan membayar bil serta pinjaman pendidikan sudah cukup berbanding kelulusan dan sijil yang mereka genggam. Bukan semua tenaga kerja peringkat rendah tersebut adalah lepasan SPM semata-mata malah ada yang mempunyai diploma bahkan ijazah sekalipun demi meneruskan penakatan hidup yang kian mendesak ini.


Meletakkan graduan sebagai tidak fasih bertutur atau mahir dalam bahasa Inggeris serta lemah dalam kemahiran berkomunikasi juga adalah satu tuduhan liar, kerana jika ya mengapa ramai di kalangan mereka boleh menjadi agen pemasaran dan penyambut tetamu yang baik? Sebenarnya, para graduan ini tidak diberi peluang yang baik dalam pasaran kerja mengikut keperluan, skil dan kelayakan serta gaji yang setimpal. Oleh itu, diharap pihak kerajaan dapat memikirkan nasib para graduan muda ini selain menambah baik struktur pekerjaan profesional yang mampu menjamin pendapatan tinggi sesuai dengan taraf hidup kini. Mampukah graduan muda ini hidup dengan gaji RM800 secara relatifnya kecil dalam dunia dan persekitaran ekonomi hari ini.


Berbalik kepada graduan berpengalaman serta menambah baik disiplin ilmu dan memperbaiki diri dalam program pembelajaran berterusan, apakah pelan dan jaminan pihak KPT kepada pasaran kerja graduan ini? Sehingga kini, para pengusaha syarikat tidak mampu mengambil mereka atau meningkatkan gaji mereka ke paras yang berbaloi dan sesuai dengan pencapaian akademik dan pengalaman mereka.


Oleh itu, kajian, cadangan dan pelan penambahbaikan perlulah dibuat dan dirancang dengan baik dalam Program Transformasi Ekonomi kerajaan agar semua usaha murni ini pada akhirnya melahirkan satu masyarakat maju dan berpendapatan tinggi sesuai dengan hasrat dan aspirasi kerajaan. Dunia yang semakin mencabar serta keperluan ekonomi sara diri yang semakin membungkam jiwa ini sebenarnya perlu diperhatikan dengan lebih serius. Memang graduan muda ataupun berpengalaman ini bekerja, tetapi adakah sesuai dengan bidang dan skilnya serta paras gaji yang dibayar? Kajian lapangan serta pelan menyeluruh perlulah disediakan dan dibuat dengan lebih mendalam sebelum berhujah dengan begitu retorik hendaklah difikirkan terlebih dahulu. Oleh itu, usaha PTPTN dan KPT hendaklah dilihat positif dan membantu anak bangsa pada akhirnya.

(seperti disiarkan diruangan Surat, Berita Harian pada 16 November 2010)

Faizal Muhd Faxel Wel

Petaling Jaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.