Khamis, 29 Oktober 2009

Anda Mewarisi Kasar???

Sikap kasar seseorang mungkin dipengaruhi cara mereka dibesarkan?

BAPA, atau mereka yang memikul peranan sebagai seorang bapa, yang mendisiplinkan anak-anak dengan menggunakan tengking herdik dan kekerasan yang berlebihan, lazimnya terpengaruh dengan cara mereka dibesarkan.

Lantas, jika bapa-bapa itu juga bersikap ganas terhadap anak-anak mereka, ia akan meneruskan lingkaran keganasan tersebut apabila si anak tadi dewasa dan memulakan keluarga sendiri.

Pakar psikiatri di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Brian Yeo, berkata keadaan ini diburukkan lagi jika seseorang itu memang panas baran, dan mempunyai lain-lain faktor yang mengapi-apikan amarahnya itu.

'Sesetengah orang memang sukar berfikir secara waras semasa dalam keadaan marah.
'Dan bila berada dalam keadaan marah itu, mereka akan kurang daya fikir untuk menyedari apa yang dilakukan itu adalah salah,' ujar Dr Yeo.

Hakikat itu turut diakui oleh pengurus pusat mailto:%20INSPIRASI@PPIS, Encik Amran Jamil.
Beliau berkata, besar kemungkinan bapa-bapa yang mengamalkan sikap ganas dan kasar telah didedahkan sejak kecil lagi dengan cara-cara keras dalam mendisiplinkan anak oleh bapa atau ibu mereka sendiri.

Lantas, golongan itu, apabila sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, menggunakan cara yang sama sebagaimana ibu bapa mereka dulu, dalam mendisiplinkan anak-anak mereka pula.

'Dari mana mereka akan mempelajari cara-cara mendidik anak kalau bukan daripada persekitaran mereka sendiri?

'Bapa-bapa sebegini mungkin kurang pendedahan kepada cara alternatif atau yang lebih positif dalam mendisiplinkan atau mendidik anak-anak mereka tanpa menggunakan atau melibatkan kekerasan, pukul bantai dan keganasan,' kata Encik Amran, yang mengendalikan program pasangan muda di pusat PPIS itu.

Kaunselor mailto:%20INSPIRASI@AMP, Cik Rosedah Anuar, pula berkata ramai bapa ganas itu menjadi dewasa dengan sejarah emosi atau harapan yang tidak tercapai semasa kanak-kanak dahulu.

'Bapa-bapa ini lantas mudah marah dan panas baran jika anak itu tidak memenuhi jangkaan mereka.

'Selain itu, ramai bapa sedemikian juga berkemungkinan mempunyai masalah ketagihan dadah dan arak yang menjadi punca mereka gagal mengawal kemarahan,' katanya. Sementara itu, para pekerja sosial juga berpendapat bagi sebahagian kes, terutama yang melibatkan bapa kandung, pesalah itu benar-benar yakin mereka tidak menganiayai anak mereka.

Sebaliknya, mereka percaya apa yang mereka lakukan ialah untuk kebaikan anak-anak itu sendiri, termasuk anak-anak kecil.

Presiden Persatuan Menentang Keganasan Keluarga, Encik Benny Bong, pula menceritakan semasa beliau berbual dengan bapa-bapa sedemikian, ramai beranggapan apa yang mereka lakukan bukan satu kesalahan.

'Mereka akan katakan bahawa kalau mereka tidak sayangkan anak, mereka tidak akan peduli kalau anak itu nakal atau jahat,' katanya.

Lantas, tambah Encik Bong, dalam kes seperti itu, jika si bapa hilang kawalan dan memukul bantai si anak sehingga cedera teruk atau menyebabkan kematian, mereka kemudian akan menunjukkan sikap bersalah.

Ada yang cuba memberi anak itu susu atau makanan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Encik Bong akur terdapat kes penderaan, terutama yang melibatkan bapa tiri atau teman lelaki si ibu kanak-kanak, yang dilakukan dengan niat jahat.

Menurutnya, kes-kes sedemikian menunjukkan masalah psikologi yang lebih teruk dalam diri pesalah tersebut.

(Berita Harian Singapura: Oktober 29, 2009)

Kiambang - ke bumi ke, ke langit??

Saya suka memetik kata-kata Y.B Seri Gading pada Sidang Parlimen (Oct 29, 2009) berkaitan kata orang pandai-pandai:-

1. Kalau mendongak ke langit, jalan lupa rumput dibumi.

2. Jangan jadi kiambang, nak ke langit tak tercapai nak ke bumi tak sampai.

Kata-kata ini ditujukan kepada 'Bapak-bapak Menteri' kita yang dilihat nak lupa diri bila dah dapat jawatan.

Kononnya jawatannya Menteri, rakyat harus 'gerun' dan 'segan' dengan kehebatan kuasa dan duit mereka. Oleh itu, Pak-pak Menteri - ingat-ingatlah kata-kata tersebut.

- Jangan mati gantung diri sudahlah.

ps/: 'Gantung' diri kat pokok taugeh.

1Malaysia ~ Mula Disokong, Akhir Dihina???


Adakah anda benar-benar tahu gagasan 1Malaysia?


2. Gagasan ini bukanlah gagasan yang menghumban Orang Melayu/Islam ke jurang yang dalam lagi tinggi, tidak juga mengangkat kaum-kaum lain lebih bermartabat berbanding bumiputera.


3. Gagasan ini dilihat layanan yang adil terhadap semua kaum dalam semua hal - Jaminan Pemerintah. Lebih dari itu, ia dilihat sebagai satu penyatuan kaum yang rupa-rupanya 'retak dalam diam".


4. Gagasan ini dilihat sebagai 'berjaya' pada peringkat awal sehinggakan banyak momentum yang kembali memihak pada pemerintah. Ini amat kurang disenangi oleh pihak-pihak yang menangguk di air keruh.


5. Belanjawan 2010 dilihat memberikan impak yang paling baik dalam justifikasi gagasan baru ini. Tetapi kata-kata sindiran pembangkang telah mula ditimbulkan pihak tertentu untuk menggagalkannya.


6. Kredibiliti TS Muhyidin sebagai 'orang sombong', 'muka ketat', 'masam' dan sebagainya mula dicanang-canang. DS Najib dikatakan hanya membuat janji tetapi takut bini juga terdengar di kedai-kedai kopitiam.


7. Gambar ini juga disebarkan sebagai satu penghinaan akan gagasan itu. Mereka ingin sekali lagi melihat gagasan 1Malaysia seperti 'Islam Hadhari' yang tenggelam bersama 'imam'nya.


8. Mana pergi Pegawai Penerangan yang dilantik kerajaan untuk menyebar luaskan apa-apa polisi kerajaan di kampung-kampung dan di jalan-jalan???


p/s: Tak makan gaji buta

Selasa, 27 Oktober 2009

Pembentangan Belanjawan 2010: Poliklinik Bandar, Penggiat Seni dan PKS

Saya suka mengulas pembentangan belanjawan Malaysia 2010 seperti mana yang diumumkan oleh DS Najib Tun Razak, tanggal 23 Oktober 2009 jam 4:10 minit petang di Parlimen.

Ramai di kalangan rakan-rakan yang mohon penulis untuk memberi komen implikasi kewangan seta bebanan kerajaan dalam pembentangan belanjawan kali ini. Apa yang boleh saya katakan, pembentangan ini kecil tetapi kesannya memberi manfaat yang begitu signifikan sekali kepada rakyat terbanyak serta kelas perniagaan amnya.

Sejak tahun 1997, jarang diberikan peruntukan yang begitu hebat terutamanya dalam soal-soal kebajikan umum seperti pemberian klinik-klinik komuniti luar bandar. Tetapi pada kali ini, golongan di bandar pula diberikan kemudahan poliklinik. Kos serendah-rendahnya RM30.00 sekepala dapat diserap ke dalam kos kerajaan bagi setiap warga bandar yang demam, selesema mahupun batuk setelah hampir sedekad diberikan kepada penduduk luar bandar. Kos RM30.00 sekepala ini bukanlah jumlah yang banyak, tetapi jika sekali rawatan di klinik swasta/privet kos ini merupakan beban bagi penduduk bandar yang berpendapatan ‘cukup makan’ dengan tanggungan yang ramai.

Selain itu, sejak 1997 juga tidak banyak peruntukan diberikan untuk golongan pengkarya seni tanah air. Dengan belanjawan 2010, DS Najib mengumumkan pemberian kepada penggiat seni modal untuk memulakan aktiviti kesenian, pengiklanan dan kreatif sebanyak RM200juta, satu jumlah yang boleh dikatakan besar sama seperti peruntukan menubuhkan e-village di Putrajaya yang sehingga kini terus menyepi sejak belanjawan tersebut.

Suka juga saya memberi komen mengenai pinjaman-pinjaman perniagaan/perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ditambah jumlahnya sehingga RM320juta. Walau bagaimanapun, jenis pinjaman tersebut telah distrukturkan kepada hanya 33 jenis pinjaman sahaja. Manakala tempoh permohonan dipendekkan kepada 6 hari bekerja serta pembayaran dalam tempoh 4 hari bekerja setelah kelulusan diberikan. Tempoh keseluruhan pinjaman dipendekkan kepada hanya 10 hari sahaja. Pinjaman pula diselaraskan oleh SME Bank berbanding puluhan agensi sebelum ini.

Saya akan menyambung mengulas belanjawan ini dalam posting selanjutnya.

Khamis, 22 Oktober 2009

Pemimpin Pendapat Umum

Pemimpin pendapat umum ialah personaliti yang mempunyai budi pekerti yang dibanggakan oleh orang terbanyak akan kejayaannya menempa sesuatu bidang. Pemimpin pendapat umum biasanya mencetuskan satu idea dan pemikiran yang disuarakan oleh orang terbanyak untuk dimasukkan ke dalam media dan dibincangkan secara meluas dan berkesan.

Kadang kala pendapat-pendapat umum yang dibawakan oleh pemimpin pendapat umum ini sangat berkaitan dengan akar umbi dan berkenaan dengan kehidupan rakyat terbanyak yang merasai isu tersebut atau terkesan dengannya. Isu atau masalah tersebut dibincangkan dengan meluas di kalangan rakyat dan dibawakan oleh pemimpin ini untuk dipanjangkan kepada kerajaan secara tak langsung.

Jika kerajaan berjaya mengatasi masalah-masalah atau menangani isu tersebut dengan baik, kerajaan bolehlah dikatakan kerajaan yang prihatin dan mendengar keluh kesah rakyat terbanyak. Suara rakyat inilah yang dibawakan ke atas oleh pemimpin pendapat umum tadi. Dari bawah dan naik ke telinga pemimpin atasan bolehlah diibaratkan kerajaan yang berjiwa rakyat dan prihatin. Manakala dari atas ke bawah adalah seolah-olah arahan yang dikuatkuasakan dan diwajibkan ke atas rakyat yang tidak disukai oleh rakyat terbanyak. Kelihatan seperti autokratik dan arahan perintah yang tegas layaknya.

Di Malaysia dua tokoh sahaja yang amat terkenal dengan pendapat umum serta memang sangat rendah diri orangnya di kalangan rakyat – Prof. Dato’ Hamdan Adnan bekas Pengerusi SUHAKAM, mantan Presiden FOMCA, bekas Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta pelbagai jawatan kanan yang lain.

Seorang lagi yang kelihatan elit tetapi mempunyai karisma pimpinan pendapat yang bernas ialah Prof. Dr. Syed Arabi Idid, salah seorang dekan di Kuliyah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta menghasilkan buku-buku tentang pendapat umum dan komunikasi politik.

Kedua-dua mereka adalah tokoh yang menerbitkan buku pendapat umum, komunikasi antara rakyat dan politik, rakyat dan pandangan rakyat serta persekitaran politik bawahan untuk pertimbangan politik atasan. Golongan elit juga mendapatkan kuasa dengan mempelajari teknik komunikasi tersebut dan mengaplikasikannya untuk mendapat kuasa.

Agensi yang mengukur dan mengkaji pendapat umum di Malaysia dan terkenal kini ialah Merdeka Center. Sebuah NGO yang mengukur dan menganalisis pendapat rakyat terbanyak menjadikan mereka tahu dan peka secara lebih sensitif keperluan rakyat terbanyak. Akibat dari peka dan sensitif itulah mereka berjaya membawa paradigma baru kepada pihak pembangkang untuk digunakan dalam menarik undi. Pihak pembangkang mengambil pendapat ini dengan begitu peka dan prihatin serta dimanipulasikan untuk dijadikan bahan kempen menentang kerajaan kini.

Inilah kepentingan dan pengaruh pendapat umum yang membentuk persepsi pada awalnya serta menghasilkan tindakan undi akhirnya. Yang merana adalah kerajaan yang tidak mengerti hati budi rakyat dengan baik.

Bagi makan, kami makan. Bagi duit kami ambil. Bagi pembangunan kami terima. Bila undi, kami beri pada yang prihatin kepada kami sahaja. Selamat Datang ke dunia persepsi dan pendapat umum yang kompleks rakyat Malaysia.

p/s: Bersyukur dan berterima kasih.
(gambar: Yahoo Images)

Politik Harus Bergaya

'Vous voulez un poste haut placé? S'il vous plaît perdre du poids'
('Anda nak jawatan tinggi? Sila susutkan badan')

Ini bukan jingle pelangsing badan tetapi Presiden Perancis empunya arahan.

Lucu? Tidak sekali-sekali bagi anggota Kabinet Perancis. Baru-baru ini Presiden Nicolas Sarkozy, berlagak ala 'diktator', arahkan semua menteri kuruskan badan. Yang jadi sasaran? Anggota kabinet yang montel dan tembam.

Nak elak dicap 'Cakap tak serupa buat' Encik Sarkozy sendiri sudah susut tujuh kilogram gara-gara berjoging dan haramkan coklat kegemaran.
Khabarnya pak menteri yang sudah berpuluh tahun tidak bersenam kelam-kabut ke shopping mall beli kasut jogging. Oh ya, ada pula yang hampir jadi vegetarian - kunyah lobak, bayam dan sawi sepanjang hari. Kasihan!

Kisah ala The Biggest Loser (siri rancangan realiti turunkan berat badan) di Kabinet Perancis ini terbukti betapa 'imej' amat penting tidak kira di mana walaupun dalam bidang politik.

Jika menteri dan AP yang memerah otak dan bertegang urat 24 jam bincangkan krisis ekonomi dan ancaman pengganasan perlu bertubuh 'ramping', ranggi dan segar bugar apatah lagi karyawan yang perlu tawan hati peminat, klien atau pelanggan.

Bak kata orang 'jika diri sendiri tidak terurus bagaimana mungkin nak urus orang lain? Jika anda tidak menarik macam mana nak buat peminat tertarik?'

Tukikan: Berita Harian Singapura

Khamis, 15 Oktober 2009

Mahu Berpolitik atau Mencari Ilmu?

Saya suka mengulas berita Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) sedari pilihan raya kecil Bagan Pinang, Port Dickson lagi. Sehingga jam ini (5:00 petang – 15 Okt 2009) pergerakan BANTAH tersebut masih lagi giat menjalankan aktiviti protes dan membantah tindakan pentadbiran universiti awam (IPTA) terkemuka dari melaksanakan sistem demokrasi di universiti.

Sistem e-undi adalah sistem pengundian secara dalam talian (berkomputer)pemilihan wakil-wakil mahasiswa dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) bagi menangani kerenah pengurusan dan pentadbiran universiti dengan penuntut-penuntut ini. Wakil pemenang ini biasanya datang dari kalangan persatuan universiti mahupun individu-individu yang berminat bermain politik kampus demi penakatan kebajikan dan kesejahteraan pelajar lainnya.

Sedar atau tidak, betapa bijak cerdiknya mereka ini sehinggakan ideologi politik tetap dipikul di bahu-bahu mereka untuk diserapkan dalam ‘jiwa’ pengundi-pengundi mereka. Parti pembangkang persekutuan Malaysia amat suka melihat kebobrokan minda pelajar ini dipengaruhi oleh mereka. Demokrasi kononnya, jika sudah gagal dalam dunia akademik ke mana biasiswa dan bantuan pinjaman mahu dibuangkan?

Parti pemerintah jika menang di IPTA dilihat sebagai berlaku penipuan sedangkan jika barisan kepimpinan PAS/DAP melalui agen rahsianya meresapi pemikiran anak muda ini menang pelbagai tohmahan dan makian dikeluarkan. Apalah sengkek sangat pemikiran mereka ini?

Kepada para mahasiswa ini, bolehkah gunakan kesempatan ini untuk melakukan lebih banyak kerja-kerja yang bermanfaat seperti menganjurkan program khidmat masyarakat (SRW), menganjurkan kelas-kelas malam tambahan kepada kuliah kepada pelajar lemah, memperjuangkan hak-hak alam sekitar, mempertingkatkan hal-hal kebudayaan serta memperbanyakkan penyelidikan luar kampus/kuliah tentang profesionalisme dan bidang kejuruteraan?

Inilah sebenarnya pelapis bangsa yang dikagumi. Apa guna pandai berpolitik dan berpidato berapi-api sedang bangsa tak pernah nak maju ke depan? Lihat sahaja contoh negara seberang, bab-bab demokrasi sangat diperjuangkan. Sedangkan hak-hak selepas tamat pengajian (bekerja) tidak difikirkan bagaimana mencari pelabur yang bagus untuk membangunkan watannya. Lihat Singapura nan kecil, bakat-bakat muda mereka belajar bertungkus-lumus, berpeluang ke luar negara timba pengalaman akirnya pulang membangunkan watan tercinta.

Inilah dinamakan kematangan berfikir, bukan berterabur berpolitik yang tak ke mana-mana. Bila tak kerja disalahkan kerajaan (sedang pointer sangat rendah), bakat tak ke mana, bila tak kerja, pinjaman tak bayar (salah kerajaan lagi sebab tak bagi peluang kerja/Kos bunga (interest) meningkat), tak boleh keluar negara (sebab hutang tak bayar) semua nak tunding pada kerajaan, sedang sendiri bila belajar sibuklah nak berpolitik mengalahkan ahli politik ‘pakar’ dan ‘bijaksana’ gayanya.

p/s: Tak pandai, tak bodoh.

(Gambar: Ihsan Yahoo Images)

Isnin, 5 Oktober 2009

Siapa Tipu Siapa???


Bagan Pinang akan mengadakan pilihan raya kecil selang beberapa hari sahaja lagi.

Ahad lepas (Oktober 4, 2009) saya begitu leka dengan akhbar-akhbar tempatan, dari Bahasa Melayu sehinggalah akhbar Inggeris membaca berita-berita serta analisis berita seminggu yang lalu.

Paling menarik perhatian ialah N. Gobalakrishnan – seorang pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (Ahli Parlimen Padang Serai) yang sering membuat tindakan populis atau “menca’pub’” menurut bidang media sekali lagi menjadi tumpuan.

Beliau berkempen di Bagan Pinang dengan memetik ayat Al-Quran, Surah Ali Imram ayat 54 yang bermaksud “Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”.

Sungguh menarik artikel tersebut serta kempen N. Gobalakrishnan. Sambil ketawa saya berkata: Bukankah beliau antara “orang-orang kafir” tersebut yang menafikan ayat-ayat Allah? Bukankah beliau adalah yang membuat tipu daya serta helah muslihat dengan memainkan ayat-ayat Al-Quran untuk memancing undi? Bukankah beliau sedang menipu orang Islam di situ?

Jengkel dan sungguh meloyakan apabila Parti Islam Malaysia (PAS) yang menggunakan aspirasi Islam menghalalkan rakan bukan Islamnya mengajar ilmu Allah (Islam) kepada penduduk Islam sedangkan si pembaca ayat-ayat Allah itu adalah orang yang menidakkan ayat-ayat Allah apabila terus kekal dalam kekufurannya.

Apakah orang Islam di situ bangga apabila orang seperti N. Gobalakrishnan fasih berucap dan mampu memetik ayat-ayat Al-Quran untuk menegakkan benang yang basahnya? (kerana masih belum Islam) Murahnya agama Islam dan Al-Quran di mata orang yang hadiri ceramah itu?

p/s: Kafir tetapi mengiakan ayat-ayat Allah. Bila nak masuk Islam lagi?


(Gambar: Yahoo Images)

Menilai Kerajaan/UMNO melalui Pendapat Awam

Saya suka memetik ulasan saudara Feriz Omar mengenai “Menulis” Semula Masa Depan UMNO seperti yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, 6 Oktober 2009.

Suka saya mengulas bahawa dalam usaha UMNO dan bangsa Melayu terus berjuang menegakkan survival bangsa, tidak dapat tidak siasah politik haruslah menjadi wadah perjuangannya. Ini dapat dilihat apabila UMNO semakin ‘lesu’ menerima pelbagai hentaman kiri dan kanan membadai parti keramat Melayu yang berjuang demi semangat keislamannya dan kemelayuannya.

Hujahan saudara Feriz Omar bahawa UMNO umpama zombie bukanlah perkara baru. Hal ini seperti yang telah diperkatakan dengan hangat sebelum pilihan raya umum lalu terus menghantui pengundi terutamanya golongan muda. UMNO seolah-olah ‘pekak’ dan ‘bisu’ dalam banyak perkara. Memenangi hati minda rakyat marhaen terbanyak bukanlah menjadi keutamaan UMNO, memperjuangkan survival bangsa ini juga bukan lagi menjadi keutamaan UMNO.

Ramai eksekutif muda serta golongan profesional baru melarikan diri akibat di’sekat’ keanggotaannya dalam menjadi ahli anggota UMNO. Hak-hak mereka untuk mendukung aspirasi UMNO dan kerajaan disekat ketua-ketua bahagian kerana takut profesional muda ini mencantas politik ‘lesu’ dan ‘konservatif’ mereka sejak berzaman lagi. Selain itu, golongan-golongan muda ini seolah-olah ditegah dalam memberi pendapat walaupun kononnya ahli baru yang perlukan bimbingan.

Oleh itu, UMNO terus menyepi dalam menerima idea-idea baru lagi bernas dari profesional dan eksekutif muda ini tadi. Jasa UMNO untuk dikenang mereka seolah-olah dinafikan, maka hanyalah tempat mereka dapat meluahkan idea-idea baru ini dengan menyertai parti-parti politik lain walaupun mereka tahu mereka bak menggigit tangan tuannya sendiri.

Justeru dalam merekayasa kerangka UMNO yang lebih baik, UMNO perlulah menjadi pendengar yang baik. Menubuhkan institut atau memperkukuhkan peranan penerangannya adalah satu jentera yang baik dalam menyusun strategik menentang propaganda politik pembangkang yang kelihatan mengasak UMNO bertubi-tubi. Seolah-olah tiada jasa dilimpahkan UMNO sedari 52 tahun merdeka. Kritikan populis propaganda pembangkang seakan-akan diterima dan ditelan rakyat dengan baik. Ini haruslah ditentang dan dicantas sebaik-baiknya oleh UMNO dan kerajaan.

Seperti tulisan saudara Feriz, UMNO perlu menunjukkan jasanya dan menggali semula mesej dalam pembangunan syariah dan islamiknya sebaik mungkin. Sebaik-baiknya ialah dengan merangka strategik yang baik, perhubungan awam yang berkesan serta membentuk pendapat umum yang lebih baik penakatannya maka berjayalah UMNO kembali memartabatkan Melayu dan Islam. Jika tidak, selagi itulah UMNO dilihat “bodoh sombong”. Jika tidak disusun setara strategis oleh pakar perhubungan awam ini, maka kempenlah UMNO dan kerajaan, ia tetap begitu juga – hanya kelihatan seolah-olah propaganda kerajaan semata-mata.

Tulisan saya bukanlah untuk melihat UMNO terus berkubur dan tidak menampakkan jasa UMNO langsung, tetapi apakan daya saya kenyataan dan persepsi rakyat terbanyak memainkan peranan penting dalam kelakonan UMNO. Sebagai parti yang paling berjasa kepada orang Melayu dan Malaysia amnya, gagasan 1Malaysia kelihatan seperti retorik peringkat atas sahaja untuk ditekankan ke bawah. Walhal, dalam hal persepsi dan pendapat umum sepatutnya kerajaanlah yang mendengar pendapat dari bawah untuk didengar ke atas.

Mana perginya pegawai penerangan yang dilatih dan dilantik? Ke mana hala tujuan fokus penerangan mereka? Mana berita-berita rakyat terbanyak dalam media arus perdana? Di mana? Selagi UMNO terus leka dan terlupa, selagi itulah UMNO akan terus ditolak. Bak kata Prof Dato’ Hamdan Adnan, “Pegawai Perhubungan Awam tempatan muda tidak digunakan sebaik mungkin oleh kerajaan menyebabkan pendapat umum negara tidak berkisar tentang politik Melayu dan UMNO. Mereka lebih melihat UMNO sebagai parti yang elitis dan sombong.”

Oleh itu, tulisan saudara Feriz itu amatlah menarik perhatian untuk terus disiarkan dalam akhbar agar terus membuka mata umum, tetapi jika pihak kerajaan dan UMNO serta ‘think-tank’nya yang tidak melihat akan hal ini, nasib kerajaan dan UMNO pada pilihan raya depan juga kita tidak ketahui. Oleh itu, sebagai watan Melayu dan profesional muda, saya hanya mampu melihat UMNO terus hanyut dari jauh dengan hiba yang sedikit.

Semoga UMNO terus mendengar hati dan perasaan rakyat terbanyak.
(gambar: Yahoo Images)