Selasa, 27 Oktober 2009

Pembentangan Belanjawan 2010: Poliklinik Bandar, Penggiat Seni dan PKS

Saya suka mengulas pembentangan belanjawan Malaysia 2010 seperti mana yang diumumkan oleh DS Najib Tun Razak, tanggal 23 Oktober 2009 jam 4:10 minit petang di Parlimen.

Ramai di kalangan rakan-rakan yang mohon penulis untuk memberi komen implikasi kewangan seta bebanan kerajaan dalam pembentangan belanjawan kali ini. Apa yang boleh saya katakan, pembentangan ini kecil tetapi kesannya memberi manfaat yang begitu signifikan sekali kepada rakyat terbanyak serta kelas perniagaan amnya.

Sejak tahun 1997, jarang diberikan peruntukan yang begitu hebat terutamanya dalam soal-soal kebajikan umum seperti pemberian klinik-klinik komuniti luar bandar. Tetapi pada kali ini, golongan di bandar pula diberikan kemudahan poliklinik. Kos serendah-rendahnya RM30.00 sekepala dapat diserap ke dalam kos kerajaan bagi setiap warga bandar yang demam, selesema mahupun batuk setelah hampir sedekad diberikan kepada penduduk luar bandar. Kos RM30.00 sekepala ini bukanlah jumlah yang banyak, tetapi jika sekali rawatan di klinik swasta/privet kos ini merupakan beban bagi penduduk bandar yang berpendapatan ‘cukup makan’ dengan tanggungan yang ramai.

Selain itu, sejak 1997 juga tidak banyak peruntukan diberikan untuk golongan pengkarya seni tanah air. Dengan belanjawan 2010, DS Najib mengumumkan pemberian kepada penggiat seni modal untuk memulakan aktiviti kesenian, pengiklanan dan kreatif sebanyak RM200juta, satu jumlah yang boleh dikatakan besar sama seperti peruntukan menubuhkan e-village di Putrajaya yang sehingga kini terus menyepi sejak belanjawan tersebut.

Suka juga saya memberi komen mengenai pinjaman-pinjaman perniagaan/perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ditambah jumlahnya sehingga RM320juta. Walau bagaimanapun, jenis pinjaman tersebut telah distrukturkan kepada hanya 33 jenis pinjaman sahaja. Manakala tempoh permohonan dipendekkan kepada 6 hari bekerja serta pembayaran dalam tempoh 4 hari bekerja setelah kelulusan diberikan. Tempoh keseluruhan pinjaman dipendekkan kepada hanya 10 hari sahaja. Pinjaman pula diselaraskan oleh SME Bank berbanding puluhan agensi sebelum ini.

Saya akan menyambung mengulas belanjawan ini dalam posting selanjutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.