
Suka saya mengulas bahawa dalam usaha UMNO dan bangsa Melayu terus berjuang menegakkan survival bangsa, tidak dapat tidak siasah politik haruslah menjadi wadah perjuangannya. Ini dapat dilihat apabila UMNO semakin ‘lesu’ menerima pelbagai hentaman kiri dan kanan membadai parti keramat Melayu yang berjuang demi semangat keislamannya dan kemelayuannya.
Hujahan saudara Feriz Omar bahawa UMNO umpama zombie bukanlah perkara baru. Hal ini seperti yang telah diperkatakan dengan hangat sebelum pilihan raya umum lalu terus menghantui pengundi terutamanya golongan muda. UMNO seolah-olah ‘pekak’ dan ‘bisu’ dalam banyak perkara. Memenangi hati minda rakyat marhaen terbanyak bukanlah menjadi keutamaan UMNO, memperjuangkan survival bangsa ini juga bukan lagi menjadi keutamaan UMNO.
Ramai eksekutif muda serta golongan profesional baru melarikan diri akibat di’sekat’ keanggotaannya dalam menjadi ahli anggota UMNO. Hak-hak mereka untuk mendukung aspirasi UMNO dan kerajaan disekat ketua-ketua bahagian kerana takut profesional muda ini mencantas politik ‘lesu’ dan ‘konservatif’ mereka sejak berzaman lagi. Selain itu, golongan-golongan muda ini seolah-olah ditegah dalam memberi pendapat walaupun kononnya ahli baru yang perlukan bimbingan.
Oleh itu, UMNO terus menyepi dalam menerima idea-idea baru lagi bernas dari profesional dan eksekutif muda ini tadi. Jasa UMNO untuk dikenang mereka seolah-olah dinafikan, maka hanyalah tempat mereka dapat meluahkan idea-idea baru ini dengan menyertai parti-parti politik lain walaupun mereka tahu mereka bak menggigit tangan tuannya sendiri.
Justeru dalam merekayasa kerangka UMNO yang lebih baik, UMNO perlulah menjadi pendengar yang baik. Menubuhkan institut atau memperkukuhkan peranan penerangannya adalah satu jentera yang baik dalam menyusun strategik menentang propaganda politik pembangkang yang kelihatan mengasak UMNO bertubi-tubi. Seolah-olah tiada jasa dilimpahkan UMNO sedari 52 tahun merdeka. Kritikan populis propaganda pembangkang seakan-akan diterima dan ditelan rakyat dengan baik. Ini haruslah ditentang dan dicantas sebaik-baiknya oleh UMNO dan kerajaan.
Seperti tulisan saudara Feriz, UMNO perlu menunjukkan jasanya dan menggali semula mesej dalam pembangunan syariah dan islamiknya sebaik mungkin. Sebaik-baiknya ialah dengan merangka strategik yang baik, perhubungan awam yang berkesan serta membentuk pendapat umum yang lebih baik penakatannya maka berjayalah UMNO kembali memartabatkan Melayu dan Islam. Jika tidak, selagi itulah UMNO dilihat “bodoh sombong”. Jika tidak disusun setara strategis oleh pakar perhubungan awam ini, maka kempenlah UMNO dan kerajaan, ia tetap begitu juga – hanya kelihatan seolah-olah propaganda kerajaan semata-mata.
Tulisan saya bukanlah untuk melihat UMNO terus berkubur dan tidak menampakkan jasa UMNO langsung, tetapi apakan daya saya kenyataan dan persepsi rakyat terbanyak memainkan peranan penting dalam kelakonan UMNO. Sebagai parti yang paling berjasa kepada orang Melayu dan Malaysia amnya, gagasan 1Malaysia kelihatan seperti retorik peringkat atas sahaja untuk ditekankan ke bawah. Walhal, dalam hal persepsi dan pendapat umum sepatutnya kerajaanlah yang mendengar pendapat dari bawah untuk didengar ke atas.
Mana perginya pegawai penerangan yang dilatih dan dilantik? Ke mana hala tujuan fokus penerangan mereka? Mana berita-berita rakyat terbanyak dalam media arus perdana? Di mana? Selagi UMNO terus leka dan terlupa, selagi itulah UMNO akan terus ditolak. Bak kata Prof Dato’ Hamdan Adnan, “Pegawai Perhubungan Awam tempatan muda tidak digunakan sebaik mungkin oleh kerajaan menyebabkan pendapat umum negara tidak berkisar tentang politik Melayu dan UMNO. Mereka lebih melihat UMNO sebagai parti yang elitis dan sombong.”
Oleh itu, tulisan saudara Feriz itu amatlah menarik perhatian untuk terus disiarkan dalam akhbar agar terus membuka mata umum, tetapi jika pihak kerajaan dan UMNO serta ‘think-tank’nya yang tidak melihat akan hal ini, nasib kerajaan dan UMNO pada pilihan raya depan juga kita tidak ketahui. Oleh itu, sebagai watan Melayu dan profesional muda, saya hanya mampu melihat UMNO terus hanyut dari jauh dengan hiba yang sedikit.
Semoga UMNO terus mendengar hati dan perasaan rakyat terbanyak.
(gambar: Yahoo Images)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.