Ahad, 27 Disember 2009

Antara Desakan Hidup dan Prinsip


Adakah anda sanggup mencuri sedangkan anda benar-benar lapar dan orang tidak mengendahkan kelaparan anda yang tak berduit??

Adakah anda akan berbohong sedangkan alasan sebenar anda sangat-sangat berbeza dari nilai anda yang jujur tetapi diragui orang??

Kenapa saya ajukan persoalan itu?

Saya pernah digelar anti-establishment, anti-kapitalis serta tidak suka dengan dunia order baru. Saya akur, mungkin sebab tertentu tetapi bukanlah saya anti order baru semuanya. Atas desakan hidup kita kena korbankan prinsip satu atau dua yang kita rasa hidup itu lebih penting.

Ceritanya, saya memang terkenal dengan sikap yang anti kepada bank dan juga kapitalis yang menekan hidup manusia. Pun begitu saya bukanlah pro-sosialis.

Saban tahun kita akan membayar penyambungan polisi insurans kereta serta memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan persendirian kita sama ada motosikal mahupun motokar. Atau kita tidak punya satu atau kedua-duanya?

Setiap tahun kita peruntukkan satu jumlah yang agak besar selain ansuran sewa-belinya untuk memastikan kenderaan kita boleh berada di jalan raya Malaysia. Bank-bank di Malaysia akan mengambil upah untuk mengaktifkan insurans tersebut serta memegang hak ke atas ‘geran’ kenderaan tersebut selagi belum selesai menjelaskan sewa-beli tersebut.

Sebenarnya, kita boleh mengambil geran kenderaan tersebut selepas beberapa ketika kita membayar sewa-beli tersebut (paling lama setahun). Jika kita tidak ambil, bank akan kenakan bayaran simpanan ke atas geran kenderaan tersebut dengan jumlah tertentu sebagai yuran simpanan barangan berharga (peti simpanan persendirian).

Bank juga akan menuntut bayaran polisi insurans dengan harga lebih tinggi berbanding harga sebenar kenderaan yang diinsuranskan kononnya agar kenderaan tersebut lebih bernilai jika ‘apa-apa’ terjadi kepada si empunya kenderaan.

Tahukah anda bahawa polisi insurans hanya akan membayar harga sebenar/semasa mengikut harga pasaran jika kenderaan anda mengalami ‘apa-apa’ di luar jangka anda. Mereka tidak akan membayar lebih bahkan mengikut nilaian semasa sahaja. Semasa anda membayar insurans, bulan-bulan mendatang, harga nilaian polisi anda terus berkurang dan bukannya bertambah. Oleh itu mengapa anda membayar polisi dengan harga lebih dari sepatutnya?

Ini kerana staf di bank akan mengambil komisen di atas setiap transaksi dan ditambah dengan komisen bank untuk tujuan proses kononnya. Anda akan membayar lebih kerana ‘benda-benda’ yang tidak perlu ini. Kadangkala anda terpaksa berhutang demi ‘memenuhi’ penipuan si kerani bank membuat duit poket dengan agen insuransnya. Diskaun kononnya hanyalah menyedapkan halwa telinga anda.

Pergilah ke daftar rasmi kenderaan untuk memperbaharui skim insurans dan cukai jalan anda.

Di Malaysia, Persatuan Kenderaan ditubuhkan untuk membantu anda dalam hal-hal berkaitan automobil ini. Tetapi kita sering lepas pandang apatah lagi fungsi persatuan ini tidak boleh dikomersialkan sebagai usaha melindungi hak-hak kapitalis untuk ‘menipu’ wang anda.

Pergilah ke AAM (Persatuan Automobil Malaysia) di serata Malaysia serta bandingkanlah dengan harga yang ditawarkan oleh bank-bank kapitalis Malaysia. Anda akan lihat perbezaan harga 20 ke 30%.

Tanya polisi syarikat insurans adakah mereka akan membayar polisi mengikut harga polisi yang di bayar atau mengikut harga pasaran polisi tersebut? Tanyalah bank berapa caj-caj perkhidmatan yang dirahsiakan dari pengetahuan anda dalam hal-hal mengaktifkan polisi dan memperbaharui cukai jalan anda???? (Jika anda mengatakan saya tipu)

Sedarlah, bukan semua hal menguntungkan kita sebagai pengguna. Walaupun perbezaan adalah sebanyak 20 ke 30% tetapi sekiranya berlaku ‘apa-apa’ hanya itulah yang akan di bayar si ejen insurans bukannya ‘lebih’ pun.

Di AAM perkhidmatannya adalah percuma serta memang dikhususkan untuk pemilik kenderaan yang anti-kapitalis membuat untung dengan cara mengaburi mata pengguna seperti saya.

Saya bukanlah mempromosikan perkhidmatan persatuan ini tetapi saya sebagai pengguna sentiasa mencari alternatif menyedarkan pengguna agar jangan ditipu pihak kapitalis yang membuat duit tanpa memikirkan jerih payah kita mencari wang untuk hidup.

p/s: Teringat cerita “Drag Me To Hell” kisah anti kapitalis Bank dengan nenek tua – Sylvia Ganuesh.

/mfa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.