Selasa, 26 Januari 2010

Malaysia ~ Mini Asia....


Tanggal November 17, 2009 ~ Mantan Perdana Menteri paling berjaya membangunkan ekonomi negaranya menjadi Negara Maju ketiga di Asia mengakui beliau telah tersilap.

Beliau ialah Perdana Menteri Singapura, En. Lee Kuan Yew.

Mantan Perdana Menteri pertama Singapura yang berkuasa hampir dua dekad ini mengakui bahawa rakyatnya yang fasih berbahasa Inggeris serta menerobos jauh ke sistem ekonomi kapitalis yang membanggakan telah ‘hilang jati dirinya’.

Mereka bukan sahaja tidak mahir lagi berbahasa Mandarin (Cina) dan Bahasa Melayu (Melayu) terus tertinggal dek kelakonan diri yang semakin menyusut.

Penduduk mereka yang terlalu mengejar material dan meninggalkan nilai-nilai bangsa telah terus terpaku dengan globalisasi dan kemakmuran ekonomi sehingga menghilangkan seni dan kreativiti.

Penduduknya Cina dan Melayu yang sangat fasih berbahasa antarabangsa itu tidak mungkin menjadi ‘lebih orang putih’ berbanding orang putih sendiri. Tertinggalnya jati diri bangsa yang mereka anuti, Singapura tidak punya apa-apa nilai seni dan budaya serta kelakonan kreativiti seni kebudayaan terus tenggelam.

Kurangnya watan Cina bertutur dan bangga dengan bahasa Mandarin serta watan Melayu yang tidak pandai berkomunikasi dan berkreativiti bahasa Melayu terus menenggelamkan sebuah negara yang punya banyak warna dan rasa ini.

Berbanding Malaysia, watan Melayu sangat arif berbahasa Inggeris bahkan anak-anak mudanya juga boleh menjadi Naib Juara Debat Dunia – peringkat antarabangsa walaupun fasih dan peka dengan bahasa Melayunya yang makan belacan.

Manakala watan Cina Malaysia pula pandai dan peka dengan penstrukturan baru perkembangan bahasa Mandarin di Tanah Besar China juga sensitif dan arif menggunakan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

Tatkala masyarakat India yang berada di estet-estet pertanian suatu ketika dahulu juga kini berjaya menjadi peguam-peguam hebat di Malaysia bahkan juga di England. Tetap mahir berbahasa Tamil, mereka juga lebih arif dengan kesusasteraan Inggeris dan juga tahu bahasa Melayu.

Tidak hairan jika kerajaan ‘menjual’ Malaysia dengan bakat kreatif rakyat Malaysia yang pelbagai rencamnya – Mini Asia. Selain tidak kehilangan jati diri setiap watan (Melayu, Cina dan India), bakat dan kreativiti kita menimba dan meneroka dunia kapitalis dan globalisasi dengan acuan kita tetap setanding negara moden lain di kota raya dunia yang terkenal.

Tahniah Malaysia, jati diri kita di peta bumi ini kekal menjadikan kita MINI ASIA – Asia Kecil untuk semua bangsa besar dunia (Melayu dari bangsa Indonesia salah satu negara besar, Cina dari tanah besar Cina, dan India dari benua kecil India).

Semua bangsa besar dan negara hebat dan besar berkumpul di Malaysia dengan penakatan dan kelakonan yang tidak kurang hebatnya.

Ayuh Maju......

Selasa, 19 Januari 2010

Naik Gaji, Naik Barang??? --Biarlah!!



Rakyat Malaysia suka subsidi dan murah-murah. Berjangkit dengan jiran mereka, Singapura agaknya.

Jika barangan naik RM0.01 pun, riuhnya mengalahkan apa, bahkan barang-barang lain yang tak ada kena mengena dengan barang tersebut turut naik. Dikaitkanlah dengan sebanyak mungkin andaian perkaitan kenaikan tersebut.

Kalau boleh mereka nak percuma. Tapi kalau bab mendapat upah atau bayaran, mereka nak yang tertinggi, terbaik dan terhebat dari segala antara. Hebatkan penakatan rakyat Malaysia!

Bulan Februari bakal menjelma. Pemerintah bakal mengumumkan gaji buruh-buruh kelas D dan C. Kenaikan sehingga 25% dari upah semasa serta boleh melambung sehingga 45% meningkatkan lagi taraf hidup watan bakal menaikkan beberapa lagi barangan di pasaran.

Peniaga suka mengambil kesempatan. Kita pun apa kurangnya, jika berkesempatan sapu juga, ye tak? (Jangan marah)

Oleh itu, seperti kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, rakyat harus bersedia dengan segala macam kenaikan dan bekerja dengan lebih keras serta sentiasa menambah nilai sesuatu kerja dan produk, jika mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.

Jika mahukan gaji yang lebih baik dan setimpal, tambah lagi pengetahuan dan jadilah lebih kreatif. Bila kita produktif dan kreatif serta sentiasa menambah nilai sesuatu perkara dengan inovasi, maka syarikat atau organisasi kita akan punya untung yang baik. Keuntungan yang baik dan tinggi ini tentunya memberikan mereka peluang untuk membayar gaji dan imbuhan yang berbaloi kepada kakitangannya yang cekap.

Kenaikan gaji ini akan menuntut para majikan di sektor pembuatan, makanan serta lain-lain sektor sekunder dan perkhidmatan menaikkan caj perkhidmatan mereka. Kenaikan ini untuk menyerap keuntungan mereka pula dan seterusnya menaikkan gaji kakitangan mereka yang bekerja di sektor pembuatan (kilang-kilang) serta sektor perkhidmatan seperti keselamatan dan kesihatan selain makanan.

Kenaikan-kenaikan ini memberi keuntungan kepada para pekerja dan juga para peniaga agar mereka juga punya untung yang tinggi serta memberi semula kepada kerajaan melalui cukai berkaitan dan membayar imbuhan kepada tenaga kerja mereka.

Kerajaan pula akan meningkatkan projek-projek dan infrastruktur peniaga dengan penakatan yang baik di samping membayar gaji kakitangan khidmatnya dengan nilai terbaik juga pada mereka. Kenaikan ini menyebabkan KDNK negara akan meningkat, dan seterusnya menaikkan kadar indeks-indeks ekonomi utama negara seperti pelaburan asing langsung (FDI), cukai-cukai import, tarif-tarif luar negara, nilai mata wang yang meningkat, indeks-indeks saham pegangan asing serta pelaburan syarikat asing dengan milikan ekuiti tertentu.

Kenaikan-kenaikan ini sebenarnya berpusing di dalam negara juga dan sudah tentu memberi satu implikasi positif kepada ekonomi.

Ramai tertanya-tanya apakah tambah nilai dan ekonomi inovasi yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri?

Nilai tambah ialah jika kita membuat sesuatu itu dan memberi satu lagi peluang perniagaan lain. Misalnya bagi pengeluaran susu ternakan lembu boleh menghasilkan daging, susu, keju dan lain-lain produk tenusu. Jika ditambah nilai misalnya, produk tersebut boleh membuat bahan-bahan lain seperti kosmetik serta bahan-bahan perubatan nano dan sebagainya.

Manakala inovasi pula sebagai contoh, kita haruslah tidak bergantung pada projek hiliran dan huluan seperti sebelum ini dalam bidang tenusu tetapi mengubah landskap perniagaan tadi seperti memasuki bidang pertanian ladang sebagai subsektor. Baja-baja kompos boleh diperolehi dari najis lembu tenusu tadi, dan bahan-bahan kompos boleh ditukarkan menjadi produk pertanian. Manakala produk pertanian ladang boleh dijadikan makanan lembu tenusu tadi.

Produk-produk tenusu seperti keju boleh diusahakan dengan membuat kilang-kilang yang menambah nilai keju tersebut. Yogurt untuk makanan dan tujuan kecantikan boleh digunakan. Membekalkan produk tersebut ke kedai makanan segera dan kedai yang memerlukan tenusu bukanlah matlamat akhir. Produk-produk tadi haruslah dikemaskan dengan pembungkusan lebih baik untuk tujuan komersial jualan untuk rumah-rumah serta pengguna industri luar negara.

Nilai tambah, kreatif dan inovasi dalam lain-lain produk haruslah dikekalkan dan sentiasa ditambah baik lagi. Produk-produk pasir janganlah dieksport begitu sahaja. Pasir boleh ditukar menjadi cip komputer (jika bersilika), membuat cermin serta bahan mentah cermin lain seperti wafer cermin bagi kegunaan industri automotif dan industri komputer.

Lain-lain produk dan bahan haruslah mengikut arah kesesuaian bidang tersebut. Seperti di jabatan awam, setiausaha bukan sahaja menjaga bos dan kerja-kerja pengawalan pejabat dan diari/menjawab telefon, bahkan menjadi pegawai perhubungan awam (PRO) kepada bos dan juga tugas sebagai jurucakap bagi majlis mereka. Kadangkala mereka jugalah yang akan menjadi pengerusi majlis acara (Master of Ceremony), penulis buku dan risalah dalaman serta menjadi agen tapisan keselamatan dokumen dan pembentang polisi kerajaan.




Lihatlah, walaupun mempunyai bidang tugas kesetiausahaan, tetapi ilmu-ilmu sains politik dan pengajian polisi serta pengajian media dan komunikasi merupakan nilai tambah mereka. (Berapakah upah/pendapatan setiausaha yang cekap dan punyai pelbagai kepakaran ini berbanding setiausaha yang tahu menaip surat dan menjaga diari bos semata-mata? Tentu berbeza kan?)

Tingkatkanlah prestasi kerja dengan nilai tambah, kreatif dan inovasi, semoga anda tidak mengeluh jika harga barangan dinaikkan waima RM100 pun. Kerana kepakaran kita dan gaji/pendapatan kita berbaloi dan setimpal dengannya.

MyID GAGAL JIKA CUAI


Saudara pengarang,

Saya amat tertarik dengan satu laporan berita berkaitan “Penjaga Parkir Diisytiharkan Bankrap” baru-baru ini.

Dewasa kini semakin banyak kita dengar tentang penyalahgunaan dokumen peribadi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam membuat pinjaman atau menyertai mana-mana perjanjian perkhidmatan seperti memohon talian telefon dan kad kredit.

Cerita-cerita sebegini saban hari memenuhi ruangan akhbar dan acap kali dilaporkan. Manakala setiap kali aduan yang dibuat di balai-balai polis, jawapan yang diterima ialah “laporan akan disiasat” sehingga ia menjadi tenggelam punca.

Kes-kes sebegini sebenarnya boleh dikaitkan dengan agen-agen tertentu sama ada oleh pihak bank, agen talian pasca bayar telekomunikasi serta agen yang menawarkan kad kredit untuk mendapatkan komisen bulanan di atas kejayaan mereka mendaftarkan nama seseorang itu untuk menyertai mana-mana program yang dianjurkan mereka. Akibatnya, sesiapa jua akan didaftarkan walaupun tiada saringan maklumat dengan mendalam dibuat serta rujukan penting berkaitan individu malang tersebut.

Ragut, kehilangan serta tercicir dokumen sepenting kad pengenalan menyebabkan individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk menyertai mana-mana perkhidmatan yang akhirnya menyusahkan individu yang kehilangan kad pengenalan itu. Disamping itu, agen tadi tetap mampu mendapat komisen yang tinggi atas air mata orang lain.

Dalam kes terbaru, seorang penjaga parkir terpaksa 'muflis' gara-gara terlibat dengan pinjaman kenderaan yang bernilai ratusan ribu. Apakah mungkin seorang penjaga parkir mampu memiliki sebuah kereta semewah itu? Kita sedia maklum bahawa gajinya mungkin sekadar cukup makan dan kali ini terpaksa melunaskan hutang yang sama sekali bukan dibuat atas pengetahuan sedar beliau.

Kes-kes penipuan seperti pendaftaran telefon bimbit pasca bayar yang menyebabkan individu terpaksa berhutang ribuan ringgit akibat penyalahgunaan dokumen juga saban hari menjadi-jadi. Begitu juga dengan pendaftaran kad kredit. Kes-kes ini sebenarnya memerlukan satu kajian mendalam harus dibuat ke atas penggunaan MyID yang baru-baru ini dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri yang boleh disalah gunakan tanpa saringan maklumat yang benar-benar jelas dan sahih dan kawalan yang ketat.

Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya mewujudkan satu mekanisma penting untuk memastikan hal-hal sebegini tidak menjerat warga Malaysia. Kepada agen-agen berkaitan pinjaman, telekomunikasi serta bank dan kad kredit haruslah bertanggungjawab sekiranya terdapat keraguan dalam sesuatu permohonan dan bukannya ‘membantu’ orang yang tidak bertanggungjawab ini memusnahkan hidup orang lain sewenang-wenangnya. Tapisan keselamatan individu yang memohon haruslah disahkan dengan benar-benar sahih dan barulah transaksi itu dibenarkan. Juga harus diingatkan bahawa agen-agen yang mendaftarkan juga mestilah dipertanggungjawabkan di kemudian hari sekiranya berlaku kes-kes penyelewengan data dan maklumat. Ini membuatkan mereka juga prihatin untuk menyemak akan kebenaran dan kesahihan sesuatu dokumen itu sebelum mendaftarkannya.

Saya juga berharap agar Biro Bantuan Guaman (BBG) dapat memainkan peranan yang lebih penting dan signifikan dalam membantu mereka yang benar-benar teraniaya serta kurang kemampuan untuk membela nasib mereka. BBG seharusnya agresif dalam membantu individu teraniaya serta kurang mampu ini berbanding hanya diam di bilik-bilik pejabat mereka sahaja.

Jika tiada kawalan dan pematuhan yang lebih lengkap ini, amatlah malang bagi kerajaan yang mewujudkan program MyID untuk diguna pakai dalam sistem pentadbiran kerajaan. Kegagalan ini mengundang lebih banyak kepayahan berbanding membantu menyelesaikan masalah yang diharapkan. Semoga kita dapat menjaga keselamatan peribadi data kita seperti kad pengenalan. Semoga tiada bala musibah menimpa kita selepas menggunakan sistem MyID.



(seperti ruangan Forum Utusan Malaysia dan Berita Harian)

Rabu, 6 Januari 2010

Merawat Lebih Baik dari Mengubati


Falsafah seorang doktor, sebelum kamu mendapat sakit itu, lebih baik kamu jangan menjemputnya.

Lebih baik kita memadamkan punca api daripada kita membiarkannya dan terus mengawal sepanjang masa tanpa leka. Kelekaan yang sekejap menyebabkan semua penyakit akan singgah di tubuh dan sudah tentu sudah terlewat untuk menyembuhkannya. Jika tiada penawar, maka akan berterusanlah sakitnya dan boleh menyebabkan mati.

Falsafah di atas adalah satu penakatan tugas seorang pengamal perubatan secara umumnya dan boleh menjadi kepada semua orang yang mahu berfikir dengan matang.

Entri ini akan membincangkan peri pentingnya autokratik kadang kala untuk menutup kebobrokan dan kedangkalan demokrasi.

Pada zaman kegemilangan Melayu/Islam Malaysia di bawah pemerintah Dr Mahathir, ketegasan beliau kadang kala melihatkan betapa beliau begitu pantas bertindak dan memadamkan sumbu api yang terbakar. Walaupun kerap digelar MahaZalim, MahaFiraun tetapi makhluk Allah SWT ini tahu akan falsafahnya – Mencegah Lebih Baik dari Mengubati.

Ketegasan dan bertindak secara agresif mampu menunjukkan kejantanan beliau berpolitik serta matang dalam pertimbangannya. Suara beliau digeruni, ulasan beliau mendapat liputan dalam dan luar negara sama ada ditafsirkan secara negatif mahupun positif. Itulah Mahathir, Legasi beliau membentuk satu bangsa yang benar-benar merdeka dan ampuh.

Setelah menghadiri mesyuarat Kabinet Pertama Perdana Menteri, beberapa perkara pokok yang ditekankan oleh Perdana Menteri kita DS Najib bolehlah dilihat sebagai sesuatu yang boleh membantu situasi ini. Cuma beliau kena lebih tegas dan agresif lagi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara bangsa ini.

Aman, Makmur dan Bersatu-Padu

Tepat jam 9:00 pagi di Putrajaya, beliau memulakan ucapan alu-aluan dengan kedatangan tahun baru 2010 yang menurut beliau adalah tahun bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat.

Melihatkan keupayaan konsep 1Malaysia, beliau mahukan rakyat terus disemai semangat hormat-menghormati serta paling penting sentiasa bersatu padu dalam menjaga aspirasi negara.

Ekonomi

Semua genap kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan segala bentuk penjimatan dan ketelusan perbelanjaan berhemah. Memandang kelakonan ekonomi negara yang masih belum sekukuh tahun 2004 – 2006, beliau menyeru agar semua warga penjawat awam termasuk perkhidmatan awam (YB Menteri dan Pemerintah) menggunakan dana awam dengan cara yang jujur, ikhlas serta yang paling penting memberi nilai kepada masyarakat terbanyak.

Tidak ketinggalan, bagi projek-projek serta bidaan awam, perlulah mengikut segala kehendak awam yang mengutamakan kebajikan rakyat, memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kepenggunaan ruang yang maksimum dan lagi penting dari itu, menjimatkan wang awam dan berbaloi dengan nilai bidaannya.

Perbelanjaan dan pembinaan sesuatu projek yang baru haruslah sentiasa sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk tentang kemewahan dan pembaziran wang awam tersebut.

Suara yang dipusatkan

Seperti yang pernah saya tukikkan dalam blog saya sebelum ini, Semua orang suka bercakap, mengulas dan membuat andaian dan persepsi amatlah buruk kepada negara. Tidak dapat tidak, masalah ini melihatkan sistem komunikasi pemerintah seolah-olah bobrok dan goblok (bodoh).

Oleh itu, saranan YAB PM amatlah bertepatan bahawa setiap pemimpin termasuk kepemerintahan dan kementerian haruslah menggunakan satu kordinasi dan kepusatan informasi.

Maklumat serta apa-apa ruang pengumuman, komentar serta apa juga komunikasi pemerintah dengan rakyat mestilah disatukan serta saling sentiasa bertaut dan membantu yang lain.

Pemerintah-pemerintah kecil dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat komen, ulasan serta pengumuman yang sering bercanggah serta tidak konsisten antara satu dengan yang lain. Haruslah berpusat dan tersusun kordinasinya.

Setidak-tidaknya beliau sudah menunjukkan bahawa kordinasi dan kesalingan bergantung dalam membuat hujah amatlah penting dalam menunjukkan kebersatuan pemerintah dengan agensinya serta kementerian. PM juga harus menunjukkan komitmen beliau yang tegas serta cekap menguruskan isu-isu dengan lebih baik lagi. Beliau kena lebih pantas mengulas sesuatu isu dengan nada yang tegas serta agresif.

Semoga Tahun 2010 mengubah landskap politik dan kemakmuran negara menghadapi era sebelum Pilihan raya ke-13.

p/s: DS Najib, saya prihatin dengan DS yang mendengar komen dan pandangan orang bawah seperti saya walaupun anda punya duduk letak yang tinggi.