Selasa, 19 Januari 2010

Naik Gaji, Naik Barang??? --Biarlah!!



Rakyat Malaysia suka subsidi dan murah-murah. Berjangkit dengan jiran mereka, Singapura agaknya.

Jika barangan naik RM0.01 pun, riuhnya mengalahkan apa, bahkan barang-barang lain yang tak ada kena mengena dengan barang tersebut turut naik. Dikaitkanlah dengan sebanyak mungkin andaian perkaitan kenaikan tersebut.

Kalau boleh mereka nak percuma. Tapi kalau bab mendapat upah atau bayaran, mereka nak yang tertinggi, terbaik dan terhebat dari segala antara. Hebatkan penakatan rakyat Malaysia!

Bulan Februari bakal menjelma. Pemerintah bakal mengumumkan gaji buruh-buruh kelas D dan C. Kenaikan sehingga 25% dari upah semasa serta boleh melambung sehingga 45% meningkatkan lagi taraf hidup watan bakal menaikkan beberapa lagi barangan di pasaran.

Peniaga suka mengambil kesempatan. Kita pun apa kurangnya, jika berkesempatan sapu juga, ye tak? (Jangan marah)

Oleh itu, seperti kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, rakyat harus bersedia dengan segala macam kenaikan dan bekerja dengan lebih keras serta sentiasa menambah nilai sesuatu kerja dan produk, jika mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.

Jika mahukan gaji yang lebih baik dan setimpal, tambah lagi pengetahuan dan jadilah lebih kreatif. Bila kita produktif dan kreatif serta sentiasa menambah nilai sesuatu perkara dengan inovasi, maka syarikat atau organisasi kita akan punya untung yang baik. Keuntungan yang baik dan tinggi ini tentunya memberikan mereka peluang untuk membayar gaji dan imbuhan yang berbaloi kepada kakitangannya yang cekap.

Kenaikan gaji ini akan menuntut para majikan di sektor pembuatan, makanan serta lain-lain sektor sekunder dan perkhidmatan menaikkan caj perkhidmatan mereka. Kenaikan ini untuk menyerap keuntungan mereka pula dan seterusnya menaikkan gaji kakitangan mereka yang bekerja di sektor pembuatan (kilang-kilang) serta sektor perkhidmatan seperti keselamatan dan kesihatan selain makanan.

Kenaikan-kenaikan ini memberi keuntungan kepada para pekerja dan juga para peniaga agar mereka juga punya untung yang tinggi serta memberi semula kepada kerajaan melalui cukai berkaitan dan membayar imbuhan kepada tenaga kerja mereka.

Kerajaan pula akan meningkatkan projek-projek dan infrastruktur peniaga dengan penakatan yang baik di samping membayar gaji kakitangan khidmatnya dengan nilai terbaik juga pada mereka. Kenaikan ini menyebabkan KDNK negara akan meningkat, dan seterusnya menaikkan kadar indeks-indeks ekonomi utama negara seperti pelaburan asing langsung (FDI), cukai-cukai import, tarif-tarif luar negara, nilai mata wang yang meningkat, indeks-indeks saham pegangan asing serta pelaburan syarikat asing dengan milikan ekuiti tertentu.

Kenaikan-kenaikan ini sebenarnya berpusing di dalam negara juga dan sudah tentu memberi satu implikasi positif kepada ekonomi.

Ramai tertanya-tanya apakah tambah nilai dan ekonomi inovasi yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri?

Nilai tambah ialah jika kita membuat sesuatu itu dan memberi satu lagi peluang perniagaan lain. Misalnya bagi pengeluaran susu ternakan lembu boleh menghasilkan daging, susu, keju dan lain-lain produk tenusu. Jika ditambah nilai misalnya, produk tersebut boleh membuat bahan-bahan lain seperti kosmetik serta bahan-bahan perubatan nano dan sebagainya.

Manakala inovasi pula sebagai contoh, kita haruslah tidak bergantung pada projek hiliran dan huluan seperti sebelum ini dalam bidang tenusu tetapi mengubah landskap perniagaan tadi seperti memasuki bidang pertanian ladang sebagai subsektor. Baja-baja kompos boleh diperolehi dari najis lembu tenusu tadi, dan bahan-bahan kompos boleh ditukarkan menjadi produk pertanian. Manakala produk pertanian ladang boleh dijadikan makanan lembu tenusu tadi.

Produk-produk tenusu seperti keju boleh diusahakan dengan membuat kilang-kilang yang menambah nilai keju tersebut. Yogurt untuk makanan dan tujuan kecantikan boleh digunakan. Membekalkan produk tersebut ke kedai makanan segera dan kedai yang memerlukan tenusu bukanlah matlamat akhir. Produk-produk tadi haruslah dikemaskan dengan pembungkusan lebih baik untuk tujuan komersial jualan untuk rumah-rumah serta pengguna industri luar negara.

Nilai tambah, kreatif dan inovasi dalam lain-lain produk haruslah dikekalkan dan sentiasa ditambah baik lagi. Produk-produk pasir janganlah dieksport begitu sahaja. Pasir boleh ditukar menjadi cip komputer (jika bersilika), membuat cermin serta bahan mentah cermin lain seperti wafer cermin bagi kegunaan industri automotif dan industri komputer.

Lain-lain produk dan bahan haruslah mengikut arah kesesuaian bidang tersebut. Seperti di jabatan awam, setiausaha bukan sahaja menjaga bos dan kerja-kerja pengawalan pejabat dan diari/menjawab telefon, bahkan menjadi pegawai perhubungan awam (PRO) kepada bos dan juga tugas sebagai jurucakap bagi majlis mereka. Kadangkala mereka jugalah yang akan menjadi pengerusi majlis acara (Master of Ceremony), penulis buku dan risalah dalaman serta menjadi agen tapisan keselamatan dokumen dan pembentang polisi kerajaan.




Lihatlah, walaupun mempunyai bidang tugas kesetiausahaan, tetapi ilmu-ilmu sains politik dan pengajian polisi serta pengajian media dan komunikasi merupakan nilai tambah mereka. (Berapakah upah/pendapatan setiausaha yang cekap dan punyai pelbagai kepakaran ini berbanding setiausaha yang tahu menaip surat dan menjaga diari bos semata-mata? Tentu berbeza kan?)

Tingkatkanlah prestasi kerja dengan nilai tambah, kreatif dan inovasi, semoga anda tidak mengeluh jika harga barangan dinaikkan waima RM100 pun. Kerana kepakaran kita dan gaji/pendapatan kita berbaloi dan setimpal dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.