Selasa, 19 Januari 2010

MyID GAGAL JIKA CUAI


Saudara pengarang,

Saya amat tertarik dengan satu laporan berita berkaitan “Penjaga Parkir Diisytiharkan Bankrap” baru-baru ini.

Dewasa kini semakin banyak kita dengar tentang penyalahgunaan dokumen peribadi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam membuat pinjaman atau menyertai mana-mana perjanjian perkhidmatan seperti memohon talian telefon dan kad kredit.

Cerita-cerita sebegini saban hari memenuhi ruangan akhbar dan acap kali dilaporkan. Manakala setiap kali aduan yang dibuat di balai-balai polis, jawapan yang diterima ialah “laporan akan disiasat” sehingga ia menjadi tenggelam punca.

Kes-kes sebegini sebenarnya boleh dikaitkan dengan agen-agen tertentu sama ada oleh pihak bank, agen talian pasca bayar telekomunikasi serta agen yang menawarkan kad kredit untuk mendapatkan komisen bulanan di atas kejayaan mereka mendaftarkan nama seseorang itu untuk menyertai mana-mana program yang dianjurkan mereka. Akibatnya, sesiapa jua akan didaftarkan walaupun tiada saringan maklumat dengan mendalam dibuat serta rujukan penting berkaitan individu malang tersebut.

Ragut, kehilangan serta tercicir dokumen sepenting kad pengenalan menyebabkan individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk menyertai mana-mana perkhidmatan yang akhirnya menyusahkan individu yang kehilangan kad pengenalan itu. Disamping itu, agen tadi tetap mampu mendapat komisen yang tinggi atas air mata orang lain.

Dalam kes terbaru, seorang penjaga parkir terpaksa 'muflis' gara-gara terlibat dengan pinjaman kenderaan yang bernilai ratusan ribu. Apakah mungkin seorang penjaga parkir mampu memiliki sebuah kereta semewah itu? Kita sedia maklum bahawa gajinya mungkin sekadar cukup makan dan kali ini terpaksa melunaskan hutang yang sama sekali bukan dibuat atas pengetahuan sedar beliau.

Kes-kes penipuan seperti pendaftaran telefon bimbit pasca bayar yang menyebabkan individu terpaksa berhutang ribuan ringgit akibat penyalahgunaan dokumen juga saban hari menjadi-jadi. Begitu juga dengan pendaftaran kad kredit. Kes-kes ini sebenarnya memerlukan satu kajian mendalam harus dibuat ke atas penggunaan MyID yang baru-baru ini dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri yang boleh disalah gunakan tanpa saringan maklumat yang benar-benar jelas dan sahih dan kawalan yang ketat.

Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya mewujudkan satu mekanisma penting untuk memastikan hal-hal sebegini tidak menjerat warga Malaysia. Kepada agen-agen berkaitan pinjaman, telekomunikasi serta bank dan kad kredit haruslah bertanggungjawab sekiranya terdapat keraguan dalam sesuatu permohonan dan bukannya ‘membantu’ orang yang tidak bertanggungjawab ini memusnahkan hidup orang lain sewenang-wenangnya. Tapisan keselamatan individu yang memohon haruslah disahkan dengan benar-benar sahih dan barulah transaksi itu dibenarkan. Juga harus diingatkan bahawa agen-agen yang mendaftarkan juga mestilah dipertanggungjawabkan di kemudian hari sekiranya berlaku kes-kes penyelewengan data dan maklumat. Ini membuatkan mereka juga prihatin untuk menyemak akan kebenaran dan kesahihan sesuatu dokumen itu sebelum mendaftarkannya.

Saya juga berharap agar Biro Bantuan Guaman (BBG) dapat memainkan peranan yang lebih penting dan signifikan dalam membantu mereka yang benar-benar teraniaya serta kurang kemampuan untuk membela nasib mereka. BBG seharusnya agresif dalam membantu individu teraniaya serta kurang mampu ini berbanding hanya diam di bilik-bilik pejabat mereka sahaja.

Jika tiada kawalan dan pematuhan yang lebih lengkap ini, amatlah malang bagi kerajaan yang mewujudkan program MyID untuk diguna pakai dalam sistem pentadbiran kerajaan. Kegagalan ini mengundang lebih banyak kepayahan berbanding membantu menyelesaikan masalah yang diharapkan. Semoga kita dapat menjaga keselamatan peribadi data kita seperti kad pengenalan. Semoga tiada bala musibah menimpa kita selepas menggunakan sistem MyID.



(seperti ruangan Forum Utusan Malaysia dan Berita Harian)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.