Khamis, 29 April 2010

Berani Buat, Berani Tanggung!!!


“Jangan bagi dia undi banyak-banyak....nanti disalahgunakan .”

“Kita sokong, cuma tak mahu mereka punya kerusi banyak-banyak dalam Parlimen sana.....”

“Bagus la, sekurang-kurangnya semak dan seimbang (check and balance)....”

Kata-kata di atas bolehlah dianggap satu pendapat ramai kenapa kaum Tionghua keberatan mahu mengundi Barisan Nasional (BN). Namun ini bukanlah satu alasan utama semata-mata. Banyak lagi pertimbangan yang meletakkan mereka untuk tidak mengundi BN dalam pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum sebelum dan pada masa akan datang.

Bagi mereka kekecewaan memberikan undi yang sangat besar kepada Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 meninggalkan kesan yang amat besar sekali dalam dekad ini. Dengan majoriti melebihi 2/3 serta lebih besar komposisi BN di Parlimen mengakibatkan minoriti ini menanggung azab yang pedih.

Azab yang paling berbekas di sanubari mereka ialah bila kerajaan dengan angkuhnya melaung-laungkan ‘Islam Hadhari’ yang mencemaskan kaum bukan Melayu/Islam. Bagi mereka isu itu seolah-olah mahu memaksakan ‘Islam’ ke atas pentadbiran awam dan negara. Bahkan lebih dari itu, apa yang mereka paling sesalkan ialah dengan undian besar itu adalah dengan harapan agar Mantan PM Tun Dr Mahathir tahu bahawa BN akan terus cekal tanpa campur tangan mantan PM tersebut untuk mentadbir negara setelah 23 tahun menerajuinya.

Galas harapan mereka kepada Tun Abdullah nyata sia-sia dan jauh lebih perit lagi dari itu. Kerajaan dilihat begitu angkuh dan sombong serta bertindak di luar apa yang dijangkakan. Tun Abdullah dengan sewenang-wenangnya mencengkam ekonomi rakyat. Harga minyak benzin atau petrol dilemparkan ke pasaran terbuka setinggi harga pasaran sebenar yang selama ini dijaga ketat subsidinya oleh Tun Dr Mahathir terbuka luas jurangnya. Dek kerana kenaikan luar biasa itu, semua harga barangan naik tanpa kawalan, direktorat-direktorat awam pula bertindak sesuka hati dalam memperkenalkan sesuatu projek, rasuah dilihat begitu ketara terutama melibatkan tender-tender yang terdapat di Putrajaya. (konon juga di sapu bersih oleh seseorang kroni PM –anak menantunya)

Inilah harga yang dibayar mereka setelah memberikan 1,001 peratus kepercayaan kepada Mr. Clean sebelum ini. Semua projek-projek Wilayah Pembangunan Ekonomi daerah-daerah kecil terletak nun jauh terpencil di ceruk rantau yang tak tercapai akal mereka untuk terlibat dalam sektor ekonomi. Wang-wang ringgit ditabur-taburkan ke mana-mana sahaja yang Perdana Menteri ketika itu adakan lawatan. Setiap negeri yang beliau lawati pasti menyumbangkan RM1bilion, setidak-tidaknya mencemaskan mereka.

Pernah mereka berkata kenapa harus membayar cukai sedangkan Perdana Menteri akan beri peruntukan itu kepada mana-mana Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri-negeri lain untuk tujuan politik. Akhirnya, harga barangan dan petrol terpaksa dibebankan pada rakyat.

Setelah sebegitu tinggi rupa pengorbanan mereka dipersiakan, kini menjadi tugas berat dan mencabar Perdana Menteri Dato’ Seri Najib pula untuk mengembalikan keyakinan itu kepada mereka di seluruh negara. Kita selalu yakin bahawa sekali jalan kena, dua kali jalan tahu. Bermakna orang yang rasa tertipu tidak mudah untuk tertipu untuk arakian kali berikutnya. Sekali mereka terguris, luka tersebut boleh dipulihkan tetapi kesannya masih berparut dan bersisa di nurani mereka. Kepercayaan biasanya diberikan sekali sahaja dalam mana-mana persahabatan, dan ternyata BN telah menyalahgunakan keyakinan mereka.

Kini menjadi tugas kerajaan pulalah untuk membetulkan kembali kesilapan lampau yang membenamkan jiwa nurani mereka sejauh-jauhnya. Berilah apa yang kamu mahu beri, tetapi kami tetap akan memastikan undi kami untuk pembangkang agar ada kuasa seimbang – rakyat jangan diperkotak-katikkan.

Untuk makluman, BN kalah teruk di kebanyakan kerusi-kerusi di bandar-bandar besar Semenanjung kerana penduduk di kawasan tersebut terjejas dengan kesan kenaikan harga barangan. Sehingga ada yang berkata, lebih untung duduk di kampung sebab banyaknya subsidi dan pokok kayu untuk dimakan. Di bandar, semuanya mahu dibeli. Gaji beribu ringgit pun sudah tentu tidak cukup dengan keluarga yang ramai.

Lihat sahaja Dato’ Seri Sharizat Jalil yang tersungkur di Parlimen Lembah Pantai, semuanya semata-mata kerana periuk nasi pengundi terancam dek kelakonan pemimpin BN masa itu.

Selasa, 27 April 2010

Biasakan dengan Realiti!!


“Kalau kita tewas, kita harus bangkit menentang!.....”

“Kerajaan zalim, kejam kepada kita....”


Kata-kata di atas acap kali kita dengar dan ketahui melalui bacaan umum. Pendapat umum ini telah lama ‘dibiakkan’ oleh parti pembangkang dan terus ‘subur’ dalam pembentukan pendapat umum. Kerajaan digambarkan sebagai zalim dan menjadi lumrah kerajaan dipersalahkan dalam segala genap segi ketidaktentuan kehidupan watan Malaysia.

Pernahkah kita melihat seseorang sebelum ini yang berkata “Mahkamah itu adil” hanya semata-mata kehendak dan inspirasi hatinya dijayakan oleh hukum “Yang Arif”? tetapi sekiranya keputusan kehakiman itu tidak memihak kepada kehendak dan aspirasinya, maka kedengaran pula kata-kata mahkamah itu tidak telus, zalim serta dipengaruhi parti pemerintah, sistem kehakiman harus dirobah dan di’bersihkan’ dari elemen politik kerajaan katanya.

Pernahkah kita dengar “Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)” adalah ejen kerajaan dan tidak telus? Suka pula kita dengar jika pihak yang bertanding pilihan raya itu menang, mereka menghamburkan pujian bahawa SPR telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu baik dan telus.

Kedua-dua kes ini dapat dilihat dalam gelanggang politik dan permainan pendapat umum di Malaysia dewasa kini. Selain itu banyak lagi isu-isu mainan persepsi ini dimainkan oleh parti pembangkang yang pada akhirnya ‘membunuh’ institusi dan kepercayaan integriti sesebuah organisasi. Masyarakat akan terpengaruh dan mempercayai sesuatu itu tanpa ada tindakan pembetulan dari pihak pemerintah. Hujah dan persepsi ini harus disanggah sekuat-kuatnya oleh para pegawai perhubungan awam kerajaan dan pihak Jabatan Penerangan sendiri dalam mengukuhkan keutuhan sesebuah asas negara bangsa.

Serangan-serang ‘kosong’ ini sebenarnya boleh memberikan satu merit dan dipercayai sebagai benar sekiranya ia tidak dimatikan dengan ‘kejam’ oleh pihak pemerintah. Pembangkang akan terus memungut hasil dari persepsi ‘karut’ ini. Bukanlah mahu menjadi ‘tenaga pengajar’ kepada kerajaan, tetapi sekadar mengingatkan bahawa mainan ini boleh membunuh institusi kenegaraan kita sendiri di masa depan sekiranya anak-anak muda mempercayainya secara membuta-tuli tanpa mengetahui agenda pembangkang di sebaliknya.

Lihat sahaja isu-isu lain, kerajaan dikatakan ‘gagal’ dalam membentuk demokrasi tetapi dalam pilihan raya kita dapat lihat ketekunan dan kebebasan keputusan SPR membuat pengumuman kemenangan parti-parti pemerintah dan pembangkang yang memang – vice versa.

Kehakiman juga sering melihat ada kalanya sesuatu isu itu dimenangi pihak lain dan kadangkala dimenangi dek pihak yang lain pula. Adakah mereka tidak melihat? Adakah kerajaan membawa berita ini sehingga ke kedai kopi rakyat?

Kedai kopi adalah “Parlimen Kampungan” yang tidak memerlukan fakta, hujah dan statistik, tetapi cukup dengan persepsi dan pengaruh s’ “Ahli Warung” tersebut. Mereka ulas semua isu baik dalam dan luar negara, ekonomi sehingga kepada cara-cara pemerintahan mengikut teori dan kepakaran ‘mereka’. Tugas siapa yang membetulkan pakcik-pakcik ini dalam memberikan fakta yang tepat tanpa melibatkan persepsi, pendapat umum dan hasutan? Bila anak-anak muda dipengaruhi dek ‘bapa-bapa dan ibu-ibu’ mereka, cakap siapa yang lagi betul? Surat khabar? Kerajaan? Atau siapa lagi?

“Berilah peluang pada kita (pembangkang) pula mentadbir kerajaan, dengan izin tuhan kita boleh buat lebih baik dari kerajaan sekarang.....” itulah modal kata-kata si penghasut di kampung sedang mereka tahu, mereka hanya mempolitikkan isu. “Kerajaan sekarang zalim, kejam dan mengawal kehakiman mengikut kehendak mereka membuta tuli....” kata-kata nista ini sebenarnya hanyalah permainan persepsi yang pada akhirnya menghakis keyakinan awam terhadap institusi penting kerajaan dan kepemerintahan awam. Tugas siapa pula mengawal dan melihat isu ini???

Anak-anak muda dewasa kini melihat isu-isu pendapat umum tersebut secara serius dan terus percaya tohmahan serta diayah tersebut tanpa syak dan ragu kerana semua paparannya (keluarga, sekeliling dan rakan) menjurus ke arah dapatan dan pandangan yang serupa. Amat malang punya kerajaan dan pemerintah yang rapuh dan sedia ‘dihumbankan’ ke longkang setelah berada di tampuk kuasa selama 50 tahun.

BN katanya tidak relevan dan sudah terlalu lama berkuasa sehingga hilang objektif. Kata-kata ini juga ada betulnya. Berilah peluang kepada parti pembangkang untuk membuat perubahan dan membetulkan kembali institusi yang telah ‘dirosakkan’ sendiri oleh mereka. Menjadi beban kepada pembangkang untuk kembali meluruskan bengkang-bengkok sosio-politik negara selepas itu. Dan BN harus ‘berehat’ dalam tugas tersebut setelah ‘gagal’ menghidu asap politik kebencian yang dituai pihak pembangkang sedar 10 tahun dulu.

Petugas-petugas JASA dan Penerangan semakin sunyi, surat khabar tempatan pula semakin vokal menjurus menyokong kepemerintahan sehingga pak-pak Menteri terus leka dan melayan isu-isu yang dimainkan dek akhbar dan bukannya mencetuskan satu pendapat umum yang baru dan bagus untuk mengalihkan tumpuan awam. Permainan pendapat umum inilah yang berjaya menewaskan BN di beberapa negeri dan hampir-hampir menumbangkan Harimau di Pintu Takhta pada pilihan raya Umum ke 12.

Fikir-fikirkanlah objektif kerajaan kini. Rakyat selalu berkata “ menjadi tugas kerajaan membangunkan negara dan ekonomi...” tetapi rakyat terlupa bahawa setiap satu dari kita ini adalah ‘penyumbang’ kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan dalam negara kita sendiri. Jika kita sendiri tidak membangunkan kelakonan kita, siapa lagi yang mahu membangunkan? Bukan tugas kerajaan semata-mata untuk semua benda, kadangkala kitalah yang menjadi petualang kepada kemerosotan kelakonan ekonomi dan politik negara tanpa kita menyedarinya.

Oleh itu, setiap dari kita membenarkan sesuatu yang tidak benar. Menjadi tanggungjawab kita pula membetulkan yang biasa dan membiasakan diri dengan benda-benda yang betul sahaja.

/mfa

DAP 'Menang' di Hulu Selangor


Secara sedar atau tidak, manusia yang hidup secara bermasyarakat didedahkan dengan satu asas yang sangat signifikan. Manusia ialah makhluk yang bersosial. Salah satu elemen bersosial manusia ialah dengan berkomunikasi. Manusia yang memenuhi segenap aspek piramid Maslow akan sedar peri pentingnya keperluan yang asas, keselamatan, kasih sayang dan kepunyaan, keterimaan sosial, dan kepuasan mencapai kejayaan tertinggi.

Saya suka mengulas tentang teori ini dikaitkan dengan politik serta perhubungan awam di mana ketiga tiga elemen (sosiologi, politik dan komunikasi) digabungkan menjadi satu.

Tun Dr. Mahathir baru-baru ini mengulas tentang isu anti-semantik dan ‘penjenamaan’ sebagai salah satu strategik politik. Melalui nukilan beliau ‘Racism and Anti-Semantism’ di dalam entri beliau di http://www.chedet.cc/ bertarikh April 26, 2010 beliau mengulas tentang label sebagai satu strategik politik.

Baru-baru ini (April 25, 2010) Pilihan raya Kecil Hulu Selangor P.094 telah selamat diadakan dan pemenangnya diketahui dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,725 mengalahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi lebih membimbangkan pemerintah persekutuan iaitu BN, undi kaum Cina semakin menjauh di setiap peti undi majoriti kaum itu. Sekadar menjelaskan, peti undi di saluran-saluran kawasan pengundi Cina, BN kalah kesemuanya. Ini boleh dilihat di saluran 1,2 dan 4 Kampung Baru Cina KKB dengan PKR masing-masing mencatat 203, 256 dan 207 undi, manakala BN sekadar mendapat 77, 73 dan 56 undi.
Begitu juga di Kampung Baru Batang Kali, PKR mendapat 220 undi, manakala BN 58. Di Kampung Baru Rasa, situasi sama juga berlaku dengan BN sekadar meraih 75 undi berbanding 301 PKR.

Namun di saluran kawasan majoriti pengundi Melayu, pencapaian BN begitu memberangsangkan. Antaranya, BN meraih 216 undi di Ampang Pecah berbanding 148 PKR. Demikian juga keupayaan BN terserlah di kawasan Felda Kampung Sungai Tengi Selatan (BN 176, PKR 62). Kekuatan kedua-dua parti bagaimanapun agak setara di kawasan didiami pelbagai kaum seperti Hulu Yam Barat (PKR 205, BN 184) dan Kuala Kalumpang (PKR 98, BN 128).

Definisi
Politik ialah seni untuk mendapatkan undi bagi memperoleh kuasa secara sah dalam sistem amalan demokrasi. Manakala secara sosiologinya, masyarakat memerlukan pemimpin untuk memimpin dan mengetuai masyarakat sesebuah komuniti. Walau bagaimanapun, individu yang ingin mendapatkan kuasa politik tersebut mencuba untuk memuaskan kehendak keempatnya dalam teori Maslow iaitu keterimaan sosial dan memenuhi kehendak dirinya sendiri.

Dalam komunikasi, ialah teknik pembujukan dan simpati digunakan dalam mendapatkan kepercayaan dan meraih sokongan. Selain itu, pendapat umum yang diperolehi dalam ilmu komunikasi dan propaganda digunakan secara berhemah dalam mendapatkan sokongan kuasa tadi. Begitu juga dengan ilmu sains politik, perang psikologi dan teknik pecah dan perintah digunakan dengan begitu berkesan untuk menyampaikan mesej dan menarik sokongan sebaik mungkin bagi individu tersebut mencapai kuasa dan memenuhi teori kehendak Maslow tadi.

Sedar atau tidak, semua ilmu berkaitan dengan kuasa politik tadi telah menggerakkan jentera pilihan raya. Walaupun kalah di peti undi milik majoriti kaum Cina, sebenarnya teknik pelabelan yang dicanangkan oleh Tun Dr Mahathir tadi telah benar-benar berkesan dalam meraih pendapat umum seterusnya menghasilkan satu tindakan dalam proses pembuangan undi.

Label untuk bunuh watak pencari kuasa (Ahli Politik)
Orang Melayu dilarang secara tidak langsung dari mengungkap ‘Untuk Melayu’ di negara ini. Bila mereka mempertahankan atau berkata “untuk Melayu’ mereka akan dilabelkan sebagai ‘rasis’ oleh bukan Melayu terutamanya parti ultra-kiasu serpihan Parti Tindakan Rakyat (PETIR – PAP) dari Singapura iaitu DAP. Mereka acap kali melabelkan seseorang itu untuk mengaburi agenda propaganda mereka secara tidak jelas – propaganda kelabu.

Dengan melabelkan atau memberi gelaran tertentu, pendapat umum boleh membentuk kelakonan prestasi calon yang bertanding. Ilmu pendapat umum pula ialah dengan mengolah satu cerita agar menjadi perbualan khalayak terbanyak, mengulas serta membuat kesimpulan. Pendapat umum biasanya dilemparkan di gelanggang pertarungan politik untuk ditepis, diterima mahupun dikomen oleh semua khalayak sama ada positif mahupun negatif.

Pendapat umum ini akan mempengaruhi ‘mood’ pengundi semasa ingin mengundi tadi. Dengan memberikan satu label, ia mampu membunuh karakter seseorang calon pilihan raya yang memerlukan sokongan undi tadi. Oleh itu parti DAP amat berjaya dalam menggunakan strategik perang psikologi tadi berbanding jentera BN. Walaupun BN telah melaburkan sejumlah besar wang dan projek pembangunan, tetapi sebenarnya BN telah tersungkur dalam permainan politik. Pemberian/janji pembangunan tadi adalah ‘thank you business’ antara kerajaan persekutuan dengan kaum Cina, yang untung kaum Cina tetapi pemerintah tetap tewas.

Dalam setiap temu ramah yang diadakan ke atas penduduk Hulu Selangor (secara umumnya) masing-masing meminta pembangunan dan keluhuran kerajaan membantu masyarakat terutamanya kaum Cina yang dianggap tertindas selepas kaum India, kesaksamaan projek dan keterbukaan ekonomi. Sedang hak kaum Melayu terpaksa diambil sedikit untuk dikongsi dengan kaum Cina. Kekuasaan DAP dalam segenap segi pentadbiran negeri pembangkang memberi keselesaan kepada mereka untuk kekal di bawah panji pembangkang.

Oleh itu, para pekerja perang psikologi kerajaan BN telah terpengaruh dengan ‘pembangunan’ yang diperlukan kaum Cina tersebut melaburkan begitu besar ongkosnya tetapi tetap kecundang. Kejayaan strategis ini didorong oleh pemain-pemain tokoh pendapat kaum Cina yang mempertikaikan hak dan peranan kaum Cina memberi wang cukai untuk pembangunan negara tetapi tidak dinikmati secara langsung oleh mereka.


Melabelkan
Persepsi dilemparkan tokoh pendapat umum Cina telah melabelkan Melayu sebagai mengikis hak dan ekonomi mereka serta mengurangkan keadilan untuk mereka berekonomi dan hidup dalam sistem perkauman sempit (ethnicity) telah disemarakkan dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Hokkien dan tentunya orang Melayu kurang fasih dan masih tidak arif tentangnya.

Oleh itu, pendapat umum mereka telah dibulatkan sebelum hari pengundian. “Ambil apa yang kerajaan persekutuan tawarkan, tetapi pangkah atau undilah (bertindak) demi perkauman kita” itulah matlamat akhir yang akan dinikmati oleh kaum Cina.

Mereka selesa di bawah panji pembangkang walaupun tahu untung nasib kerajaan mereka di Selangor dan Perak. Kesatuan mereka jelas dengan para pemimpin pendapat umum yang bekerja keras membuat teknik perang saraf dan ‘brain-wash’.

Oleh itu, sebenarnya dalam usaha memperoleh kuasa, kesemua teori komunikasi haruslah digunakan secara berkesan. Pakar-pakar perang psikologi kerajaan BN masih ‘gagal’ dalam membentuk pendapat umum dan melontarkan isu-isu untuk ‘dimainkan’ dalam negara.

Jika pada zaman Tun Dr Mahathir, pakar pendapat umum dan perhubungan awam, Prof Datuk Hamdan Adnan digunakan untuk melontarkan isu di gelanggang umum berjaya memberi imej positif kerajaan, pada zaman Pak Lah dan Dato’ Seri Najib, mereka masih gagal ‘menangkis’ perang saraf baru’ ini. Teknik dan teori ini telah lama digunakan dalam dunia perhubungan awam tetapi tidak diaplikasikan sepenuhnya oleh Setiausaha Politik setiap Kementerian menangkis diayah parti pembangkang. Dato’ Seri Anwar memang telah punya pakar perhubungan awam dalam dan luar negara dan memainkan semua teknik (perkahwinan/cantuman teori komunikasi dan politik) politik ini tetapi tidak lagi oleh Dato’ Seri Najib.

BN sebenarnya masih ‘tewas’ di Hulu Selangor dan Malaysia amnya selagi rakyat memangkah parti pembangkang (23,000 lebih) walau pun dalam undian yang kecil. Kejayaan Tun Dr Mahathir dalam mempunyai majoriti selesa bagi setiap wakil rakyatnya dan punyai melebihi kuorom di Parlimen juga adalah kejayaan peribadi beliau yang percaya dengan 3 teknik; komunikasi, risikan dan pembujukan perang saraf terbaik.

Rujukan:-
Hamdan Adnan (1987). Prinsip Perhubungan Awam, Biroteks, Shah Alam.

Dr. Bukhori Ismail dan Dr Sankaran Ramanathan (2004). Forum Komunikasi Vol.5 No.1 2004/2005. MassComm Shah Alam.

Gambar: parpukari.blogspot.com

Isnin, 26 April 2010

Kata Di Kota!!!



Seperti yang telah saya siarkan dalam entri (Gaji Naik, Barang Naik - Biarlah!; Januari 19, 2010) Pemerintah Malaysia telah mengotakan janjinya. Gaji-gaji kakitangan gred C&D telah dinaikkan secara bertingkat-tingkat. Dimulakan dengan Pengawal Keselamatan dinaikkan hingga 75%, gaji-gaji buruh rendah ini akan terus ditingkatkan dek kerajaan sedang memacu pertumbuhan dalaman dan menggalakkan rakyat punyai banyak duit. Tak berapa ketika lagi, dijangka gaji-gaji para pemandu dan pekerja sektor pembuatan, perladangan serta kilang juga akan diumumkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.

Banyaknya aliran tunai dalam pasaran Malaysia akan diserap kembali ke dalam sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan sudah tentu akan mengakibatkan kerajaan punyai wang yang mencukupi dalam segenap aspek pembayaran kembali.

Seperti yang telah saya tukilkan sebelum ini, biarlah GST dikenakan dan pada masa yang sama gaji dan pendapatan harian kita meningkat. Tambahkan lagi kelakonan kerja dan tingkatkan prestasi juga akan mengakibatkan kelakonan ekonomi Malaysia terus makmur. Biarlah barangan naik sedikit, sedang kita sama-sama bersyukur dengan kenaikan itu, betah mendapat gaji dan subsidi yang lebih tinggi dan baik.

Pemerintah Malaysia sedang menyusun kembali ekonomi negara ini ke landasan yang betul dan tepat. Diharap rakyat kembali menyokong kerajaan agar kita sama-sama peroleh nikmat dan manfaat. Kata di Kota, jadilah watan prihatin setelah pemerintah sendiri peka.

Tukikan Bernama kesan kenaikan gaji Pengawal Keselamatan:-

Gaji pengawal keselamatan tetap naik mulai 1 Julai ini

MELAKA 27 April — Kenaikan gaji untuk pengawal keselamatan mulai 1 Julai ini tetap dilaksanakan walaupun terdapat syarikat keselamatan yang kurang mampu untuk melaksanakannya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata sebarang masalah yang timbul berhubung perkara itu akan diselesaikan oleh kementerian itu dan Kementerian Dalam Negeri.

"1 Julai ini akan dilaksanakan kerana ia sudah diwartakan, semua isu yang timbul kita akan selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa mengenai dialog antara budaya di sini, malam tadi.

Khamis lepas, Subramaniam mengumumkan kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 dan 75 peratus, mulai 1 Julai.

Berikutan pengumuman itu terdapat beberapa syarikat pengawal keselamatan meminta kerajaan menyediakan satu mekanisme bagi membantu syarikat yang kurang mampu untuk memberikan gaji baru itu.
Persidangan antarabangsa itu berlangsung selama lima hari bermula semalam dan ia dihadiri peserta dari 25 negara. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga pengerusi Yayasan Belia Dunia (WYF). - Bernama

Selasa, 13 April 2010

Susutkan Warga Asing



Di dada-dada akhbar hari ini memaparkan tentang iltizam kerajaan untuk mengurangkan kebergantungannya kepada tenaga kerja asing di dalam negara. Sebagai memenuhi salah satu bidang keberhasilan negara (NKRA) dan juga meningkatkan kelakonan ekonomi negara berpendapatan tinggi, usaha itu amatlah molek dan tepat pada masanya.

Kebergantungan kepada warga asing dalam segenap segi sektor ekonomi amat membimbangkan dengan jutaan ringgit mengalir ke luar negara. Bayangkan dengan pengiraan mudah sekiranya setiap warga asing tersebut (secara sah atau tidak) menghantar wang ke kampung halaman masing-masing, dalam sebulan RM100.00 sahaja; kira-kira RM180 juta disalurkan dengan begitu sahaja terhadap tukaran asing dalam pelaburan asing ke Malaysia.

Selain itu, impak ini menjejaskan pendapatan hasil kepada tenaga kerja warga tempatan secara langsung atau tidak. Asasnya, majikan lebih rela menggajikan pekerja asing di perusahaan mereka dengan kos upah yang rendah. Sedangkan secara tidak langsung, majikan terpaksa membayar levi kemasukan pendatang ini dengan begitu mahal sekali tidak termasuk kos-kos agen dan lain-lain kos.

Bagi watan tempatan, peluang mereka bekerja semakin tersekat dek pengisian oleh warga asing tadi. Tambahan pula, warga tempatan dikatakan terlalu memilih kerja dan hanya inginkan gaji yang baik-baik sahaja.

Tahukah kita bahawa warga tempatan perlu menyumbang kembali gaji mereka untuk pembangunan dalam negara? Mereka perlu membayar segala kos seperti makan, pakai, kenderaan, sewa kediaman dan lain-lain cukai berkaitan. Sedang warga asing pula hanya perlu bekerja tanpa harus memikirkan soal makan dan rumah sewa kerana semuanya disediakan di hostel mereka yang ditanggung oleh majikannya.

Seharusnya pihak pemerintah memikirkan langkah-langkah proaktif dalam membendung gejala kebergantungan terhadap warga asing ini sedari awal lagi. Bagi wanita-wanita yang berkerjaya sama ada profesional atau separa profesional, mereka terpaksa melupakan kerjaya mereka dalam menyumbang pembangunan negara. Kerana apa? Kerana mereka punya kesempitan dalam menguruskan rumah tangga.

Anak-anak mereka terpaksa dihantar ke taska-taska atau rumah pengasuh sekiranya ingin bekerja. Kos bagi seorang anak di bawah 6 tahun pula antara RM100 dengan RM300 seorang mengikut umur. Bagaimana pula sekiranya keluarga muda yang punya anak dua ke tiga orang? Bayangkan kosnya. Alternatif lain ialah dengan mengambil amah-amah Indonesia sebagai pembantu rumah dan kos tadi dapat dijimatkan. Sedang ibu muda ini punya risiko terhadap kerenah amah-amah tadi seperti banyak kes yang dilaporkan; makan pakai serta kediaman juga perlu disediakan sang majikan.

Alangkah baiknya jika kerajaan dapat memperbanyakkan taska-taska di pejabat-pejabat kerajaan serta menubuhkan taman-taman asuhan di lokasi strategik untuk keluarga-keluarga baru ini meninggalkan anak mereka sementara ibu-ibu muda dan ayahnya dapat mencari wang dengan tenang serta menyumbang kepada pembangunan dalam negara.

Ekonomi domestik dapat dijana dengan penubuhan tadi menggajikan pekerja warga tempatan selain kerajaan dapat mengutip hasil sedikit sebanyak dalam pembangunan ekonomi tadi. Ibu bapa kanak-kanak tadi pula selain dapat bekerja dengan tekun, menyumbang pembangunan negara secara tidak langsung dapat memberikan hasil pendapatan mereka untuk dikongsi dengan warga tempatan. Kitaran ekonomi domestik dapat berputar dengan baik dan seterusnya menggalakkan cadangan Perdana Menteri untuk menambahkan pendapatan rakyat, mengurangkan pengangguran sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja amah warga asing tadi.

Bagi pekerja keselamatan seperti polis, tentera dan juga kesihatan wanita, mereka juga sebenarnya terbeban dengan cadangan pihak kerajaan tersebut. Ini kerana mereka bertugas 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara. Sedangkan keluarga mereka terabai jika cadangan kerajaan dipaksakan ke atas mereka. Oleh itu, Taman asuhan yang beroperasi sepenuh masa di luar waktu pejabat juga perlulah dipelbagaikan agar semua golongan jenis sektor pekerjaan dapat memanfaatkan cadangan tadi.

Meninjau kepesatan ekonomi Korea Selatan, mereka punyai taman-taman asuhan beroperasi 24 jam dan tujuh hari seminggu dengan pekerja mereka mempunyai syif-syif tugas serta gaji yang lumayan. Tenaga kerja dalaman tersebut telah memajukan ekonomi Korea Selatan selain dapat memelihara keutuhan sesebuah keluarga dan mendidik jiwa anak-anak Korea yang lebih patriotik dan mengikut acuan mereka sendiri.

Oleh itu, cadangan kerajaan amatlah bagus sekiranya pelan-pelan penggantian ini dapat dilaksanakan dan dipercepatkan dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada warga tenaga kerja asing. Bagi penduduk tempatan, kadar pengangguran dapat dikurangkan, prestasi kerja ibu bapa profesional dalam segenap sektor dapat ditingkatkan tanpa memilih jantina. Dan sudah tentu keutuhan dan keharmonian keluarga dapat di perhebatkan tanpa mengorbankan apa-apa dalam membangunkan negara Malaysia tercinta ini.

Ahad, 11 April 2010

Pemandu Malaysia Tak Sabar!




Saudara Pengarang

Saya suka mengulas ruangan Bisik-bisik tulisan Awang Selamat seperti yang disiarkan dalam akhbar tuan baru-baru ini (April 12, 2010) tentang kemalangan jalan raya di Malaysia yang semakin membimbangkan.

Pagi-pagi yang hening, kita telah mula memandu. Demi mencari sesuap nasi, seawal jam 6:30 pagi selepas solat subuh kita telah berada di jalan raya untuk ke tempat kerja mahupun menghantar anak-anak ke sekolah.

Bagi penjawat awam, seawal jam 7:30 ke 8:30 pagi adalah waktu untuk mengetik kad perakam waktu. Bagi sektor swasta dan bekerja sendiri, juga memandu mengambil masa paling lewat sejam dua lebih awal dari waktu operasi perniagaan masing-masing.

Dari awal pagi kita telah mula memandu, kita boleh lihat pemandu-pemandu Malaysia akan potong memotong lorong dan barisan, bergegas-gegas dan terkejar-kejar menuju destinasinya; sekolah atau ke pejabat. . Lepas ambil lorong kanan (paling perlahan) ke lorong kiri (laju). Selepas itu, tukar lagi ke tengah. Tukar dan terus tukar sehingga ke simpang yang akan diambil, masih akan potong-memotong termasuk potong barisan. Di persimpangan-persimpangan jalan akan kelihatan kereta-kereta ini di sebelah kiri atau kanan akan cuba menyempil untuk memotong barisan.

Itulah ragam pemandu Malaysia. Tak sempat sabar. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan, potong memotong, cantas mencantas jalan orang lain. Jalan yang lurus tadi dan punyai dua atau tiga lorong menjadi ‘lima ke enam lorong tambahan’, tidak termasuk pula yang memasuki lorong kecemasan dan memandu dalam keadaan laju. Jika kena pada batang hidung sendiri (dipotong), mulalah bunyikan hon atau tunjukkan muka marah pada orang lain. Bahkan lebih menakutkan mereka akan memotong semula atau membuat seolah-olah ingin 'membalas dendam' di jalan raya. Lagaknya macam samseng menuntut hutang tak berbayar, menakutkan!

Sebenarnya rakyat Malaysia tidak diajar cara menepati masa dengan baik dan juga mempunyai daya sabar yang tinggi. Mereka lebih suka bersembang sampai lewat pagi di kedai kopi atau kopitiam dalam zaman moden ini. Bila tidur sudah lewat, bangunnya juga akan lewat. Bila bangun lewat, akan bergegas di awal pagi nak ke pejabat atau ke mana-mana supaya tak lewat, tetapi mahunya sampai dengan cepat. Mulalah adegan pemanduan yang berbahaya. Kalau pandu, seolah-olah dia yang empunya jalan raya.

EQ (Keupayaan Emosi) rakyat kita sangat lemah. Di sekolah-sekolah lebih tekankan Keupayaan Intelek (IQ) berbanding EQ. Mereka tak dapat sabar menunggu giliran dan patuhi peraturan. Lebih suka melanggar undang-undang dan tidak boleh mematuhi peraturan. Ada sahaja peluang mereka akan ambil kesempatan melanggar peraturan jalan. Yang penting mereka mahu tiba cepat walau pandu dengan berbahaya. Nyawa sudah tidak begitu penting. Pemandu lain boleh 'dikorbankan' dan bukan mereka. Dek kelakonan yang begitu, pemandu berhemah juga menjadi mangsa mereka. Tak dielak akan terlanggar, mengelak juga boleh dilanggar. Jadi rakyat Malaysia pandai dalam bidang akademik dan berfikiran global, tapi kurang ajar dan tak suka sabar di jalan raya.

Buatlah 1,001 undang-undang, mereka (pemandu ganas tadi) tetap akan langgar sebab jiwa dan naluri mereka tidak dididik dengan baik seperti punyai daya sabar dan patuhi masa dengan baik. Maka wajar Kementerian Pelajaran dan ibu bapa menyemai sikap EQ dan tahan sabar kepada anak-anak muda kini. Termasuk juga pemandu jenis suka potong barisan dan menyempil tadi. Mereka harus dididik dengan erti kesabaran dan menepati masa. Wwujudkan kelas-kelas kaunseling kepada pemandu yang telah terlibat dalam kemalangan agar mereka mempunyai motivasi yang tinggi semasa memandu dan berhemah di jalan raya. Kelas-kelas khidmat masyarakat ini boleh membentuk jiwa pemandu yang lebih baik. Material semata-mata tidak cukup jija jiwa pemandu kita rosak. Jadi pendengar yang baik, ikut peraturan demi kebaikan semua pemandu Malaysia agar jalan raya dan nyawa pengguna menjadi makmur dan aman.

Ilmu hari ini bukan untuk kita tetapi anak cucu yang mewarisi jalan raya 10 ke 20 tahun akan datang. Bila watan Malaysia penyabar, nak bercakap benda benar pun senang.

p/s: Kalau silap cakap, nyawa pun boleh melayang.




(seperti di siarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia - April 13, 2010)

Selasa, 6 April 2010

Kepedulian Atas Prihatin!!!


JIKA tidak kerana sikap ambil peduli seorang pemandu teksi terhadap beg yang dibawa Joanne (nama samaran), wanita berusia 30-an tahun itu mungkin kini berdepan dengan tali gantung.

Ia berlaku apabila pemandu teksi itu mendapati beg yang dibawa wanita warga Singapura itu lebih berat daripada biasa. Lebih menghairankan, Joanne diberitahu teman lelakinya beg itu hanya mengandungi beberapa dokumen kerja dan pakaian.

Joanne, yang ketika itu berada di Kuala Lumpur, telah diarah menyerahkan beg tersebut kepada seorang wanita tidak dikenalinya di Guangzhou, China.

Mengesyaki sesuatu, pemandu teksi itu menyarankan mereka periksa kandungan beg tersebut sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

'Saya terperanjat besar apabila pemandu teksi itu mengeluarkan sebuah bungkusan yang dililit dengan pita pelekat hitam dari celah kelim tepi beg itu. Ketika itu saya yakin ia dadah,' ceritanya.

Beliau kemudian meninggalkan beg tersebut di sebuah hotel dan meminta pemandu teksi itu memandunya pulang ke Singapura melalui Koswe.

'Sampai di Singapura, saya terus buat laporan polis,' katanya, kini membantu polis Malaysia dalam siasatan.

Pengalaman yang nyaris mengheret Joanne ke dalam kancah Rangkaian Jenayah Afrika Barat (WACN) itu bermula Oktober lalu apabila beliau berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa beliau warga Britain di laman rangkaian sosial Tagged.com.

Lelaki bernama 'Hassan' itu mendakwa beliau seorang kulit putih dan bekerja di pelantar minyak.

'Saya panggil dia 'Baby'. Dia pandai bermain kata hingga saya terpikat. Daripada gambar yang diberinya, dia handsome (kacak),' kata Joanne, yang tidak pernah bertemu 'Hassan'.

'Apabila kali pertama saya ke China, Baby tidak tiba. Dia beri alasan dia kemalangan di Britain. Seorang wanita China yang ambil sampul itu,' kata Joanne.

Sebulan kemudian, Joanne disuruh ke Guangzhou lagi bagi memberi kepada orang yang sama beg yang kemudian dikesan berisi dadah itu.
Joanne percaya 'Hassan' seorang kulit hitam.

Biro Narkotik Pusat (CNB) mendedahkan 16 warga Singapura, 11 daripada mereka wanita Melayu, diberkas di sini dan serata dunia berkaitan WACN tahun lalu.

Belum ada tangkapan di sini tahun ini.

Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan laporan akhbar The New Paper tentang dua wanita warga Singapura dipenjara di Argentina atas kesalahan dadah berkaitan WACN.

MFA telah berhubungan dengan mereka setelah dimaklumkan Konsul Agung Kehormat (HCG) Singapura di Buenos Aires. Wakil pejabat HCG telah melawat mereka dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

(Tukikan: Berita Harian Singapura; April 7, 2010)

Isnin, 5 April 2010

Pak Cik Kayo telah tiada!!!


Setahun setengah yang lalu, pendengar radio ini semakin susut para pendengarnya dan saban hari pendengar setianya berpindah ke stesen radio lain yang lagi hebat dan panas.Tatkala seorang seniman jalanan ini di bawa masuk ke stesen arus perdana ini, 'rating' sebagai stesen nombor satu negara (slot pagi) semakin meningkat bahkan betah bertahan dan menyaingi kehebatan stesen radio yang hangat tadi.

Celoteh yang selamba, gila-gila dan kadangkala di luar kotak pemikiran kita menjadikan beliau begitu hebat bertenaga melawak di kala pagi yang sejuk, mengantuk dan dingin. Persekonggolan beliau dengan pengacara nombor satu negara (dan terbaik Asia) semakin menjadi-jadi beberapa bulan kebelakangan ini.

Tidak dapat tidak, semua orang terpengaruh dan ‘terikat’ untuk membuka saluran stesen radio tersebut. Desakan untuk mendengar lawak-lawak ‘kurang ajar’ dan menggila di waktu pagi, setidak-tidaknya dapat membuka kelopak mata para pengguna kerata/radio yang mengantuk akibat bangun di awal pagi yang hening menuju ke destinasi masing-masing.

Derai tawa keseorangan dalam kereta sambil mendengar radio kelolaannya memang menggilakan. Kalau tidak lebih gila dari pelawak tersebut, setidak-tidaknya orang sekitar memerhatikan tingkah pendengar yang mengilai-ngilai ketawa terbahak-bahak sendirian.

Pagi ini (April 5, 2010) adalah pagi yang suram tanpa gelak tawa dan deraian hilai tersebut. Beliau telah kembali menghadap Sang Maha Pencipta Yang Esa memenuhi janji-Nya. Beliau adalah lagenda pelawak tersohor di abad ini yang diangkat dari pelawak jalanan sehingga ke arus perdana kerana bakat dan kelakonan lawaknya yang sedikit ‘lari’ dari lawak-lawak merapu yang lain. Kehadirannya, walaupun sedikit terlewat tetapi memberikan makna yang sangat signifikan.

Sehingga saya terkelu seribu bahasa dan terkesima bila mana beliau dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini dan sehingga pengumuman kehilangan beliau. Sehingga kini, saya masih terkelu dan masih tidak menerima hakikat beliau sudah meninggalkan kerjayanya itu dan kita semua.

Seperti Allahyarham Kak Yasmin Ahmad, beliau juga dipinjamkan dengan begitu singkat ketika berada di puncak kegemilangan masing-masing. Bak kata Mantan Perdana Menteri Malaysia; "lebih baik meninggalkan sesuatu itu bila kita berada di atasnya, kerana kita akan diingati dan dikenang berbanding ketika kita turun bila di benci". Bidalan Tun Dr Mahathir yang suka berkata ‘bila sedang sedap makan, maka berhenti’ benar-benar menjadi. Kata-kata itu muncul bila beliau sedang dipuncak kuasa meletak jawatan dan terus menjadi lagenda Malaysia.

Begitu juga Kak Yasmin yang meninggalkan kita ketika legasi filem-filem terbaik dunianya terus mendapat perhatian juri dan kritikan antarabangsa. Sedang Allahyarham Din Beramboi betul-betul di puncak kegilaan orang ramai mendengar lawaknya yang ekstrem kelakarnya, meninggalkan kita. Beliau juga lagenda pelawak picisan (sebelum ini melalui Ujang Pak Cik Kayo) yang berjaya diangkat oleh Hj Aznil Hj Nawawi ke persada aliran perdana yang menjadi.

Pelawak-pelawak seangkatan seperti Trio Santan Berlada, Senario dan raja-raja lawak tidak begitu menyerlah seperti bintang beliau yang benar-benar melawak dalam segenap segi aspek kehidupannya.Nyatakan peranan, masa dan keadaan – beliau masih boleh menjadikan imaginasi lawaknya tanpa had sempadan, spontan dan paling gila pernah didengar.Sawancara (wawancara) dan drama sebabak benar-benar menjadikan lakonan lawaknya digilai.
Menjadi kartunis di Majalah Ujang sehingga menghasilkan album sawancara yang begitu diminati (dengan dialek Negeri Sembilan – Minang) bakat beliau terus berkilau sehinggalah di pagi yang tenang jam 12:30 pagi, April 2, 2010 di pagi Jumaat yang tenang, penghulu segala hari beliau kembali kepada Sang Maha Pencipta-Nya.

Semoga janji tuhan akan terus berkekalan buat insan tersohor ini, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43 tahun yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah buat beliau, semoga beliau tenang istirahat di alam sana.

Hanya amalan dan doa kita mampu menjadi pendamping dan pengiring. Agar keceriaan kita di waktu pagi sebelum ini dibalas untuk beliau di sana dengan membacakan surah-surah Al-Fatihah, agar roh beliau pulalah yang tenang di sana.

Kami amat merindui lawakmu.......................... Semoga Allah SWT mengampuni dosamu.