Selasa, 6 April 2010

Kepedulian Atas Prihatin!!!


JIKA tidak kerana sikap ambil peduli seorang pemandu teksi terhadap beg yang dibawa Joanne (nama samaran), wanita berusia 30-an tahun itu mungkin kini berdepan dengan tali gantung.

Ia berlaku apabila pemandu teksi itu mendapati beg yang dibawa wanita warga Singapura itu lebih berat daripada biasa. Lebih menghairankan, Joanne diberitahu teman lelakinya beg itu hanya mengandungi beberapa dokumen kerja dan pakaian.

Joanne, yang ketika itu berada di Kuala Lumpur, telah diarah menyerahkan beg tersebut kepada seorang wanita tidak dikenalinya di Guangzhou, China.

Mengesyaki sesuatu, pemandu teksi itu menyarankan mereka periksa kandungan beg tersebut sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

'Saya terperanjat besar apabila pemandu teksi itu mengeluarkan sebuah bungkusan yang dililit dengan pita pelekat hitam dari celah kelim tepi beg itu. Ketika itu saya yakin ia dadah,' ceritanya.

Beliau kemudian meninggalkan beg tersebut di sebuah hotel dan meminta pemandu teksi itu memandunya pulang ke Singapura melalui Koswe.

'Sampai di Singapura, saya terus buat laporan polis,' katanya, kini membantu polis Malaysia dalam siasatan.

Pengalaman yang nyaris mengheret Joanne ke dalam kancah Rangkaian Jenayah Afrika Barat (WACN) itu bermula Oktober lalu apabila beliau berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa beliau warga Britain di laman rangkaian sosial Tagged.com.

Lelaki bernama 'Hassan' itu mendakwa beliau seorang kulit putih dan bekerja di pelantar minyak.

'Saya panggil dia 'Baby'. Dia pandai bermain kata hingga saya terpikat. Daripada gambar yang diberinya, dia handsome (kacak),' kata Joanne, yang tidak pernah bertemu 'Hassan'.

'Apabila kali pertama saya ke China, Baby tidak tiba. Dia beri alasan dia kemalangan di Britain. Seorang wanita China yang ambil sampul itu,' kata Joanne.

Sebulan kemudian, Joanne disuruh ke Guangzhou lagi bagi memberi kepada orang yang sama beg yang kemudian dikesan berisi dadah itu.
Joanne percaya 'Hassan' seorang kulit hitam.

Biro Narkotik Pusat (CNB) mendedahkan 16 warga Singapura, 11 daripada mereka wanita Melayu, diberkas di sini dan serata dunia berkaitan WACN tahun lalu.

Belum ada tangkapan di sini tahun ini.

Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan laporan akhbar The New Paper tentang dua wanita warga Singapura dipenjara di Argentina atas kesalahan dadah berkaitan WACN.

MFA telah berhubungan dengan mereka setelah dimaklumkan Konsul Agung Kehormat (HCG) Singapura di Buenos Aires. Wakil pejabat HCG telah melawat mereka dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

(Tukikan: Berita Harian Singapura; April 7, 2010)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.