Selasa, 13 April 2010

Susutkan Warga Asing



Di dada-dada akhbar hari ini memaparkan tentang iltizam kerajaan untuk mengurangkan kebergantungannya kepada tenaga kerja asing di dalam negara. Sebagai memenuhi salah satu bidang keberhasilan negara (NKRA) dan juga meningkatkan kelakonan ekonomi negara berpendapatan tinggi, usaha itu amatlah molek dan tepat pada masanya.

Kebergantungan kepada warga asing dalam segenap segi sektor ekonomi amat membimbangkan dengan jutaan ringgit mengalir ke luar negara. Bayangkan dengan pengiraan mudah sekiranya setiap warga asing tersebut (secara sah atau tidak) menghantar wang ke kampung halaman masing-masing, dalam sebulan RM100.00 sahaja; kira-kira RM180 juta disalurkan dengan begitu sahaja terhadap tukaran asing dalam pelaburan asing ke Malaysia.

Selain itu, impak ini menjejaskan pendapatan hasil kepada tenaga kerja warga tempatan secara langsung atau tidak. Asasnya, majikan lebih rela menggajikan pekerja asing di perusahaan mereka dengan kos upah yang rendah. Sedangkan secara tidak langsung, majikan terpaksa membayar levi kemasukan pendatang ini dengan begitu mahal sekali tidak termasuk kos-kos agen dan lain-lain kos.

Bagi watan tempatan, peluang mereka bekerja semakin tersekat dek pengisian oleh warga asing tadi. Tambahan pula, warga tempatan dikatakan terlalu memilih kerja dan hanya inginkan gaji yang baik-baik sahaja.

Tahukah kita bahawa warga tempatan perlu menyumbang kembali gaji mereka untuk pembangunan dalam negara? Mereka perlu membayar segala kos seperti makan, pakai, kenderaan, sewa kediaman dan lain-lain cukai berkaitan. Sedang warga asing pula hanya perlu bekerja tanpa harus memikirkan soal makan dan rumah sewa kerana semuanya disediakan di hostel mereka yang ditanggung oleh majikannya.

Seharusnya pihak pemerintah memikirkan langkah-langkah proaktif dalam membendung gejala kebergantungan terhadap warga asing ini sedari awal lagi. Bagi wanita-wanita yang berkerjaya sama ada profesional atau separa profesional, mereka terpaksa melupakan kerjaya mereka dalam menyumbang pembangunan negara. Kerana apa? Kerana mereka punya kesempitan dalam menguruskan rumah tangga.

Anak-anak mereka terpaksa dihantar ke taska-taska atau rumah pengasuh sekiranya ingin bekerja. Kos bagi seorang anak di bawah 6 tahun pula antara RM100 dengan RM300 seorang mengikut umur. Bagaimana pula sekiranya keluarga muda yang punya anak dua ke tiga orang? Bayangkan kosnya. Alternatif lain ialah dengan mengambil amah-amah Indonesia sebagai pembantu rumah dan kos tadi dapat dijimatkan. Sedang ibu muda ini punya risiko terhadap kerenah amah-amah tadi seperti banyak kes yang dilaporkan; makan pakai serta kediaman juga perlu disediakan sang majikan.

Alangkah baiknya jika kerajaan dapat memperbanyakkan taska-taska di pejabat-pejabat kerajaan serta menubuhkan taman-taman asuhan di lokasi strategik untuk keluarga-keluarga baru ini meninggalkan anak mereka sementara ibu-ibu muda dan ayahnya dapat mencari wang dengan tenang serta menyumbang kepada pembangunan dalam negara.

Ekonomi domestik dapat dijana dengan penubuhan tadi menggajikan pekerja warga tempatan selain kerajaan dapat mengutip hasil sedikit sebanyak dalam pembangunan ekonomi tadi. Ibu bapa kanak-kanak tadi pula selain dapat bekerja dengan tekun, menyumbang pembangunan negara secara tidak langsung dapat memberikan hasil pendapatan mereka untuk dikongsi dengan warga tempatan. Kitaran ekonomi domestik dapat berputar dengan baik dan seterusnya menggalakkan cadangan Perdana Menteri untuk menambahkan pendapatan rakyat, mengurangkan pengangguran sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja amah warga asing tadi.

Bagi pekerja keselamatan seperti polis, tentera dan juga kesihatan wanita, mereka juga sebenarnya terbeban dengan cadangan pihak kerajaan tersebut. Ini kerana mereka bertugas 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara. Sedangkan keluarga mereka terabai jika cadangan kerajaan dipaksakan ke atas mereka. Oleh itu, Taman asuhan yang beroperasi sepenuh masa di luar waktu pejabat juga perlulah dipelbagaikan agar semua golongan jenis sektor pekerjaan dapat memanfaatkan cadangan tadi.

Meninjau kepesatan ekonomi Korea Selatan, mereka punyai taman-taman asuhan beroperasi 24 jam dan tujuh hari seminggu dengan pekerja mereka mempunyai syif-syif tugas serta gaji yang lumayan. Tenaga kerja dalaman tersebut telah memajukan ekonomi Korea Selatan selain dapat memelihara keutuhan sesebuah keluarga dan mendidik jiwa anak-anak Korea yang lebih patriotik dan mengikut acuan mereka sendiri.

Oleh itu, cadangan kerajaan amatlah bagus sekiranya pelan-pelan penggantian ini dapat dilaksanakan dan dipercepatkan dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada warga tenaga kerja asing. Bagi penduduk tempatan, kadar pengangguran dapat dikurangkan, prestasi kerja ibu bapa profesional dalam segenap sektor dapat ditingkatkan tanpa memilih jantina. Dan sudah tentu keutuhan dan keharmonian keluarga dapat di perhebatkan tanpa mengorbankan apa-apa dalam membangunkan negara Malaysia tercinta ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.