Ahad, 12 September 2010

Kronisme Mencengkam JPA


Saudara Pengarang,

Saya suka memetik tulisan Usman ben Laden di ruangan ini pada 13 September 2010 berkaitan JPA hadapi saat tragis dan kronik.

Dalam beliau mencadangkan beberapa isu dan kritikan terhadap penyandang Jawatan utama Sektor Awam (JUSA) Gred C dan kenaikan pangkat Gred M54 ke JUSA C, beliau memberikan satu penakatan yang terperinci dalam kenaikan pangkat tersebut.

Usaha beliau untuk mendedahkan hal tersebut bukanlah sesuatu yang baru dalam perkhidmatan awam apatah lagi dalam usaha kerajaan untuk memastikan perkhidmatan awam terus kompeten dan menjadi antara lima yang terbaik didunia. Di rantau sebelah sini, jiran kita Singapura amat memainkan peranan aktif untuk memacu ekonomi negara tersebut berdasarkan skim perkhidmatan awam dan perkhidmatan lain yang kondusif.

Dalam perkhidmatan awam, kenaikan pangkat menerusi lembaga kenaikan dilihat agak tebal dengan nilai kronisme dan memilih bulu. Kenaikan pangkat ini kadangkala bukan berdasarkan kewujudan perjawatan tetapi akibat desakan dan pengaruh tertentu yang menaikkan pangkat individu dengan sewenang-wenangnya. Amalan ini berjangkit sedari zaman bahari lagi dan semakin membarah ketika ini. Ada juga pegawai ini yang ‘tidak layak’ tetapi dek kemaruk politik tertentu lembaga kenaikan pangkat ini tanpa segan silu tetap melantik tokoh-tokoh tertentu ini menjawat jawatan JUSA C.

Selain itu, diperpanjangkan skop lantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan juga semakin menjadi-jadi dalam mengambil ‘orang dalam’ dan mesra dengan lembaga ini di sesebuah jabatan. Sanak saudara, kenalan rapat serta bos-bos tertentu mempunyai calon-calon yang difikirkan layak untuk mengisi kekosongan dengan merendahkan tahap kualiti dan pemikiran yang lebih kreatif, variatif dan rencam. Dek amalan ini, ramai yang merasai keperitan ber’bos’kan individu yang kurang arif dalam sesuatu jabatan khusus.

Tidak dapat tidak, JPA harus membuka mata dalam melantik, memperakukan merit e sebelum melantik calon tertentu ke jawatan yang lebih tinggi. Kes-kes ini bukannya semakin terpencil bahkan semakin membesar dan seketika telah merebak ke gred yang lebih rendah lagi. Dari lantikan baru sehingga ke kenaikan pangkat, isu kronisme telah memainkan peranan yang signifikan dalam perkhidmatan awam. Ada calon/individu yang lebih layak, tetapi di’perapkan’ sahaja kerana bukan dari team tertentu. Ini amat mentuntaskan satu perkhidmatan awam yang baik dan cemerlang.

Semoga pihak JPA dapat memastikan isu ini bukanlah sekadar melepaskan batuk ditangga dan memandang remeh dan enteng akan isu yang dibangkitkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.