Rabu, 15 September 2010

Orang Memberi, Kita Merasa!


Dato' Seri,

Sesuailah dengan adat budaya orang Melayu dan Timur amnya, orang memberi, kita merasa dan orang berbudi maka wajarlah kita berbahasa. Tangan yang di atas lebih baiknya seribu kali dari tangan yang terima. waima itu, asal pemberian bukanlah menunjukkan yang siapa kaya yang siapa terima tetapi lebih kepada kesantunan budi dan kemuliaan bahasa kita Orang Timur, Orang Melayu yang tahu beradap sopan.

Di kejiranan saya, terdapat sebiji dua rumah orang Indonesia dan selebihnya Melayu dan Cina. Tatkala lebaran tiba, pastinya rumah kami menjadi tumpuan orang, bertanya ada atau tidak bubur lambuk tahun nie? Menjadi kelaziman keluarga kami menyediakannya untuk meraikan petang lebaran dengan bubur lambuk dan dijamukan kepada semua orang kampung. Baik yang memaling mahupun yang bertandang semua diberikan.

Bukanlah satu tingkat memuji kendiri, tetapi adat budaya kita sentiasa memberi dan kadangkala tak terperasan pula yang tak sudi menerimanya. Yang berpaling, berpatah lalu melintang arah. Kita pula bukanlah nak membeza atau menambah lagi jelingan tajam melainkan menghulurkan salam perpaduan dan kesaudaraan sesuai dengan istilah yang jauh didekatkan dan yang dekat kita rapatkan.

Pengertiannya mudah, tak salah mulut membuka bicara. Janganlah kita pula yang hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong. Pinggan tak retak nasinya pula tak dingin-dingin, janganlah orang tak hendak kita nampak kepingin. Santunan budi budaya adat resam orang Melayu memang tak lapuk dek hujan waima panas sekali pun. Jika Dato' Seri turun ke kampung membaling senyum membuang salam tanpa juak-juak yang penuh sekampung lebih molek dan nampak ikhlas dihati berbanding datang macam rombongan nak berperang semata-mata mengucap takzim mengangkat sembah.

Orang kampung yang marhein itu bukannya nak tengok juak-juak yang tunjuk jaguh tapi betah dengan sekadar, Semoga Dato Seri terus dalam Salam-Nya. Bukannya nak rasa tepisan juak menghalang jalan, cuma nak salam dengan pemimpinnya. Maka Dato' Seri itulah amalan kita budaya Melayu, yang bertandang disediakan tepak, yang melangkah diberikan capal. Cara itu sahajalah kita dapat memenang hati mengubat lara orang yang marah. Dengan lawatan dan kunjungan mesra Dato' Seri bak pejalan malam ke rumah pengundi dan jelata rakyat itulah lebih Dato Seri tahu jerih perih mereka di rumah-rumah yang capik lagi usang.

Menegur kita bukan membudak, berkata kita bukan membuka silat cuma nilai kita telah berubah pula. Kita suka memberi dan kadang kala apa kata kita pula yang menerima. Itulah pengalaman saya di kampung.

(seperti dipos di laman sesawang Perdana Menteri Malaysia - www.1Malaysia.com.my di bawah tajuk: Semangat Muhibbah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.