
Menjelang subuh jam 2:42 pagi pada 8 Mei 2011, keseluruhan kiraan undi di semua kerusi dalam Negara Kota Singapura telah usai dilakukan. Dengan parti pemerintah (Parti Tindakan Rakyat – PETIR/PAP) mendahului 81 kerusi selain 6 kerusi dimenangi Parti Pekerja (WP). Buat julung kalinya dalam sejarah pilihan raya Singapura, pihak pembangkang berjaya menguasai Undi Kelompok/Kumpulan (GRC) Aljunied selain mengekalkan satu kerusi persendirian di Hougang.
Jauh dari itu, kesemua kerusi, undi-undi popular parti pemerintah melorot jauh dari penakatan Singapura semenjak 1959. Parti-parti pembangkang telah berjaya mendekati lompang-lompang populariti tersebut dengan isu-isu semasa yang memeritkan parti pemerintah. Ada hujah dan isu yang tidak boleh dijawab sebaiknya oleh sang pemerintah dan akhirnya, jelang detik pengundian pada Rabu, 4 Mei 2011 – Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong terpaksa melutut memohon maaf kepada warga Singapura di atas beberapa kegagalan dan kecuaian yang dilakukan oleh sang pemerintah PAP itu.
Moral dan juga seluruh komitmen PAP terus melorot jatuh dan terus menjunam ke bawah dek permohonan maaf tersebut jelang waktu undi yang mendekat. Permohonan maaf ini dipergunakan dengan sehemat mungkin oleh pihak pembangkang untuk terus membenam PAP ke dasar bumi Temasek tersebut. Malah, sokongan kepada parti pembangkang terus menakat sehinggakan pihak pembangkang mempersoalkan adakah wajar sang pemerintah yang dibayar gaji yang tinggi dek bakat dan kelakonan yang baik boleh membuat silap kepada kepemerintahan dan rakyatnya. Mengambil jalan mudah dengan memohon maaf, Wajarkah permohonan maaf tersebut? Ujarnya.
Watan Singapura amat kurang senang dengan pemerintah Singapura sejak akhir-akhir ini terutama di kalangan remaja terkait pokok-pokok kesejahteraan awam yang semakin tidak betah dirasai di negara ekonomi mapan tersebut. Antaranya ialah kebanjiran pendatang asing ke republik itu yang semakin menjadi-jadi, keselamatan dalam negara yang longgar sehingga pengganas paling berbahaya Mas Selamat boleh bolos menyelinap ke sempadan Johor Bahru, kelakonan ekonomi yang menggalakkan tetapi tingkat sara diri awam yang terus melonjak tinggi yang menjadi isu bagi golongan muda selain harga flat-flat perumahan awam (HDB) yang semakin meningkat tinggi tanpa kawalan.
Lungsuri dari masalah tersebut, PAP kecundang di tangan pembangkang walau mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak 2 per tiga iaitu 81 dari 6 kerusi parlimen. Menteri Luar (Menlu) mereka yang amat terkenal diplomasinya juga tewas di kerusi AlJunied, satu kejutan yang hebat dek tangan pembangkang yang semakin menakat meraih undi awam.
Isu-isu yang tidak diselesaikan dengan baik ini, bisa mengorbankan satu pemerintahan yang telah bertahan lama jika ia tidak dipandang berat. Bolehkah ia terjadi dalam kondisi Malaysia yang menghitung detik menanti Pilihan raya Umum ke 13?
Malaysia dari Penakatan Singapura
Mantan Perdana Menteri Mahathir melahirkan kegesaan agar isu-isu setempat terutama hal terkait UMNO (parti utama komponen pemerintah Malaysia – Barisan Nasional (BN)) dan juga isu semasa hendaklah dibereskan terlebih dahulu oleh sang pemerintah sebelum molek melaksanakan dapatan undi meraih sokongan watan untuk membentuk kabinet pemerintah yang baru. Ini berikutan desas desus Dato’ Seri Najib mencadangkan dalam teka-teki untuk melaksanakan proses tersebut pada atau jelang November tahun ini yang dilihatnya angka-angka yang cantik untuk berbuat satu penakatan yang dikira ‘matang’.
Jika dilihat dalam konteks Malaysia, banyak isu yang masih gagal dijawab sejak pilihan raya umum yang ke-12 lalu yang mengorbankan beberapa negeri dan kerusi parlimen ke tangan pembangkang. Tersungkurnya Selangor di tangan pembangkang yang membentuk kerajaan bersama Pulau Pinang, Perak dan Kedah selain mengekalkan Kelantan merupakan satu tamparan yang maha kuat menggegarkan deria rasa parti pemerintah. Sehingga kini, hal tersebut enteng dipertaruhkan sang Menteri dan ahli politik UMNO untuk mengusainya.
Hal Pendatang Asing
Sejak mengepalai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Wakil Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengutarakan beberapa langkah dan jadual membendung bagi menangani kepadatan pendatang asing secara haram dan tidak terdaftar di Malaysia, sama ada di Sabah mahupun di ibu kota negara - Kuala Lumpur. Pelbagai inisiatif telah diutarakan bahkan canang-canang telah bergegak-gempita di makalah dan akhbar arus perdana sebelum ini. Tetapi penguatkuasaannya masih tidak betah dilaksanakan. Kenapa dan bila ia akan bermula? Sehingga BN tewas di pintu kuasanya???
Hal Kelakonan Ekonomi
Perdana Menteri acap kali mengumumkan bahawa potensi dan kemakmuran projek transformasi negara yang mengumumkan jumlah pelaburan yang boleh membutakan mata jika dilihat dengan mata kasar serta mencairkan halwa telinga bila mendengar. Jumlah pelaburan yang bernilai beberapa billion setiap satu kononnya untuk meraih pendapatan negara yang tinggi juga hanya sekadar meniup kuping telinga yang panas, tanpa memberikan apa-apa kesan kepada watan. Hari ini, anak-anak muda terus menganggur yang menggalakkan mereka terlibat menjadi keldai dadah, melakukan kejengkelan awam seperti merempit dan melakukan persundalan seperti berpesta tanpa moral dek kehimpitan dari ekonomi yang tidak betah ditanganinya sendirian.
Kenaikan kos kehidupan serta upah khidmat buruh tidak diraih sebaik mungkin oleh watan yang bekerja menyebabkan ada di kalangan warga yang terdesak menyertai skim cepat kaya, jualan pelbagai tingkat (MLM) dan ada yang tanpa cuak menjual/memproses dadah sebagai menampung beban sosial dek kehidupan yang semakin mencuram. Adakah peluang pekerjaan dengan gaji setimpal dapat disediakan kepada golongan muda di Malaysia sehingga artikel ini ditulis?
Penakatan paling penting ialah kegagalan jabatan awam melaksanakan dan menstrukturkan pentadbiran awam yang lemah dan amat tertinggal. Saman yang dikeluarkan boleh ditangguhkan pembayaran, melaksanakan undang-undang adalah berpilih dengan runding kira diambil perhatian besar selain menggalakkan rakyat terus terbeban.
Rasuah di sektor awam tidak terbendung dengan polis-polis masih lagi menagih wang-wang pendatang asing tanpa izin di sana sini selain menggugat keselamatan awam. Sang Imigresen yang menjadi benteng pintu masuk negara juga menjadi syaitan yang mengizinkan negara ini diserang pendatang asing tanpa segan-silu. Sekelumit rasa bersalah juga tidak wujud bagi mereka yang membuka pintu negara kepada musuh negara. Adakah petualang ini boleh dimaafkan dengan hati yang terbuka tanpa vonis yang maha keras?
Sekiranya, kerajaan betah dan dengar kata watannya, dengan segeralah kerajaan menghantar pendatang izin ini balik ke negara masing-masing. Selain itu polis di kawasan tertentu gagal menangkap pendatang asing tetapi memungut hasil rasuah demi kelakonan ekonomi yang teruk dengan menggadaikan keselamatan negara adakah ia salah masyarakat? Perasuah seperti polis, imigresesn mahupun kastam yang terduga dengan kesalahan tersebut hendaklah diasingkan dan jika terkait, hendaklah di vonis dengan seberat-berat hukum agar menjadi peringatan dan pengajaran. Buang sahaja petualang ini dalam perkhidmatan awam kerana ramai lagi penganggur yang tekal menggantikannya.
Perumahan Awam
Sehingga kini program rumah pertamaku masih terngiang-ngiang dicorong radio dan televisyen selain terpampang diakhbar tanpa kerja keras yang mendesak. Kerajaan bermain tarik tali tanpa tegas dengan pemaju-pemaju perumahan kerana tanggung membuat keputusan. Bank-bank akan terus menjadi ‘lintah darat’ dan ceti berlesen besar. Selepas ini, rakyat tega dihalau dari rumah dan diisytiharkan muflis kerana boleh berhutang rumah sehingga sampai 100 peratus. Adakah 100 peratus pinjaman itu tidak berbunga? Berapa pulakah harga sebiji rumah di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur?
Adakah pemerintah prihatin dengan rumah-rumah yang dibangunkan dan diberikan pinjaman oleh pihak bank dan akhirnya ‘bungkus’? Adakah pembeli mendapat pembelaan yang wajar? Ada watan yang menjadi pengemis demi kerana mahu memiliki sebuah rumah idaman.
Perlukah pilihan raya Jelang Kini?
Apakah kerajaan tidak prihatin dengan semua ini? Ini belum termasuk lagi dengan persoalan pokok isu-isu keselamatan negara, pentadbiran dan politik serta isu-isu terkait dengan agama, perkauman dan sebagainya. Kehematan kerajaan dalam melaksanakan kesanggupan politik amat lemah selemah sang yang memerintah.
Benarlah kata Mantan Perdana Menteri Mahathir, bahawa Malaysia masih tidak perlu mengadakan pungutan suara awam dalam membentuk pemerintah sekiranya hal-hal dibangkit pilihan raya umum ke12 masih tidak jelas dan tidak tertangani dengan sebaik-baiknya. Kerajaan hanya dilihat beretorik dengan kata-kata dan janji-janji tanpa satu usaha dan kesanggupan politik yang tinggi mengatasi keinginannya membentuk pemerintah yang cekap, efisien dan berintegriti.
Kerajaan/Pemerintah Masih Lemah!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.