
Kerajaan Tidak Pernah Cuba Belajar.
Makmal Rasionalisasi Harga peringkat Persekutuan – sebuah bengkel yang diwujudkan untuk melihat dan memantau keperluan subsidi awam kini berbunyi lagi. Jelang detik yang lepas dalam bulan Mei 2011, makmal ini menandakan pemberian subsidi awam telah bertingkat dari RM10bilion kepada paras sekali lipat RM20bilion untuk tahun 2011.
Oleh itu, wajar untuk meningkatkan harga pasaran gula tebu dari RM2.10 kepada RM2.30 bagi setiap kilogram. Mengikut anggaran YB Menteri KPDNKK yang menguasai perdagangan dalam negeri, kerajaan dapat berjimat beberapa ratus ribu ringgit serta dapat mencegah gula yang di subsidi ini dari di seludup ke pasaran negara tetangga seperti Indonesia, Thailand dan Singapura. Paling rasional dalam menghalalkan perbuatan tersebut ialah “harga itu masih murah berbanding dengan harga pasaran jiran tetangga”.
Singa Yang Tertewas
Pada 7 Mei 2011, pemerintah Singapura terpaksa akur dengan penglibatan ahli parlimen pembangkang yang terus mengasak dalam usaha menduduki kerusi parlimen negara pulau tersebut. Dalam artikel sebelum ini dahsyat menceritakan bagaimana kemaruknya pemerintah Perdana Menteri Lee Hsein Loong untuk menyekat kemaraan pembangkang dalam Parlimen tersebut yang sebelum ini tidak lebih dari 3 ke 4 orang sahaja telah berjaya menembusinya dalam satu-satu sidang.
Pilihan raya terburuk bagi pemerintah Singapura sejak 1959 adalah disebabkan oleh kempen pembangkang yang bertubi-tubi menyerang pemerintah Singapura yang mempunyai alokasi pendapatan menteri yang tertinggi di dunia yang dikatakan tidak prihatin. Antara bicara awam yang kedengaran dalam kempen pembangkang tersebut sehingga melayakkan mereka menambah kerusi di bahagian pembangkang kepada enam (6) buah adalah dek kerana kelakonan pemerintah yang gagal dalam beberapa perkara pokok dalam melaksanakan polisi awam iaitu kos sara diri yang terus meningkat tanpa kawalan, perumahan tak mampu milik bagi generasi muda, kesukaran pekerjaan dek kemasukan pendatang asing yang membanjiri pasaran buruh serta urus-tadbir awam yang menyusahkan rakyat termasuk sekatan dalam bersuara.
Akhirnya, tanggal 21 Mei 2011 Perdana Menteri Singapura terpaksa melucut-hak pendapatan menteri-menteri kabinet kepada satu porsi yang dijangka terdampar. Pemerintah juga akur dengan kos sara diri yang terus menakat tinggi dan berusaha sebaiknya untuk mengatasinya termasuk menyeka kemasukan buruh asing ke pasaran kerja mereka. Dek kerana polisi awamnya yang ditadbir juga melemah, pemerintah tanpa cuak meruntas para menteri kabinet dengan menubuhkan kabinet baru dan segar dari segi kepakaran, jiwa dan bakat. Itu di sebabkan dengan kata keramat “Vox Polli, Vox Dei” – Suara Rakyat, Suara Tuhan!!
Malaysia Melorot!
Melungsur kembali tatanegara Malaysia mutakhir kini, kerajaan Malaysia menerusi Makmal Rasionalisasi Subsidi kembali berkokok untuk menentukan hidup mati rakyatnya dengan skala tertumpu pada penakatan subsidi minyak RON95 yang bakal dipertingkatkan kepada beberapa tingkat harga untuk menjunamkan beban kerajaan dalam tanggungan subsidi selain merungkai pertambahan subsidi awam yang kian meningkat.
Minggu 16 hingga hari ini, dalam bulan Mei 2011 rakyat terus berura-ura bertanya akan berapa harga minyak RON95 yang dicadangkan kepada pasaran awam selepas di rasionalkan?
Jika diimbas kepada pilihan raya umum ke 12, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menunjangi kerajaan kini tersungkur di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah selain mengekal kuasa di Kelantan adalah sama dek kerana isu-isu yang melanda Singapura ketika itu di sini. Kelemahan Pentadbiran Tun Abdullah dilihat sebagai tahun mala-petaka kepada seluruh watan yang menghuni negara terbilang budaya ini. Akhirnya, Tun Abdullah dihumban ke jurang yang dalam dek kerana kegagalannya mengawal keadaan ketika itu. Wang-wang awam dihumban ke setiap negeri yang beliau kunjungi. Langkah-langkah berjimat beliau memaksa beliau kembali kepada awam dengan keadaan yang maha hina lagi terasing.
Hari ini, dengan beberapa penakatan baru dari kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak yang mewarisi ketirisan pimpinan Tun Abdullah sekali lagi menguji jiwa dan minda rakyat awamnya. Selain isu basa-basi politik yang membunuh karakter kepimpinan pembangkang yang dilihat memualkan, kerajaan kini sedang meniti langkah Tun Abdullah untuk menjadi pemacu ekonomi yang membunuh warga dengan mengekal elit politik di tampuk kuasa.
Jika ditinjau kepada dapatan suara umum sebelum pilihan raya umum ke13, wajarkah slogan Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan diambil dalam perkiraan awam untuk mengukur kestabilan kerajaan dan kepetahan kerajaan membidas isu-isu tersebut? Jawapan malar segar ialah, kerajaan BN kini terus layu dan terkulai di pintu kuasa.
Dek kerana minyak yang meningkat sehingga RM2.70 se liter pada zaman pimpinan Tun Abdullah dilihat sebagai satu tempoh yang malang bagi rakyat Malaysia, kini Dato Seri Najib cuba bermain dengan api dari isu minyak tersebut. Ini bakal menggulingkan regim Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan jika tidak ditangani dengan baik pendapat umumnya atau memang gesaan Perdana Menteri untuk terus terkulai layu di takhta kuasa?.
Dasar-dasar awam yang dicanangkan dalam beberapa makmal sebelum ini seperti mengurangi pendatang asing, memperketatkan kehadiran pendatang asing ke Malaysia, mengawal jenayah yang saban hari meningkat (walaupun dikatakan menurun) selain menguruskan ekonomi dengan pendekatan yang baik, amat manis digula-gulakan selain slogan rakyat didahulukan. Kini ia semakin menguji kesabaran awam. Adakah desakan golongan pekerja di Malaysia yang mendesak kenaikan gaji minimum telah dipertimbangkan dengan halus serta saksama di peringkat kerajaan? Adakah gaji hari ini dengan kos sara diri yang terus mencengkam poket golongan pekerja telah diselesaikan dan dilaksanakan?
Adakah dengan kenaikan harga minyak ini tanpa kenaikan gaji pekerja akan menyimpulkan lagi kekusutan poket awam boleh terusai? Dan paling mustahak adakah kadar inflasi dan kadar bunga semalaman dari Bank Negara Malaysia (BNM) bisa merungkaikan masalah ini? Jawapannya, Kerajaan pimpinan Najib harus ditumbangkan dan regim pentadbiran beliau untuk mengurangi subsidi tidak wajar diteruskan dalam apa jua keadaan – hidup atau mati.
Selain kes kelemahan dalam mengawal selia sistem pentadbiran awam dalam hal-hal pengurusan kewangan (rasuah dan salah guna kuasa) yang sering kali disalah-gunakan, hal-hal lain seperti mengimbangi inflasi, menyelesaikan masalah pemilikan rumah pertama golongan muda, penyediaan pekerjaan bagi graduan serta menempatkan pelajar di institusi awam yang terbilang juga tidak tertangani dengan baik. Asas-asas isu lain seperti kependudukan warga asing di Malaysia yang tidak terkawal, pencerobohan sempadan yang leluasa selain kebanjiran pendatang asing juga tidak tertangani dengan baik dan ampuh sekali. Juga tidak tertinggal dengan kelemahan memantau hasil-hasil mahsul di pintu sempadan yang senang bolos di seludup ke negara tetangga. Ada di kalangan penjawat awam seperti kastam dan imigresen juga menjadi petualang dan pengkhianat amanah bangsa dalam menguruskan hal-hal sebegini. Ini belum kira jumlah polis yang menunggu di mana-mana lokasi panas dan menunggu wang ‘panas’ dari pendatang asing tanpa permit sebagai wang pelindungan.
Manakala bagi subsidi wang petrol untuk nelayan pula sering disalah gunakan oleh sang nelayan ini dengan menggunakan wang subsidi membelinya untuk keperluan kenderaan mereka sendiri selain ada juga segelintir yang menjualnya kepada orang main. Waima tindakan itu semata-mata untuk melunaskan sara diri mereka yang terus meningkat dek kelakonan ekonomi dewasa kini bak kata Menteri KPDNKK yang usai menyelesaikan masalah atas alasan tersebut.
Tatkala rumah pertama sukar dimiliki di ibu kota oleh eksekutif muda, di genap desa tindakan sang penguasa tempatan membina rumah-rumah rakyat termiskin dengan kos sebanyak RM15,000.00 seunit untuk kaum kerabat serta suku sakat mereka amatlah menjelikkan mata awam yang melihatnya. Sebagai contoh, rumah-rumah ini akan didirikan untuk tujuan sewaan, kegunaan saudara mara kepada penggubal dan pembuat dasar serta ahli-ahli majlis pimpinan kerajaan BN. Wajarkah sang rakyat bergolok-bergadai sedangkan sang pengambil kesempatan ini menggunakan segala pelosok kuasanya untuk mencuri hasil awam untuk memenuhi kantung sendiri. Belum lagi di bandar-bandar dengan rumah-rumah termiskin ini diletakkan kuota untuk sang kaum kerabat politik mereka. Adakah ini adil??
Bagaimana pula dengan penerima bantuan kerajaan menerusi Badan Kebajikan Masyarakat? Adakah yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan tersebut? Adakah kita telah melihat dengan begitu mendalam bahawa sang penerima ini juga terdiri dari kalangan sang kroni yang berkaitan dengannya sahaja selain mereka terlebih mampu untuk bekerja dan menyara keluarga tetapi digunakan wang awam ini untuk menyara biawak hidup ini. Bagaimana pun, penjara adalah lubuk sang biawak yang melakukan jenayah memakan hasil negara dengan wewenangnya. Wajarnya mereka ini di kerah membuat bangunan, memperbaiki struktur binaan serta melakukan kerja-kerja industri untuk memberikan mereka pengajaran selain mereka terus butuh mencari wang membiayai keperluan penjara masing-masing sebagai tahanan yang tak bebas menentukan takdir hidup. Barulah dengan penakatan begini menghentikan penghuni tegar yang sangat-sangat terus masuk ke lubuk sang biawak hidup ini sedang watan lainnya bermati-matian bekerja dan membayar itu dan ini.
Sebenarnya kerajaan pimpinan Najib hanyalah menunggu hari untuk terus merudum dan tersungkur di tangan mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak pernah belajar dan berusaha untuk menyelami jiwa nurani rakyat. Patutlah bila rakyat membelasah kepimpinan maka mereka sebenarnya amat jerih dan bertungkus-lumus untuk hidup.
(Nota: Ketika artikel ini ditulis, Perdana Menteri Malaysia masih di luar negara dengan anggota mengiringi seramai 40 orang dan menggunakan wang awam atas tujuan mencari pelaburan yang tidak terlihat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.