Isnin, 25 Julai 2011

Mengangkasakan dan Menakat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia


Mengangkasakan dan Menakat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia

Dari tukikan Jabatan Penerangan Malaysia (Sumber Facebook 26 Julai 2011)

Ada dua sebab... pertama, sikap yang salah terhadap bahasa Melayu, sikap menganggap bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang ‘belum maju’ berbanding, misalnya dengan bahasa Inggeris oleh yang demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa kemajuan negara ini manakala bahasa Melayu bolehlah terus digunakan dalam urusan biasa pentadbiran kerajaan atau sebagai ‘bahasa perpaduan’,” kata beliau.

Sebab kedua, menurut Hassan ialah pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan nampaknya tidak berjaya melahirkan generasi warga Malaysia yang lahir selepas Merdeka yang mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi untuk terus menggunakan bahasa ini dengan betul, baik dan bermutu tinggi sebagai alat pembangunan negara.

“Setelah lebih 50 tahun bahasa ini diajarkan di sekolah sebagai bahasa yang wajib kita perhatikan rata-rata penggunaan bahasa ini dalam komunikasi awam, dalam sektor-sektor profesional dan dalam sektor swasta tidak sahaja tidak meluas bahkan mutu penggunaannya nampaknya kian buruk. “Merebaknya fenomena ‘bahasa Melayu rojak’ dalam kalangan pengguna bahasa ini dalam hampir semua sektor dan golongan menunjukkan bahawa pendidikan dalam bahasa kebangsaan tidak mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan,” kata beliau lagi.

Justeru tegas Hassan, fenomena ‘bahasa rojak’ ini juga berlaku kerana pendidikan bahasa kebangsaan tidak berlaku atau tidak dilanjutkan ke dalam masyarakat, ke dalam institusi-institusi awam atau ke dalam sektor awam. “Pendidikan itu tamat di sekolah sahaja,” katanya lagi. Malah menurut beliau, “perlu diingatkan bahawa kecekapan dan keluasan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi kebangsaan merupakan faktor penting yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan dasar bahasa kebangsaan di negara ini.” Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk “Dasar Bahasa Kebangsaan Di Malaysia: Melihat Semula Peranannya Sebagai Alat Perpaduan dan Kemajuan Negara” pada ceramah anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan DBP di Seremban hari ini.

Malah kata Hassan, tidak banyak orang Melayu dan bukan Melayu, termasuk para menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang mengetahui atau sedar secara ‘terdidik’ bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang cukup maju di dunia sejak sekurang-kurangnya abad ke-14. “Oleh sebab mereka tidak mempunyai pengetahuan itu maka akal dan emosi mereka dipengaruhi kepercayaan bahawa mulai tahun 1957 bahasa ini perlu ‘dibina’ semula (seolah-olah seperti rumah lama yang sudah runtuh) dan perlu ‘dimajukan’ supaya mencapai taraf sebagai ‘bahasa maju’.

Kepercayaan ini nampaknya kekal sampai ke hari ini,” katanya lagi. Jelas beliau, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan atau bahasa urusan kerajaan lama sebelum dasar itu digubal pada1957. Katanya, pada abad ke-15 atau ke-16, bahasa Melayu mulai berkembang sebagai lingua franca kerajaan, lingua franca ilmu dan kesusasteraan tinggi di seluruh rantau ini, merentas sempadan geografi dan segala tembok etnik dan bahasa-bahasa etnik yang lain sehingga akhirnya dalam awal abad ke-20 bahasa ini menjadi bahasa pemersatuan kawasan, yang kini disebut Indonesia. “Dalam tahun 1945, Sukarno, orang Jawa, dan rakan-rakan seperjuangannya mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa nasional negara republik Indonesia, tidak bahasa Jawa atau bahasa-bahasa lain yang jauh lebih besar jumlah penutur aslinya daripada jumlah penutur asli bahasa Melayu di Indonesia.

“Hari ini bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia) merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang kelima besarnya di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta (ada yang berkata hampir 300 juta) orang di serata dunia, khususnya di kawasan induknya iaitu kawasan Malaysia-Indonesia-Brunei-Patani (dan selatan Filipina),” katanya. Oleh itu kata beliau, penting juga diingatkan bahawa bahasa Islam yang terbesar di dunia bukan bahasa Arab atau bahasa Parsi tetapi bahasa Melayu. “Bahasa ilmu atau bahasa pengajian tinggi yang terbesar di rantau ini bukan bahasa lain, bukan bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu-bahasa Indonesia. “Di seluruh rantau ini terdapat lebih kurang 3,000 institusi pengajian tinggi yang hampir semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Jumlah buku ilmu yang terbanyak di rantau ini ialah buku dan pelbagai penerbitan ilmiah dan bukan ilmiah dalam bahasa Melayu,” katanya lagi"

Selasa, 19 Julai 2011

Siapakah Kaum Khawarij?


Untuk menjawab pertanyaan, siapakah Al-Khawarij? Maka ketahuilah bahawa mereka adalah orang-orang yang mengkafirkan kaum muslimin dengan sebab dosa-dosa besar yang tingkatannya masih di bawah kesyirikan dan kekufuran. Mereka adalah orang-orang yang keluar dari sikap taat kepada penguasa, serta menentang penguasa dengan mengangkat senjata. Mereka juga menyerukan kepada kaum muslimin untuk memerangi penguasa Islam. Jenis yang ini dinamakan dengan penentangan dengan kekuatan fizikal.

Al-Khawarij adalah bentuk plural (jamak) dari kata Al-Kharijah, yang maknanya secara global adalah, "Para pemberontak yang keluar dari sikap taat kepada penguasa muslim." Disebutkan oleh pentahqiq (peneliti) kitab Al-Milal wan Nihal (I/131), bahawa Al-Khawarij adalah pihak-pihak yang mencampakkan ketaatan terhadap penguasa pemerintahan muslimin dengan dalih kesesatan penguasa dan tidak adanya keinginan membela kebenaran. Kaum Khawarij ini memiliki berbagai bentuk mazhab dan fahaman sesat yang mereka ada-adakan sendiri.

Al-lmam Asy-Syahrastani rahimahullah (w. 548 H) sendiri dalam kitabnya Al-Milal wan Nihal di atas (I/132) menegaskan:

"Setiap orang yang memberontak kepada imam (penguasa) yang sah dan telah disepakati kaum muslimin maka dia disebut sebagai khawarij. Sama saja, apakah dia memberontak pada masa sahabat kepada Al-A'immah (Al-Khulafa') Ar-Rasyidm, atau setelah mereka pada masa tabi'in mahupun (pemberontakan) terhadap para imam (penguasa) di setiap zaman."

Perhatikan pula penegasan Al-lmam Al-Barbahari rahimahullah (w. 329 H) dalam Syarhus Sunnah (no. 34):

"Barang siapa yang memberontak kepada salah satu penguasa dari para penguasa kaum muslimin maka dia adalah khawarij, dan bererti dia telah memecah belah kesatuan kaum muslimin serta menentang sunnah. Matinya pun dalam keadaan mati jahiliyyah."

Sehingga dari penjelasan para 'ulama di atas kita tahu bahawa ciri khas Khawarij adalah melakukan pemberontakan atau penentangan terhadap penguasa muslim yang sah di setiap zaman.

[Rujukan: Syarru Qatla Tahta Adimis-Sama'i Kilabun-Nar; Penulis: Jamal bin Furaihan Al-Haritsi; Redaksi: Asy-Syaikh Shalih bin Fauzan bin 'Abdillah Al-Fauzan Hafizhahullah (Anggota Majelis Hai'ah Kibaril 'Ulama'); Edisi Indonesia: Mengidentifikasi Neo-Khawarij sebagai Sejelek-jelek Mayat di Kolong Langit; Hal: 57-58; Diterjemahkan dan Dijelaskan oleh: Luqman bin Muhammad Ba'abduh; Cetakan: Pertama, Sya'ban 1428 H/ Ogos 2007M; Penerbit: Pustaka Qaulan Sadida].

Tukikan: http://networkedblogs.com/kCSBx

Isnin, 4 Julai 2011

Jangan Jadi Bangsa Jalanan!


Bunyinya memang keji lagi hina. Bangsa jalanan ialah bangsa yang merempat, bersimpang siur dan tak terurus, yang pepat di luar rencong di dalam di kalangan masyarakatnya. Bukan menghina atau menafikan peranan dan hak ahli-ahli politik untuk menggunakan segala macam cara untuk mendapatkan perhatian. Tetapi hanya ingin menyedarkan bahawa demonstrasi atau menunjuk perasaan secara tidak sah adalah demokrasi jalanan. Selepas ini jalan-jalan digunakan untuk mendirikan dan menumbangkan pemerintahan negara kita. Mudahka?Itulah Bangsa Jalanan yang tak bermaruah!

Perhimpunan atau demonstrasi adalah pakej yang didatangkan bersama dengan sistem demokrasi ala barat yang dipaksakan ke atas negara-negara lain termasuklah Malaysia. Jika tidak mendapat persetujuan pemerintah atau pihak penjaga keamanan negara ia digelar perhimpunan haram yang tidak diberikan permit berhimpun. Walaupun sejarah demonstrasi bermula sedari perjuangan orang Melayu menuntut pembatalan Malayan Union pada 1946 di Tanah Melayu, budaya ini bukanlah budaya pemakaian demokrasi yang baik untuk demokrasi mahupun menghormati sistem raja berperlembagaan yang mementingkan undian majoriti.

Memang tidak adil mengaitkan pakej yang dibenarkan dalam demokrasi dengan pemikiran, tetapi tindak tanduk pelaku atau peserta demonstrasi kadangkala sukar diramal. Dalam keadaan tanpa permit/izin, pelaku akan bertindak dengan emosi. Keadaan baik boleh menjadi luar kawalan, keadaan yang awalnya betul dan lancar kadang kala “bak mencurah api” pada sekam – mengakibatkan kejadian luar jangka mengundang. Di Singapura, demonstrasi ini memang dihalang sehingga dikatakan mencemuh pakej demokrasi tersebut. Tetapi apakan daya, banyak penakatan penting di sebalik pengharaman ini membuahkan kesan yang baik. Lebih banyak baiknya diharamkan demonstrasi haram dari dibenarkan.

Kita dapat menyorot kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia pada 1998 akibat demonstrasi jalanan yang dianjurkan pejuang reformis. Demokrasi jalanan tersebut telah mematikan sistem demokrasinya dengan cara yang paling keji – pemimpin dijatuhkan dengan ‘suara jalanan’ tanpa ideologi dan kepimpinan pelapis. Akibatnya, Indonesia sehingga kini ‘meratapi’ krisis tersebut.

Apakah dengan ideologi barat itu dianggap semuanya baik? Apakah pakej demokrasi itu boleh menjamin keluhuran sistem demokrasi yang diamalkan. Memang bukan semuanya berpuas hati dengan segala benda yang dilakukan oleh pemerintah. Tetapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Pemikiran ini harus dipancung dari fikiran kita terutamanya bagi yang mementingkan jati diri dan sopan santun adat timur. Kita tidak perlu terkinja-kinja untuk didengarkan idea politik kita. Tetapi bahaslah semasa kempen, dalam ruang lingkup politik kita. Banyak saluran yang ada untuk meluahkan pandangan kita, parlimen sehinggalah ke forum terbuka.

Demonstrasi tidak menyelesaikan semua benda, bahkan bakal mengundang pelbagai implikasi. Bagi yang berkepentingan semuanya akan menyatakan demonstrasi haram adalah jalan terakhir yang perlu diambil untuk menyedarkan pihak yang ditentang. Terfikirkah kita khalayak yang menyertai demonstrasi? Sebungkus nasi menjanjikan segala-galanya? Sekali atau sekerap mungkin demonstrasi itu bakal mengubah senario semasa? Jika begitu demonstrasi bakal meranapkan segala cita warganegara yang inginkan keamanan.

Jika artikel ini tersiar ramai yang akan berkata pemikiran penulis adalah pesimis. Tetapi sedar atau tidak demonstrasi haram tidak mengundang kebaikan langsung melainkan cita-cita politik pihak tertentu yang memperalatkan bangsanya demi cita-citanya yang tersendiri. Khalayak yang menyertainya pula diperalatkan. Setelah berjaya cita-citanya, apa yang akan diganjarkan kepada penyokong atau juak-juaknya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah janji beretorik yang mana mungkin dilaksanakan dalam masa yang sesingkat seperti sebelum demonstrasi.

Pemikiran jalanan ini haruslah disingkirkan. Perhimpunan haram yang menuntut cita-cita politik tertentu janganlah menjadi budaya kita. Tidak akan maju pun jika berbuat begitu. Jika kita berdemonstrasi untuk tujuan yang baik, seperti membantah campur tangan asing ke atas negara tercinta ini tanpa melibatkan fahaman politik, alangkah baiknya. Jika kita berdemonstrasi untuk membantah penaklukan asing ke atas Iraq, Palestin dan lain-lain negara Islam alangkah moleknya. Perpaduan yang dibangunkan semata-mata untuk menunjukkan kesepaduan kita dalam negara.

Bukannya dengan berdemonstrasi membantah sana membantah sini tanpa apa-apa justifikasi unggul melainkan cita-cita politik yang memecahbelahkan kestabilan dan perpaduan negara. Janganlah memaksakan ideologi politik anda merosakkan kemakmuran negara. Semuanya hendak dipolitikkan. Fikirkan cara yang dapat menjernihkan keadaan rakyat bukannya menyimbah lagi minyak ke dalam api. Dengan ekonomi yang semakin tak keruan, demonstrasi boleh membantutkan pelabur, menjejaskan peniaga di tempat yang dianjurkan bahkan menunjukkan kepada pelabur/pelancong betapa Malaysia tidak damai seperti dahulu dan rakyatnya seperti di Indonesia yang suka berdemonstrasi untuk benda-benda yang kecil sekalipun.

Janganlah sokongan jalanan menjadi budaya kita. Akan rosaklah sistem kita sejak 50 tahun dahulu. Janganlah bangsa kita menaikkan pemimpin melalui jalanan bak orang tak bertamadun. Janganlah memaksa rakyat terhibur dengan aksi-aksi sarkas. Tidak maju pun dengan berdemonstrasi bahkan menunjukkan kelemahan berfikir serta tindak tanduk yang meluru atau membuta tuli dengan memaksa ideologi anda ke atas orang lain. Kami berhak menentukan apa yang kami cita dengan kertas undi, bukannya pemikiran sempit dan sokongan sorak di jalan.