
Bunyinya memang keji lagi hina. Bangsa jalanan ialah bangsa yang merempat, bersimpang siur dan tak terurus, yang pepat di luar rencong di dalam di kalangan masyarakatnya. Bukan menghina atau menafikan peranan dan hak ahli-ahli politik untuk menggunakan segala macam cara untuk mendapatkan perhatian. Tetapi hanya ingin menyedarkan bahawa demonstrasi atau menunjuk perasaan secara tidak sah adalah demokrasi jalanan. Selepas ini jalan-jalan digunakan untuk mendirikan dan menumbangkan pemerintahan negara kita. Mudahka?Itulah Bangsa Jalanan yang tak bermaruah!
Perhimpunan atau demonstrasi adalah pakej yang didatangkan bersama dengan sistem demokrasi ala barat yang dipaksakan ke atas negara-negara lain termasuklah Malaysia. Jika tidak mendapat persetujuan pemerintah atau pihak penjaga keamanan negara ia digelar perhimpunan haram yang tidak diberikan permit berhimpun. Walaupun sejarah demonstrasi bermula sedari perjuangan orang Melayu menuntut pembatalan Malayan Union pada 1946 di Tanah Melayu, budaya ini bukanlah budaya pemakaian demokrasi yang baik untuk demokrasi mahupun menghormati sistem raja berperlembagaan yang mementingkan undian majoriti.
Memang tidak adil mengaitkan pakej yang dibenarkan dalam demokrasi dengan pemikiran, tetapi tindak tanduk pelaku atau peserta demonstrasi kadangkala sukar diramal. Dalam keadaan tanpa permit/izin, pelaku akan bertindak dengan emosi. Keadaan baik boleh menjadi luar kawalan, keadaan yang awalnya betul dan lancar kadang kala “bak mencurah api” pada sekam – mengakibatkan kejadian luar jangka mengundang. Di Singapura, demonstrasi ini memang dihalang sehingga dikatakan mencemuh pakej demokrasi tersebut. Tetapi apakan daya, banyak penakatan penting di sebalik pengharaman ini membuahkan kesan yang baik. Lebih banyak baiknya diharamkan demonstrasi haram dari dibenarkan.
Kita dapat menyorot kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia pada 1998 akibat demonstrasi jalanan yang dianjurkan pejuang reformis. Demokrasi jalanan tersebut telah mematikan sistem demokrasinya dengan cara yang paling keji – pemimpin dijatuhkan dengan ‘suara jalanan’ tanpa ideologi dan kepimpinan pelapis. Akibatnya, Indonesia sehingga kini ‘meratapi’ krisis tersebut.
Apakah dengan ideologi barat itu dianggap semuanya baik? Apakah pakej demokrasi itu boleh menjamin keluhuran sistem demokrasi yang diamalkan. Memang bukan semuanya berpuas hati dengan segala benda yang dilakukan oleh pemerintah. Tetapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Pemikiran ini harus dipancung dari fikiran kita terutamanya bagi yang mementingkan jati diri dan sopan santun adat timur. Kita tidak perlu terkinja-kinja untuk didengarkan idea politik kita. Tetapi bahaslah semasa kempen, dalam ruang lingkup politik kita. Banyak saluran yang ada untuk meluahkan pandangan kita, parlimen sehinggalah ke forum terbuka.
Demonstrasi tidak menyelesaikan semua benda, bahkan bakal mengundang pelbagai implikasi. Bagi yang berkepentingan semuanya akan menyatakan demonstrasi haram adalah jalan terakhir yang perlu diambil untuk menyedarkan pihak yang ditentang. Terfikirkah kita khalayak yang menyertai demonstrasi? Sebungkus nasi menjanjikan segala-galanya? Sekali atau sekerap mungkin demonstrasi itu bakal mengubah senario semasa? Jika begitu demonstrasi bakal meranapkan segala cita warganegara yang inginkan keamanan.
Jika artikel ini tersiar ramai yang akan berkata pemikiran penulis adalah pesimis. Tetapi sedar atau tidak demonstrasi haram tidak mengundang kebaikan langsung melainkan cita-cita politik pihak tertentu yang memperalatkan bangsanya demi cita-citanya yang tersendiri. Khalayak yang menyertainya pula diperalatkan. Setelah berjaya cita-citanya, apa yang akan diganjarkan kepada penyokong atau juak-juaknya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah janji beretorik yang mana mungkin dilaksanakan dalam masa yang sesingkat seperti sebelum demonstrasi.
Pemikiran jalanan ini haruslah disingkirkan. Perhimpunan haram yang menuntut cita-cita politik tertentu janganlah menjadi budaya kita. Tidak akan maju pun jika berbuat begitu. Jika kita berdemonstrasi untuk tujuan yang baik, seperti membantah campur tangan asing ke atas negara tercinta ini tanpa melibatkan fahaman politik, alangkah baiknya. Jika kita berdemonstrasi untuk membantah penaklukan asing ke atas Iraq, Palestin dan lain-lain negara Islam alangkah moleknya. Perpaduan yang dibangunkan semata-mata untuk menunjukkan kesepaduan kita dalam negara.
Bukannya dengan berdemonstrasi membantah sana membantah sini tanpa apa-apa justifikasi unggul melainkan cita-cita politik yang memecahbelahkan kestabilan dan perpaduan negara. Janganlah memaksakan ideologi politik anda merosakkan kemakmuran negara. Semuanya hendak dipolitikkan. Fikirkan cara yang dapat menjernihkan keadaan rakyat bukannya menyimbah lagi minyak ke dalam api. Dengan ekonomi yang semakin tak keruan, demonstrasi boleh membantutkan pelabur, menjejaskan peniaga di tempat yang dianjurkan bahkan menunjukkan kepada pelabur/pelancong betapa Malaysia tidak damai seperti dahulu dan rakyatnya seperti di Indonesia yang suka berdemonstrasi untuk benda-benda yang kecil sekalipun.
Janganlah sokongan jalanan menjadi budaya kita. Akan rosaklah sistem kita sejak 50 tahun dahulu. Janganlah bangsa kita menaikkan pemimpin melalui jalanan bak orang tak bertamadun. Janganlah memaksa rakyat terhibur dengan aksi-aksi sarkas. Tidak maju pun dengan berdemonstrasi bahkan menunjukkan kelemahan berfikir serta tindak tanduk yang meluru atau membuta tuli dengan memaksa ideologi anda ke atas orang lain. Kami berhak menentukan apa yang kami cita dengan kertas undi, bukannya pemikiran sempit dan sokongan sorak di jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.