Ahad, 23 November 2014

Media Indonesia Membunuh Citra

Media Indonesia Membunuh Citra


Minggu lepas (18 November 2014), Pemerintah Indonesia melalui Dekri Khas Presiden mengumumkan pengurangan subsidi Bahan Bakar Minyak (BBM) bersubsidi sekitar RM2.33 seliter bagi RON 88 manakala RM2.10 bagi diesel.  Pengurangan subsidi memberikan impak kenaikan harga dari Rp6,500 kepada Rp8,500 seliter.  Ini memberikan tekanan kepada rakyat miskin di sana sehingga wujudkan gerakan massa di jalan raya bagi memprotes keputusan tersebut.




Presiden Joko Widodo dalam reaksinya mengenai kenaikan memaklumkan “tidak memandang populariti” demi tanggungjawabnya mengurangkan kantung subsidi bagi diagihkan ke sektor pendidikan, pembangunan dan kesihatan masyarakat yang memerlukan.  Sepanjang minggu tersebut, media-media di sana memainkan isu kenaikan harga BBM ini memberikan manfaat kepada rakyat khususnya dalam mengurangi beban yang dipikul pemerintah yang semakin membesar.Media di sana menarik perhatian bahawa tindakan ini perlu dalam menjamin kelangsungan kewangan negara yang boleh dihematkan bagi tujuan lain

Bagi rakyat awam, sejurus kenaikan harga BBM semua keperluan harian mereka juga “naik” secara mendadak dengan jumlah yang sama.  Tambang pengangkutan umum (dikenali Angkot – van komersil) turut meningkat Rp2,000.00 sehala kepada Rp7,000.00 secara mutlak mulai tarikh kenaikan harga BBM.  Tambang kereta api juga naik sekitar 150% ke semua destinasi.  Bagi penduduk, kenaikan ini adalah satu beban tambahan sehingga harga makanan dan rempah ratus turut meningkat setara dengan kenaikan BBM tersebut secara tidak langsung.  Media di sana turut membuat perbandingan harga minyak termasuk subsidi dan kadar upah di negara-negara ASEAN.

Tidak ketinggalan di Kuala Lumpur pada Jumaat pula (21 November 2014) Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa subsidi minyak RON95 dan diesel akan diapungkan memandangkan kejayaan dalam sistem pasaran terbuka (secara apungan terpantau) RON97.  Dengan itu, harga minyak di Malaysia akan meningkat dan menurun mengikut harga pasaran terbuka (di masa kini harga satu barrel minyak USD80.00 ke USD85.00).  Maka, bagi Kuala Lumpur, harganya akan turun sekitar RM0.03 sen pada 1 Disember 2014 (masih di peringkat kajian). 
 
Media di Indonesia dengan pantas menyambar peluang ini untuk mendinginkan suhu tekanan di Indonesia dengan mengutip bahawa Kerajaan Malaysia turut “meniru” gaya Indonesia dalam menaikkan harga minyak bagi menurunkan subsidi kerajaan. "Gaya Meniru Malaysia" juga kononnya atas kebijaksaan Indonesia menambah pendapatan boleh guna pemerintah bagi mengurangkan defisit negara menunjukkan Indonesia lebih bijak dalam menguruskan kewangannya.  Sedang Indonesia (RON88 berharga RM2.33, Malaysia RON95 berharga RM2.30) akan mengurangkan subsidinya, menjadikan Najib Razak sebagai “kambing hitam” dalam menuetralkan masalah di sana - mutlak.  Kelihatannya Perdana Menteri memang tidak kreatif kononnya.

Minggu yang sama juga pihak media di sana melaporkan kononnya sebanyak 200 orang nelayan Malaysia yang menyemberang dan menangkap ikan di perbatasan berjaya ditahan dalam sempadan Indonesia.  Sehingga ada kutipan kata-kata dari Presiden Indonesia bahawa “Tenggelamkan kapal (penceroboh asing), suka mereka berfikir, tetapi selamatkan nyawa anak kapalnya” sebagai satu provokasi mengapi-apikan rakyat agar terus “marah” kepada Malaysia kononnya sebagai penceroboh negara dan memungut hasil jirannya. Supaya rakyat di sana "lari" dari isu BBM dan kembali bersatu "bahawa mereka diserang" oleh nelayan Malaysia kononnya.  

Tindakan ini mengundang marah di kalangan warga Malaysia dengan kenyataan yang “kurang sopan” seperti ditukilkan oleh Pemerintah di sana.  Sedangkan mengikut laporan Ketua Polis Negara sehingga ke jam ini (24 November 2014) masih tiada laporan penangkapan tersebut.  Dan Kedutaan Malaysia di Indonesia turut masih belum dipanggil dalam menjelaskan duduk letak hal berkenaan.
 
Di sini kita dapat melihat media di Indonesia akan cuba dengan begitu terancang dan saksama menjadikan Malaysia sebagai “kambing hitamnya” dan terus “membodoh-bodohkan” rakyatnya secara terbuka bagi melarikan diri dari realiti sebenar. 

Pertama, kononnya harga petrol di Malaysia juga mahal sedangkan RON yang berbeza (RON88 lebih rendah kualitinya) digunakan di sana serta kenaikannya adalah diluar pengetahuan Malaysia.  

Kedua, kononnya Malaysia 'meniru' kenaikan harga BBM di Indonesia.  Sebenarnya Kerajaan Malaysia ditekan oleh rakyat Malaysia sendiri bahawa harga minyak satu tong (barrel) di pasaran dunia telah turun, dan kerajaan harus dengan saksama menurunkan harga mengikut harga pasaran dalam memakmurkan rakyatnya tanpa sebagai elemen “meniru” Indonesia. 

Ketiga, dalam melarikan diri dari masalah perhimpunan jalanan (protes kenaikan BBM), mereka turut menjadikan “sebuah cerita penglipur lara” bahawa Malaysia sentiasa membodohi dan mencabul (mengambil kesempatan) ke atas Indonesia sedangkan ia tidak begitu.  Dengan usaha itu, diharapkan perhatian warga yang marah boleh dilarikan kepada rakyat “Malaysia” yang dijadikan “kambing hitam” berikutnya. 

Itulah harga sebuah laporan media yang suka menjadikan orang lain sebagai mangsa untuk mereka melarikan diri dari realiti sebenar yang menyakitkan.  Walaupun media Malaysia juga mempunyai setidak-tidaknya sedikit rasa terguris, tetapi demi sebuah kelangsungan “Persatuan Bangsa”, media Malaysia jarang sekali memberikan “sampah” dan menjadikan jiran-jiran atau negara luar sana sebagai “kambing hitamnya” dalam melarikan diri dari realiti politik atau situasi di negara ini yang kadang kala juga mengerikan. 


Matanglah wahai media dan warga Indonesia, bahawa maklumat dari negara kalian itu selalu tidak telus dan membodohkan kalian dalam kesedaran dan kebijaksaan kalian sendiri (bak kata Melayu, "hidup-hidup ditipu").  Sedangkan media Malaysia yang dianggap “mengampu dan bias” ini tidak pernah berbuat begitu dalam memberikan maklumat yang saksama dan bernas kepada rakyat negara ini yang lebih bijak membuat “spekulasi dan teori mereka sendiri” – secara peribadi.  

Selasa, 11 November 2014

Mengapa Melayu Perlu Perkuat Jatidiri?

Mengapa Melayu Perlu Perkuat Jatidiri?

Melayu menurut Perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat (budaya) Melayu. Bila Perlembagaan meletakkan Islam sebagai takrifan bangsa yang utama, secara automatik, Melayu adalah beragama Islam. Manakala Islam juga adalah agama Persekutuan (yang dilindungi) dalam apa jua perkara dan Dasar Awam.

Bila Melayu/Islam harus memperkuatkan jatidirinya adalah kerana Melayu membawa agama Islam iaitu Ad-Din selaku budi dan daya (budaya) dan adat resam hidupnya. Sekental mana pun jiwa Melayunya, tanp mewarisi agama Islam sebagai "gaya hidupnya", maka ia masih dianggap kurang "Melayu". Jika ia mewarnai jiwanya dengan budaya Arab dan beragama Islam, maka ada sedikit persamaan dalam agamanya tetapi tidak pada adat dan resamnya.

Memang Islam lebih diutamakan daripada adat istiadat dan adat resamnya, tetapi dalam kes Melayu di Tanah Melayu ini bermaksud Melayu Bukit (Melayu yang berada di Semenanjung yang bercantum dengan Tanah Besar) bukannya dari pulau-pulau yang membawa sedikit perbezaan dalam budaya mereka, ia harus dipertahankan. Jika Islam di Indonesia telah berjaya di'telanjang'kan dengan nilai-nilai liberal dan kebebasan, apakah Melayu Malaysia juga harus begitu? Jika di Singapura yang bertuankan 'keabshan liberal" termasuk agama, apakah kita wajar mengikutinya? Kini, Islam di Kad Pengenalan (Kartu Tanda Penduduk Indonesia) dimansuhkan kerana politik membolehkan agama bertukar tanpa maklum kepada penguasa agama.

Berzaman Melayu/Islam dijajah tetapi tidak banyak yang berjaya dicabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya. Baru setengah abad (50 tahun) kita berpemerintahan sendiri, betapa ramai yang cuba mencabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya serta menyemarakkan fahaman "liberalisme" iaitu kebebasan yang diabsahkan (dibenarkan mengikut logik). Apakah Melayu kini telah moden dan ia akan dianggap "ketinggalan zaman" dengan berfahaman tradisi atau quo? Sebenarnya, Islam dan Melayu di Malaysia masih berakar di jiwa dan berjasad di bumi orang Melayu ini, tetapi ada pihak yang sedang meracuni akar faham itu secara tidak langsung atas dasar sebuah "kuasa" tanpa disedari.

Ketuanan Melayu atau Islam telah semakin jauh di telinga dan Melayu sendiri terlalu takut memperkatakan tentang bangsa dan kedaulatannya kerana diancam dengan label “rasis” tetapi berapa ramai yang tahu hak dan istimewa Melayu dalam Perlembagaan semakin merosot kerana takutnya kita dengan label itu?  Melayu dan Islam semakin menyepi dan terpinggir dalam agenda utama sama ada parti mahupun ideologinya.  Parti UMNO yang ditubuhkan atas dasar kebangsaan juga takut mendekatkan diri dengan elemen orang Melayu dan NGO PERKASA yang memberontak untuk idealisme Melayu itu.  Parti Islam Malaysia (PAS) turut menikus dengan agenda Islam yang memperkasakan jiwa Melayu itu apabila semakin kecut perut dengan rakan pakatan mereka mempertahankan apa-apa idealisme berkaitan Islam seperti isu pakaian “transgender”, isu berkaitan NGO liberal (Sister in Islam) dan sebagainya.  Apakah Melayu dan Islam semakin kecut dengan kerusi di Parlimen?  Siapa yang bersuara majoriti di sini dan apakah ia akan disisihkan dalam agenda nasionalnya?

Oleh itu, Melayu harus bangkit mempertahankan jiwa dan raganya iaitu jasad Melayunya yang berkulit sawo matang, bertanahkan Tanah Melayu yang rizabnya semakin kecil serta peruntukan ekonomi dan kuotanya.  Mereka juga harus mempertahankan jiwanya iaitu Islam sebagai roh hidupnya dengan menghayati apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti isu berpakaian mengikut Islam, mempertahankan hak Perlembagaan Islam dan gaya hidup Islam yang sah dan mengikut hukum Allah tanpa apa-apa syarat untuk ditukarkan waima dengan sekeping kertas undi.  Ayuhlah Melayu yang beragama Islam bangkit menyatakan hak mu sebagaimana Melayu Islam melawan kaum kafir semasa isu Natrah.  Bangkitlah Melayu sebagaimana Onn Jaafar menubuhkan kongresnya di Johor Bahru.  Namun bangunmu itu hendaklah dengan idealisme dan kekuatan mental mempertahankan hakmu bukannya dengan tindakan fizikal mu yang tidak berkudrat maya.  Tiada parti atau jabatan yang boleh menaungi kamu kini di bumi yang di bilang Tanah Melayu. 

Melayu tidak perlu berdemonstrasi lagi menjadi bangsa jalanan untuk menuntut haknya.  Gunalah pelbagai saluran demokrasi dalam memperjuangkan agendanya.  Melayu perlu badan pemikir yang bertindak mengumpulkan ‘solid opinion’ dalam memperdayakan mereka yang cuba menipu dan membelot hak orang Melayu.  Mereka harus mengadakan rapat dan forum secara terbuka dengan mengumpulkan orang-orang Melayu dan memberikan pencerahan.  Dedahkan di dada-dada akhbar tentang kemerosotan dan perjuangan orang Melayu.  Tunjukkan solidariti dengan penyatuan Melayu mengadakan bacaan Yaasin dan menghadiri solat Hajat secara terbuka di mana-mana masjid, di dewan-dewan serta perbanyakan pencetus pendapat mengemukakan fakta-fakta dan hala tuju Melayu.  Keluarkan idea-idea dan bahaskan secara terbuka di media massa dan media sosial bahawa ia terus memacu idealisme yang lebih baik.  Melayu harus mempunyai jiwa pengkaji yang ilmiah dalam memperkasakan bangsa mereka.  Ramai profesor di universiti yang boleh memberikan statistik ini kepada pemimpin pendapat Melayu, dan Melayu yang lain harus menunjukkan sokongan dan mendesak.  Jangan hanya menunjuk belang di jalan raya tetapi tidak berisi dan tidak ilmiah seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ tingkahnya. 


Takkan Melayu Hilang Di Dunia adalah gurindam dari Hang Tuah, tetapi Melayu akan hilang secara bertahap jika Islam (Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie) ini dicabut atau diracun tanpa kita sedar atas dasar kononnya kemajuan. Islam adalah agama kota bukannya agama padang pasir, maka tidak hairan Kota Melaka yang gah dahulu berjaya menyerap Islam kota ini di jiwa Melayu di rantau Asia Tenggara sebelum Acheh dan Jawa mengambilnya secara perlahan-lahan.

Rabu, 5 November 2014

Rezeki Nan Secupak......

Rezeki Nan Secupak…………..


“Rezeki yang berkat, sedikit mencukupi, banyaknya boleh dikongsi…”

                        “Rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak puas….”


Kata-kata di atas sering beredar dalam laman maya khususnya Facebook untuk menginatkan kita tentang keberkatan rezeki yang diperolehi.  Dalam tanda menginatkan diri sendiri dan berkongsi, saya tukilkan pertanyaan di benar saya sendiri.  Berapa ramai yang sering mengeluh setiap kali naiknya harga minyak atau barang keperluan harian?

Saya dibesarkan dengan 10 orang adik beradik secara bertingkat-tingkat, tetapi sehingga ke saat ini kami sekeluarga di kala itu tidak pernah mengalami keputusan bekalan makanan bahkan kami sentiasa bermuafakat.  Gaduh adik beradik itu, bukanlah sesuatu yang sangat serius kerana air dicincang tidak akan putus. 


Dalam konteks rezeki ini, ayah saya hanya bekerja kampung dengan ibu hanya sebagai suri rumah yang membesarkan anak-anaknya yang ramai.  Pada kakak-kakak dan abang-abanglah mereka mengagih tugas dalam membesar dan mendidik keluarga besar kami.  Akhirnya, berkat kerja keras ayah dan ibu kami membesar walaupun tak sekaya mana tetapi kami bersyukur kerana rezeki keluarga kami terus bertahan, bahkan mencukupi. 

Ayah di sebelah pagi akan ke laut, menangkap ikan.  Jika tidak dijual untuk membeli beras, akan dimakan ikan itu atau dijadikan ikan kering.  Sebelah tengah hari, ayah akan ke bendang melihat sawah padinya, sama ada meracun atau membaja sehingga kuning dan sesuai disabit.  Malamnya jika ada kelapangan dan dia tidak penat, dia akan kembali ke laut menangkap udang yang dinamakan “melanggai” ataupun jika musimnya mencari geragau untuk dijadikan belacan dan cencaluk dengan “menyungkuh”. 

Ibu pula selain membantu memasak dan memotong baki-baki ikan dijadikan ikan kering, akan tolong menjual di kedai runcit milik keluarga kami yang kampong.  Walaupun kecil tetapi tetap memberi manfaat kepada kami juga.  Kami turut membantu walaupun kadang-kadang “hilang” untuk pergi bermain.  Malam pula, selepas makan malam ibu akan mengajar kami mengaji.  Beban mana si ibu yang boleh berehat?

Hari ini, rata-rata kita bekerja dengan sector perkhidmatan kalaupun ada yang masih bekerja kampong, bekerja kilang atau apa-apa kerja perniagaan atas talian dan macam-macam selain kerja-kerja di syarikat besar atau kerajaan.  Sebanyak 1.5 juta penjawat awam bekerja di sector awam termasuk saya dan 5 orang ahli keluarga saya kini.

Sepanjang hampir lapan tahun saya berkhidmat di sector awam khususnya, rata-rata mereka memakan gaji secara tidak sepatutnya.  Ada yang bekerja dengan mengetik kad perakam waktu dengan betul tetapi hilang dalam bertugas.  Ada juga yang langsung tidak mengetik atau mengetik ikut suka.  Bekerja juga begitu, ada yang hilang sewaktu bekerja.  Ambil masa yang panjang ketika rehat.  Bekerja secara “cincai” atau ala kadar nya sahaja.  Bahkan ada yang bekerja secara “sambal-sambil” iaitu jika mahu kerja, maka kerjalah, jika tidak mahu, maka tinggalkan sahaja.

Itu belum masuk lagi pekerja yang membut tuntutan dan kerja lebih masa.  Kerja-kerja lebih masa walaupun bermain games tetap dibayar sekiranya tidak diketahui.  Ada juga yang sanggup menunggu masa yang lama untuk menyiapkan kerja-kerja am yang diberikan seperti menyemak tuntutan, menghantar surat bahkan berbuat apa sahaja yang tidak selesai selama 9 jam bekerja, akhirnya membuat tuntutan lebih masa. 

Di sini keberkatan duit yang diperolehi diambil dan dibelanjakan.  Manakan cukup wang gaji jika tidak dicampur tuntutan-tuntutan lain waima 5 minit bekerja lebih masa?  Jadi, bayangkan “wang” yang diperolehi dengan kerja-kerja seadanya.  Saya sering mengingatkan diri sahaja bahawa 5 minit masa yang dipinjam oleh pejabat saya, akan saya gantikan dengan 10 minit.  Saya juga selalu “hilangkan” kerja-kerja lebih masa agar dapat mengganti waktu-waktu saya “berehat tanpa pengetahuan boss” atau keluar sebentar bagi menyelesaikan urusan peribadi.  Orang kata, bersikap lebih kurang sahaja kerana saya juga tidak sempurna dan perkara itu harus digantikan dengan saksama.  Gaji yang diperolehi juga harus berkat dan bersih.

Selain menerima gaji dan membayar bil, zakat atau sedekah waima RM5.00 sebulan juga harus diberikan dalam membersihkan wang yang diperolehi.  Kerana di dalam setiap wang kita terdapat rezeki anak yatim, orang miskin dan fakir.  Tetapi ramai beranggapan bahawa gaji mereka adalah hak mereka sehingga lupa tanggungjawabnya kepada manusia yang lain.  Berkatkah dengan wang yang kita kaut setiap hujung bulan itu?

Wang yang ada itu kita belikan susu, makan pakai serta belanja dapur untuk keluarga dengan semaksimum mungkin.  Sehingga sen-sen yang terakhir akan kita gunakan.  Kita terlupa dua hal dalam perkara ini iaitu 1) Keberkatan wang yang diperolehi semasa kita bekerja dan 2) Rezeki yang diinfakkan kepada anak yatim, miskin dan fakir yang disucikan. 

Saban bulan kita menerima dan berbelanja mengikut sesuka hati termasuk bonus atau apa-apa pendapatan lainnya.  Kita gagal menginfakkan wang atau mencari keberkatan dalam rezeki kita sendiri, akhirnya yang banyak tidak cukup yang sedikit harusnya tersangat sempit.
 
Sekadar Gambar Hiasan
Akhirnya, adakah kita beristiqamah dalam bekerja dengan penuh keredaan Allah, Majikan dan rakan-rakan?  Kedua, apakah kita selalu berkongsikan rezeki kita dengan orang lain dalam mencari erti keberkatan itu?  Kadang-kadang Allah menguji kita tetapi kita janganlah mudah melatah dengan menyalahkan orang lain serta membangkit-bangkitkan ketidakcukupan kita dalam berbelanja.  Memang membesarkan anak-anak adalah skar dan sulit tetapi jika ada kesabaran dan rezeki yang berkat, nescaya kita akan memperolehi anak yang sempurna.

Rezeki yang tidak berkat dan lagi syubhat boleh menggalakkan anak-anak kita yang degil, tamak, tidak bijak dan lembam pemikirannya.  Oleh itu, dari rezeki yang betul-betul berkat lagi suci ia memastikan jiwa kanak-kanak itu juga bersih serta melahirnya masyarakat yang bijak dan berbaik akal budinya.  Apa guna kehendak semua anak disempurnakan tetapi dengan wang yang tidak berkat atau tidak jujur?  Akhirnya makan minum anak dengan wang tidak jujur membiakkan “syaitan-syaitan” kecil dijiwanya dan merosakkan budi dan daya keluarga dan masyarakatnya.

Sekadar nasihat dua posen untuk diri saya sendiri agar sentiasa memberikan makanan yang baik-baik terutama kepada ibu dan bapa saya yang saya hulurkan wang santunan setiap bulan agar mereka menerimanya dengan penuh keberkatan, In Sha Allah.


p/s:  Pandangan peribadi untuk diri sendiri sahaja.  Jika anda rasakan ada manfaatnya, maka cubalah berubah menjadi terbaik.