Mengapa Melayu Perlu Perkuat
Jatidiri?
Melayu menurut Perlembagaan
ialah seorang yang beragama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu dan mengamalkan
adat istiadat (budaya) Melayu. Bila Perlembagaan meletakkan Islam sebagai
takrifan bangsa yang utama, secara automatik, Melayu adalah beragama Islam.
Manakala Islam juga adalah agama Persekutuan (yang dilindungi) dalam apa jua
perkara dan Dasar Awam.

Memang Islam lebih diutamakan daripada
adat istiadat dan adat resamnya, tetapi dalam kes Melayu di Tanah Melayu ini
bermaksud Melayu Bukit (Melayu yang berada di Semenanjung yang bercantum dengan
Tanah Besar) bukannya dari pulau-pulau yang membawa sedikit perbezaan dalam
budaya mereka, ia harus dipertahankan. Jika Islam di Indonesia telah berjaya
di'telanjang'kan dengan nilai-nilai liberal dan kebebasan, apakah Melayu
Malaysia juga harus begitu? Jika di Singapura yang bertuankan 'keabshan liberal"
termasuk agama, apakah kita wajar mengikutinya? Kini, Islam di Kad Pengenalan
(Kartu Tanda Penduduk Indonesia) dimansuhkan kerana politik membolehkan agama
bertukar tanpa maklum kepada penguasa agama.
Berzaman Melayu/Islam dijajah
tetapi tidak banyak yang berjaya dicabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya.
Baru setengah abad (50 tahun) kita berpemerintahan sendiri, betapa ramai yang
cuba mencabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya serta menyemarakkan fahaman
"liberalisme" iaitu kebebasan yang diabsahkan (dibenarkan mengikut
logik). Apakah Melayu kini telah moden dan ia akan dianggap "ketinggalan
zaman" dengan berfahaman tradisi atau quo? Sebenarnya, Islam dan Melayu di
Malaysia masih berakar di jiwa dan berjasad di bumi orang Melayu ini, tetapi
ada pihak yang sedang meracuni akar faham itu secara tidak langsung atas dasar
sebuah "kuasa" tanpa disedari.

Oleh itu, Melayu harus bangkit
mempertahankan jiwa dan raganya iaitu jasad Melayunya yang berkulit sawo
matang, bertanahkan Tanah Melayu yang rizabnya semakin kecil serta peruntukan
ekonomi dan kuotanya. Mereka juga harus
mempertahankan jiwanya iaitu Islam sebagai roh hidupnya dengan menghayati apa
yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti isu berpakaian mengikut
Islam, mempertahankan hak Perlembagaan Islam dan gaya hidup Islam yang sah dan
mengikut hukum Allah tanpa apa-apa syarat untuk ditukarkan waima dengan
sekeping kertas undi. Ayuhlah Melayu
yang beragama Islam bangkit menyatakan hak mu sebagaimana Melayu Islam melawan
kaum kafir semasa isu Natrah. Bangkitlah
Melayu sebagaimana Onn Jaafar menubuhkan kongresnya di Johor Bahru. Namun bangunmu itu hendaklah dengan idealisme
dan kekuatan mental mempertahankan hakmu bukannya dengan tindakan fizikal mu
yang tidak berkudrat maya. Tiada parti
atau jabatan yang boleh menaungi kamu kini di bumi yang di bilang Tanah
Melayu.
Takkan Melayu Hilang Di Dunia
adalah gurindam dari Hang Tuah, tetapi Melayu akan hilang secara bertahap jika
Islam (Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie) ini dicabut atau
diracun tanpa kita sedar atas dasar kononnya kemajuan. Islam adalah agama kota
bukannya agama padang pasir, maka tidak hairan Kota Melaka yang gah dahulu
berjaya menyerap Islam kota ini di jiwa Melayu di rantau Asia Tenggara sebelum
Acheh dan Jawa mengambilnya secara perlahan-lahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.