Rabu, 5 November 2014

Rezeki Nan Secupak......

Rezeki Nan Secupak…………..


“Rezeki yang berkat, sedikit mencukupi, banyaknya boleh dikongsi…”

                        “Rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak puas….”


Kata-kata di atas sering beredar dalam laman maya khususnya Facebook untuk menginatkan kita tentang keberkatan rezeki yang diperolehi.  Dalam tanda menginatkan diri sendiri dan berkongsi, saya tukilkan pertanyaan di benar saya sendiri.  Berapa ramai yang sering mengeluh setiap kali naiknya harga minyak atau barang keperluan harian?

Saya dibesarkan dengan 10 orang adik beradik secara bertingkat-tingkat, tetapi sehingga ke saat ini kami sekeluarga di kala itu tidak pernah mengalami keputusan bekalan makanan bahkan kami sentiasa bermuafakat.  Gaduh adik beradik itu, bukanlah sesuatu yang sangat serius kerana air dicincang tidak akan putus. 


Dalam konteks rezeki ini, ayah saya hanya bekerja kampung dengan ibu hanya sebagai suri rumah yang membesarkan anak-anaknya yang ramai.  Pada kakak-kakak dan abang-abanglah mereka mengagih tugas dalam membesar dan mendidik keluarga besar kami.  Akhirnya, berkat kerja keras ayah dan ibu kami membesar walaupun tak sekaya mana tetapi kami bersyukur kerana rezeki keluarga kami terus bertahan, bahkan mencukupi. 

Ayah di sebelah pagi akan ke laut, menangkap ikan.  Jika tidak dijual untuk membeli beras, akan dimakan ikan itu atau dijadikan ikan kering.  Sebelah tengah hari, ayah akan ke bendang melihat sawah padinya, sama ada meracun atau membaja sehingga kuning dan sesuai disabit.  Malamnya jika ada kelapangan dan dia tidak penat, dia akan kembali ke laut menangkap udang yang dinamakan “melanggai” ataupun jika musimnya mencari geragau untuk dijadikan belacan dan cencaluk dengan “menyungkuh”. 

Ibu pula selain membantu memasak dan memotong baki-baki ikan dijadikan ikan kering, akan tolong menjual di kedai runcit milik keluarga kami yang kampong.  Walaupun kecil tetapi tetap memberi manfaat kepada kami juga.  Kami turut membantu walaupun kadang-kadang “hilang” untuk pergi bermain.  Malam pula, selepas makan malam ibu akan mengajar kami mengaji.  Beban mana si ibu yang boleh berehat?

Hari ini, rata-rata kita bekerja dengan sector perkhidmatan kalaupun ada yang masih bekerja kampong, bekerja kilang atau apa-apa kerja perniagaan atas talian dan macam-macam selain kerja-kerja di syarikat besar atau kerajaan.  Sebanyak 1.5 juta penjawat awam bekerja di sector awam termasuk saya dan 5 orang ahli keluarga saya kini.

Sepanjang hampir lapan tahun saya berkhidmat di sector awam khususnya, rata-rata mereka memakan gaji secara tidak sepatutnya.  Ada yang bekerja dengan mengetik kad perakam waktu dengan betul tetapi hilang dalam bertugas.  Ada juga yang langsung tidak mengetik atau mengetik ikut suka.  Bekerja juga begitu, ada yang hilang sewaktu bekerja.  Ambil masa yang panjang ketika rehat.  Bekerja secara “cincai” atau ala kadar nya sahaja.  Bahkan ada yang bekerja secara “sambal-sambil” iaitu jika mahu kerja, maka kerjalah, jika tidak mahu, maka tinggalkan sahaja.

Itu belum masuk lagi pekerja yang membut tuntutan dan kerja lebih masa.  Kerja-kerja lebih masa walaupun bermain games tetap dibayar sekiranya tidak diketahui.  Ada juga yang sanggup menunggu masa yang lama untuk menyiapkan kerja-kerja am yang diberikan seperti menyemak tuntutan, menghantar surat bahkan berbuat apa sahaja yang tidak selesai selama 9 jam bekerja, akhirnya membuat tuntutan lebih masa. 

Di sini keberkatan duit yang diperolehi diambil dan dibelanjakan.  Manakan cukup wang gaji jika tidak dicampur tuntutan-tuntutan lain waima 5 minit bekerja lebih masa?  Jadi, bayangkan “wang” yang diperolehi dengan kerja-kerja seadanya.  Saya sering mengingatkan diri sahaja bahawa 5 minit masa yang dipinjam oleh pejabat saya, akan saya gantikan dengan 10 minit.  Saya juga selalu “hilangkan” kerja-kerja lebih masa agar dapat mengganti waktu-waktu saya “berehat tanpa pengetahuan boss” atau keluar sebentar bagi menyelesaikan urusan peribadi.  Orang kata, bersikap lebih kurang sahaja kerana saya juga tidak sempurna dan perkara itu harus digantikan dengan saksama.  Gaji yang diperolehi juga harus berkat dan bersih.

Selain menerima gaji dan membayar bil, zakat atau sedekah waima RM5.00 sebulan juga harus diberikan dalam membersihkan wang yang diperolehi.  Kerana di dalam setiap wang kita terdapat rezeki anak yatim, orang miskin dan fakir.  Tetapi ramai beranggapan bahawa gaji mereka adalah hak mereka sehingga lupa tanggungjawabnya kepada manusia yang lain.  Berkatkah dengan wang yang kita kaut setiap hujung bulan itu?

Wang yang ada itu kita belikan susu, makan pakai serta belanja dapur untuk keluarga dengan semaksimum mungkin.  Sehingga sen-sen yang terakhir akan kita gunakan.  Kita terlupa dua hal dalam perkara ini iaitu 1) Keberkatan wang yang diperolehi semasa kita bekerja dan 2) Rezeki yang diinfakkan kepada anak yatim, miskin dan fakir yang disucikan. 

Saban bulan kita menerima dan berbelanja mengikut sesuka hati termasuk bonus atau apa-apa pendapatan lainnya.  Kita gagal menginfakkan wang atau mencari keberkatan dalam rezeki kita sendiri, akhirnya yang banyak tidak cukup yang sedikit harusnya tersangat sempit.
 
Sekadar Gambar Hiasan
Akhirnya, adakah kita beristiqamah dalam bekerja dengan penuh keredaan Allah, Majikan dan rakan-rakan?  Kedua, apakah kita selalu berkongsikan rezeki kita dengan orang lain dalam mencari erti keberkatan itu?  Kadang-kadang Allah menguji kita tetapi kita janganlah mudah melatah dengan menyalahkan orang lain serta membangkit-bangkitkan ketidakcukupan kita dalam berbelanja.  Memang membesarkan anak-anak adalah skar dan sulit tetapi jika ada kesabaran dan rezeki yang berkat, nescaya kita akan memperolehi anak yang sempurna.

Rezeki yang tidak berkat dan lagi syubhat boleh menggalakkan anak-anak kita yang degil, tamak, tidak bijak dan lembam pemikirannya.  Oleh itu, dari rezeki yang betul-betul berkat lagi suci ia memastikan jiwa kanak-kanak itu juga bersih serta melahirnya masyarakat yang bijak dan berbaik akal budinya.  Apa guna kehendak semua anak disempurnakan tetapi dengan wang yang tidak berkat atau tidak jujur?  Akhirnya makan minum anak dengan wang tidak jujur membiakkan “syaitan-syaitan” kecil dijiwanya dan merosakkan budi dan daya keluarga dan masyarakatnya.

Sekadar nasihat dua posen untuk diri saya sendiri agar sentiasa memberikan makanan yang baik-baik terutama kepada ibu dan bapa saya yang saya hulurkan wang santunan setiap bulan agar mereka menerimanya dengan penuh keberkatan, In Sha Allah.


p/s:  Pandangan peribadi untuk diri sendiri sahaja.  Jika anda rasakan ada manfaatnya, maka cubalah berubah menjadi terbaik.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.