Memaparkan catatan dengan label Tipu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tipu. Papar semua catatan

Selasa, 13 Mei 2014

Terengganu: Jantankah Muhyidin Menyangkal Najib?

Jantankah Muhyidin Menyangkal Najib?

Terengganu negeri kedua Timur di Semenanjung Tanah Air adalah sebuah negeri yang tenteram dengan kehidupan para nelayan, penduduk desa sehingga kepada penggali minyak di negeri “penyu bertelur” itu bertukar ganas dan menarik perhatian kini.

Suhu yang panas bukan kerana hangat mentari, tetapi kerana majlis perkahwinan anak MB yang dikisahkan menggugat sebuah kerajaan.  Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu (MB) sejak 2008 – apabila Idris Jusuh sebelum itu dinafikan mengangkat sumpah di hadapan Al-Sultan Terengganu Darul Iman walaupun menerima undi yang memuaskan.  Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi terpaksa akur dengan keengganan Al-Sultan menerima calon MB dari parti BN tersebut telah mencadangkan personaliti yang kurang politikus sebagai ganti yang menyandang jawatan tersebut sehingga merempuh Pilihanraya Umum ke-13 (PRU) yang lalu.

Syarat dalam menjabat jawatan MB diberikan kepada Ahmad Said sehingga setahun selepas PRU-13 tersebut dan Ahmad Said akur.  Janji memang harus ditepati, tetapi rintangan dan halangan dari Allah tiada siapa yang menghalang begitulah Ahmad Said telah menerima rezeki apabila anaknya mendapat jodoh dan bercadang melangsungkan perkahwinan anaknya dengan status sebagai “Menteri Besar”.  Nampak sangat peribadi dan tidak berjiwa besar dalam politik, tetapi Ahmad Said bukannya ahli parti yang semberono dan suka menggunakan kuasa secara salah.  Beliau jika telah berbakti sekecil manapun tetap mengharapkan ehsan dan sokongan rakan dalam menjayakan impian keluarganya – mengadakan perkahwinan dengan status yang hebat tersebut seperti kebanyakan bapa jika berpeluang.


Apakan daya, janji Perdana Menteri Najib Razak adalah janji keramat – jawatan tersebut harus digusur – suka atau tidak.  Pasal perkahwinan anak adalah peribadi yang tidak penting disisi negara mahupun parti.  Sebenarnya, air muka bagi orang Melayu yang kaya budi bahasa itu amat tinggi berbanding wang ringgit dan rupa paras.  Begitulah arakian kisah budi bahasa orang Melayu itu.  Tetapi setelah kad undangan diedarkan atas kapasiti Menteri Besar, jemputan kepada orang kenamaan telah mengesahkan kehadiran yang dibuat di rumah agam MB tersebut, dia terpaksa bergusur seminggu sebelum anaknya mengadakan majlis bersanding dan makan beradap – satu lagi khazanah perkahwinan orang Melayu.  Ahmad Said seolah-olah tidak diberikan satu penghargaan dan terima kasih atas sumbangannya kepada BN – beliau harus tinggalkan rumah agam tersebut dan mengadakan majlis perkahwinan peribadi di lokasi lain dan tidak menggunakan status MB bagi jemputan kenamaan yang telah dibuat.  Jika orang kebanyakan, Orang Kenamaan boleh tidak hadir ke jemputan tersebut, tetapi jika ada jawatan setidak-tidaknya orang kenamaan akan turut hadir kerana status MB tersebut dan Ahmad Said berasakan ianya hanya penghargaan kepada keluarganya. 

Siapa yang tidak terkilan dan berkecil hati?  Seminggu sebelum ayah pengantin mendapat menantu?  Seminggu sebelum majlisnya berlangsung? Apakah tidak ada sekelumit rasa bersalah dan penghargaan kepada figura ini walaupun namanya tidak sekental Anwar Ibrahim mahupun Rafizi Ramli di kem pembangkang?  Tetapi Najib Razak yang hanya mendengar khabar-khabar sang penasihat tidak mengupayakan permohonan Ahmad Said bertangguh SEMINGGU SAHAJA sebelum majlis telah bertindak menghalaunya keluar dari kediaman tersebut. 

Berang dengan layanan bak anjing kurap, Ahmad Said bertindak keluar parti sehingga menggoncang kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai tunggak pemerintahan negeri tersebut.  BN mempunyai 17 kerusi manakala saingannya daripada PAS 2 kerusi dan PKR 1 kerusi telah bergoncang dengan Ahmad Said dan 3 orang ADUN BN telah menjadi calon bebas.  Kini BN sedang bergolak mempertahankan takhta Kerajaan Negeri dengan 15 kerusi (seorang menarik balik keputusannya), PAS dengan 14 dan PKR 1 manakala bebas dengan 2 kerusi.  BN terselamat secara pentadbiran kerana mempunyai Speaker sebagai 1 suara dalam Dewan tetapi tidak berkerusi rasmi.  Jika tidak Dewan Undangan Negeri terpaksa dibubarkan dan Pilihanraya Negeri (PRN) kena diadakan dalam masa 60 hari.  Hanya kerana PM yang tidak mempunyai sedikit budi bahasa, rasa berterima kasih dan menghargai orang lain. 
Jika tidak kerana Muhyidin memberikan campurtangan dalaman kepada krisis ini, (walaupun ada yang berbisik ada harga yang dibayar) sudah tentu seorang ADUN dari Bukit Besi menarik balik keputusannya.  Sedang Ahmad Said mempunyai teman rapat (seramai 6 orang) untuk menolongnya menggoncangkan BN di sana.  Tetapi rasional kawan-kawan hanya “tunggu dan lihat” kemelut ini dan hanya akan bertindak jika rakannya terus dianiaya parti kononnya keramat orang Melayu yang kaya budi bahasa itu.  Beranikah PM Najib turun ke Terengganu memberikan penjelasannya dan memegang kata-katanya?  Benar, janji juga satu perkara penting dalam Islam dan orang Melayu – harus ditepati.  Tetapi bolehkah budi bahasa dan rundingan diadakan dalam memecahkan hal ini, seminggu sahaja pun?

PM Najib sudah tentu Perdana Menteri yang mendengar kata-kata penasihatnya secara membuta tuli sahaja tanpa pertimbangan wajar dan tanpa melihat dengan kepala dan mata sendiri – hanya harapkan nasihat orang.  Oleh itu, jika krisis ini berlanjutan, maka perkara terbesar dalam sambutan Hari UMNO ke-68 (pada 11 Mei 2014 – Ahmad Said dipecat 12 Mei 2014) adalah hari malang UMNO mempunyai pemimpin seperti Najib Razak.

Adakah Muhyidin sudah bersedia menggempur pemimpin yang tidak menghormati pendapat, mendengar masalah rakyat (termasuk Ahmad Said sebagai seorang pemimpinnya) dan berpengetahuan luas dalam mewarnai area politik negara yang kian bercelaru kini?

Ketika Najib mengumumkan kejayaan Dasar Transformasinya pada malam 12 Mei 2014, rakyat melihatnya seolah-olah membodohkan diri sendiri kerana ia tidak sampai kepada rakyatnya sebaliknya tindakannya memecat Ahmad Said seolah-olah itulah wajah PM dan UMNO cukup membuatkan orang lari meninggalkan UMNO yang busuk di bawah kendalian Najib Razak.  Adakah Muhyidin sanggup menggempur Najib dan kembalikan UMNO ke pangkal jalan?  Bersediakan Muhyidin yang kental berjiwa Melayu mempertahankan partinya berbanding ketuanya yang sombong itu?  Bersediakah Muhyidin mengetuai parti terbesar orang Melayu ini?  Atau Muhyidin seperti Hang Tuah yang jantan hanya untuk mempertahankan tuannya (Sultan), tetapi tidak sanggup mempertahankan dirinya dan rakannya?


Sehingga jam 10:00 pagi 14 Mei 2014, inilah situasi politik Terengganu.  

Isnin, 24 Mac 2014

Orang Melayu, Orang Kerajaan - Orang ???

Orang Melayu, Orang Kerajaan.

Upacara Angkat Sumpah:  Ketua Parti menerima undi terbanyak di Parlimen (Perdana Menteri) akan mewakilkan tugas Raja sebagai Ketua Pentadbir (Jemaah Menteri) dan menasihatkan Baginda dalam Ehwal Pentadbiran Awam. 
Kerajaan atau ‘government’ (ke-RAJA-an) adalah pekerjaan dan perkhidmatan kepada ‘raja’ yang mewakilkan kuasa pentadbirannya kepada Perdana Menteri dalam konteks Malaysia moden kini.  Raja adalah sistem pemerintahan Malaysia yang menaungi semua cabang demokrasi di Malaysia sama ada cabang perundangan, pentadbiran (Jemaah Menteri) dan kehakiman.  Jika di negara yang mengamalkan demokrasi secara republik, sistem ini lebih dikenali sebagai ‘sistem pemerintahan’ di mana ketua negara tersebut adalah dipilih oleh rakyatnya secara terus.  Berbanding di Malaysia yang mengamalkan sistem politik beraja, sistem ini adalah warisan ‘darah biru’ Raja-Raja Melayu yang mentadbir Malaysia secara bergilir-gilir mengikut cara yang prosedur yang unik serta khusus di sini. 

Berbalik kepada sistem ini, orang Melayu yang menjadi subjek raja ini amat dekat dengan Istana sejak zaman bahari lagi.  Boleh dibaca dalam ceritera dan ditayangkan dilayar kaca bahawa orang Melayu ini amat dekat untuk bekerja dan berkhidmat dengan rajanya bahkan dianggap kerja mulia apabila dapat membantu rajanya memerintah dan menjalankan pentadbiran, walaupun hanya sekadar penghantar pesanan dan hulubalang yang menjaga keselamatan Istana baginda.  Itulah keistimewaan Istana kerana rakyatnya sudi menghambakan diri berkhidmat di bawah naungan Raja yang berdaulat. 

Sistem pentadbiran Malaysia yang kompleks dan moden ini adalah warisan dari percampuran sistem kerajaan tradisional dan dimodenkan oleh penjajah seperti pengaruh Belanda, Inggeris dan Jepun.  Banyaknya kaedah pentadbiran Inggeris ditiru dan dikekalkan dalam kaedah birokrasi dan feudal ini di mana secara kebetulan sistem beraja ini juga diamalkan di England.  Namun, orang Melayu tetap cekal dan tekad mempersiagakan diri untuk berkhidmat untuk negara di bawah naungan Raja mereka – sama ada di peringkat Negeri, mahupun Persekutuan Malaysia. 

Dewasa kini, sistem pendidikan dan pengurusan moden telah memainkan peranan yang sungguh signifikan kepada umat Malaysia.  Suka atau tidak, sistem birokrasi dalam pengambilan kakitangan dan pegawai-pegawai awam telah diubahsuai mengikut susun tadbir yang lebih kompleks dan mempunyai merit dalam setiap lantikan serta pengkhususan bidang tugas.  Jika dahulu, orang Melayu boleh menjadi penghantar berita ke kampung-kampung hanya cukup dengan ‘air liur’ tetapi kini sistem penghantaran maklumat telah disediakan dengan lebih baik akibat dari ledakan kemajuan dalam teknologi serba serbi.  Pengambilan kakitangan juga disaring dengan kedudukan akademik dan kebolehan yang terbaik bagi sesuatu jawatan dan jabatan. 

Juga sekali lagi dijelaskan, orang Melayu tetap menjadi pemohon kerja terbanyak.  Mereka sanggup bersaing sesama sendiri kerana beberapa keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri secara peribadi ataupun secara perbandingan dengan kerja swasta.  Sedang orang bukan Melayu lebih berminat berusaha menjadi jutawan (usahawan), tetapi orang Melayu lebih suka makan gaji dan menikmati hidup yang tenang serta tetap dan tidak mencabar minda asalkan dapat berkhidmat kepada rakyat dan sedikit kuasa untuk digunakan jika perlu. 

Mereka menganggap suka atau tidak, mereka harus diberikan pekerjaan dengan Kerajaan kerana mereka adalah subjek raja dan Ketua Pentadbir (Perdana Menteri) harus melayani perkara itu kononnya beliau harus menyediakan peluang pekerjaan dengan Kerajaan secukupnya walau apa jua alasan pun.  Mereka tidak mahu berusaha niaga.  Mereka ini sangat tidak bermotivasi tinggi serta berharap akademik yang mereka ada digunakan asalkan mereka dapat memasuki sistem pergajian secara tetap dan pukal ini.  Maka, Kerajaan melalui Ketua Pentadbirlah yang harus mengurus dan membereskan mereka yang tidak beres akalnya ini. 

Setelah dilantik dalam perkhidmatan, mereka berharap agar memperolehi gaji yang tinggi dan selayaknya, rawatan kesihatan serta manfaat-manfaat lain yang harus dan layak mereka terima tanpa kos.  Walaupun memperolehi gaji yang agak menarik dan manfaat yang senantiasa lebih bagus dalam perkhidmatan, namun mutu kerja mereka ini sangatlah ‘ala kadar’ kerana motivasi kerja mereka yang rendah.  Bukan semuanya begitu, tetapi ramai dikalangan mereka lebih suka balik tepat waktu walau kerja tidak beres, menunjukkan mimik muka yang tidak mesra, gopoh dan tidak ikhlas dalam menjalankan amanah rakyat.  Bahkan, merekalah yang memohon pekerjaan tersebut dengan janji-janji manis untuk berkhidmat dengan sepenuh hati dan jiwa, tetapi setelah beberapa tahun mulalah ‘lemak’ mereka ini timbul kerana terpengaruh dengan pekerja yang lebih kanan serta ‘penyakit hati’ yang telah keras -  tidak boleh menerima kritikan dan teguran ke arah kebaikan.  Walaupun begitu, mereka yang bermuka tebal ini tidak segan-segan inginkan gaji yang penuh setiap bulan serta manfaat yang lebih baik serta menuntut elaun-elaun dengan semahu-mahunya kononnya masa dan jasa perkhidmatan mereka perlu dibayar. 

Cuba kita lihat contoh terkini kehilangan MH370 menunjukkan satu signal yang sungguh mudah iaitu pegawai imegresen yang menjaga pintu sempadan negara dengan mudah memboloskan keselamatan negara kepada pemegang passport curi.  Sebelumnya jumlah pendatang asing yang terus berlambak-lambak di siar kaki negara serta dengan wewenang boleh bekerja di mana-mana tanpa kawalan bahkan boleh hidup dan membiak dengan mudahnya tanpa kawalan polis dan anggota penguatkuasa.  Terdapat juga mereka yang ditahan kerana mengamalkan rasuah selain membocorkan rahsia-rahsia negara kononnya mereka memperolehi ‘first hands information’ agar menjadi terkenal dan hebat dikalangan mereka.  Sikap patetik ini memanglah satu jati diri orang yang kerja dengan Kerajaan, kononnya mereka ini susah untuk dipecat kerana mereka penyandang sampai mati jawatan tersebut, walaupun mereka suka mengelat sewaktu bertugas, bercuti di kala suntuk dan gawat, tidak berada di kerusi semasa waktu bertugas kononnya atas beberapa urusan peribadi.  Apakah mereka ini sedar!


Kadang-kala, guru-guru yang dilantik juga menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri.  Ambil contoh yang mudah dari segi awal pengambilan sahaja.  Lepasan Ijazah Sarjana Muda yang gagal mendapatkan pekerjaan di dalam bidang yang khusus dengan akademik mereka, akan segera memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana merit yang kurang dalam bersaing dalam skim lantikan lain.  Mereka mengikuti kursus perguruan dan akhirnya menjadi guru dalam mata pelajaran tertentu.  Sampai di sekolah, mereka akan mengajar dan menokok tambah jiwa muda anak Malaysia ini dengan elemen-elemen politik fahaman mereka serta mencambahkan ideologi yang janggal untuk dibincangkan di sekolah serta membentuk pendapat umum yang serong terhadap negara, termasuk memburukkan Ketua Parti Kerajaan yang dilantik menjadi Pentadbir (Pemenang kerusi parlimen terbanyak biasanya dilantik menjadi Ketua Pentadbir merangkap Perdana Menteri dan penasihat kepada Raja – Yang Di Pertuan Agong) yang menggajikan mereka.

Bagi guru ‘bodoh sombong’ ini, Kerajaan wajib memberikan gaji kepada mereka kerana itu tugas negara dan mereka menjalankan amanah kononnya sedangkan ia ditokok tambah.  Waima, Kerajaan yang membayar gaji mereka itu juga memperolehi gaji dari rakyat juga sama seperti mereka.  Mereka mungkin lupa bahawa wang cukai tidak mencukupi tanpa ada badan-badan lain yang mengawal, mengawasi dan bertindak untuk mengutip dan menguatkuasakan peraturan serta menggandakan wang hasil mahsyul yang sedikit itu.  Mereka ini mungkin lupa bahawa Kerajaan melalui jabatan-jabatan lain terpaksa bekerja bahu-ke-bahu dengan syarikat dan perniagaan untuk menjayakan sesuatu perniagaan untuk mengaut keuntungan dan hasil cukai boleh digandakan dan diagihkan dengan sebaik-baiknya.  Tanpa kebijaksanaan pentadbiran ini, mana mungkin seluruh jentera Kerajaan ini berfungsi dengan konsisten dan menjana keuntungan dan kemajuan negara dengan baik.  Mereka lupa bahawa setiap hari jika hasil hutan di tebang, hasil tanah di gali, ia akan habis.  Tetapi Kerajaan telah mengolah dan menjadikan barangan itu lebih baik serta menjual diluar negara agar ia boleh memberikan nilai tambah kepada hasil negara.  Bolehkah mereka membuatnya sendirian??


Orang Melayu akan kekal bekerja dengan Kerajaan sebab sikap mereka yang pesimis dan suka mengambil mudah.  Jika salah, mereka tidak senang mengaku dan tidak punya jiwa besar untuk munasabah diri mereka untuk berubah.  Mereka lupa bahawa mereka yang memohon kerja itu, bukannya mereka dirayu dan dipujuk oleh Ketua Pentadbir untuk membantu mereka.  Ketua Pentadbir juga tahu, Melayu itu memang suka bermalas-malas sehingga kaum bukan Melayu benci dengan birokrat ini.  Memang bukan semua pekerja raja bersikap jelek begini tetapi sebahagiannya telah memburukkan sistem kerja ke-RAJA-an ini.  Sedarlah, gaji yang diterima itu akan ditanya Allah, sedarlah bahawa jika anak kamu makan daripada hasil titik peluh yang tidak berkat, ia menjadi benih yang menyemarakkan api nereka.  Sedarlah pendapatan kamu itu akan diperkirakan. Berkhidmatlah Untuk Negara dan rakyat Raja mu tanpa dakwa dakwi.  Kamu Berjaya bukan sebab kepandaian dan kebijaksanaan kamu, tetapi Allah memberikan rezeki kepada Kerajaan untuk mengagihkan dan berkongsi dengan kamu.  Allah akan tanya……..  

Isnin, 5 Oktober 2009

Siapa Tipu Siapa???


Bagan Pinang akan mengadakan pilihan raya kecil selang beberapa hari sahaja lagi.

Ahad lepas (Oktober 4, 2009) saya begitu leka dengan akhbar-akhbar tempatan, dari Bahasa Melayu sehinggalah akhbar Inggeris membaca berita-berita serta analisis berita seminggu yang lalu.

Paling menarik perhatian ialah N. Gobalakrishnan – seorang pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (Ahli Parlimen Padang Serai) yang sering membuat tindakan populis atau “menca’pub’” menurut bidang media sekali lagi menjadi tumpuan.

Beliau berkempen di Bagan Pinang dengan memetik ayat Al-Quran, Surah Ali Imram ayat 54 yang bermaksud “Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”.

Sungguh menarik artikel tersebut serta kempen N. Gobalakrishnan. Sambil ketawa saya berkata: Bukankah beliau antara “orang-orang kafir” tersebut yang menafikan ayat-ayat Allah? Bukankah beliau adalah yang membuat tipu daya serta helah muslihat dengan memainkan ayat-ayat Al-Quran untuk memancing undi? Bukankah beliau sedang menipu orang Islam di situ?

Jengkel dan sungguh meloyakan apabila Parti Islam Malaysia (PAS) yang menggunakan aspirasi Islam menghalalkan rakan bukan Islamnya mengajar ilmu Allah (Islam) kepada penduduk Islam sedangkan si pembaca ayat-ayat Allah itu adalah orang yang menidakkan ayat-ayat Allah apabila terus kekal dalam kekufurannya.

Apakah orang Islam di situ bangga apabila orang seperti N. Gobalakrishnan fasih berucap dan mampu memetik ayat-ayat Al-Quran untuk menegakkan benang yang basahnya? (kerana masih belum Islam) Murahnya agama Islam dan Al-Quran di mata orang yang hadiri ceramah itu?

p/s: Kafir tetapi mengiakan ayat-ayat Allah. Bila nak masuk Islam lagi?


(Gambar: Yahoo Images)