Memaparkan catatan dengan label hudud; PAS; DAP; PAS; DAP; UMNO; BN; Keadilan; PKR;. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hudud; PAS; DAP; PAS; DAP; UMNO; BN; Keadilan; PKR;. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Disember 2014

Mahathir Yang Dahulu.....




Tun Dr Mahathir bangunkan Malaysia bukan utk dipuja puji. Dia bangunkan sebab ia memang perlu utk pengisian kemerdekaan. Walaupun ramai kata projek mega, gajah putih dan membazir. Setelah 10 15 tahun berlalu, semua projeknya relevan dan letakkan Malaysia sbg 5 negara yg ajaib di dunia.

Mana negara maju yg suka Mahathir dan Malaysia? Australia tak habes2 kutuk Malaysia, British smp kena banned pun student Malaysia, Amerika jgn cakap - berbulu aja ngan Mahathir. Yahudi terpaksa buat kempen hina Malaysia dan boikot sawit dan getah Malaysia. Akhirnya ekonomi Malaysia di serang. Mahathir tetap lawan barat dan konsisten dengan dasar pragmatik. Siapa sokong Mahathir?

Negara dunia ketiga sentiasa berpihak pada Malaysia. Dari Afrika smpai ke Jeddah, dari Rusia sampai ke Korea. Dari Brazil sampai ke Anggola..... semua sokong Malaysia di pentas dunia. Siapa berani kritik Malaysia? Yasser Arafat sampai Nelson Mandela semua respect Malaysia. Bosnia, Congo, Somalia semua sedia undi utk Malaysia di Persatuan Liga Bangsa (PBB).

Skrg? Mcm kita terhegeh hegeh di pentas dunia smp kena sindir Naib presiden US, tak ramai Menteri berani layan kecuali KJ dan Mahathir.


Yang lain, pura2 jadi cengkerik (krik krik). Kami rindu era Tun Dr Mahathir........

Selasa, 11 November 2014

Mengapa Melayu Perlu Perkuat Jatidiri?

Mengapa Melayu Perlu Perkuat Jatidiri?

Melayu menurut Perlembagaan ialah seorang yang beragama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat (budaya) Melayu. Bila Perlembagaan meletakkan Islam sebagai takrifan bangsa yang utama, secara automatik, Melayu adalah beragama Islam. Manakala Islam juga adalah agama Persekutuan (yang dilindungi) dalam apa jua perkara dan Dasar Awam.

Bila Melayu/Islam harus memperkuatkan jatidirinya adalah kerana Melayu membawa agama Islam iaitu Ad-Din selaku budi dan daya (budaya) dan adat resam hidupnya. Sekental mana pun jiwa Melayunya, tanp mewarisi agama Islam sebagai "gaya hidupnya", maka ia masih dianggap kurang "Melayu". Jika ia mewarnai jiwanya dengan budaya Arab dan beragama Islam, maka ada sedikit persamaan dalam agamanya tetapi tidak pada adat dan resamnya.

Memang Islam lebih diutamakan daripada adat istiadat dan adat resamnya, tetapi dalam kes Melayu di Tanah Melayu ini bermaksud Melayu Bukit (Melayu yang berada di Semenanjung yang bercantum dengan Tanah Besar) bukannya dari pulau-pulau yang membawa sedikit perbezaan dalam budaya mereka, ia harus dipertahankan. Jika Islam di Indonesia telah berjaya di'telanjang'kan dengan nilai-nilai liberal dan kebebasan, apakah Melayu Malaysia juga harus begitu? Jika di Singapura yang bertuankan 'keabshan liberal" termasuk agama, apakah kita wajar mengikutinya? Kini, Islam di Kad Pengenalan (Kartu Tanda Penduduk Indonesia) dimansuhkan kerana politik membolehkan agama bertukar tanpa maklum kepada penguasa agama.

Berzaman Melayu/Islam dijajah tetapi tidak banyak yang berjaya dicabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya. Baru setengah abad (50 tahun) kita berpemerintahan sendiri, betapa ramai yang cuba mencabut jiwa dan jasad Melayu dan Islamnya serta menyemarakkan fahaman "liberalisme" iaitu kebebasan yang diabsahkan (dibenarkan mengikut logik). Apakah Melayu kini telah moden dan ia akan dianggap "ketinggalan zaman" dengan berfahaman tradisi atau quo? Sebenarnya, Islam dan Melayu di Malaysia masih berakar di jiwa dan berjasad di bumi orang Melayu ini, tetapi ada pihak yang sedang meracuni akar faham itu secara tidak langsung atas dasar sebuah "kuasa" tanpa disedari.

Ketuanan Melayu atau Islam telah semakin jauh di telinga dan Melayu sendiri terlalu takut memperkatakan tentang bangsa dan kedaulatannya kerana diancam dengan label “rasis” tetapi berapa ramai yang tahu hak dan istimewa Melayu dalam Perlembagaan semakin merosot kerana takutnya kita dengan label itu?  Melayu dan Islam semakin menyepi dan terpinggir dalam agenda utama sama ada parti mahupun ideologinya.  Parti UMNO yang ditubuhkan atas dasar kebangsaan juga takut mendekatkan diri dengan elemen orang Melayu dan NGO PERKASA yang memberontak untuk idealisme Melayu itu.  Parti Islam Malaysia (PAS) turut menikus dengan agenda Islam yang memperkasakan jiwa Melayu itu apabila semakin kecut perut dengan rakan pakatan mereka mempertahankan apa-apa idealisme berkaitan Islam seperti isu pakaian “transgender”, isu berkaitan NGO liberal (Sister in Islam) dan sebagainya.  Apakah Melayu dan Islam semakin kecut dengan kerusi di Parlimen?  Siapa yang bersuara majoriti di sini dan apakah ia akan disisihkan dalam agenda nasionalnya?

Oleh itu, Melayu harus bangkit mempertahankan jiwa dan raganya iaitu jasad Melayunya yang berkulit sawo matang, bertanahkan Tanah Melayu yang rizabnya semakin kecil serta peruntukan ekonomi dan kuotanya.  Mereka juga harus mempertahankan jiwanya iaitu Islam sebagai roh hidupnya dengan menghayati apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti isu berpakaian mengikut Islam, mempertahankan hak Perlembagaan Islam dan gaya hidup Islam yang sah dan mengikut hukum Allah tanpa apa-apa syarat untuk ditukarkan waima dengan sekeping kertas undi.  Ayuhlah Melayu yang beragama Islam bangkit menyatakan hak mu sebagaimana Melayu Islam melawan kaum kafir semasa isu Natrah.  Bangkitlah Melayu sebagaimana Onn Jaafar menubuhkan kongresnya di Johor Bahru.  Namun bangunmu itu hendaklah dengan idealisme dan kekuatan mental mempertahankan hakmu bukannya dengan tindakan fizikal mu yang tidak berkudrat maya.  Tiada parti atau jabatan yang boleh menaungi kamu kini di bumi yang di bilang Tanah Melayu. 

Melayu tidak perlu berdemonstrasi lagi menjadi bangsa jalanan untuk menuntut haknya.  Gunalah pelbagai saluran demokrasi dalam memperjuangkan agendanya.  Melayu perlu badan pemikir yang bertindak mengumpulkan ‘solid opinion’ dalam memperdayakan mereka yang cuba menipu dan membelot hak orang Melayu.  Mereka harus mengadakan rapat dan forum secara terbuka dengan mengumpulkan orang-orang Melayu dan memberikan pencerahan.  Dedahkan di dada-dada akhbar tentang kemerosotan dan perjuangan orang Melayu.  Tunjukkan solidariti dengan penyatuan Melayu mengadakan bacaan Yaasin dan menghadiri solat Hajat secara terbuka di mana-mana masjid, di dewan-dewan serta perbanyakan pencetus pendapat mengemukakan fakta-fakta dan hala tuju Melayu.  Keluarkan idea-idea dan bahaskan secara terbuka di media massa dan media sosial bahawa ia terus memacu idealisme yang lebih baik.  Melayu harus mempunyai jiwa pengkaji yang ilmiah dalam memperkasakan bangsa mereka.  Ramai profesor di universiti yang boleh memberikan statistik ini kepada pemimpin pendapat Melayu, dan Melayu yang lain harus menunjukkan sokongan dan mendesak.  Jangan hanya menunjuk belang di jalan raya tetapi tidak berisi dan tidak ilmiah seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ tingkahnya. 


Takkan Melayu Hilang Di Dunia adalah gurindam dari Hang Tuah, tetapi Melayu akan hilang secara bertahap jika Islam (Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie) ini dicabut atau diracun tanpa kita sedar atas dasar kononnya kemajuan. Islam adalah agama kota bukannya agama padang pasir, maka tidak hairan Kota Melaka yang gah dahulu berjaya menyerap Islam kota ini di jiwa Melayu di rantau Asia Tenggara sebelum Acheh dan Jawa mengambilnya secara perlahan-lahan.

Isnin, 18 Ogos 2014

UMNO dan Ekonomi Tembolok Melayu

Politik adalah satu pertubuhan perkumpulan yang berfikiran sejajar dengan komuniti untuk mencapai matlamat bersama khususnya dalam pemerintahan yang bersistematik. 

Dalam sejarah Melayu, pertubuhan-pertubuhanyang memperjuangkan kehendak masing-masing telah mula tumbuh dan bercambah tatkala Jepun mula menjajah Tanah Melayu.  Selain slogan “Asia Untuk Asia” yang dibawakan oleh Jepun dalam kempen perang dunia keduanya, kegagalan British mempertahankan Tanah Jajahannya juga dilihat sebagai satu faktor, bahawa British juga tidak kebal bahkan tidak mampu mentadbir dan mempertahankan sebuah negara yang dijajahnya dan boleh meninggalkannya ketika ia sangat-sangat diharapkan. 

Akhirnya, pertubuhan-pertubuhan kecil Melayu ini dikumpulkan, disatukan dan membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Kebangsaan (PEKEMBAR) yang dideklasmasikan di Kelab Sultan Sulaiman pada Mei 1946.  Pertubuhan ini tidak lain dan tidak bukan adalah pergerakan massa yang memikirkan tentang perut dan ‘tembolok’ mereka setiap hari yang terjejas dek British yang tergesa-gesa meninggalkan mereka terkapai-kapai serta Jepun yang menjarah beras dan ubi mereka sehingga nak makan terpaksa meminjam dan mencari pucuk ubi dan pucuk kelapa (umbut) untuk mengisi perut mereka yang kosong lagi daif.  Ingin memikirkan memerintah sebuah Kerajaan, mereka tidak tahu menahu selok belok sebuah pemerintahan yang moden, tetapi perut mereka harus dilihat terlebih dahulu.  Tambahan pula kaum pendatang seperti Cina dan India hampir tidak terkesan dengan kegawatan ekonomi di masa pemerintahan Inggeris.

Kesusahan orang Melayu ini dipacu dengan suara menuntut kemerdekaan oleh Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tatkala berpeluang untuk memimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu kecil yang bergabung tadi menjadi kesatuan yang besar.  Seluruh penduduk yang mengaku Melayu dan Islam bersama-sama memikul deklarasi untuk merdeka daripada penjajahan yang menyebabkan mereka terus kebulur bila Jepun mencetak wang “pokok pisang”. 

Setelah seketika, pertubuhan-pertubuhan kecil ini kembali tenang apabila Sultan-Sultan Melayu bersetuju membentuk Malaya dan memberikan ruang ekonomi yang saksama kepada Melayu ini.  Tanah-tanah milik Raja dan kebun-kebun seliaan British dikembalikan kepada Melayu tadi untuk diusahakan.  Terdiam mereka seketika daripada gerakan massa yang dikumpulkan dan dipicu untuk “memukul balik British”.  Perut mereka kembali terisi dan mereka terdiam seketika. 

Tatkala 10 tahun berlalu, kemerdekaan tidak memberikan Melayu ini nilai tambah lebih dari apa yang patut diperolehi oleh sebuah bangsa yang berjaya.  Tunku Abdul Rahman kelihatan hanya menyenangkan kaum-kaum pendatang bahkan bersekutu dengan British untuk mengekalkan status quo dan elit ekonomi dan penjajah.  Rakyat mula menunjukkan sikap tidak senang apabila British dan sekutu bukan Melayunya menguasai ekonomi bahkan elit-elit kecil Melayu terus merajalela.  Marah dengan beberapa pendekatan Tunku yang tidak mesra ekonomi Melayu selain dipicu dengan provokasi melampau oleh parti-parti politik bukan Melayu, rusuhan kaum yang bersejarah tercetus. 

Sebulan Malaysia diisytiharkan berkurung dan ditarik balik perintah itu perlahan-lahan.  Bukan kerana apa, kerana Melayu melihat poket dan perut mereka terjejas.  Dek tersentap dengan kelakonan orang Melayu yang hanya merempat di tanah yang kononnya telah merdeka, Mahathir telah menulis sebuah buku mengapa Melayu harus mengamuk dan membaham korban sehingga tercetusnya rusuhan kaum yang teruk.  Sedangkan di awal kemerdekaan, Melayu tidak kisah apabila Tunku memberikan hampir sejuta taraf warganegara tanpa syarat kepada kaum pendatang. Kini, Melayu pula yang kuat menentang.  Sebabnya ialah perut dan poket orang Melayu tidak disumbat dengan makanan dan pemikiran yang patut.

Buku The Malay Dilemma membuatkan Tunku benar-benar berada dalam dilema dan akhirnya terpaksa bersara awal daripada puncak kepimipinan walaupun beliau masih berhasrat menjabat jawatan tertinggi tersebut.  Langkah keluar ditunjukan oleh UMNO bahawa Tunku tidak lagi relevan.  Idea-idea Mahathir diambil dan dicetuskan dengan gerakan yang betul dan pantas oleh Tun Razak.  Beliau membangunkan FELDA dan mewujudkan MARA agar anak-anak dan bangsa Melayu terus mendapat manfaat dan boleh menjamah nasi tanpa segan silu.  Poket-poket orang Melayu peneroka diberikan dengan wang yang cukup, kerja yang bagus selain jawatan-jawatan kerajaan yang dulunya Melayu tak pernah ingin untuk menjabat.  Orang Melayu juga kini boleh ke sekolah walaupun hanya tamat setakat darjah 6 ataupun Low Certificate Examination setaraf lulus tingkatan tiga kini. 

Bila Mahathir berpeluang menjabat jawatan Perdana Menteri, tiada seeorang pun Melayu kebulur bahkan terdapat gerakan massa yang terpaksa membuat-buat cerita kononnya seorang Melayu mati kebuluran di Kedah untuk membuatkan rakyat Melayu kembali panik – tetapi ia gagal.  Setelah diselidiki, berita tersebut hanya cubaan menggoncang massa dan Mahathir yang enak di kerusi Perdana Menterinya.  Akhirnya Mahathir terus membangunkan Malaysia tanpa melihat sejenak pun ke belakang.  Dari sebuah hutan tropika kecil Asia Tenggara, Malaysia dijadikan sebuah negara pertengahan yang digilakan orang semua warga lain untuk berada dalamnya.  Daripada berita kecil penjajahan Kuwait oleh Iraq hingga kepada isu Palestin dan Aparteid, Mahathir tidak pernah lena memukul minda rakyatnya agar mengambil tahu berita di luar sana selain terus menerus tanpa henti memberikan Melayu itu makanan dan wang poket yang cukup.  Siapa yang tidak berada di dalam jaringan Melayu dan UMNO umpama melukut di tepi gantang.  Melayu makmur dan Malaysia maju jaya.

Tatkala Abdullah diberikan jawatan menjadi Perdana Menteri, semuanya berubah.  Dari sebuah khabar angin yang tidak tentu biji butirnya dianggap benar bahawa Abdullah mengayakan sesetengah rakannya dan juga anak menantunya.  Sesebuah projek diberikan kepada kononnya kroni dan Melayu yang bekerja mula memikirkan poket mereka yang semakin menipis.  Akhirnya, poket orang Melayu betul-betul dinipiskan oleh Abdullah apabila inflasi dan kelakonan ekonomi tidak dikawal dengan baik.  Marah dengan poket dan perut mereka tidak bertambah baik malah semakin membusuk, rakyat akhirnya menghumban Abdullah ke lubuk yang paling kotor. 

Tatkala Abdullah terpuruk dan negara kembali bergeser, Najib menaiki tangga Perdana Menteri.  Malangnya, tiada apa-apa perubahan yang signifikan ditunjukkan oleh Najib untuk menambah poket dan mengenyangkan ekonomi orang Melayu.  Memburukkan lagi situasinya, rakyat ditunjukkan dengan jelas betapa Najib tidak sehebat bapanya yang mencari dan melakar formula yang mampan lagi kukuh membangunkan ekonomi Melayu yang semakin statik.  Memang benar rakyat diberikan bantuan tunai, Abdullah juga begitu tatkala minyak melonjak kepada RM2.70 seliter. Najib juga memberikan tunai selain tidak berbuat apa-apa yang lebih signifikan dalam poket dan minda orang Melayu.  Yang ada sejak Mahathir berikan kekal begitu sahaja tanpa apa-apa perubahan, bahkan melihat Najib berbelanja mewah semakin menyesakkan minda orang Melayu yang sangat cemburu dengan cara perbelanjaan mewah beliau dengan isterinya termasuk percutian dan melantik penasihat (konsultan) asing.

Kini Muhyidin, Timbalan kepada Najib melihat, apakah cara untuk meraih sokongan orang Melayu?  Tidak lain dan tidak bukan ialah perut dan poket orang Melayu.  Mereka harus diberikan makanan dan pakaian yang mencukupi serta jaminan hidup yang lebih bermanfaat.  Elit-elit Melayu harus diketepikan, lihat sahaja penduduk kelas menengah di bandar selain tetap kukuh mempertahankan penduduk kampung yang mendukungnya yang kekal mendapat manfaat Mahathir.  Berikan Melayu ini dengan kerja-kerja yang lebih baik bahkan dengan memberikan institusi yang memberikan ilmu yang bermanfaat kepada anak-anak mereka. 

Beberapa perkara yang UMNO semakin lupa bahawa anak-anak elit Melayu ini telah bertambah menjadi semakin besar da
n beranak pinak, akibatnya jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kini diwarisi kepada keluarga para elit itu iaitu bekas-bekas Hakim negara, Duta, Ketua Setiausaha dan lain-lain pangkat diberikan secara tidak saksama.  Anak-anak Melayu sukar mendapat biasiswa selain terpaksa bersaing dengan ketat tanpa sebarang pengecualian.  Bagaimana dengan anak-anak kelas menengah di bandar? Adakah anak mereka mampu dihantar ke tuisyen untuk menambah ilmu?  Mereka mampu tetapi poket mereka dinipiskan untuk tujuan itu.  Bila anak mereka berjaya belajar, nak masuk universiti kena membuat pinjaman pendidikamn beratus ribu yang asalnya diberikan untuk menggalakkan anak Melayu masuk universiti dengan mudah.  Sistem itu tidak ditambah baik bahkan dikekalkan dengan satu atau dua syarat sahaja diubah, tetapi tetap membebankan.  Mereka bersaing dengan pelajar dari sekolah terbaik dan dari kolej-kolej terbaik untuk biasiswa ke luar negara.

Setelah pulang (jika dapat biasiswa) mereka juga sukar mendapat pekerjaan yang wajar.  Ada yang sanggup bekerja di luar negara kerana ada peluang di tempat lain dan bakatnya di sini tidak dihargakan sangat.  Akhirnya Melayu berdikari ini terus berdikari dan melupakan ‘jasa kerajaan’ kepada mereka.   Mereka terus menerus dengan kehidupan sebegitu.  Ada dikalangan anak muda yang berkelulusan universiti yang hanya mampu bekerja di kafe dan telah membuat pinjaman ribuan ringgit semasa belajar bahkan terus meminjam wang ringgit untuk membeli rumah dan kereta.  Selain itu, membeli makanan juga memerlukan jumlah ringgit yang tinggi sedangkan kerja dan gaji mereka sangat tidak seberapa.  Apakah dengan mengempiskan poket orang Melayu dan tidak berusaha untuk berbuat sesuatu boleh melegakan orang Melayu dan mengekalkan sokongan mereka?

Tidak, Melayu yang berdikari ini akan terus berdikari dan semakin menjauhi Kerajaan.  Jangan harap mereka akan menyokong kerajaan selagi poket dan perut mereka tidak dijaga dengan baik.  Apa salahnya Kerajaan menyediakan tuisyen percuma di sekolah dan kawasan Parlimen bagi anak Melayu yang berpendapatan sederhana, memberikan peluang bagi kemasukan universiti dengan merit tertentu serta memberikan biasiswa yang selayaknya bahkan membantu mengurangkan beban sang bapa mereka ini?  Berikan mereka ini peluang pekerjaan yang baik, kurangkan mengambil anak-anak Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dalam mengisi perjawatan yang sesuai selain mengambil bakat tempatan tanpa kroni membentuk perusahaan konsultan yang cekap. 

Berikan anak-anak Melayu ini peluang berniaga dan hapuskan pekerja-pekerja kerajaan yang tidak amanah.  Ada dikalangan pekerja awam ini menerima rasuah semata-mata ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak mereka bahkan sanggup berbuat apa sahaja bagi memperbaiki taraf hidup mereka. 

Rawatlah ibu-ibu dan mereka yang sakit terus ke kawasan rumah dan wujudkanlah klinik-klinik bergerak yang menyokong sistem kehidupan masyarakat dengan terbaik sekali.  Lihat
Singapura, mereka mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di sana sanggup menghantar pekerja hospital untuk merawat rakyatnya yang sakit dan menghantar ubat kepada rakyatnya yang perlu di rumah.  British semasa Pentadbiran BMA telah mewujudkan beberapa Straits Settlement bergerak bagi membantu urusan penduduk kampung yang ingin mendapatkan bantuan Kerajaan penjajah tersebut, dari mencetak Sijil Tanah, membayar bil tertentu sehingga kepada memberikan bantuan di masjid-masjid dengan vannya dan petugasnya (penjawat awam bergerak ke kampung dan memberikan laporan yang betul lagi tepat).  Memang mereka memerlukan kos yang tinggi, tetapi tugas kerajaan membangunkan komuniti dengan baik dan membangunkan ekonomi dengan cekap adalah tugas yang dibayar gaji.  Bukannya memberikan syarikat yang menjana keuntungan kepada sahabat dan anak-anak kroni sendiri serta memberikan pinjaman kewangan bersyarat dengan sangat sukar tanpa melihat merit.

Meminjam wang dari kerajaan seolah-olah meminjam ceti yang terlibat dengan riba.  Bahkan semua sistem di Malaysia sangat terlibat dengan riba, daripada pinjaman sebuah kereta kecil sehingga rumah dan sistem pendidikan turut terlibat dengan riba.  Apakah tiada penyelesaiannya?

Sebenarnya, idea yang maha segar oleh Kerajaan adalah membangunkan komuniti yang lebih baik di sekitar kawasan kejiranan, dari sebuah institusi tuisyen untuk anak-anak ini, indoktrinisasikan idea dan fahaman mereka tentang Kerajaan.  Berikan rawatan kesihatan bergerak di lokasi tersebut kepada komuniti yang sama.  Sediakan perkhidmatan kerajaan yang mesra dan bergerak memudahkan mereka mendapatkan khidmat masyarakat yang terbaik di lokaliti tersebut.  Berikan peluang belajar dengan sebaik-baiknya sehingga ke Universiti tanpa pinjaman yang membebankan termasuk riba atau apa-apa bahan faedahnya serta berikan peluang pekerjaan yang sesuai dengan meritnya. 

Bagaimana pula membangunkan dasar-dasar negara dan pembangunan modal insan yang lebih cemerlang?  Apakah persiapan dan kesiagaan Perdana Menteri kini dalam menyusun masyarakat agar menjadi lebih baik?  Contohnya, apakah pandangan rakyat Malaysia tentang isu luar negara?  Apakah protes massa yang menuntut kerajaan prihatin dan bagaimana untuk membanteras anasir luar yang mencambahkan benda-benda yang merosak dan mengancam anak-anak muda Malaysia?  Setakat ini semuanya tidak ada persiapan yang lengkap dan khusus di susun untuk membangunkan Malaysia yang madani.  Bagaimana Mahathir mampu membangunkan warganegara “punch card”, cekap dan berkeyakinan dengan masa kerja, memakai jam tangan, memakai tali leher dan suit dan lengkap – ia sangat mengubah minda dan cara bekerja dan berfikir orang Malaysia yang moden.  Inilah nilai-nilai kecil yang boleh mengubah pemikiran dan cara bekerja orang Melayu. 


Apakah pelajar Kelas Pertama hanya menerima gaji sama dengan pekerja ijazah am yang lain?  Apakah anak-anak Tan Sri atau Datuk-Datuk ini sahaja yang layak menguasai konglomerat komersil milik Kerajaan? Orang lain masih sukar dikawal?  Berikanlah anak-anak ini satu kesempatan bahawa mereka mampu menjadi terbaik dan menyumbang kepada parti dan negaranya sendiri dengan cara yang Kerajaan sangat menghulurkan tangan sehingga ke akar pokok bahkan sehingga ke pasar.  Malaysia memang bukan negara komunis yang menyamaratakan semua warganya tetapi menjadi sosialis dalam sesetengah perkara tidak mengubah apa-apa polisi demokratik.  Itulah – jika Kerajaan ingin mendengar, dengarlah dengan mata hati bahawa poket rakyatnya jangan sesekali dikompromikan.  Bahawa politik bagi orang Melayu ialah perut dan tembolok orang Melayu itu sendiri?  

Ahad, 6 Julai 2014

Racun Barat Oleh Ulama Islam Malaysian Sendiri

Keracunan Barat

Malaysia merupakan sebuah Negara “Persekutuan atas Persekutuan” dan sebuah Negara bangsa sekular yang diwujudkan atas nama sebuah kemerdekaan palsu yang diberikan akibat tagihan sebuah parti politik tunggal orang Melayu – UMNO.  Maksud Persekutuan atas Persekutuan ialah:  Malaysia mengikat perjanjiannya antara Borneo iaitu Sabah dan Sarawak (sebelum itu termasuk Singapura) bersama sebuah lagi Persekutuan Tanah Melayu dari Semenanjung Malaysia.  Persekutuan Pertama Malaysia ialah Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri dari Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan 2 buah Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang. 


Manakala bagi negara bangsa, Malaysia menekankan beberapa ciri sekular yang sama semasa Merdekanya beberapa bahagian dunia Islam yang mengikut acuan Great Britain dan disusun kembali oleh Amerika (Sebuah Persekutuan Negara-Negara yang menjajah Dunia Baru).  Sejak keruntuhan Dar-al-Islam, sebuah Negara Tunggal umat Islam (Muslim) yang dikuasi oleh Turki Uthmaniyah, Great Britain, Perancis, Rusia, dan Jerman giat membahagikan hasil perang mereka dengan mewujudkan beberapa buah negara baru yang juga sekular.  Sekular dalam konteks ini bahawa negara-negara baru ini diberikan sempadan yang khusus, adalah satu suku atau kaum yang sama warna kulit/bangsa atau etnik, mengamalkan bahasa yang sama dan tunggal, sistem tulisan dan sastera yang tunggal serta mengamalkan ajaran atau anutan agama yang tertentu sahaja serta sistem pentadbiran yang memandang ke Barat sahaja.

Sedangkan semasa kepemerintahan Dar-al-Islam, agama tunggal Islam yang dianuti oleh segenap penduduk di wilayah Islam itu hanyalah beragama Islam tetapi mereka juga mempunyai pengikut agama dan ajaran lain (kafir zimmi), kebudayaan yang pelbagai, bahasa pertuturan yang banyak tetapi Bahasa Arab adalah Bahasa Rasmi, mempunyai kepelbagaian etnik atau suku bangsa serta bebas mengamalkan adat resam yang seiring dengan Islam yang Sejahtera itu.  Maka, kepelbagaian (diversiti) ini melahirkan satu ummah yang sihat, kuat serta mempunyai 1,001 macam politik, ekonomi, budaya, sastera dan cara hidup yang sentosa tanpa gangguan.  Manakala sang pemerintah hanyalah mengawal sistem ini dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada warganegaranya. 

Sejak kejatuhan Turki Uthmaniyah akibat kebusukan sistem pemerintahan yang korup, pelbagai ideologi Barat telah memasuki negara umat Islam ini yang merupakan jantung dunia.  Jantung ini telah dicemarkan dengan ideologi-ideologi asing yang kononnya demi kelangsungan Islam itu sendiri akibat kebodohan pemerintah dan si Ulama yang tersangat taksub dengan agama sehingga menafsirkan Islam secara sempit dan mengikut kehendak ukhrawi semata-mata.  Sedangkan Islam telah dimajukan 1,000 tahun lampau dengan penuh nilai kemasyarakatan yang lebih sempurna.  Arab adalah bangsa yang membesar dalam kekasaran dan selok-belok umat negara kota yang metropolitan.  Bukan seperti Kristian di Eropah yang mengamalkan sistem pertanian, Islam di Arab dibangunkan dan dikembangkan dalam sebuah negara kota yang mempunyai sistem lapisan masyarakat yang kompleks dan pelbagai (varian). 


Namun begitu, bila jantung dunia (Turki) ini telah tercemar dengan fahaman-fahaman karut marut dari Barat yang kononnya maju pada masa itu, Ulama-ulama pula meninggalkan cara hidup moden dan kota (kehidupan para Nabi dan Sahabat serta Khalifah-Khalifah lain sebelum itu), menjadi ulama yang menasihat ke arah kehidupan kampung yang sangat zuhud seolah-olah Allah menyuruh memilih kehidupan akhirat semata-mata.  Akibatnya, Islam semakin merosot dan puncanya adalah ulama dan ahli sufi dan zuhud melampau ini.  Akhirnya, Islam telah ditembak jantungnya, dan pemerintah yang bodoh telah meniru elemen Barat sehingga mendapat satu istilah baharu (ciptaan Ulama sesat) – Sekular. 

Sedar atau tidak, selepas Turki mengisytirhakan negara mereka mempunyai sempadan-sempadan tertentu dan membebaskan wilayah-wilayah Dar-al-Islam yang lain kepada Great Britain, Perancis dan Rusia, mereka menjadikan hanya bahasa Turki sahaja boleh dituturkan di wilayah itu serta mempunyai bangsa Turk serta adat resam kebudayaan Turk sahaja dibenarkan.  Manakala Islam hanyalah agama peribadi dan dianuti bagi tujuan ritual semata-mata untuk diri sendiri dan bukannya disebarkan – olah Bapa Sekular Modern – Mustafa Kamal. 

Sedangkan Islam sedari zaman Rasullullah SAW adalah sebuah agama yang dikembangkan daripada sebuah Kota Mekah – sebuah kota perjalanan suci, perdagangan dan bandar ibadat yang dilawati oleh segenap penjuru dunia untuk beribadat dari bangunan Hitam yang dibangunkan Ibrahim K.A dan anaknya Ismail A.S. sebelum berpindah pusat pentadbirannya di kota Madinah.  Bangsa Yahudi, Ajam, Nasrani serta suku-suku kaum yang lain juga telah berdiam dan berdagang di kota-kota ini semasa perkembangan Islam dan mereka telah bergabung dan bersebati dengan baik antara satu sama lain yang membentuk negara baru yang bersifat ukhuwah dan berstrata sosial yang adil dan saksama – tidak kira pemerintah, hamba atau ulama. 


Setelah Syria, Iraq, Iran dan Afghanistan dilukiskan dalam peta dunia, masing-masing mencontohi negara Turki untuk membentuk hala tuju negara bangsa masing-masing sama seperti negara “gila” tersebut yang meninggal Islam sebagai cara hidup (walaupun ada beberapa darinya yang kembali).  Di era 1900-an, negara-negara baharu ini mengikut telunjuk apa yang dipanggil “Westoxicifation” atau “Racun Barat” dalam memicu negara yang baru mendapat hasil emas hitam.  Ulama-ulama yang kononnya ingin melihat kesatuan ummah kembali menjadi Dar-al-Islam kembali terus menerus mengasingkan diri dan mengkritik pemerintah masing-masing mengikut duduk faham mereka serta apa yang diinginkan.  Di Semenanjung Arab, keluarga Al-Saud dan Al-Wahab mempromosikan diri sebagai pengikut Islam Perdana (Islam seperti ajaran awal Rasulullah SAW), di Iran, ulama-ulama yang ditekan oleh Shah Reza Pahlavi memberontak menjadikan Syiah yang mempercayai Imam Ghaib sebagai Ketua Revolusi dan mereka terus menerus menafsirkan Islam mengikut kehendak dan apa yang mereka fikirkan.  Di Afghanistan, Iraq dan Syria turut tidak ketinggalan, perang masing tidak muktamad sejak perang dunia pertama sehingga kini sampailah dikaitkan dengan Perang 11 September 2001 yang menggila itu.

Tanah Melayu

Berbalik ke Malaysia, negara ini tidak pernah mengiktiraf diri sebagai sebuah wilayah Dar-al-Islam bahkan terpisah secara harfiah dengan wilayah-wilayah agung Islam itu di masa kegemilangannya.  Walaupun dipempan oleh beberapa negara bangsa seperti Siam, Kemboja dan Myanmar, garisan akhir antara wilayah ini sudah terlalu dekat dengan Dar-al-Islam iaitu India atau Kesultanan Moghul pada masa itu.  Kerajaan Kecil lain seperti Demak dan Acheh turut dekat dengan Melaka sehinggakan wilayah-wilayah yang dekat dengan India (Indonesia kini) juga menjadi Islam dan mengamalkan pentadbiran yang hampir sama dengan Dar-al-Islam ini.  Namun, seperti di wilayah lain, Great Britain, Portugis dan Belanda terus menerus membodohkan umat Islam dengan “Racun Barat” sehinggakan pemerintah wilayah-wilayah kecil (dari Keruntuhan Tamadun Melayu Melaka) mengikut kehendak Barat yang lebih moden dan mempunyai kewangan/emas yang banyak dan teknologi yang hebat.  Ulama-ulama juga masih seperti di wilayah lain, menafsirkan Islam hanya mengikut kehendak “akhirat” semata-mata dan pemerintah yang tamak lagi sombong ini terus menerus meninggalkan ulama yang memuji akhirat melebih-lebih ini.


Maka, terjajahlah Tanah Melayu oleh agenda “Racun Barat” ini.  Ulama dan para orang berilmu juga tidak boleh dikecualikan dalam kebobrokan ini kerana mereka “gagal” memberikan nasihat yang saksama kepada pemerintah wilayah kecil yang rakus dan disuntik dengan “Racun Barat”.  Akhirnya, beberapa tokoh nasionalis yang terpengaruh dengan kehebatan Turki cuba mencontohi perjuangan itu untuk mewujudkan wilayah yang merdeka dari “Racun Barat” dan bergerak mengikut acuan Turki – sekular.  Rundingan demi rundingan telah berjaya menyimpulkan satu kemerdekaan (walaupun negara ini tidak dijajah secara langsung, kecuali Melaka dan Pulau Pinang).  Gabungan-gabungan kerajaan-kerajaan kecil di beberapa wilayah telah membentuk satu Persekutuan Tanah Melayu dan mencapai apa yang dipanggil “merdeka” dari pemerasan Barat.  Terpesona dengan agenda “Racun Barat” negara ini juga menjadikan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal tetapi bahasa dan agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh dikembangkan.  Hanya bangsa Melayu adalah bangsa dominan tetapi menerapkan bangsa lain boleh mendiami bumi ini secara saksama – pendek kata sama seperti di wilayah Islam yang baru diberikan kuasa oleh Barat tadi.    Persekutuan negeri-negeri ini sekali lagi menjemput Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Persekutuan atas Persekutuan dan syarat sama telah dikekalkan.  Cuma yang menjadi persoalan pokok, apakah peranan para ulama dalam keadaan Malaysia?

Seperti biasa, bahalol-bahalol agama ini masih kekal dan tawaduk dengan diri mereka kononnya Islam untuk perjuangan sesudah mati sahaja.  Mereka telah lumpuh dan manjadi apa yang dipanggil ulama politik moden sebagai “Ulama Bisu” yang mendiamkan diri.  Namun, akibat pergeseran kuasa dalam menyertai pemerintahan (sama seperti di Iran), bahalol-bahalol agamawan kononnya Islam ini membentuk sebuah parti dalam menyaingi kuasa pemerintah yang dihitung sebagai sekular – Parti Islam Se Tanah Melayu / Parti Islam se-Malaysia kini. 

Sedihnya, dari dahulu sehingga kini, ulama-ulama bahalol ini masih kekal begitu – menentang apa yang dipanggil pemerintah palsu dan sekular, memisahkan agama Islam sebagai cara hidup.  Caranya ialah mengurangkan undi parti pemerintah yang dikatakan sekular dengan pelbagai cara termasuk memfitnah, menggunakan segala macam hukum Al-Quran, Taurat dan Zabur serta hadis dalam mengurangkan kuasa politik dalam pemerintahan.  Sehinggakan di zaman “Racun Barat” semakin melumpuhkan Islam – mereka tak segan-segan menggunakan racun yang sama menyuntik umat Islam Melayu yang terus lumpuh kaku ini.  Racun Barat iaitu sekularisme, liberalisme, pluralisme dan idealisme terus menerus digunakan oleh apa yang dipanggil “ulama” untuk melumpuhkan umat Islam sendiri.

Bayangkan – mereka yang ketandusan sebuah kuasa sanggup menyuntik virus-virus ini terus kepada penganut kalimah Tauhid ini?  Inilah yang dikatakan Ulama Racun Barat yang semakin sesat.  Nik Abdul Aziz salah seorang kelompok ulama tersebut tanpa segan-segan menyatakan bahawa sanggup bersekongkol dengan “Syaitan” dalam menumbangkan pemerintah yang kononnya zalim.  Berbeza dengan Iran dan Arab, ulama-ulama ini memecut pemerintah dalam menafsirkan semula “Racun Barat” serta mengajak umat Islam di sana membangunkan ilmu dan teknologi moden secara Islami untuk menjadi khalifah yang lebih baik sama ada untuk keluarga atau masyarakat.  Terbalik di Malaysia yang awalnya sudah sekular, Ulama bahalol ini terus menerus menggasak rakyat agar memberikan kuasa kepada mereka – ingin menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lebih baik, tetapi menyuntik “Racun Barat” ini lebih pekat ke dalam jantung umat Islam Malaysia yang telah lumpuh akibat dengannya. 


Jika di Turki yang dihina-hina itu kerana sekularisme, kini telah menyuntikkan elemen Islam sehingga menjadi bertambah tawaduk dan lebih murni Islamnya, ulama di Malaysia bertindak sebaliknya.  Mereka menduduki kerusi pentadbiran dengan senang hati, membiarkan “Racun Barat” ini terus merebak – dan sering menyalahkan pemerintah bila racun ini di sebut-sebut.  Apa tugas ulama Malaysia? Mereka membenarkan Allah (Allah yang Tunggal dan Tidak Diperanakkan) menjadi tuhan yang sama dengan umat Kristian, membela tanpa menyiasat secara harfiah dakwaan liwat ketua mereka (liwat adalah ancaman Allah yang utama selepas syirik, bunuh dan zina), mengecam pembangunan yang memberikan warganegara pendapatan dan pengetahuan, mengheret warga yang ingin mendapat ilmu (acuan Sekular) kepada tidak langsung berilmu (sama ada dunia atau akhirat), mengabaikan institusi-institusi Islam tetapi mengimarahkan masjid dengan kempen politik semata-mata serta banyak lagi program karut-marut mereka dalam mendapatkan kuasa dan mengulingkan pemerintah.  Racun-Racun ini terus disuntik kepada rakyat Malaysia bukannya menyembuhkannya. 

Seharusnya ulama-ulama ini mendekatkan diri mereka dengan tafsiran Islam yang sebenar – Islam adalah agama negara kota yang maju dan makmur.  Bangunkan sistem sosial dan ekonomi dengan perancangan yang teliti dan cekap.  Kelantan sebuah wilayah dikuasi ulama bahalol ini juga terus-menerus gagal dalam menjadikan umatnya sebagai “berjaya di dunia dan di akhirat” dengan taraf ekonomi hampir setaraf dengan kota-kota di Afghanistan dan Palestin.  Mereka lebih rela menjerit dan memekik menuntut royalti minyak tanpa memikirkan alternatif lain mambangunkan wilayah itu agar lebih Islami.  Sejujurnya, mereka membangunkan waqaf-waqaf iaitu pertubuhan Islam (mengecualikan cukai) dan membina rumah mampu milik, membina komuniti perniagaan yang lebih baik, menyediakan prasarana untuk memudahkan proses mengimport dan mengeksport barangan, menaja pertubuhan-pertubuhan (seakan-akan kartel) dalam perniagaan seperti di Turki di mana ulama menyediakan modal melalui tabung waqaf dan zakat masjid.  Mereka juga harus membangunkan institusi Ilmu iaitu universiti dan sekolah-sekolah yang mengkaji Islam itu bukan sahaja sebagai agama (teologi) tetapi sebagai cara hidup yang terkini (kerana Islam itu adalah agama bandar) serta apa-apa pembangunan insani yang lebih terarah dan fokus.

Islam memandang pembangunan sebagai sesuatu bangunan dan perdagangan yang kukuh dan menyatukan umah.  Kesalahan Kerajaan Persekutuan hendaklah ditunjukkan dengan menjadikan negeri itu sebagai model yang lebih baik dan bukannya hanya “duduk mengaji siang dan malam serta berdoa tanpa berusaha”.  Itu tidak akan menjadikan Islam lebih baik tetapi suatu bangsa yang berharapkan bantuan semata-mata.  Masjid-masjid yang telah didirikan, kumpulkan bantuan dan sumbangan kecil-kecil ini dan berniagalah dengan wang itu sesama komuniti masjid serta belilah hartanah tempatan dan jadikan lokais perdagangan atau perumahan untuk mereka yang memerlukannya. Dengan membangunkan umat secara harfiah “sakinah warahmah” tanpa mempedulikan agenda politik, ulama seharusnya mengurangkan toksin-toksin atau racun-racun barat yang telah disuntik oleh pemerintah yang pro-Barat dahulunya.  Setelah 57 tahun, ulama-ulama ini tetap gagal menyembuhkan racun ini bahkan beberapa kalangan dari mereka menjadi penyangak kepada masyarakat dan terus dibela-belakan. Ada yang berjuang untuk puak jihadis yang tidak perlu tetapi dalam menjadi umat perdana, mereka sebenarnya semakin jauh dan racun barat oleh Pemerintah tetap disuntik generasi demi generasi.  Bahkan ulama bahalol kini juga bertindak atas kapasiti yang sama – menyuntik racun barat ke dalam masyarakat Islam di Malaysia sejak merdeka sama seperti pemerintah – tidak berbeza.



Umat Islam Malaysia, janganlah kamu bergantung kepada ulama yang mengambil kesempatan ini, tetapi hendaklah kita tanamkan iktiqad mencari pejuang-pejuang suci yang ikhlas membangunkan umat, jadilah bangsa berilmu yang mencontohi sufi-sufi Turki yang menyusun umat Islam di sana membentuk satu kesatuan dan menjadi Islam yang diredai Allah dengan memajukan kita sesama umat – hindarkan sifat hasad dengki, cemburu dan tamak kita jauh dari bumi dan akar ini.  Allahu Alam.  

Khamis, 3 Julai 2014

Imam-imam di Malaysia Membiakkan Kemiskinan dan Melarat?

Kejatuhan Kerajaan Umayyah memang dikenang sebagai kejatuhan “zaman pra-emas Islam” di Timur Tengah.  Kerajaan Abasiah yang dinaikkan oleh Abu Muslim telah mengorbankan Kerajaan Umayyah di mana Islam telah mendapat pembelaan dalam segi harta dan ilmu awal yang sangat banyak – akibat perluasan kuasa Dar Al Islam, dari Madinah sehingga ke Parsi dan Mesir. Benyak kawasan Empayar Rom Timur dan Parsi dapat ditawan Islam dan kepandaian Khalifah Umayyah yang mengumpul harta perbendaharaan dan meningkatkan tahap hidup golongan Islam awal amatlah signifikan sehingga bangsa Arab yang terkenal dengan perdagangan menjadi terkenal sebagai bangsa bertamadun yang kaya raya di zaman itu. 

Dari runtuhnya Kerajaan Umayyah kerana golongan Syiah beranggapan keluarga Nabi SAW sahaja yang layak menjadi pemimpin (Imam) kepada umat Islam, maka ia menggulingkan kerajaan sedia ada.  Tetapi kerana gagal memakmurkan Dar Al Islam (Bani Ummayah adalah suku yang terkenal dengan kekayaan dan perdagangan), akhirnya ia digulingkan oleh Kerajaan Seljuk (berasal dari masyarakat Turki).  Kejatuhan ini menyebabkan bangsa Mamluk (dalam bahasa moden – Pegawai Tadbir dan Diplomatik seperti di Malaysia) menjadi pentadbir kepada Kerajaan Dar Al-Islam ini seterusnya kerana kehebatan pentadbiran mereka.  Kehebatan yang paling ketara di zaman Abasiah ialah mereka berjaya memakmurkan kembali wilayah-wilayah Islam yang luas lagi ramai penduduk ini.  Maklumlah, Masyarakat Islam telah menjadi masyarakat kota dengan aktiviti perdagangan adalah sangat tinggi di dunia ketika itu.

Dengan membangunkan sistem sokongan kepada ekonomi, Khalifah Mansur adik Abas telah membangunkan masyarakat kota yang mewah ini dengan perkembangan ekonomi wakaf yang lebih kompleks.  Jika di bawah naungan Umayyah, golongan kaya akan menghantar wangnya ke waqaf (di baca “Pertubuhan NGO” pendidikan pada masa kini) bagi tujuan mengelak cukai (dalam zaman moden di baca “Corporat Social Responsibility”) agar harta benda mereka dapat dikecualikan dari membayar cukai yang tinggi kepada Kerajaan.  Maka, institusi waqaf ini telah melahirkan banyak sarjana Islam dalam pengembangan ilmu dan membukukan maklumat-maklumat penting.  Lebih alim (berilmu) pengurus-pengurus waqaf ini, lebih banyaklah golongan kaya yang akan menyumbang kepada waqafnya kerana kepercayaan mereka selain berharap kekayaan ini dapat membebaskan mereka dari api Neraka dan seksaan kubur. 


Semasa zaman Khalifah Mansur ini, amalan ini diteruskan tetapi institusi ini dikembangkan bukan sahaja kepada ilmu bahkan kepada harta tanah untuk anak-anak yatim, golongan miskin serta kanak-kanak mangsa perang sesama Islam atau tawanan/hamba perang dengan empayar lain (seperti Sansaniah dan Rom).  Institusi Waqaf ini akan membeli tanah-tanah kerajaan dengan harga yang berpatutan dan ekonomik (tiada istilah subsidi dan bantuan dari Kerajaan seperti sekarang kerana harta kerajaan turut diniagakan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada Negara khususnya tentera).   Maka, waqaf-waqaf terbaik ini akan membangunkan rumah-rumah dan hotel penginapan ilmu serta masjid mereka sendiri kepada anak-anak dan golongan yang memerlukan ini.  Kanak-kanaknya diajarkan ilmu-ilmu perang, pertahanan diri, membangunkan senjata api, ilmu pengurusan dan penulisan serta tafsiaran-tafsiran ilmu yang lebih kompleks.  Dana-dana ini dikumpul dari sumbangan masjid yang didirikan, zakat yang dibayar terus kepada masjid-masjid serta waqaf-waqaf yang menerima bantuan dari golongan kaya dijana untuk member manfaat kepada umah dan sistem ekonomi yang lebih baik.

Pendek kata di zaman tersebut tiada umat Islam yang tidak terbela melainkan mereka memilih untuk menjadi sufi atau seorang zuhud yang keterlaluan seperti Rabiatul Adawiyah R.A dan sebagainya.   Kemiskinan hampir tidak wujud secara jelas kerana masyarakat telah memainkan peranan mereka iaitu dari menyumbang, membentuk waqaf-waqaf dan menjaga amanah itu dengan baik, membuat urus niaga yang menguntungkan atas wang tersebut dan membesarkan anak-anak yatim, mangsa perang dan culik serta hamba dan golongan miskin yang memerlukan. 

Oleh itu, zaman ini dikenali dengan Zaman Kegemilangan Islam awal kerana dengan sistem tersebut (kelihatan seperti sistem sekolah pondok atau pesantren kini) telah melahirkan ratusan cendekiawan dan ilmuan-ilmuan terkenal.  Antara yang lahir dari institusi ini adalah bangsa Mamluk iaitu bangsa Turki yang diculik atau yatim-piatu yang kehilangan keluarga akibat perang.  Dari institusi ini, cendekiawan dan ilmuan dalam pelbagai bidang agama, ekonomi, pengurusan sehinggalah kepada sastera telah berjaya dilahirkan (dari golongan miskin dan papa kedana) sehingga menjadi penjawat awam yang paling berkaliber di zaman Abasiah.  Kerajaan Abasiah tidak ragu-ragu dengan kehebatan ilmu dari golongan waqaf ini (termasuk Mamluk) dan memberikan satu amanah iaitu sistem pengurusan Istana Negara dan Perbendaharaan Negara kepada pantadbir-pentadbir muda tersebut.

Sistem ini adalah sama seperti sistem Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Malaysia di mana Kerajaan memilih bakat-bakat terbaik dari MRSM dan Sekolah Asrama Penuh dan diberikan biasiswa dan akhirnya mereka yang cemerlang akan kembali berkhidmat kepada kerajaan dan rakyat dengan sebaik-baiknya.  Namun, MRSM dan Sekolah Asrama Penuh ini didirikan oleh Kerajaan dan sudah tentu golongan pentadbir ini akan mendengar kata-kata dari pemberi makanan dan roti kepada mereka berbanding orang lain. 

Oleh itu, dalam kemelut Tengku Adnan Tengku Mansur Menteri Wilayah Persekutuan menyekat golongan gelandangan, adalah menjadi kesalahan kita pula memarahi dan menghina tindakan beliau (4 Julai 2014/6Ramadan 1435H).

Sebenarnya, masyarakat Malaysia telah meletakkan semua benda di atas bahu Kerajaan tanpa memikirkan bahawa Kerajaan adalah pemerintah sahaja yang menjadi wadah menguruskan masyarakat dan membentuk mereka ke arah yang lebih baik.  Dengan wadah itu, bukan semuanya harus diletakkan di bahu mereka kerana sebagai anggota dalam masyarakat, kitalah batu-batu yang mengikat antara satu sama lain untuk membentuk bangunan.  Seharusnya kita datangkan idea-idea bagaimana menghapuskan peminta-peminta sedekah dan golongan gelandangan dan miskin ini dari terus mencengkam dan memalukan ibu negara kita.  Tak salah kita bersedekah tetapi biarlah di masjid atau di wakaf-wakaf tertentu sahaja agar dapat membangunkan masyarakat.  Bahkan sehingga ada peminta sedekah dari Thailand dan China datang ke mari kerana percaya bahawa rakyat Malaysia yang Islam khususnya sangat pemurah untuk mencapai nikmat akhirat.  Di Arab Saudi dilaporkan, peminta sedekah dari Dubai menjadi jutawan kerana sikap dermawan penganut Islam yang membuta tuli.  Sedang peminta sedekah (Kafir atau Islam menjadi jutawan) mereka tetap merempat dan hidup ala kadarnya. 

Seharusnya Masjid-Masjid di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri memainkan peranan yang aktif terutama institusi Masjid dan Baitul Mal khususnya.  Janganlah duduk di masjid membaca Al-Quran dari pagi sampai malam bahkan sehingga mempolitikkan semua perkara kerana tiada pekerjaan yang signifikan ingin dilakukan.  Lantiklah imam-imam muda yang berpendidikan ekonomi dan pengurusan untuk membangunkan harta-harta yang didermakan anggota masyarakat ini, belilah tanah dan belalah golongan miskin di negara kita.  Mereka boleh bertindak selaku pentadbir kewangan masjid yang ekonomik dan strategik untuk menambah hasil pendapatan zakat dan kutipan sumbangan orang ramai itu.  Manfaatkannya dengan membiayai rumah-rumah anak yatim, fakir miskin serta dirikanlah sekolah-sekolah swasta yang berketrampilan tinggi agar umah setempat dapat dimajukan minda dan rohani.

Tugas imam bukan sahaja menjadi ketua dalam solat, bahkan menjadi pengurus kewangan awam yang efisien agar ia memberi manfaat keseluruhannya.  Imam-imam politik hanya hanya pandai berkata-kata dan memaki hamun semua pihak di zaman dahulu telah lama dihumban ke tengah-tengah padang pasir seperti mana dilakukan oleh Khalifah Mansur ke atas pengikut Syiah (Fahaman Hashashin).  Oleh itu, imam-imam serta pentadbir waqaf ini hendaklah lebih kreatif membangunkan institusi masyarakat daripada menyalahkan Kerajaan semata-mata.  Jika mereka gagal sebenarnya, barulah kerajaan yang secara menyeluruh akan gagal.  Mereka lupa bahawa unit-unit kecil di bawah yang musnah adalah kerana kemusnahan dari mereka sebelum merebak kepada Kerajaan di atas sana.

Tanah di Kampung Chu Badak yang dibeli oleh Saudagar Gula, Vincent Tan dan menghalau penduduk Islam, apakah peranan Institusi Agama Islam?  Mana mereka menyorokkan wang kutipan zakat yang bernilai jutaan ringgit tersebut?  Mereka seharusnya membeli kembali tanah tersebut atau membeli tanah-tanah lain untuk membangunkan kelompok masyarakat yang memerlukan, bukannya menjadi dalang menganjurkan tunjuk perasaan.  Kerana kebodohan mereka di bawahlah, maka orang miskin ini tidak terbela.  Menjadi tugas kerajaan adalah memaklurkan semua rakyatnya secara umum.  Dengan menjual tanah tersebut kepada saudagar Cina yang kaya tersebut, Kerajaan dapat mengutip hasil dan memberi bantuan dan seterusnya membangunkan infrastruktur serta cukai lainnya kelak kepada masyarakat.  Kesannya nampak seperti pendek, tetapi signifikan menyebabkan Kerajaan harus menjual tanah agar keuntungannya dapat digunakan seluruh masyarakat sama ada Islam atau tidak.  Di mana imam-iman dan tok-tok siak di Masjid? Apa yang merek buat untuk majukan ekonomi Umah? Dimana wang tabung kutipan masjid? Masuk poketkah atau dibayar bil-bil air sahaja?  Adakah jumlahnya tidak diakaunkan? Adakah sumbangan itu memberi manfaat?  Inilah punca sistem Gereja menjadi kuat dan berjaya membodohkan orang Eropah di masa silam, kerana penduduk yang bodoh telah dibodoh-bodohkan pula oleh pendeta agama Kristian dengan segala macam dosa dan larangan yang mereka cipta-ciptakan dan menghasut penduduk untuk menjadi warga yang beragama tetapi bodoh.  Agar wang penghapus dosa boleh menyebabkan pendeta Kristian menjadi kaya dahulu. 



Imam seharusnya mengajarkan ilmu-ilmu ekonomi dan pengurusan kepada penduduknya dan mengajar mereka menjadi muslim yang baik dan menyumbangkan wang untuk membina sistem kewangan Islam yang lebih mampan dan memberkan hasil bermanfaat sehingga kita mati dan pahalanya kekal dinikmati.  Bukannya menjadi juara berguling dijalan atau bersyarah dengan unsur unsur hasutan dan membenci dan maki hamun.  Apa kata anda?