Selasa, 1 Jun 2010

SUATU PAGI DI TAHUN 2020


Kuala Lumpur: Ketenangan pagi pada tahun yang baru melakar satu ingatan yang jauh. Rupanya tahun tersebut telah pun menginjap di dada hari yang kita hirup udara paginya. Mungkin pada petang sebelumnya pagi itu, beberapa banyak kali kita disantapkan dengan peringatan bahawa tahun yang dinanti-nantikan umpama satu hisab di akhir kehidupan telah tiba. Sebelum itu kita telah jutaan kali mendengar akan tahun yang keramat itu. Entah apalah yang ada di dalamnya. Sedar tidak sedar kita telah pun bangun pagi 1 Januari 2020 dengan perasaan yang berbaur dan teruja dengan hari itu.

Terbukalah tingkap dan pintu lazimnya selepas mengerjakan solat subuh. Terselaklah kain langsir yang membenamkan penglihatan luar, maka tersingkaplah dari rumah sarang burung itu. Dari jauhnya, kita dapatlah melihat satu bangunan yang gah tingginya. Berkembar dengan sama bentuk, sama tinggi nun sayup di sana. Terkalih mata ke tepinya melihat satu lagi menara yang terpasak dengan megahnya. Walau tidak setinggi tadi, setidak-tidaknya ia mampu tersenyum membalas – ialah bangunan yang menghubungkan 1,001 rangkaian komunikasi dalam dan luar kawasan yang dijelajahnya.

Di dalam rumah kita telah tersiap dengan pendingin udara, televisyen walau tidak sebesar panggung wayang, peti yang mampu menyejukkan minuman dan makanan, kusyen sofa yang menanti untuk diduduki dan segala macam kelengkapan. Jika berpuluh tahun dahulu tidak ada satu legasipun mampu menjangkaunya. Hari ini tahun 2020 mengesahkan kedudukannya. Walau sebagai sejarah yang hitam lagi pahit – kebenaran tetap tidak buta.

Mahathir yang sering mengkritik dan dikritik mungkin tidak sempat menghirup udara pagi itu. Tapi kecekalannya memastikan anak cucu bangsanya agar dapat menghirup udara pagi itu seperti bangsa lain tidak pernah dilupakan. Biarlah dia terjun dengan labu-labinya tetapi demi anak bangsanya - dia sanggup! Biar dia dihina 1,001 kali seperti Tun Abdul Rahman – Dia sanggup. Setidak-tidaknya, dia tidak pernah dipersalahkan dengan kehidupan hari ini. Setidak-tidaknya pada pagi itu, anak bangsa Malaysia masih lagi bangun dengan kesegaran pagi seperti tahun 1980an. Bukannya dengan dentuman bom di sana-sini, bukannya dengan anak bangsanya melarat di negara orang lain, bukannya anak bangsanya menggemis wang dan ringgit demi membeli sesuap nasi dibumi yang terjajah. Dan paling penting sekali dia mampu membuatkan rakyatnya memakai baju dengan duit mereka sendiri, berniaga – setidak-tidaknya nasi lemak untuk membeli benda yang lainnya, anak bangsanya mampu memakai kereta walau hutang masih belum habis berbayar, berjalan walau bukan dengan kakinya kosong (LRT+PUTRA+STAR+MONOREL+KOMUTER dsb).

Walau tidak sehebat mana, legasinya tetap legasi bangsa. Sekejam Hitler, ia tetap dianggap pejuang menentang Yahudi, sekejam Mahathir ia tetap pejuang demi kemakmuran rakyatnya. Walau pun perjuangannya berbayar dengan pengorbanan, tidak mampu memuaskan hati semua pihak – sekurang-kurangnya, ramai yang mendapat manfaatnya. Sejak 1955 lagi Mahathir mengkritik, mengkritik kerajaan Tunku Abdul Rahman – 1969, menjadi PM beliau mengkritik negara luar, 2006 ia mengkritik legasi bekas kerajaannya dan sehingga kini beliau terus mengkritik sesiapa sahaja – Itulah Mahathir, kritik, kritik dan kritik demi bangsanya, legasinya, tanggung jawabnya – Apa sumbangan anda kepada bangsa anda sendiri?


Barry Wyne, adakah terhakis gunung dengan air liur anda? Pena saudara yang lebih tajam dari pedang itu – Mampukah mencencang Mahathir sehingga bersepai? Mampukah anda menongkah dan menterbalikkan budaya, minda dan pembangunan yang ada kini? Jika mahu mengkritik, semut di lubang, ikan di kolam dan sungai juga boleh mengkritik. Adakah kritikan anda mampu mengubah apa-apa? Simpan saja air liur saudara untuk merasa makanan yang enak lagi lazat bekas legasi Mahathirisme – Legasi yang dilipat dalam sejarahnya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.