Rabu, 16 Februari 2011

Samseng Diupah Menjaga Parking!


Memandu di sekitaran Wisma Consplant dan Empire Shopping Gallery, Subang Jaya kelihatan banyak kereta yang meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan antara kedua bangunan. Bertanya kepada beberapa pemilik kereta tersebut termasuk rakan saya, mengapa harus meletakkan kenderaan di situ sehingga bertarung dengan tindakan Polis dan MPSJ untuk di saman, mereka masih berani lagi di saman berbanding berhadapan dengan penjaga konsesi parking di bangunan tersebut. Aneh!

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk mengunjungi pasar raya tersebut untuk membeli belah dan mengunjungi pusat kecerdasan Platinum di bangunan tersebut walaupun saya telah kerap ke sana tambahan pula keesokannya adalah cuti umum.

Walau bagaimanapun, itulah nasib malang saya bagi melihat sendiri tata kelakuan penjaga konsesi tempat letak kereta seperti yang telah dikhabarkan oleh rakan dan pemilik kereta tadi.

Dengan memasuki konsesi letak kereta tersebut, saya memberi jaminan peribadi bahawa akan selamat dari serangan penjenayah serta tindakan saman oleh polis dan penguat kuasa tempatan, rupanya lari dari mulut buaya masuk ke mulut naga.

Saya telah meletakkan kenderaan dalam jam 9:30 malam tetapi pada mesin terimaan kad di daftarkan sebagai 9:22 malam. Saya telah membayar tiket konsesi tersebut berharga RM2.00 pada jam 10:00 malam tetapi pada resit tiket dicetak pada 9:46 malam. Terleka dengan waktu konsesi dan waktu sebenar, saya telah lewat keluar dari meletak kenderaan melepasi 15 minit masa yang disyaratkan walaupun peraturan tersebut tidak begitu jelas dinyatakan di tempat bayar mahupun di tiket.

Di pintu keluar, kenderaan saya tidak dapat diakses untuk keluar. Saya telah membunyikan hon bagi mencari dan memanggil pengawal bertugas untuk membantu saya kerana kereta telah beratur panjang di belakang. Dek kerana mempunyai petugas keselamatan warga asing, seorang demi seorang yang datang selang waktu tertentu masih tidak dapat membantu saya sehingga 3 orang pengawal terpaksa dipanggil dan membantu menyelesaikan masalah saya.

Akhirnya dengan tekanan hon dari kenderaan belakang, masa yang terus berjalan sehingga lepas jam 10:45 malam, akhirnya 3 orang petugas konsesi tempat letak kereta telah datang dengan lagak seorang adi wira.

Dengan gaya penyangak filem P.Ramlee, mereka datang dengan memaki hamun dengan kata-kata berbaur provokasi yang boleh menaikkan angin, perkauman serta menghina kaum lain dan anutannya, maruah saya tercabar dengan sikap sinisnya dan provokasi melampau. Dan susuk jaguh ini pun masih tidak mendapat penyelesaian untuk membantu saya walaupun telinga dan hati telah mendidih dibuatnya.

Salah seorang dari mereka bertindak dengan membuka pintu sebelah penumpang hadapan kereta saya untuk mengajak beradu wira, walaupun saya memberi amaran untuk berhenti setakat itu sebelum saya menghubungi polis.

Desakan saya itu dipatuhi walaupun dengan ketiga-tiganya terus memaki hamun, mengherdik dalam provokasi melampau dan masih tidak melepaskan saya. Akhirnya berang dengan perbuatan mereka, saya terpaksa menghubungi 999 untuk membantu saya. Polis tiba selepas 15 minit panggilan dibuat. Dan menurut perbincangan polis dan penjaga konsesi tindakan yang perlu saya lakukan ialah dengan membayar RM2.00 lagi konsesi tersebut di mesin. Saya menuruti perintah polis tersebut tanpa banyak kata dan tiada masalah sekiranya itulah penyelesaiannya dalam kes saya jika dinyatakan dari awal. Akhirnya dengan campur tangan polis, kereta saya melepasi pengadang pada jam 11:15 malam.

Tetapi menjadi trauma dan panas hati saya adalah perbuatan provokasi penjaga konsesi tersebut yang memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata provokasi melampau ke atas saya serta sanggup membuka pintu kereta saya untuk beradu kekuatan. Apakah memang dalam mengendalikan kes-kes berkaitan penjagaan tempat letak kereta, pengurusan Empire harus melantik seorang yang tangkas jagoan untuk beradu kekuatan sebagai terma utama? Apakah pihak pengurusan konsesi tempat letak kereta sengaja melatih pekerja mereka bersikap provokasi serta susuk jaguh untuk mengendalikan semua kes yang berlaku di konsesi mereka?

Selain itu, dengan melantik pengawal keselamatan warga Nepal dan Bangladesh yang sukar memahami bahasa juga membelenggu kami yang memerlukan jaminan keselamatan yang lebih baik serta jaringan pemantauan yang lebih terkawal.

Maka di sini dapatlah saya mendengar kata dan ilmu dari rakan-rakan saya bahawa meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan lebih aman kerana paling tidak cuma membayar saman berbanding meletakkan di konsesi letak kereta boleh menyebabkan hilang nyawa atau paling ringan kereta akan dicalarkan atau di pancitkan.

Saya menyeru pemilik kenderaan di Kuala Lumpur khasnya, berhati-hatilah dengan penjaga konsesi tempat letak kereta kerana jika silap hari bulan nyawa di hujung tanduk dek majikan yang mengupah jaguh-jaguh samseng untuk menjaga konsesi mereka. Semoga pihak polis dapat memantau hal ini dengan lebih dekat serta pemilik bangunan juga tahu akan pengurusan tersebut oleh ‘membunuh’ pemilik kereta pada akhirnya.

Pengguna sentiasa Benar

Empire Gallery, Subang

Rabu, 9 Februari 2011

Penerbit Kandungan atau Penonton Yang Bodoh?


Kutipan filem Ngangkung (genre seram) mengutip angka tertinggi dalam sejarah sinema di Malaysia. RM8.3 juta ringgit bukan satu angka yang kecil. Jika Dato’ Yusof Haslam boleh digelar Mr Six billion ringgit dari kejayaan filem cinta Sembilu II, David Teoh juga boleh digelar jutawan filem alaf baru pasca milenium.

Genre seram semakin memenuhi selera pemain filem di Malaysia dewasa kini. Lepas satu slot satu slot yang baru diwujudkan bagi melayari filem yang diterbitkan kononnya atas kehendak dan kemahuan penonton. Kenyataan yang paling pesimis dan klise bila dikatakan yang penonton yang mahukan filem sebegitu tahyul dan syirik tersebut. Jika dibuat undi, benarkah akan ada peminat filem seram yang majoriti?

Di universiti, pengajian media didedahkan dengan kajian populariti sesuatu perkara melalui Pendapat Umum (Public Opinion) yang amat mahir dikuasai oleh Prof. Hamdan Adnan, amat berbeza dengan kajian politik atau polling system dalam amalan demokrasi. Kaedah dan wahana yang sama tetapi pendekatan dan hasil yang berbeza. Maka klise kononnya peminat mahukan filem genre seram amatlah membodohkan khalayak yang lain.

Saban kali membaca akhbar mahupun blog-blog arus perdana, banyak yang merungut akan filem seram, tahyul, mengarut serta entah apa-apa kandungannya termasuk yang terbaru penggantungan drama bersiri terbitan pelakon Sheila Rusly lungsuri dari kejayaan filem klasik lakonan Datuk Seri Jins Shamsudin – Panca Delima. Lebih menggamatkan ruangan Siti Jarum setiap Ahad serta penulis-penulis seangkatannya, filem seram dan tahyul-mahyul semakin membelenggu ruangan slot televisyen kita sekarang. Dari TV3 sehingga ASTRO, tidak dapat tidak, pasti ada ruangan cerita hantu.

Orang Melayu memang suka hantu kah? Orang Melayu memang suka mistik kah? Soalan ini hanya boleh dijawab oleh peminat isi kandungan sahaja dan bukannya dsi tukang pembangun kandungan dan meletakkan kesalahan tersebut ke atas bahu penonton. Jika itu yang di sajikan, maka itulah yang ‘terpaksa’ di tonton. Kekosongan ruang ini menyebabkan penonton tidak punya banyak pilihan, cerita Indonesia yang lebih sarat keburukannya dengan filem tempatan yang karut-marut.

Acap kali itu juga penonton dipersalahkan kononnya kutipan filem tertinggi iaitu filem Jangan Pandang Belakang dan Ngangkung menyebabkan pembangun kandungan terus menerus berlumba-lumba membangunkan cerita seram, mistik dan tahyul ditambah perisa karut-marut dan sesat-syirik.

Budaya Escapism

Di Amerika, kejayaan Wall Disney Channel dan 20th Fox Century serta pelbagai lagi terbitan escapism pada zaman perang dunia melayakkan filem-filem fiksyen, tahyul serta luar imaginasi digunakan sebaik mungkin oleh pembangun kandungan bagi mengelakkan rasa tengang di kalangan rakyatnya. Terutama ketika perang dunia ke dua dan Perang Vietnam, budaya hipi memainkan peranan penting dalam pembangunan kandungan. Melalaikan penonton boleh mengurangkan tegangan dalam fikiran rakyat ketika itu. Maka wujudlah novel-novel yang aneh, fiksyen serta yang melampaui pemikiran akal logik manusia.

Amerika yang tidak berkiblatkan mana-mana panduan serta mengamalkan demokrasi penuh, menghalalkan pelbagai cara dalam dunia escapism ini termasuk membenarkan pengunaan morfin dan kokain dalam aktiviti masyarakatnya - desakan dari perang dan jumlah korban yang saban hari meningkat dan membelenggu generasinya.


Tetapi itu cerita escapism warga Amerika beberapa dekad lepas. Kini budaya escapism itu bolehlah dikaitkan dengan jalan yang sama di Malaysia cumanya Malaysia tidak terlibat dengan perang dan budaya hipi serta pegangan rakyatnya yang masih majoritinya berpandukan Islam sebagai cara hidup yang sebenar.

Tidak dapat tidak, kita dapat melihat budaya escapism ini telah memaksa warga Malaysia untuk melihat kandungan yang dangkal, tahyul bahkan karut marut serta tidak bermasa depan dalam pembangunannya. Bak kata orang “asalkan untung sahaja” semua mahu dilambakkan dan dipaksakan ke atas penonton. Satu lagi persoalan, adakah dalam erti mengisi ketegangan hidup yang semakin bermaterial tinggi ini, maka warga Malaysia layak dicampakkan dengan sampah-sarap begitu dan mereka pula dipersalahkan dengan pembangunan filem atau kandungan tersebut?

Para penerbit budiman, tidak salah mengisi kekosongan dan mencantaskan ketegangan fikiran umum dengan cerita yang di luar kemampuan biasa tetapi perlulah signifikan, berunsur fiksyen dan paling penting senantiasa menerapkan elemen-elemen tempatan yang lebih moderat dan Islamik selain futuristik dan sosial masyarakat yang berbudi bahasa berhemah.

Jika Iran boleh mengisi ruang escapism watannya dengan cerita yang boleh memenangi anugerah peringkat dunia kenapa Malaysia yang lebih moden kononnya tidak boleh? Bahkan membodohkan penontonnya pula. Sudahlah penonton dibodohkan dengan cerita seram yang tahyul dan karut, penonton pula dipersalahkan kononnya mereka yang mahukan kandungan sebegitu.

Ukuran terpenting bagi kandungan yang baik ialah dengan memenuhi elemen-elemen sosial yang baik, nyata serta menjalinkan fabrik sosial yang berkisarkan budaya hidup tempatan. Filem Ngangkung bukanlah lebih baik melainkan hanya filem lucu dan lawak yang menyelitkan hantu sebagai jalan cerita utama. Lebihnya tidak.

Kritikan filem Arahan Khalid Mamat – Hantu Kak Limah Balik Rumah pula begitu signifikan. Juga hantu yang dijadikan sebagai penyeri tetapi Khalid lebih kritis bila akhirnya, Kak Limah itu bukan hantu tetapi mangsa kepada warga ‘hantu’ yang membiarkannya sendirian tanpa perhatian.

Kritikan dan filem sebeginilah yang lebih baik nilainya berbanding meletakkan pelbagai cerita hantu dan koleksi hantu-hantu tahyul Malaysia dihimpunkan dalam filem dan kandungan. Apakah pelajar Malaysia perlu diingatkan bahawa budaya mereka mempunyai hantu saka, hantu raya, susuk dan segala macam hantu yang perlu dingat sebagai warisan?

Tepuk dada tanya selera. Inikah nilai penonton kita? Inikah minda pembangun kandungan filem kita? Atau pembangun filem kita ini lebih ‘bodoh’ dari penonton itu sendiri?

/mfa

Ahad, 6 Februari 2011

Revolusi Jasmine ke Mesir dan ....


Satu hari di Zamalek, kawasan elit di Kaherah pada tahun 1986, penulis berdiri di depan tempat pembuangan undi dan memerhatikan gelagat orang keluar masuk.
Lengang saja, seperti tidak ada orang membuang undi walaupun pilihan raya Parlimen sedang berlangsung.

Keesokannya, diumumkan parti Presiden Hosni Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) meraih lebih 90 peratus undi. Pada masa itu parti pembangkang ialah Parti Wafd, sebuah parti lama yang sudah wujud sebelum Republik Mesir ditubuhkan dan Parti Buruh Sosialis, sebuah parti kiri yang bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin. Oleh kerana Ikhwan diharamkan, calon-calonnya bertanding di bawah tiket Parti Buruh. Tambahan pula pada tahun itu, parti itu mengisytiharkan perubahan ideologi daripada sosialisme kepada Islam.

Maka seperti yang dijangka dan tidak menghairankan, NDP menguasai Parlimen dan seterusnya memilih Mubarak untuk terus memegang jawatan presiden. Seperti kebanyakan pagi, pada masa itu penulis bersarapan di sebuah kafe kecil berhampiran tempat pembuangan undi itu.

"Hebatlah presiden kamu menang 90 peratus undi," ulas penulis pada pemuda yang sudah akrab ketika itu.

"Kamu percaya pilihan raya ini?" jawab pemuda itu sambil ketawa.

"Mana ada orang boleh dapat undi sebanyak itu. Kami tidak pernah percaya pada pilihan raya Mubarak," jawab pemuda berusia 21 tahun itu. Dia sering mengkritik kerajaan dan bercakap mengenai agama. Dia mungkin penyokong Ikhwan. Kalau tidak pun, dia pasti penentang Mubarak.

Itu 26 tahun lalu. Pada masa itu Mubarak sudah berkuasa lima tahun. Mungkin kini pemuda yang sudah tidak muda itu adalah antara yang turun ke Medan Tahrir sejak dua minggu lalu menuntut Mubarak meletak jawatan.

Sudah lama Mubarak tidak popular. Kalau pilihan raya bebas dan terbuka dijalankan dari dahulu lagi, dia mungkin sudah lama ditolak rakyat. Tetapi hidupnya sebelum ini tidak pernah menemui kegagalan, kerjayanya sentiasa meningkat setahap demi setahap sehinggalah menjadi presiden. Mubarak dilahirkan pada tahun 1924 dan kerjayanya adalah sepenuhnya tentera sebelum memegang jawatan politik.

Belajar di Akademi Tentera Mesir dan memperoleh ijazah dalam Sains Ketenteraan pada tahun 1949. Kemudian beliau menyertai Akademi Angkatan Tentera Udara dan menjadi pegawai juruterbang pada tahun 1950 dan meraih Ijazah dalam Sains Penerbangan. Beliau menjadi pengajar di Akademi Tentera Udara sehingga tahun 1959 sebelum menyambung latihan penerbangan di Kesatuan Soviet sehingga tahun 1961.

Sekembalinya ke Mesir, beliau berkhidmat sebagai komander Pangkalan Tentera Udara Barat Kaherah, Beni Suef dan Akademi Tentera Udara sebelum dilantik menjadi Ketua Turus Tentera Udara Mesir pada tahun 1969.

Tiga tahun kemudian beliau sampai ke kemuncak kerjaya tenteranya apabila dilantik sebagai Komander Tentera Udara dan Timbalan Menteri Pertahanan. Sebelah kakinya sudah masuk ke politik di negara yang pihak tentera menguasai politik. Atas sumbangannya dalam perang ramadan 1973, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Marsyal Medan (Field Marshal).

Menurut ABC News, semasa menjadi pegawai tentera udara, beliau dan keluarganya meraih kekayaan melalui kontrak-kontrak ketenteraan hingga kini mencapai AS$40 hingga AS$70 bilion. Pada April 1975, beliau dilantik oleh Presiden Anwar Sadat sebagai Naib Presiden. Ekoran pembunuhan Sadat pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai presiden dan pengerusi NDP.

Bagaimanakah Mubarak boleh memegang kuasa begitu lama? Antara faktornya ialah dia menggubal pelbagai undang-undang bagi menyekat pembangkang. Paling besar ialah Jawatankuasa Parti Politik yang ditubuhkan Mubarak. Pada tahun 2000, jawatankuasa ini hanya meluluskan dua parti pembangkang iaitu Ikatan Nasional dan Barisan Demokratik. Selepas tujuh tahun, 10 parti berjaya disahkan apabila mereka membawa kes ke mahkamah Selain itu, tangkapan terus dibuat ke atas calon-calon Ikhwan yang bertanding atas tiket parti lain di samping tekanan terhadap pekerja-pekerja kempen pilihan raya.

Tetapi sikap Mubarak yang tidak demokratik dari segi menjalankan pilihan raya ini bukanlah atas ciptaannya sendiri. Dia adalah seorang yang setia pada rejim yang mengasaskan Republik Arab Mesir. Dari awal penubuhannya lagi republik itu bukanlah sebuah sebuah negara yang menghormati apatah lagi mengamalkan demokrasi.

NDP ditubuhkan oleh Sadat pada tahun 1978 selepas dia membubarkan Kesatuan Sosialis Arab (ASU). Penubuhan NDP adalah usaha Sadat untuk mengubah ciri Republik Arab Mesir daripada sebuah negara sosialis kepada demokratik. Tetapi transformasi ini tidak penuh.. Kebanyakan anggota NDP adalah asalnya daripada ASU yang tidak pun komited kepada demokrasi.

Maka apabila pilihan raya pelbagai parti diadakan, NDP muncul sebagai parti yang bernaung di bawah kekuasaan presiden dalam sistem yang mahu memastikan bahawa dia terus berkuasa. Maka dalam sistem ini, presiden, NDP dan tentera adalah berkait rapat sebagai elit kuasa di Mesir.

Sedangkan elit kuasa ini berasal dan diasaskan oleh Presiden Gamal Nasser yang menubuhkan ASU pada tahun 1962. Sebelum itu ia dikenali sebagai Kesatuan Nasional (NU) apabila ia menggantikan Seruan Pembebasan (LR) pada tahun 1952.
LR, NU, ASU dan seterusnya NDP merupakan elit kuasa yang serupa. Pada permulaannya LR merupakan pertubuhan untuk rakyat bagi melibatkan diri dengan kerajaan.

Ini kerana Presiden Nasser menolak sistem pelbagai parti. Ia memilih sistem satu parti yang pada masa itu popular di kalangan negara-negara kiri, sama ada berbentuk rejim komunis atau sosialis. Bagi Mesir, pengalaman semasa diperintah oleh Raja Farouk menyaksikan sistem pelbagai parti dimanipulasi oleh penjajah British, golongan bangsawan dan elit politik untuk kepentingan mereka dan meminggirkan rakyat. Parti Wafd yang memenangi pilihan raya lebih melayani kepentingan bangsawan, penjajah dan elit kuasa lain daripada rakyat umumnya.

Revolusi Mesir

Maka korupsi Raja Farouk ini membawa kepada Revolusi Mesir tahun 1952 yang digerakkan oleh Pergerakan Pegawai Bebas pimpinan Muhammad Naguib dan Gamal Nasser.

Asalnya Persatuan Pegawai Bebas ini dianggotai oleh Mesir Muda, Ikhwan dan Parti Komunis Mesir. Rakyat umumnya mendokong revolusi ini. Rampasan kuasa mereka membawa kepada kewujudan Republik Mesir yang pada mulanya bertujuan untuk mewujudkan demokrasi berparlimen. Naguib menjadi presiden pertama republik.
Pertembungan antara Naguib dan Nasser berlaku dan Ikhwan serta Parti Komunis diharamkan. Nasser mengalahkan Naguib dan dia mengambil alih jawatan presiden pada tahun 1955. Dalam suasana semangat nasionalisme melawan penjajah dan Israel, rakyat menyokong Nasser. Maka di sinilah muncul elit politik baru.

Dengan menghadapi peperangan serta menjadi sekutu Soviet, rakyat Mesir masih jauh daripada menikmati kemakmuran yang diimpikan daripada penubuhan republik itu. Gagasan politik Nasser adalah besar. Nasionalisme kiri beliau berhasrat untuk menyatukan semua negara-negara Arab di bawah Republik Arab Bersatu (UAR) dengan mengamalkan sistem sosialisme yang memberikan kesamarataan dan kemakmuran pada rakyat.

Pada mulanya Syria dan Yaman turut serta tetapi kemudian usaha beliau gagal. Maka jadilah negara itu Republik Arab Mesir, hendak membebaskan Gaza yang merupakan wilayah Mesir dan ditawan oleh Israel pun tidak terdaya. Naib Presiden Sadat menggantikan Nasser sebagai presiden pada tahun 1970. Beliau membawa arah baru kepada Mesir, Dengan mengiktiraf Israel dan bertukar sekutu kepada Amerika Syarikat, beliau menimbulkan kemarahan rakyat.

Namun begitu usahanya diharapkan dapat memberikan kemakmuran ekonomi kepada Mesir. Sadat terkorban juga kerana beralih arah ini di samping mengenakan tekanan berat terhadap penentang-penentangnya. Tetapi Mubarak meneruskan dasar Sadat apabila mengambil alih kuasa.

Walaupun sepanjang masa pemerintahannya, ada saja pihak yang membantah tetapi rakyat Mesir masih mengharapkan perubahan. Namun pada tahun lalu 2010 apabila terdapat tanda-tanda Mubarak mahu terus berkuasa dengan diteruskan pula oleh anaknya, Gamal, ia sudah keterlaluan.

Ternyata elit politik yang berkuasa sejak revolusi tahun 1952 atas sokongan rakyat, daripada Naguib, Nasser, Sadat dan kini Mubarak telah gagal. Mubarak adalah kemuncak kegagalan 60 tahun elit kuasa rejim nasionalis tentera yang asalnya terpengaruh dengan fahaman sosialisme dan nasionalis kiri. Beruntung bagi Malaysia kerana tidak menjadi seperti Mesir. Ada dua sebab berlaku perbezaan ini.

Pertama, sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara ini berjaya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Sejak dari awal lagi Angkatan Tentera negara ini pula tidak mencampuri urusan politik. Sebab kedua ialah fahaman nasionalis kiri dan sosialisme ditolak oleh majoriti rakyat negara ini. Akibatnya Malaya tidak pernah menjadi sekutu Soviet. Justeru, tidak timbul rejim tentera di negara ini. Sistem ekonomi yang pragmatik pula telah membawa kemakmuran pada rakyat.

Tukikan: Zin Mahmud – Mingguan Malaysia, Februari 6, 2011.

Merampas Kuasa Dari Perampas Kuasa!!



Sistem pentadbiran dan geopolitik apatah lagi sosial masyarakat Malaysia dan Tunisia adalah dua penakatan yang berbeza. Bukan kecil tetapi amat betah memeningkan kepala memikirkannya, kecuali agama rasminya - Islam.

Kebelakangan ini sering terpampang di dada-dada akhbar serta di corong radio dan televisyen akan berita Tunisia yang selama ini 'selesa' ditempatnya serta tidak mengganggu gugat jiran dan taulan negara lain di dunia ini. Pun begitu, dalam diam letupan perasaan masyarakat sebenarnya membuak mengalahkan letupan gunung berapi Merapi di Indonesia baru-baru ini.

Letusan perasaan rakyat marhaennya menuntut satu gerombolan demokrasi yang maha tinggi serta harga yang mahal terpaksa dibayar oleh regim Ben Ali, Presiden kedua Tunisia selepas Regim Habib Bourguiba. Hakikatnya, Tunisia selepas diberikan kemerdekaan oleh penjajahnya di Afrika Utara iaitu Perancis telah dikuasai oleh Rejim Bourguiba yang memerintah Tunisia secara diktator serta mengangkat dirinya sebagai presiden seumur hidup negara yang mempunyai penduduk seramai 10juta orang itu.

Berbekalkan kestabilan serta sokongan padu dari Perancis selepas merdeka, Regim Bourguiba yang memerintah negara Islam ini secara liberal dan sekular telah mendapat kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak - apatah lagi di bulan Ramadan rakyatnya tidak digalakkan berpuasa. Dengan sedikit kuasa yang ada oleh Ben Ali selaku Jeneral dan baru dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1974, beliau dengan tekad untuk menstabilkan Tunisia dan mengembalikan demokrasi telah 'memancong' Presiden Habib Bourguiba dan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden kedua negara tersebut.

Lantaran dari kisah itu, rampasan kuasa pertama oleh Ben- Ali telah membuka seribu satu wacana pemikiran rakyatnya bahawa pentadbiran dan sistem demokrasi di Tunisia sebenarnya tidak wujud walaupun perampas kuasa telah merampas kuasa.

Walau bagaimanapun, dengan letusan kemarahan rakyat ke atas keluarga Ben Ali yang mengaut hasil dalam negara kecil itu membengkakkan lagi hati dan dendam kesumat rakyat terhadap kerajaannya. Abouazizi bukan sesiapa di Tunisia tetapi dengan semangat dan pengorbanannya telah mencetuskan satu rampasan kuasa yang tidak pernah terfikir dek Ben Ali dan keluarga serta diktator lain di dunia ini. Digelarkan dengan revolusi Jasmine, Abouazizi telah bangkit menyedarkan warga Tunisia untuk merampas kembali Tunisia dari Ben Ali dan diserahkan kembali kepada warganya yang setia.

14 Januari 2011, tahun baru yang amat malang bagi Presiden yang merampas kuasa apabila terpaksa melarikan diri dalam keadaan hina ke Arab Saudi selepas rusuhan yang tidak terbendung lagi, diburukkan lagi dengan sekutu kuatnya Perancis tidak memberi izin untuknya sekeluarga melarikan diri ke bekas negara kolonialnya itu.

Hari ini, Ben Ali dilaporkan berada dalam buangan di Arab Saudi sementara isterinya yang mempunyai kekeyaan negara berbillion US dollar dilaporkan berada di Dubai. Justeru, kemelaeratan hidup Abuazizi serta warga lainnya yang tercengkam dek ekonomi yang semakin membungkam perut mereka, inflasi yang meningkat sehingga 25% serta kadar pengangguran yang tertinggi meletuskan satu rampasan kuasa dari pemerintah kepada rakyat.

Sekitaran jiran tetangga Tunisa yang juga mentadbir negara masing-masing ala diktator semakin risau dan cuba mengawal rakyat mereka agar revolusi Jasmine ini tidak merebak ke negara masing-masing terutama Mesir dan Algeria. Di zaman kecanggihan Facebook serta teknologi internet yang berleluasan dewasa kini, Ben Ali gagal menyelami hati dan letusan jiwa rakyatnya sementara beliau suami isteri terus kemaruk dengan hasil mahsyul negeri tersebut.

Keamanan yang senantiasa berada di Tunisia tiba-tiba melumpuhkan negara tersebut dalam sekelip mata. Hari ini Tunisia menjadi medan perang antara rakyat dan pemerintah sementara dalam menentukan siapa yang bakal menerajui negara tersebut. Sudah tentu satu pengajaran penting boleh diambil pemerintahnya bahawa hak demokrasi rakyat telah dikembalikan kepada mereka. Buatlah semacam yang rakyat inginkan kerana pada mereka jugalah kuasa akan dikembalikan kelak.

Sedang Ben Ali bak tikus dalam lubang, revolusi Jasmine menunut satu penakatan baru iaitu kehendak rakyat hendaklah membatasi legasi kuasa dan pentadbiran. Sedang Aboazizi bergraduan dan mempunyai akademik yang baik, mencari pekerjaan adalah sesuatu yang mustahil. Menjual buah-buahan dan sayuran secara haram turut menjadi kesalahan besar buatnya untuk mengisi perut keluarga dan adik-beradiknya. Kekejaman ini berakhir dengan tumbangnya seorang perampas kuasa yang 23 tahun hidupnya gah di Istana Presiden.

Di Malaysia sedang rakyat melayari internet dan mengecapi sistem demokrasi yang terkawal, peluang bekerja adalah satu picisan yang membungkam kerajaan. Kerajaan terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati dan minda rakyat Malaysia yang pelbagai kehendak dan permintaan. Hari ini Perdana Menteri Malaysia sendiri terpaksa membuka akaun Facebook untuk mengetahui kehendak dan matlamat masyarakatnya. Pelbagai program transformasi diwujudkan agar peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat dan periuk nasi mereka terisi. Sedang pemerintah Malaysia getir dengan kuasa rakyat, rupanya masih terdapat segelintir yang memendam rasa.

Semoga Revolusi Jasmine ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pemerintah negara bahawa kuasa rakyatlah mengembalikan tampuk kuasa seseorang itu. Benarlah kata Lincoln, Kuasa Rakyat; Dari rakyat dan Untuk rakyat.