Ahad, 6 Februari 2011

Merampas Kuasa Dari Perampas Kuasa!!



Sistem pentadbiran dan geopolitik apatah lagi sosial masyarakat Malaysia dan Tunisia adalah dua penakatan yang berbeza. Bukan kecil tetapi amat betah memeningkan kepala memikirkannya, kecuali agama rasminya - Islam.

Kebelakangan ini sering terpampang di dada-dada akhbar serta di corong radio dan televisyen akan berita Tunisia yang selama ini 'selesa' ditempatnya serta tidak mengganggu gugat jiran dan taulan negara lain di dunia ini. Pun begitu, dalam diam letupan perasaan masyarakat sebenarnya membuak mengalahkan letupan gunung berapi Merapi di Indonesia baru-baru ini.

Letusan perasaan rakyat marhaennya menuntut satu gerombolan demokrasi yang maha tinggi serta harga yang mahal terpaksa dibayar oleh regim Ben Ali, Presiden kedua Tunisia selepas Regim Habib Bourguiba. Hakikatnya, Tunisia selepas diberikan kemerdekaan oleh penjajahnya di Afrika Utara iaitu Perancis telah dikuasai oleh Rejim Bourguiba yang memerintah Tunisia secara diktator serta mengangkat dirinya sebagai presiden seumur hidup negara yang mempunyai penduduk seramai 10juta orang itu.

Berbekalkan kestabilan serta sokongan padu dari Perancis selepas merdeka, Regim Bourguiba yang memerintah negara Islam ini secara liberal dan sekular telah mendapat kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak - apatah lagi di bulan Ramadan rakyatnya tidak digalakkan berpuasa. Dengan sedikit kuasa yang ada oleh Ben Ali selaku Jeneral dan baru dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1974, beliau dengan tekad untuk menstabilkan Tunisia dan mengembalikan demokrasi telah 'memancong' Presiden Habib Bourguiba dan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden kedua negara tersebut.

Lantaran dari kisah itu, rampasan kuasa pertama oleh Ben- Ali telah membuka seribu satu wacana pemikiran rakyatnya bahawa pentadbiran dan sistem demokrasi di Tunisia sebenarnya tidak wujud walaupun perampas kuasa telah merampas kuasa.

Walau bagaimanapun, dengan letusan kemarahan rakyat ke atas keluarga Ben Ali yang mengaut hasil dalam negara kecil itu membengkakkan lagi hati dan dendam kesumat rakyat terhadap kerajaannya. Abouazizi bukan sesiapa di Tunisia tetapi dengan semangat dan pengorbanannya telah mencetuskan satu rampasan kuasa yang tidak pernah terfikir dek Ben Ali dan keluarga serta diktator lain di dunia ini. Digelarkan dengan revolusi Jasmine, Abouazizi telah bangkit menyedarkan warga Tunisia untuk merampas kembali Tunisia dari Ben Ali dan diserahkan kembali kepada warganya yang setia.

14 Januari 2011, tahun baru yang amat malang bagi Presiden yang merampas kuasa apabila terpaksa melarikan diri dalam keadaan hina ke Arab Saudi selepas rusuhan yang tidak terbendung lagi, diburukkan lagi dengan sekutu kuatnya Perancis tidak memberi izin untuknya sekeluarga melarikan diri ke bekas negara kolonialnya itu.

Hari ini, Ben Ali dilaporkan berada dalam buangan di Arab Saudi sementara isterinya yang mempunyai kekeyaan negara berbillion US dollar dilaporkan berada di Dubai. Justeru, kemelaeratan hidup Abuazizi serta warga lainnya yang tercengkam dek ekonomi yang semakin membungkam perut mereka, inflasi yang meningkat sehingga 25% serta kadar pengangguran yang tertinggi meletuskan satu rampasan kuasa dari pemerintah kepada rakyat.

Sekitaran jiran tetangga Tunisa yang juga mentadbir negara masing-masing ala diktator semakin risau dan cuba mengawal rakyat mereka agar revolusi Jasmine ini tidak merebak ke negara masing-masing terutama Mesir dan Algeria. Di zaman kecanggihan Facebook serta teknologi internet yang berleluasan dewasa kini, Ben Ali gagal menyelami hati dan letusan jiwa rakyatnya sementara beliau suami isteri terus kemaruk dengan hasil mahsyul negeri tersebut.

Keamanan yang senantiasa berada di Tunisia tiba-tiba melumpuhkan negara tersebut dalam sekelip mata. Hari ini Tunisia menjadi medan perang antara rakyat dan pemerintah sementara dalam menentukan siapa yang bakal menerajui negara tersebut. Sudah tentu satu pengajaran penting boleh diambil pemerintahnya bahawa hak demokrasi rakyat telah dikembalikan kepada mereka. Buatlah semacam yang rakyat inginkan kerana pada mereka jugalah kuasa akan dikembalikan kelak.

Sedang Ben Ali bak tikus dalam lubang, revolusi Jasmine menunut satu penakatan baru iaitu kehendak rakyat hendaklah membatasi legasi kuasa dan pentadbiran. Sedang Aboazizi bergraduan dan mempunyai akademik yang baik, mencari pekerjaan adalah sesuatu yang mustahil. Menjual buah-buahan dan sayuran secara haram turut menjadi kesalahan besar buatnya untuk mengisi perut keluarga dan adik-beradiknya. Kekejaman ini berakhir dengan tumbangnya seorang perampas kuasa yang 23 tahun hidupnya gah di Istana Presiden.

Di Malaysia sedang rakyat melayari internet dan mengecapi sistem demokrasi yang terkawal, peluang bekerja adalah satu picisan yang membungkam kerajaan. Kerajaan terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati dan minda rakyat Malaysia yang pelbagai kehendak dan permintaan. Hari ini Perdana Menteri Malaysia sendiri terpaksa membuka akaun Facebook untuk mengetahui kehendak dan matlamat masyarakatnya. Pelbagai program transformasi diwujudkan agar peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat dan periuk nasi mereka terisi. Sedang pemerintah Malaysia getir dengan kuasa rakyat, rupanya masih terdapat segelintir yang memendam rasa.

Semoga Revolusi Jasmine ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pemerintah negara bahawa kuasa rakyatlah mengembalikan tampuk kuasa seseorang itu. Benarlah kata Lincoln, Kuasa Rakyat; Dari rakyat dan Untuk rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.