Rabu, 9 Februari 2011

Penerbit Kandungan atau Penonton Yang Bodoh?


Kutipan filem Ngangkung (genre seram) mengutip angka tertinggi dalam sejarah sinema di Malaysia. RM8.3 juta ringgit bukan satu angka yang kecil. Jika Dato’ Yusof Haslam boleh digelar Mr Six billion ringgit dari kejayaan filem cinta Sembilu II, David Teoh juga boleh digelar jutawan filem alaf baru pasca milenium.

Genre seram semakin memenuhi selera pemain filem di Malaysia dewasa kini. Lepas satu slot satu slot yang baru diwujudkan bagi melayari filem yang diterbitkan kononnya atas kehendak dan kemahuan penonton. Kenyataan yang paling pesimis dan klise bila dikatakan yang penonton yang mahukan filem sebegitu tahyul dan syirik tersebut. Jika dibuat undi, benarkah akan ada peminat filem seram yang majoriti?

Di universiti, pengajian media didedahkan dengan kajian populariti sesuatu perkara melalui Pendapat Umum (Public Opinion) yang amat mahir dikuasai oleh Prof. Hamdan Adnan, amat berbeza dengan kajian politik atau polling system dalam amalan demokrasi. Kaedah dan wahana yang sama tetapi pendekatan dan hasil yang berbeza. Maka klise kononnya peminat mahukan filem genre seram amatlah membodohkan khalayak yang lain.

Saban kali membaca akhbar mahupun blog-blog arus perdana, banyak yang merungut akan filem seram, tahyul, mengarut serta entah apa-apa kandungannya termasuk yang terbaru penggantungan drama bersiri terbitan pelakon Sheila Rusly lungsuri dari kejayaan filem klasik lakonan Datuk Seri Jins Shamsudin – Panca Delima. Lebih menggamatkan ruangan Siti Jarum setiap Ahad serta penulis-penulis seangkatannya, filem seram dan tahyul-mahyul semakin membelenggu ruangan slot televisyen kita sekarang. Dari TV3 sehingga ASTRO, tidak dapat tidak, pasti ada ruangan cerita hantu.

Orang Melayu memang suka hantu kah? Orang Melayu memang suka mistik kah? Soalan ini hanya boleh dijawab oleh peminat isi kandungan sahaja dan bukannya dsi tukang pembangun kandungan dan meletakkan kesalahan tersebut ke atas bahu penonton. Jika itu yang di sajikan, maka itulah yang ‘terpaksa’ di tonton. Kekosongan ruang ini menyebabkan penonton tidak punya banyak pilihan, cerita Indonesia yang lebih sarat keburukannya dengan filem tempatan yang karut-marut.

Acap kali itu juga penonton dipersalahkan kononnya kutipan filem tertinggi iaitu filem Jangan Pandang Belakang dan Ngangkung menyebabkan pembangun kandungan terus menerus berlumba-lumba membangunkan cerita seram, mistik dan tahyul ditambah perisa karut-marut dan sesat-syirik.

Budaya Escapism

Di Amerika, kejayaan Wall Disney Channel dan 20th Fox Century serta pelbagai lagi terbitan escapism pada zaman perang dunia melayakkan filem-filem fiksyen, tahyul serta luar imaginasi digunakan sebaik mungkin oleh pembangun kandungan bagi mengelakkan rasa tengang di kalangan rakyatnya. Terutama ketika perang dunia ke dua dan Perang Vietnam, budaya hipi memainkan peranan penting dalam pembangunan kandungan. Melalaikan penonton boleh mengurangkan tegangan dalam fikiran rakyat ketika itu. Maka wujudlah novel-novel yang aneh, fiksyen serta yang melampaui pemikiran akal logik manusia.

Amerika yang tidak berkiblatkan mana-mana panduan serta mengamalkan demokrasi penuh, menghalalkan pelbagai cara dalam dunia escapism ini termasuk membenarkan pengunaan morfin dan kokain dalam aktiviti masyarakatnya - desakan dari perang dan jumlah korban yang saban hari meningkat dan membelenggu generasinya.


Tetapi itu cerita escapism warga Amerika beberapa dekad lepas. Kini budaya escapism itu bolehlah dikaitkan dengan jalan yang sama di Malaysia cumanya Malaysia tidak terlibat dengan perang dan budaya hipi serta pegangan rakyatnya yang masih majoritinya berpandukan Islam sebagai cara hidup yang sebenar.

Tidak dapat tidak, kita dapat melihat budaya escapism ini telah memaksa warga Malaysia untuk melihat kandungan yang dangkal, tahyul bahkan karut marut serta tidak bermasa depan dalam pembangunannya. Bak kata orang “asalkan untung sahaja” semua mahu dilambakkan dan dipaksakan ke atas penonton. Satu lagi persoalan, adakah dalam erti mengisi ketegangan hidup yang semakin bermaterial tinggi ini, maka warga Malaysia layak dicampakkan dengan sampah-sarap begitu dan mereka pula dipersalahkan dengan pembangunan filem atau kandungan tersebut?

Para penerbit budiman, tidak salah mengisi kekosongan dan mencantaskan ketegangan fikiran umum dengan cerita yang di luar kemampuan biasa tetapi perlulah signifikan, berunsur fiksyen dan paling penting senantiasa menerapkan elemen-elemen tempatan yang lebih moderat dan Islamik selain futuristik dan sosial masyarakat yang berbudi bahasa berhemah.

Jika Iran boleh mengisi ruang escapism watannya dengan cerita yang boleh memenangi anugerah peringkat dunia kenapa Malaysia yang lebih moden kononnya tidak boleh? Bahkan membodohkan penontonnya pula. Sudahlah penonton dibodohkan dengan cerita seram yang tahyul dan karut, penonton pula dipersalahkan kononnya mereka yang mahukan kandungan sebegitu.

Ukuran terpenting bagi kandungan yang baik ialah dengan memenuhi elemen-elemen sosial yang baik, nyata serta menjalinkan fabrik sosial yang berkisarkan budaya hidup tempatan. Filem Ngangkung bukanlah lebih baik melainkan hanya filem lucu dan lawak yang menyelitkan hantu sebagai jalan cerita utama. Lebihnya tidak.

Kritikan filem Arahan Khalid Mamat – Hantu Kak Limah Balik Rumah pula begitu signifikan. Juga hantu yang dijadikan sebagai penyeri tetapi Khalid lebih kritis bila akhirnya, Kak Limah itu bukan hantu tetapi mangsa kepada warga ‘hantu’ yang membiarkannya sendirian tanpa perhatian.

Kritikan dan filem sebeginilah yang lebih baik nilainya berbanding meletakkan pelbagai cerita hantu dan koleksi hantu-hantu tahyul Malaysia dihimpunkan dalam filem dan kandungan. Apakah pelajar Malaysia perlu diingatkan bahawa budaya mereka mempunyai hantu saka, hantu raya, susuk dan segala macam hantu yang perlu dingat sebagai warisan?

Tepuk dada tanya selera. Inikah nilai penonton kita? Inikah minda pembangun kandungan filem kita? Atau pembangun filem kita ini lebih ‘bodoh’ dari penonton itu sendiri?

/mfa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.