Rabu, 16 Februari 2011

Samseng Diupah Menjaga Parking!


Memandu di sekitaran Wisma Consplant dan Empire Shopping Gallery, Subang Jaya kelihatan banyak kereta yang meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan antara kedua bangunan. Bertanya kepada beberapa pemilik kereta tersebut termasuk rakan saya, mengapa harus meletakkan kenderaan di situ sehingga bertarung dengan tindakan Polis dan MPSJ untuk di saman, mereka masih berani lagi di saman berbanding berhadapan dengan penjaga konsesi parking di bangunan tersebut. Aneh!

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk mengunjungi pasar raya tersebut untuk membeli belah dan mengunjungi pusat kecerdasan Platinum di bangunan tersebut walaupun saya telah kerap ke sana tambahan pula keesokannya adalah cuti umum.

Walau bagaimanapun, itulah nasib malang saya bagi melihat sendiri tata kelakuan penjaga konsesi tempat letak kereta seperti yang telah dikhabarkan oleh rakan dan pemilik kereta tadi.

Dengan memasuki konsesi letak kereta tersebut, saya memberi jaminan peribadi bahawa akan selamat dari serangan penjenayah serta tindakan saman oleh polis dan penguat kuasa tempatan, rupanya lari dari mulut buaya masuk ke mulut naga.

Saya telah meletakkan kenderaan dalam jam 9:30 malam tetapi pada mesin terimaan kad di daftarkan sebagai 9:22 malam. Saya telah membayar tiket konsesi tersebut berharga RM2.00 pada jam 10:00 malam tetapi pada resit tiket dicetak pada 9:46 malam. Terleka dengan waktu konsesi dan waktu sebenar, saya telah lewat keluar dari meletak kenderaan melepasi 15 minit masa yang disyaratkan walaupun peraturan tersebut tidak begitu jelas dinyatakan di tempat bayar mahupun di tiket.

Di pintu keluar, kenderaan saya tidak dapat diakses untuk keluar. Saya telah membunyikan hon bagi mencari dan memanggil pengawal bertugas untuk membantu saya kerana kereta telah beratur panjang di belakang. Dek kerana mempunyai petugas keselamatan warga asing, seorang demi seorang yang datang selang waktu tertentu masih tidak dapat membantu saya sehingga 3 orang pengawal terpaksa dipanggil dan membantu menyelesaikan masalah saya.

Akhirnya dengan tekanan hon dari kenderaan belakang, masa yang terus berjalan sehingga lepas jam 10:45 malam, akhirnya 3 orang petugas konsesi tempat letak kereta telah datang dengan lagak seorang adi wira.

Dengan gaya penyangak filem P.Ramlee, mereka datang dengan memaki hamun dengan kata-kata berbaur provokasi yang boleh menaikkan angin, perkauman serta menghina kaum lain dan anutannya, maruah saya tercabar dengan sikap sinisnya dan provokasi melampau. Dan susuk jaguh ini pun masih tidak mendapat penyelesaian untuk membantu saya walaupun telinga dan hati telah mendidih dibuatnya.

Salah seorang dari mereka bertindak dengan membuka pintu sebelah penumpang hadapan kereta saya untuk mengajak beradu wira, walaupun saya memberi amaran untuk berhenti setakat itu sebelum saya menghubungi polis.

Desakan saya itu dipatuhi walaupun dengan ketiga-tiganya terus memaki hamun, mengherdik dalam provokasi melampau dan masih tidak melepaskan saya. Akhirnya berang dengan perbuatan mereka, saya terpaksa menghubungi 999 untuk membantu saya. Polis tiba selepas 15 minit panggilan dibuat. Dan menurut perbincangan polis dan penjaga konsesi tindakan yang perlu saya lakukan ialah dengan membayar RM2.00 lagi konsesi tersebut di mesin. Saya menuruti perintah polis tersebut tanpa banyak kata dan tiada masalah sekiranya itulah penyelesaiannya dalam kes saya jika dinyatakan dari awal. Akhirnya dengan campur tangan polis, kereta saya melepasi pengadang pada jam 11:15 malam.

Tetapi menjadi trauma dan panas hati saya adalah perbuatan provokasi penjaga konsesi tersebut yang memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata provokasi melampau ke atas saya serta sanggup membuka pintu kereta saya untuk beradu kekuatan. Apakah memang dalam mengendalikan kes-kes berkaitan penjagaan tempat letak kereta, pengurusan Empire harus melantik seorang yang tangkas jagoan untuk beradu kekuatan sebagai terma utama? Apakah pihak pengurusan konsesi tempat letak kereta sengaja melatih pekerja mereka bersikap provokasi serta susuk jaguh untuk mengendalikan semua kes yang berlaku di konsesi mereka?

Selain itu, dengan melantik pengawal keselamatan warga Nepal dan Bangladesh yang sukar memahami bahasa juga membelenggu kami yang memerlukan jaminan keselamatan yang lebih baik serta jaringan pemantauan yang lebih terkawal.

Maka di sini dapatlah saya mendengar kata dan ilmu dari rakan-rakan saya bahawa meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan lebih aman kerana paling tidak cuma membayar saman berbanding meletakkan di konsesi letak kereta boleh menyebabkan hilang nyawa atau paling ringan kereta akan dicalarkan atau di pancitkan.

Saya menyeru pemilik kenderaan di Kuala Lumpur khasnya, berhati-hatilah dengan penjaga konsesi tempat letak kereta kerana jika silap hari bulan nyawa di hujung tanduk dek majikan yang mengupah jaguh-jaguh samseng untuk menjaga konsesi mereka. Semoga pihak polis dapat memantau hal ini dengan lebih dekat serta pemilik bangunan juga tahu akan pengurusan tersebut oleh ‘membunuh’ pemilik kereta pada akhirnya.

Pengguna sentiasa Benar

Empire Gallery, Subang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.