
Rejim Pemerintah Singapura Kekal di Tampuk Kuasa
Singapura telah mengumumkan tarikh pilihan raya umumnya diadakan pada 7 Mei 2011 jelang beberapa hari selepas sambutan Hari Buruh, Mei pertama tahun 2011.
Dek kelakonan yang amat membanggakan pemerintahnya, Singapura yang mengamalkan sistem Republik Berparlimen ala Westminster akan melangsungkan kesinambungan pemerintahan demokrasi terpandu pada Mei ini.
Untuk rekod, sejak merdeka sehingga kini, parti pemerintah utama iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) terus menunjangi pemerintahan dan menguasai majoriti mutlak parlimen sejak 1959. Pulau yang dipisahkan dengan Tambak di Johor itu meliputi watan yang pelbagai kaum ditunjangi kaum Cina, India, Melayu serta minoriti Asia dan Eropah akan menunaikan tanggungjawab kebangsaannya pada tarikh yang dijanjikan.
Sehingga kini watan Singapura mencakupi seramai 2.91 juta penduduk dan baki penduduk dari 5 juta orang adalah warga asing yang mendapat sijil penduduk sementara dan pekerja asing turut sama menumpang kejayaan dan kemegahan negara pulau tersebut.
Hegemoni Parti Tindakan Rakyat masih kebal dan betah mengusai politik Singapura dan kali ini turut dijangka menang dengan majoriti serta membentuk sistem pemerintahannya yang mutlak sepenuhnya. Singapura merupakan rejim hibrid dalam pemerintahan, ekonomi serta kepatuhan kepada undang-undang yang amat tinggi serta paling terkawal di serata pelosok dunia.
Walau bagaimanapun, kali ini PAP didapati melalui laluan sukar dalam pilihan rayanya walaupun dijangka menang mudah. Ini kerana diramal ramai profesional dan cendekiawan pembangkang akan turut sama menyertai pilihan raya kali ini dan menyaingi penguasaan PAP di parlimen. Parti-parti pembangkang seperti Parti Buruh, Parti Sosial Demokratik dan sebagainya tidak akan membiarkan PAP terus menang tanpa tentangan yang hebat dari kubu mereka kali ini.
Isu-isu kebanjiran warga asing, kelakonan ekonomi yang dikatakan baik, isu pemerintahan setempat, isu keselamatan dan paling menyengat ialah isu perumahan awam rakyatnya turut menjadi modal penting dalam pilihan raya kali ini.
Kelakonan PAP walaupun dikatakan paling cekap dan betah mentadbir dengan baik sebenarnya menyimpan onak dan duri dalam pengurusan awamnya. Ini termasuk menyajikan watannya dengan kelangsungan ekonomi terus yang amat berdaya saing serta melibatkan kompetitif awamnya sebagai satu perniagaan mutlak. Sedangkan dalam sistem berkerajaan dan pemerintahan awam, pemerintah selaku pentadbir harus menjaga dan menyanjung kebajikan awam - tetapi ia tidak pernah terlibat di sana.
Awam Singapura harus terus berdaya saing walau apa juga rintangan yang berlaku. Ini termasuklah harus menerima dengan reda kenaikan harga barangan sedunia, perumahan awam yang dipajak sewenang-wenangnya dek perkembangan harga hartanah semasa, isu penjenayah militan yang lepas-bebas dari jagaan keselamatan serta isu-isu menyaman pihak pembangkang untuk menutup mulut mematikan demokrasi awam pada pemilihan awam ini.
Kawalan media serta maklumat di Singapura amat ketat sehinggalah kepada perbualan umum yang amat kritis untuk membidas parti keluarga PAP ini. Mantan Perdana Menteri merangkap Menteri Mentor Singapura Goh Chok Tong meramalkan bahawa PAP akan melalui laluan sedikit sukar dalam pilihan raya kali ini dek beberapa isu serta penakatan calon pembangkang yang membanggakan.
Walaupun tersangka menguasai parlimennya tetapi penglibatan pembangkang akan meningkat sekitar 20 dengan 40 peratus jumlah undi kali ini. PAP dijangkakan akan ditentang di beberapa kawasan kubu kuatnya serta diramal calon menang tanpa bertanding akan berkurang dek penglibatan aktif pembangkang pada pilihan raya kali ini.
Walaupun disekat dari bercakap akan isu-isu sensitif, kawalan media dan pungutan wang derma yang terhad, pembangkang bakal mengejutkan dengan momentum perubahan warga Singapura yang dilihat semakin membelakangi polisi awam PAP di negara tersebut.
Warga muda dan berpendidikan luar negara akan terus mendapatkan isu-isu perbincangan awam di laman sosial dan maya untuk menghasilkan satu ledakan baru dalam sistem demokrasi Singapura. Dan tidak mustahil tsunami politik yang melanda Malaysia akan turut menguasai Singapura. Walaupun tidak sehebat Tunisia dan Mesir dalam menukar rejim, PAP pasti merasai satu perubahan minda dan pemikiran watannya yang semakin kritis dengan isu-isu semasa yang terus membungkam.
Digertak dengan kelakonan dan kebolehan PAP untuk membangunkan negara, kesejagatan awamnya yang terdiri dari pelbagai etnik serta ketokohan calon PAP yang dilantik berpandukan meritokrasi tidak lagi menjadi gula-gula untuk dimomokkan rakyatnya kali ini. Selain turut mempertikaikan meritokrasi, kebanjiran pendatang asing yang punyai bakat dari luar menutup pintu watannya di negara sendiri serta menggalakkan watannya berhijrah untuk membina kehidupan yang lebih aman di luar negara turut harus mendapat perhatian dari PAP.
Rasuah adalah satu tindakan yang amat keras vonis di sisi awam dan polisi pemerintahan turut amat berat perihal tersebut. Tetapi secara tidak jujur, PAP sebenarnya menjadikannya helah dalam pilihan raya kali ini. Menjerat awamnya dengan kenaikan kos sara diri yang semakin membebankan, pemerintah telah menawarkan satu rasuah awam iaitu dengan mengembalikan cukai-cukai barangan (GST) kepada awam sebagai satu ‘perkongsian’ awam. Hasil mahsul dari cukai-cukai ini diagihkan kepada watannya sebagai satu bonus walaupun dapat dilihat dengan mata kasar sebagai umpan politik.
Sistem kekeluargaan mentadbir negara dari En. Lee Kuan Yew kini kepada anak lelakinya En. Lee Hsein Long turut mempertikaikan satu dapatan awam yang berbeza. Sedang meritokrasi dicanangkan dengan meluasnya serta mengelak amalan kronisme, bekas Perdana Menteri Lee dengan rela hati melangsungkan anaknya sendiri mengusai pemerintahan awam dan partinya kali ini. Dengan berbekalkan modal gaji yang maha mahal di negara jagat lain sebagai Perdana Menteri, ketelusan Singapura dalam hal ini dipencilkan kepada umum dan disogokkan dengan ketaksuban awam kepada kejayaan Singapura di mata dunia.
Walaupun sebahagian besar watan Singapura akan meneruskan legasi PAP tetapi bukan semuanya akan terus memangkah PAP kali ini. Berpaling dari PAP menyediakan satu habuan yang maha berat hukumannya kepada sesuatu kawasan peti undi harus turut harus diambil kira. Kegagalan meneruskan kemenangan PAP menjanjikan satu hukuman yang tidak pernah terlupa dek warganya yang memangkah calon lain selain dari PAP.
Maka warga Singapura harus bersedia mental dan fizikal untuk meneruskan kesinambungan idea penolakan PAP dan meneruskan angin perubahan seperti yang dikehendakinya. Tiada sesiapa yang dapat menyelam lubuk hati setiap warga Singapura yang hebat di luar tetapi berat di dalam. Bukan semua warganya sehebat penghuni Bukit Timah dan bukan semua warganya mendapat nikmat meritokrasi yang dicanang-canangkan tersebut.
Maka, hanya warga Singapura sendirinya akan terus mandiri memilih sistem pemerintahan awamnya kali ini sama ada untuk melangsungkan kesinambungan kroni PAP ataupun melalui perubahan yang tak deras tetapi sekadar memperbanyakkan perbincangan ‘semak dan adil’ di meja bundar untuk rundingan Parlimen agar suara-suara PAP tidak lagi majoriti untuk terus membenamkan kehendak dan kebajikan rakyatnya bersama air laut di Selat Tebrau dan Laut China Selatan.
Kepada warga Singapura seluruhnya, selamat mengundi!
/mfa