
BN HADAPI CABARAN SENGIT DARIPADA PAKATAN RAKYAT
KETUA MENTERI SARAWAK MASIH ENGGAN TETAPKAN TARIKH PERALIHAN KUASA DAN PELETAKAN JAWATAN
KUCHING: Dua hari lagi, pengundi Sarawak akan keluar mengundi tetapi suasana agak meragukan dan kurang senang menyelubungi kem Barisan Nasional (BN).
Menurut beberapa sumber, semuanya itu berpunca daripada sikap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dikatakan masih enggan menetapkan jadual waktu bagi peralihan kuasa - khususnya peletakan jawatan beliau.
Namun, ada juga beberapa pihak yang berpendapat BN masih berpeluang menang, dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, dalam sesi-sesi menemui penduduk di beberapa daerah luar bandar kaum Melayu-Dayak dilihat sebagai satu 'faktor tarikan' kepada pengundi.
Beberapa pegawai jentera BN mengakui bahawa keengganan Tan Sri Abdul Taib menetapkan tarikh peletakan jawatannya, di samping keengganannya menerima hakikat bahawa BN kini berhadapan cabaran sengit daripada Pakatan Rakyat (PR), buat kali pertamanya dalam sejarah negeri itu, agak menyukarkan keadaan.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu genap tiga dekad menjadi ketua menteri Sarawak pada 26 Mac lalu.
PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) adalah parti komponen BN.
Malah, beberapa pegawai BN juga dikatakan kecewa dengan pendirian Tan Sri Abdul Taib yang tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau sebenarnya menjadi punca serangan negatif terhadap kepimpinan perikatan itu di Sarawak.
'Perdana Menteri menawarkan beliau jalan keluar awal untuk membantu mengatasi kerosakan dialami dan juga memberikan laluan untuk menentukan peringkatnya sendiri untuk berhenti (sebagai Ketua Menteri).
'Tetapi beliau tidak mempedulikan masa depan BN sebaliknya hanya kerana kepentingan diri,' kata satu sumber BN kepada laman berita The Malaysian Insider, sambil merujuk kepada jaminan Datuk Seri Najib Ahad lalu bahawa peralihan kepimpinan akan berlaku segera selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-10 itu.
Berikutan itu, BN bertindak melakarkan semula strategi pilihan rayanya, dan cuba menumpukan usaha kempennya kepada kerusi-kerusi majoriti kaum Melayu-Dayak, yang selama ini menjadi benteng kukuh parti itu.
Namun, PR juga mencapai kemajuan dalam percubaannya menembusi kawasan luar bandar yang sukar diakses itu sejak beberapa hari lalu. Malah, para pemerhati politik berpendapat PR kini mampu memenangi '20 hingga 30 kerusi'.
Semalam, Datuk Seri Najib dipetik laman berita Malaysiakini sebagai berkata sasaran 'minimum' BN adalah membentuk sebuah kerajaan, manakala penguasaan 'dua pertiga majoriti adalah satu bonus'.
Mengulas, saintis politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang kini berada di Sarawak, Dr Briget Welsh, berkata isu politik tempatan akan mempengaruhi keputusan pilihan raya Sarawak, Sabtu ini.
'Apabila berlaku perubahan di kawasan luar bandar, ia akan membabitkan perbezaan pandangan di kalangan anggota masyarakat itu (biasanya merupakan sungutan politik terhadap pilihan calon) dan kemarahan terhadap isu tanah setempat,' jelasnya.
Sekitar 45 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak adalah dari luar bandar.
Sementara itu, sejumlah 18,363 pengundi pos berdaftar - kakitangan tentera, polis dan mereka di luar negara - mula mengundi semalam. -- Agensi.
Tukikan: Berita Harian Singapura ( 14 April 2011 – Online http://cyberita.asia1.com.sg/home)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.