Khamis, 14 April 2011

Pengundi Muda Membungkam Singapura

PARTI Tindakan Rakyat (PAP) dan parti pembangkang perlu berdepan bukan sahaja dengan isu-isu harian seperti kos sara hidup yang tinggi, malah pengundi yang lebih berpendidikan dalam pilihan raya kali ini.

Pengundi muda, yang lebih selesa dengan media sosial, membentuk kumpulan pengundi yang besar, dan undian mereka boleh mempengaruhi masa depan Singapura.

Pengamat politik yang juga mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, meramalkan bahawa pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan sengit.

'Ini kerana dalam pilihan raya kali ini kita akan melihat kemunculan pengundi muda yang sebahagian besarnya berpendidikan.

'Mereka ini terpasak pada Internet, baik blog, Facebook mahupun Twitter. Mereka tidak seperti generasi terdahulu yang hanya bergantung kepada akhbar-akhbar untuk mengetahui perkembangan terkini. Tidak seperti generasi muda yang terdahulu, generasi sekarang juga lebih aktif.

'Selain muda dan berpendidikan, mereka mahu sistem pemerintahan yang ideal - pemerintah dan pembangkang yang kuat - walaupun mereka membesar dengan hanya mengenali satu parti yang dominan,' ujar beliau.

Konsultan risiko politik, Encik Azhar Ghani, berkata pengundi baru itu akan membentuk sebahagian besar undi beralih atau undi berpindah (swing vote) dalam pilihan raya kali ini.

Dalam setiap pilihan raya, undi beralih bergantung pada bagaimana orang ramai memberikan respons terhadap isu-isu yang bersifat emotif.

'Dalam pilihan raya yang lalu, isu-isu emotif ini sering merupakan isu-isu yang melibatkan kehidupan harian seperti kos sara hidup yang tinggi.

'Namun kali ini undi beralih ini dapat dilihat daripada kumpulan pengundi muda (mereka yang dalam lingkungan usia 20-an dan awal 30-an tahun), terutama mereka yang tidak pernah mempunyai peluang mengundi.

'Mereka ini mungkin mempunyai pendapat yang kuat mengenai beberapa aspek politik di Singapura, atau mereka tidak mempedulikan langsung keputusan pilihan raya itu,' jelasnya.

Encik Azhar selanjutnya berkata melihat kepada keputusan pilihan raya yang lalu, undi popular tidak akan beralih atau berpindah lebih daripada 5 peratusan mata kepada pihak pembangkang (walaupun dalam pilihan raya umum 1991 apabila parti pembangkang menang empat kerusi dalam pilihan raya itu).

Sebanyak 13 daripada 15 kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) dan kesemua 12 kawasan undi perseorangan (SMC) dijangka menjadi medan pertarungan apabila parti-parti mengemukakan calon pada Hari Penamaan Calon kelak.

GRC yang mungkin menyaksikan pertandingan hangat ialah Aljunied, Moulmein-Kallang dan Tampines jika dilihat kepada pasukan terkuat yang bakal ditampilkan parti-parti pembangkang dalam pilihan raya kali ini.

Mengenai kos sara hidup yang tinggi dan pembanjiran pekerja asing yang dijangka menjadi isu hangat dalam pilihan raya kali ini, Encik Zulkifli berkata:

'Negara-negara yang mempunyai dasar terbuka terhadap imigresen biasanya berakhir dengan kegagalan di kotak undi. Ini dapat dilihat di banyak negara.

'Ini kerana penduduk tidak dapat melihat kesan positifnya, yang sering dilihat ialah kesan negatifnya. Malangnya saya menjangkakan isu imigresen ini akan menjadi isu hangat dalam pilihan raya kali ini, sedangkan isu itu patut dibincangkan secara terbuka selepas pilihan raya.

'Malah, saya mahu melihat lebih banyak isu dibincangkan dengan lebih terbuka,' jelasnya lagi.

Oleh
Azahar Mohd

Berita Harian Singapura

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.