
Kebebasan Bukan Kebenaran!
Menyampaikan sesuatu berita, maklumat dan juga cerita tentang sesuatu perkara menjadi lumrah dan fitrah manusia untuk berkongsi dan berkomunikasi. Manusia tanpa berkomunikasi dan berkongsi samalah dengan istilah Melayu iaitu seperti ‘kera sumbang’ yang terasing dari sisi masyarakat.
Dunia Melayu terkenal dengan sisi-sisi masyarakatnya yang suka mengambil tahu dan mengambil berat keprihatinan tentang jiran tetangga serta rakan terdekat mereka untuk diberikan satu perhatian yang amat untuk dikongsikan bersama. Dengan nilai-nilai murni mengambil berat dan perhatian ke atas masyarakat ini, mereka akan berkongsi komunikasi dalam menyampaikan sesuatu berita, maklumat dan juga cerita. Sedar atau tidak, sistem seperti perisik dan penyebar maklumat sudah ada dan lekat berakar umbi di dalam budaya Melayu.
Dengan kedatangan Islam, tabiat ini telah ditegur dalam nas-nas Al-Qur’an dan Hadis bahawa mengumpat serta menyampaikan berita, maklumat dan cerita palsu atau kurang diketahui duduk letaknya yang sebenar diibaratkan sebagai mengumpat dan ditakwilkan sebagai dosa bagi pelakunya. Menyampaikan sebahagian benar dan sebahagian ditutupnya juga menjadi kesalahan dalam Islam sekiranya ia boleh mendatangkan kegusaran dan pertelingkahan yang tidak membina umah. Maka, kesahihan berita, maklumat dan cerita hendaklah berdasarkan fakta, dan Islam telah menerajui mendahului zamannya mengiktiraf komunikasi hendaklah beretika dan ilmiah dari segi akademik bahannya.
Dalam dunia moden Malaysia, media arus perdana menjadi satu-satunya sumber informasi rakyat sebelum terciptanya jaringan internet lewat 90an. Pemerintah Malaysia mengungsi semua maklumat yang ada dalam sekitaran negara secara kawalan yang tidak terlihat dengan mata kasar dek pemerintah yang menjaga kesemua berita, maklumat dan cerita.
Kawalan media yang tidak terlihat ini disusupkan dengan satu doktrin bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, falfasah, fahaman dan anutan yang berbeza termasuk sisi pandangan peribadi dan politiknya. Parti pemerintah mewarisi beberapa undang-undang pasca kemerdekaan demi memastikan bahawa perbezaan itu diimbangi dengan sebaiknya. Wartawan sebagai pelapor utama media pula hendaklah memahami kepelbagaian tersebut serta saling menjaga hati dan perasaan satu antara yang lain demi untuk mengekalkan kesaksamaan dan kemakmuran selepas era rusuhan etnik tahun 1969.
Tanggungjawab ini dipikul media dengan sehemat-hematnya untuk menjaga hati dan sensitiviti masyarakat yang ada dalam negara ini dan pada masa yang sama nilai-nilai ini dipanjangkan oleh pemerintah untuk kepentingan dan kelangsungan politiknya. Media hari ini bukanlah estet keempat dalam demokrasi berparlimen di Malaysia kerana tugas utama media sebagai pemerhati yang prihatin kepada watannya telah bertukar menjadi sebaliknya – sebagai pelapor utama kegiatan pemerintah dan agen penyebar fikiran falsafah pemerintah kepada warganya.
Hari ini media di Malaysia sejak dari zaman tertubuhnya mereka terus digasak dengan sekatan dan larangan langsung atau tidak langsung dalam menyebarkan berita, maklumat dan cerita yang sebenar-benarnya berlaku. Adakah kita kisah dan ambil peduli bahawa kebenaran itu kadangkala pahit untuk didengar? Bagi menjayakan kemakmuran dari warganegara yang pelbagai lagi berbeza ini, media sanggup memikul tanggungjawab sosialnya apabila tidak membuat liputan yang boleh menyentuh kesantunan adat dalam bermasyarakat majmuk. Tetapi betahkah pemerintah juga turut serta mengambil kesempatan dengan hanya melaporkan hal-hal yang terkait dengan mereka dan fahaman politik mereka? Bolehkah media arus perdana di Malaysia mendapat khalayak yang neutral dan menyebarluaskan berita, maklumat dan cerita yang benar sebenar-benar yang terjadi dan diingini madani?
Adakah kita perlu untuk mengambil pusing bahawa media perdana merupakan media yang didokong oleh suara majoriti atau suara terbanyak? Dalam hal ini kerajaan atau pemerintah Malaysia ialah suara terbanyak dan wajarkan mereka menggunakan media arus perdana untuk menyemai nilai dan falsafah mereka dan mengenetepikan adat, budaya, falsafah umum yang sebelum ini tidak didokong oleh pemerintah itu sendiri? Inikah nilai sebuah kebebasan bersuara?
Baru-baru ini (selepas 16 September 2011) beberapa sekatan undang-undang yang mengawal media arus perdana secara tidak langsung telah dimansuhkan secara pemwartaan di Parlimen yang bakal bersidang pada Oktober 2011. Pemwartaan (jika selepas Oktober 2011 dianggap akademik) memansuhkan Akta Mesian Cetak dan Penerbitan (PPPA 1945), Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, semakan semula Akta Polis 1960 dan beberapa sekatan lain telah menimbulkan satu lagi peluang dan ancaman kepada pemerintah dan juga media itu sendiri.
Adakah kebebasan mutlak ini diperlukan oleh media arus perdana di Malaysia sedangkan di dalam media-media alternatif (bertentangan nilai dengan media arus perdana) hangat membincangkan topik-topik yang jelas menguris hati dan perasaan rakyat yang majoriti tadi. Mereka juga (media alternatif) mengambil kesempatan ini menghentam nilai dan budaya serta falsafah pendokong majoriti. Adakah wajar bertindihan ini berlaku dalam sistem pemerintahan Malaysia kini? Adakah ini sebuah nilai kebebasan yang kita perlukan?
Persoalan ini tidak bisa dirungkai dan dijawab dengan begitu mudah tanpa kajian yang sungguh kritis dan akademik melainkan jika pemerintah Malaysia kembali kepada lembayung kuasa Islam sebagai sumber utama negara. Dimaksudkan dengan istilah Islam ialah Malaysia menjawat kebebasan bersuara dan kebebasan media dengan kembali kepada kaedah teologi mutlak iaitu Islam. Sudah tentu bagi barat, nilai dan hak kebebasan bersuara demokratik telah cuba dilenyapkan dan sudah tentu idea kebebasan bersuara ini seolah-oleh cuba disekat pemerintah Malaysia. Bahkan sebahagian (kurang majoriti) rakyat negara ini juga akan menentang idea ini juga.
Secara logiknya, kebebasan bersuara mutlak tidak harus diamalkan di Malaysia dek kerana suara majoriti turut diancam oleh pergerakan suara yang minoriti. Sedangkan kadangkala kedengaran suara minoriti lebih kuat berbanding suara majoriti. Apakah nilai sebuah berita, maklumat dan cerita jika pada akhirnya sebuah negara terpaksa dikorbankan dan jiwa-jiwa warganya melayang satu persatu dek kebebasan bersuara itu tadi. Adakah kebebasan ini akan didokong oleh satu set nilai dan etika yang tinggi oleh warga Malaysia pasca penjajah yang masih setahun jagung merdeka?
Maka, kebebasan bersuara itu tidak terlalu baik bagi kita dan membataskan media juga bukanlah satu pendekatan yang berkelakonan tinggi. Apa yang lebih penting bagi warga Malaysia yang inginkan berita, maklumat dan cerita yang tepat dan benar ialah berpandukan kepada nilai dan falsafah diri kita sendiri yang mana ia didokong oleh sistem maklumat Islam iaitu: “lihatlah apa yang disampaikan dan bukannya siapa yang menyampaikannya”.
Tepuk dada tanyalah iman. Kebebasan dan kebenaran bukannya milik mutlak kita – manusia, tetapi ia milik Sang Yang Mencipta.
/mfa
src="http://pagead2.googlesyndication.com/pagead/show_ads.js">
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.