Isnin, 14 Januari 2013

Ironi Sebuah Perhimpunan Yang ‘Tidak Perlu’

Seperti disiarkan dalam ruangan Forum, Januari 15, 2013 - Utusan Malaysia. Hujung minggu yang lalu kita telah diajak menyaksikan satu gelagat politik jalanan. Segelintir yang menggelarkan diri masing-masing sebagai pejuang rakyat kononnya telah berhimpun di Stadium Merdeka – sebuah stadium yang dibina oleh negarawan negara yang dikejinya dahulu sehingga kini. Tetapi kreditnya diambil. Tidak cukup dengan itu, Akta Perhimpunan Aman yang dahulunya dikatakan lebih zalim dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga digunakan sebagai alternatif mencapai tujuan politik sempitnya. Sekali lagi, janji Perdana Menteri telah ditepati – mengikut lunas undang-undang, maka perhimpunan itu boleh diadakan. Melihat kelakonan setiap individu yang menyertai perhimpunan yang rata-rata di kalangan umum masyarakat Malaysia mengatakan sebagai “tidak perlu” dan “buang masa”, puak yang menafikan segala bentuk pembangunan fizikal dan rohani yang dibangunkan oleh kerajaan tetap tidak dapat menerima realiti bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Setelah mengungsi stadium, sementara menunggu untuk diangkut balik ke kampung masing-masing, ramai di kalangan mereka berkunjung ke Bukit Bintang dan sekitar KLCC - sebuah prasarana yang dikatakan satu pembaziran yang dibangunkan oleh kerajaan.
Di KLCC sahaja, anak-anak muda ini hanya mampu bertanyakan harga sebotol air mineral serta ‘menjamu mata’ melihat kerancakan aktiviti ekonomi yang berlaku di sana. Sempat juga seorang dua dari pengunjung yang prihatin memulangkan paku buah keras bahawa inilah ‘hasil kemakmuran dari sebuah pembaziran’. Ironinya, remaja ini mungkin tidak faham bahawa aktiviti ekonomi ini memberikan hasil jutaan ringgit sebulan dalam transaksi perniagaan sama ada tempatan mahupun pelancongan kepada Negara. Mereka kelihatan mundar mandir membuang masa sambil menunggu masa untuk di hantar pulang. Sedang untuk membeli apa-apa cenderahati dan pakaian berjenama antarabangsa mungkin mereka agak gusar dengan harga yang tawarkan. Mereka mungkin terlupa inilah nikmat sebuah pembangunan yang dahulunya dikatakan membazir sedangkan kini ia memberikan pulangan dalam bentuk pelaburan jangka panjang kepada para peniaga dan juga Negara. Di Bukit Bintang pula, kelompok yang berpakaian baju tertentu juga kelihatan teruja dengan pembangunan rancak dari sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi yang berjalan walaupun kelihatan sedikit suram berbanding minggu yang lainnya. Mereka terlupa bahawa inilah nikmat pembangunan yang telah dibawakan oleh kerajaan dan mendokong usaha keamanan, pelaburan dan meningkatkan taraf ekonomi Negara. Kini, sektor ekonomi akibat dari jumlah kemasukan pelancong menyumbang kepada pendapatan Negara dengan keuntungan yang bukan sedikit. Adakah mereka tidak mahu mengambil kesempatan ini kelak? Apakah mereka lupa bahawa nikmat kemakmuran ini tidak datang dengan sendirinya? Keamanan, kemakmuran serta keselamatan para pelancong ini bukan satu pelaburan yang mudah sekadar kata-kata. Tetapi ia lebih kepada komitmen kerajaan dalam menjayakan setiap rancangan yang telah dirancangkannya untuk kesejahteraan Negara dan rakyat terbanyak khasnya Malaysia tercinta ini. Prasarana ini dibangunkan dengan jumlah kewangan yang bukan sedikit selain untuk menjaganya dan menguruskan fasiliti tersebut agar mampan dan terus makmur. Jauh dari itu, keselamatan dan keamanan yang diciptakan untuk menarik pelabur dan pelancong bukanlah sekadar sekelip mata dan sekadar berkata-kata tetapi ia adalah dari satu pelan rancangan yang tersusun dan jitu. Bahkan, mengekalkan keamanan bukannya satu kerja yang mudah semudah ABC. Lihat di Indonesia, setelah kejatuhan Presiden Suharto, apakah yang boleh dibanggakan oleh rakyatnya? Akhirnya, rakyatnya bertambah ramai ke Malaysia untuk mencari sesuap nasi. Adakah reformasi mereka berjaya dan mereka mendapat nikmat dari demokrasi jalanan itu? Saban hari ada sahaja berita tertangkapnya pendatang asing tanpa izin Indonesia yang mencari sesuap nasi di bumi bertuah ini. Mereka telah gagal bahkan lebih gagal sebelum kejatuhan Suharto dahulu. Jika nilai rupiah pada suatu ketika dilihat sangat kukuh, kini setelah puluhan tahun reformasi ia tetap tidak kembali mengukuh setanding semasa pentadbiran Suharto. Rasuahnya malah lebih hebat dengan pengalaman cerita rakyat Malaysia yang melancong ke sana membayar pada harga yang tidak perlu serta keterbukaan penjawat awamnya meminta rasuah walaupun kepada pelancong. Adakah ini satu “kemajuan demokrasi” yang didambakan? Jauh menyorot isu ini, adakah golongan ini tahu bahawa perhimpunan yang telah menyusahkan beberapa kelompok peniaga dan pemandu teksi ini telah menyulitkan nafkah hidup orang lain? Adakah mereka tahu nilai pendidikan jauh lebih baik dan lebih mahal dari harga sebuah perhimpunan yang tidak memberikan apa-apa kesan kepada Negara bahkan menjauhkan pelancong jika dibuat berterusan? Sehinggakan di sebuah gedung di Bukit Bintang, anak-anak bukan Melayu mengatakan adalah lebih penting wang dipoket berbanding menjerit dan mendapat penat di jalanan. Begitulah jauhnya mentaliti anak bukan Melayu/Islam dengan mereka yang melaungkan keIslaman tetapi tidak dapat menggunakan akalnya bahawa memajukan ummah adalah satu jihad yang lebih penting – bahawa Ilmu dan pekerjaan adalah satu perkara pokok untuk menjayakan anak Melayu Islam. Suka saya mengingatkan bahawa segala kutukan yang diberikan kepada kepimpinan Negara sebenarnya telah memberikan mereka ini nikmat yang bukan sedikit. Landskap politik Malaysia dan Indonesia tidak banyak berbeza sekitar 30 tahun yang lalu. Jika di Jakarta van mini digelar Angkot menjadi nadi pengangkutan, di Kuala Lumpur terkenal dengan BMW (Bas Mini Wilayah). Tetapi setelah itu, kita harus berbangga dengan mempunyai sistem aliran ringan (LRT, Monorel, ERL dan akan datang MRT). Landskap Negara terus berubah setelah terpacaknya menara berkembar tertinggi di dunia sedangkan di Indonesia masih terpacak Monas seperti mana 30 tahun dahulu. Yang membezakan Malaysia dan Indonesia adalah pemimpin Negara yang telah bertungkus lumus mengharungi jerih perih membangunkan Negara agar rakyatnya aman, terpelajar dan boleh bekerja dengan gaji yang baik setidak-tidaknya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa Negara maju yang lain. Hari ini, kita semakin hampir dengan azam menuju wawasan menjadi Negara maju, adakah anak-anak ini tadi telah disiapkan oleh puak-puak tersebut menjadi seorang ahli professional yang ulung dan mendapat gaji yang setimpal? Atau akhirnya, menadah tangan meminta bantuan kerajaan kerana tertinggal di alam persekolahan kerana sibuk berhimpun. Masa depan Negara kita adalah dari anak anak yang dibangunkan jiwanya dengan cara yang betul dan berwawasan, bercita-cita tinggi. Bukannya melukut di tepi gantang. Bersorak bergegak gempita tetapi ekornya penuh dengan kekotoran yang tidak membawa apa-apa makna. Jihad di masa kini ialah menaikkan ekonomi sendiri. Jangan akhirnya selepas habis berdemonstrasi, hanya mampu membeli sebotol air mineral di sebuah gedung yang terkenal Negara kerana pendapatan hanya sekadar cukup-cukup makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.