Isnin, 21 Januari 2013

Mengapa Kelantan Mendapat Lebih?

MENGAPA KELANTAN MENDAPAT LEBIH??

Pada Januari 20, 2013 satu lembaran baru telah dipahatkan di bumi Cik Siti Wan Kembang apabila YAB Perdana Menteri Malaysia mengumumkan akan membina beberapa prasarana dan fasiliti kemudahan awam untuk rakyat negeri tersebut.  

Hal itu tidak sahaja menggembirakan beberapa kerat anak jati, bahkan warganya secara amnya bersetuju sekiranya mereka memilih Parti Persekutuan untuk dibangunkan segala kehendak yang diidamkan mereka selama ini khususnya bekalan air bersih untuk melakukan perkara-perkara asas seperti minum, mandi dan berwuduk bagi menunaikan solat yang wajib. 
Deklarasi ini antara lain menjanjikan membina Masjid Negeri yang baru (dengan persetujuan Al-Sultan Kelantan) bernilai RM50juta, stadium baru, pembinaan rumah kos rendah sehingga 3,000 unit, Kampus Bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM), pengangkutan awam yang selesa (RapidKB) dan pemberian royalti atau ihsan wang minyak (setelah dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas yang masih bersidang). 

Perkara ini terus menggamit pandangan penduduk di negeri-negeri lainnya seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan di negeri Perdana Menteri sendiri iaitu Pahang.  Membangunkan sebuah negara dengan kemudahan yang lengkap amat diimpikan setiap warga bahkan mereka amat mengalu-alukannya.  Sedangkan beberapa pemimpin parti bukan kerajaan sering menempelak rancangan ini yang kononnya membazir serta digelar dengan projek mega yang kroni dan salah guna kuasa.

Hal ini bukanlah satu unjuran yang kita mahukan secara mutlak.  Membangunkan negeri-negeri di Semenanjung bukanlah satu tugas semalaman.  Pendapatan Negara adalah terhad dan wang yang ada juga tidak mencukupi hanya untuk membangunkan fasiliti -fasiliti tersebut tanpa memikirkan beberapa perkara pokok dalam negara lainnya seperti subsidi, kesihatan, simpanan dan hutang luar negeri selain kos-kos tidak terjangkau dalam tahun kewangan negara.

Sabah dan Sarawak 

Sabah dan Sarawak juga menuntut perkara yang serupa kononnya negeri itu masih tertinggal dalam arus kemodenan sedangkan untuk membangunkan Sabah dan Sarawak itu sendiri memerlukan dua kali masa membangunkan Semenanjung.  Ini kerana saiz kedua-kedua negeri tersebut berkeluasan hampir satu bahkan lebih besar dari Semenanjung Tanah Melayu.  Waima, negeri-negeri Semenanjung ini sudah tentu dibangunkan lebih awal sebelum kemerdekaan oleh sang penjajah terutama di Pantai Barat seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.  Negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Johor pula merupakan negeri yang tidak dikuasai secara langsung oleh sang penjajah ini bersama Pahang dan Terengganu menyebabkan ia tidak dibangunkan sepesat negeri lainnya. 

Berbanding di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri tersebut merupakan negeri yang besar serta mempunyai keluasan berganda.  Hal ini turut meliputi ekoran sejarah bahawa Raja Brooke hanya memajukan Kuching sebagai pusat tumpuan berbanding kawasan-kawasan pedalaman.  Di Miri, Sibu dan Limbang pula mendapat rahmat dengan kemajuan petrokimia di lokasi berkenaan.  Manakala Sabah, Jeselton atau Kota Kinabalu sahaja yang dibangunkan mengikut sejarahnya sebagai pusat ekonomi sebelum menyertai Persekutuan.  

Oleh itu, membangunkan kedua-dua negeri ini bukanlah semudah sekelip mata atau melalui kata-kata ajaib melainkan kerja keras dan sejumlah wang yang besar juga diperlukan.  Ditambah lagi dengan kependudukan yang bertaburan serta tidak sekata – ia amat menyukarkan terutama perhubungan, air dan elektrik serta hal-hal sosial lainnya.  Di kawasan pedalaman, adalah mustahil untuk menarik kabel dan talian air beribu-ribu kilometer di dalam hutan untuk menyambungkan dengan fasiliti utama di bandar.  

Adalah lebih baik dimajukan stesen jana kuasa suria dan sambungan air terawat yang lebih domestik untuk mengatasinya dan ini sedang dan terus dilakukan sehingga jam ini.  Perhubungan jalan raya pula lebih menjurus kepada bandar terdekat serta wahana pengangkutan terbaik bagi mengatasinya.  Apalah guna membelanjakan ribuan bahkan jutaan ringgit mengaspal jalan sedangkan ia hanya digunakan beberapa kali seminggu dan kos diesel yang tidak efektif?  Oleh itu, membangunkan Sabah dan Sarawak tetaplah menjadi satu isu yang memerlukan masa untuk menilainya.  Ketabahan dan kesabaran rakyat di dua wilayah besar ini amatlah diharapkan agar sirna itu akhirnya akan tiba jua.  

Bagaimana pula dengan sekatan pembangunan dan senarai negeri di kedua-dua negeri gabungan Persekutuan tersebut?  Hal ini amat berbeza di Semenanjung.  Di Sarawak misalnya, sekatan kerakyatan, izin migrasi yang ketat serta pemilikan tanah yang terbatas amatlah ketat dan menyukarkan pelaburan asing langsung ke negeri terbabit.  Membangunkan sebuah bangunan memerlukan keizinan dari pemilik tanah adat yang amat kukuh terpelihara undang-undang untuk tinggalan anak cucu penduduk di negeri terbabit.  Sedangkan di Tanah Melayu, penduduk Sabah dan Sarawak tetaplah kekal boleh memiliki tanah tetapi warga Semenanjung ditegah dari memiliki tanah di sana melainkan atas sebab perundangan yang khas lagi ketat.  

Ini juga sudah cukup untuk menyekat aliran pelaburan asing ke negeri tersebut kerana keutuhan perlembagaan yang menjamin hak-hak penduduk negeri terbabit.  Inilah keistimewaan Sabah dan Sarawak yang ingin mengekalkan status tanah-tanah dan warisan legasi mereka.  Oleh itu, hak penduduk Sabah dan Sarawak ini hendaklah dipelihara agar akhirnya pembangunan tidak menggadai hak dan jati diri mereka di kemudian hari kelak.  


Tanggungjawab Nasional?

Berbalik kepada Kelantan yang menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab membangunkan negeri itu di bawah pimpinan Pusat bukanlah satu autoriti mutlak.  Ini memandangkan Kelantan telah memilih pentadbir yang tidak sealiran dengan pemikiran dan pendapat Persekutuan.  Hal ini bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu hak dan peranan pentadbir negeri serta peranan dan tanggungjawab Persekutuan.  Memilih parti bukan pemerintah utama Persekutuan sebagai pentadbir negeri meninggalkan satu ruangan vakum yang besar antara dua kuasa tadi. 

Pertama dari segi lapangan politik bahawa menjadi tugas dan peranan sang pentadbir negeri memajukan negeri sendiri kerana mereka telah diberikan satu amanah oleh rakyat tempatan untuk memajukan negeri tersebut.  Dan kerana ideologi dan manifestonya, menjadi tugas mereka pula menjalankan tanggungjawab itu mengikut hak dan peranan yang mereka inginkan sesuai dengan kehendak rakyat negeri terbabit memilih mereka sebagai pentadbirnya.

Manakala dalam hal ehwal yang digariskan di bawah Peranan Persekutuan (Jadual Kesembilan Persekutuan – Perkara I Persekutuan), menjadi tanggungjawab Persekutuan mendirikan sebahagian peranannya mengikut garis panduan seperti Hospital, Pendidikan, dan lain-lain khidmat di bawah jadual terbabit dan negeri juga tertakluk dengan senaraian negeri masing-masing.  Hal ini membolehkan Kerajaan Negeri menggunakan segala hasil negeri untuk memajukan negeri masing-masing mengikut acuan dan manifesto yang telah dimajukan kepada rakyat untuk dilaksanakan.  Bukan semua cukai rakyat negeri di hantar ke Persekutuan melainkan kepada negeri itu sendiri.  Sedang ia tidak selari dengan kehendak manifesto Kerajaan di Persekutuan, bahawa hal negeri hendaklah dimajukan oleh negeri itu sendiri dan sebarang campur tangan Persekutuan ke atas negeri hendaklah terbatas kepada perkara yang difikirkan tidak menyalahi perundangan tertulis.

Tetapi Kerajaan Persekutuan tidak juga membutakan mata dan memekakkan telinga mendengar keluh kesah rakyatnya termasuk di negeri.  Pada tahun 1998, Kerajaan Persekutuan telah memberikan bantuan sebanyak RM600juta kepada Kelantan untuk memajukan migrasi air di negeri tersebut dan sehingga kini, wang tersebut telah dibelanjakan.  Namun masalahnya masih tetap dihadapi oleh warga penduduk di sana.  Sedangkan memajukan air adalah tugas dan fasiliti negeri yang bertanggungjawab sesuai dengannya dan sebelum tahun 2006 untuk memuktamadkan perbekalan air antara Persekutuan dan Negeri. 

Perbezaan Senarai Negeri dan Persekutuan

Oleh itu, Kerajaan Negeri di sanalah yang mengutip sebanyak boleh hasil menerusi Senarai Negeri melalui tanah dan galian serta pembalakan masih tetap tidak berupaya membangunkan negerinya.  

Berbeza dengan negeri Melaka yang bersaiz kecil serta tidak mempunyai hasil tanah dan galian terutama balak yang banyak telah menunjukkan satu kelakonan ekonomi yang agak menakjubkan.  Kerajaan Negeri Melaka telah berjaya mengatasi masalah air lewat tahun 80an dengan mengintegrasikan semua masalahnya kepada Syarikat Air Melaka.  Selain itu, pembangunan dan hasil di antara negeri tersebut juga berbeza.  Di Melaka kadar pertumbuhan ekonomi negeri tersebut sehingga 19.43% sedangkan di Kelantan yang mempunyai saiz yang berganda dari negeri tersebut hanya mampu menyumbang 12.45%.  

Kelantan juga merupakan negeri yang terhampir dengan garis sempadan negara yang seharusnya mengutip cukai kastam yang lebih baik dari negeri lain kecuali Johor tetapi Melaka berjaya mengatasi kutipan tersebut sehingga RM1.60billion pada tahun 2010 sedangkan Kelantan hanya RM37.3juta sahaja.  Kadar pengangguran sehingga suku ketiga tahun 2010 menunjukkan Kelantan mempunyai 3.2% kadar pengangguran sedangkan Melaka hanya 0.8% sahaja dan pendapatan bulanan isi rumah di Melaka ialah RM4,184.00 berbanding di Kelantan hanya RM2,536.00.  

Hal ini diketemukan bukanlah membuat satu perbandingan langsung tetapi cara penakatan untuk melihat kebijakan pembangunan ekonomi sesebuah negeri.  Jika di Melaka yang tidak mempunyai hasil alam yang baik, setidak-tidaknya negeri terbabit telah mengubah landskap negeri tersebut menjadi sebuah negeri pelancongan utama di Semenanjung Tanah Melayu.  

Pembangunan infrastruktur dan visi pemimpinnya jelas melangkaui fikiran apabila membina dan terus memajukan industri tersebut.  Anak-anak Melaka digalakkan berniaga dan membayar cukai kepada kerajaan negeri sedangkan kerajaan negeri haruslah mencari pelancong untuk menziarahi Melaka dan membeli produk tempatan.  

Premis-premis sewaan dibangunkan dan di jaga dengan serapi yang boleh agar mencapai kehendak pelancongan.  Hospital dan Hotel dibangunkan sebaik-baiknya untuk memastikan rawatan pelancongan juga dapat menjana pertumbuhan ekonomi negeri.  Setiap warga negeri disarankan menyambung pelajaran terutama di institusi negeri seperti Kolej Islam Melaka, Kolej Yayasan Melaka dan sebagainya untuk menyediakan tenaga kerja yang mencukupi.  UiTM yang merupakan sebuah universiti memajukan bumiputera turut dikejarnya setelah digugurkan dari projek Selangor untuk didirikan di Melaka.  Dan akhirnya rakyat negeri ini tidak akan berhijrah secara besar-besaran ke tempat lain dan membuat kehidupan di negeri sendiri tanpa menyusahkan kepimpinan negeri lain. 

Memajukan Alam Persekutuan 

Bukanlah tanggungjawab beban dipikul oleh Persekutuan untuk memajukan ke semua negeri yang ada dalamnya.  Mengagihkan sumber yang terhad adalah satu jawapan dalam ekonomi secara umum.  Menghasilkan pendapatan dan mengagihkannya mengikut keutamaan adalah lebih bijaksana dan membelanjakan pada yang perlu turut memainkan peranan yang utama.  

Jika diberikan satu pendekatan logik, siapakah yang akan mendapat gaji yang lebih banyak?  Sudah tentu pencetak wang yang banyak akan menerimanya iaitu penerima pelaburan tertinggi.  Memberikan keuntungan kepada syarikat membolehkan seseorang itu diganjarkan dengan bonus selain gaji sedia ada.  Adakah kita merasa iri melihat mereka yang tidak produktif menerima gaji dan bonus yang lebih banyak dari kita?  Sedangkan kita telah mencetak wang yang banyak.  Apakah hasil pendapatan menurut istilah Melayu “gaji buta” yang banyak itu adil kepada pekerja lain?  Sudah tentu tidak, masing-masing akan mempunyai alasannya sendiri.  Begitu jugalah dengan Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Sabah dan Sarawak sedangkan semua faktor di atas dikesampingkan untuk menerima hasil yang banyak dan terus berebut untuk itu tanpa rasional. 

Memajukan Alam Persekutuan II

Berbanding negeri yang menerima royalti minyak yang tinggi seperti Terengganu misalnya, wang yang diterima dari Persekutuan sebagai pampasan atas minyak di luar pesisir misalnya memberikan satu nilai tambah.  Cuma menyediakan modal insan yang terlatih dan cukup merupakan perkara yang paling penting pada pandangan pemimpinnya, maka melahirkan mahasiswa yang elit serta budaya ilmu yang tinggi menjadi matlamat Terengganu.  

Prasarana sekolah dan tenaga modal insannya dibangunkan dengan bersungguh-sungguh.  Saban tahun Terengganu mempelopori keunggulan menghasilkan pelajar-pelajar terbaik dalam pelbagai disiplin – dari sekolah agama mahupun sekular.  Pelajar Terengganu mempunyai pilihan, mereka bebas memasuki mana-mana universiti dan kolej dalam dan luar negara serta mendapat biasiswa terbaik dalam negerinya hasil pampasan royalti tersebut.  Mereka dapat menikmati persekolahan yang selesa serta menjadi negeri mempunyai murid teramai yang hafaz Al-Quran berkat dedikasi para pemerintah negerinya.  Itulah yang lebih dimajukan berbanding prasarana fizikal lain seperti di Pulau Pinang dan Selangor.  

Di Selangor dan Pulau Pinang, selain menjadi nadi tumpuan asing, negeri-negeri ini mengamalkan polisi pembangunan yang berbeza.  Kebersamaan mereka mengaut keuntungan atas industri perkilangan dan pembuatan melonjakkan negeri ini sejak merdeka lagi.  Jika sebelum ini Pulau Pinang dikenali dengan nama Prince of Wales Island cukup melambangkan pengaruh besar penjajah ke atas ekonomi negeri.  

Selangor juga tidak kurang hebat apabila Kerajaan Persekutuan memilih wilayah-wilayahnya dibangunkan sebagai ibu negara dan wilayah khas pentadbiran Kerajaan Persekutuan.  Limpahan dari pembangunan ini dirasai oleh penduduk di pinggir-pinggir wilayah serta beberapa projek berprestasi tinggi dijalankan di negeri terbabit akibat limpahan dan saiz Wilayah Persekutuan yang terhad.  Oleh itu, Selangor menjadi destinasi pelaburan perkilangan dan pembuatan yang agak baik setanding legasi Pulau Pinang.  

Tidak cukup dengan itu sahaja, kesemua ketua negeri haruslah mempunyai penakatan dalam menguruskan ekonomi yang baik sebelum sesuka hati menukar aliran fikiran dalam membuat keputusan.  Seperti dikatakan awalnya, jika mewarisi kerajaan yang lemah maka menjadi tugas dan peranan kerajaan yang baru pula untuk membetulkannya.  Jika Melaka sebelum ini gagal maju sebagai hub perkilangan, kini ia menakat sebagai zon pelancongan terbaik Malaysia bahkan sesetengah lokasi menjadi nadi kehidupan pelancong asing yang mencetak ribuan ringgit sejam.  

Di Kelantan juga begitu, perkara-perkara asas terutama kebajikan dalam menunaikan solat amatlah penting, mengambil wuduk dengan air yang mutlak adalah tugas sang pemerintah untuk melunaskan kehendak asas rakyatnya.  Di Terengganu, pendidikan menjadi nadi kehidupan kerajaannya bahkan di Pahang, nilai-nilai warisan, kehijauan pelancongan menjadi pilihannya.  Kerana setiap pembangunan itu akan mengorbankan beberapa nilai kehidupan dan budaya yang amat ketara dan oleh itu ia amatlah dijaga rapi oleh sang pemerintah masing-masing.  Sehubungan dengan itu, pemerintah mempunyai pilihan untuk memelihara atau menggantikannya mengikut pilihan kita selaku pengundi.  

Kerana hampirnya kita kepada kufur sekiranya kita miskin harta dan jiwa (moral).  Dan kerana itulah bukan semua peranan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri lain-lain sesuka hati melainkan atas izin sang Pemerintah negeri (Berkerajaan dan Bersultan) serta seiring dengan hasrat rakyatnya.  Tugas Persekutuan bukanlah membezakan tetapi sekatan dan halangan beberapa faktor hendaklah diambil kira dan tidak semberono dan akhirnya menyusahkan Kerajaan Negeri waima rakyatnya juga terkesan.  

Kita adalah subjek raja dan Kerajaan Persekutuan adalah subjek umum yang terlerai dengan putusnya perjanjian bersekutu.  Maka peliharalah “Persekutuan” kerana ia akan menambahkan mutu dalam kehidupan, dan jika ia terlerai maka tidak ada apa-apa yang boleh diraikan kerana ia menyusut menjadi buih-buih di laut sahaja dan dilipat sejarah seperti Melaka yang meninggalkan Selatnya di peta muka bumi sedang Sultan dan Rakyatnya hilang di entah ke mana.    





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.