Hukum Hudud Malaysia
Tanggal 21 Oktober 2013 yang lalu,
pemerintah Negara Brunei Darussalam telah memutuskan untuk melaksanakan hukum-hukum
perundangan negara dengan cara syariah Islam iaitu Hudud, Qisas dan Takzir
sesuai dengan Al-Quran dan Hadith.
Dengan pengumuman itu, dijangkakan pada April 2014, Brunei akan
melaksanakan hukuman-hukuman ke atas kesalahan jenayah, sivil, dan lain-lain
undang-undang tort dengan melalui perundangan Islam.
Islam menerapkan konsep keadilan secara
adil (bukan fair iaitu setara tetapi meletakkan
sesuatu pada tempatnya dengan betul dan benar), berbentuk pencegahan dan juga
hukuman punitif (hukum yang wajar).
Dengan ketiga-tiga elemen ini, hukuman hukuman secara Islam adalah lebih
bersifat ‘menjeran’ atau memastikan wujudnya rasa ‘gerun’, ‘takut untuk membuat
jenayah’ dan juga satu bentuk kepastian mutlak agar tidak melibatkan diri
dengan jenayah-jenayah dan kerosakan kepada manusia bagi menjamin kesejahteraan
umat Islam dan bangsa-bangsa lain yang bukan beragama Islam dalam masyarakat, nyawa,
akal fikiran dan harga benda,.
Di Malaysia, undang-undang Hudud ini
sangat ditekankan oleh Parti Islam Malaysia (PAS) bagi menggantikan
undang-undang sedia ada yang dipanggil sekular - diwarisi daripada British dan undang-undang sosial
yang diwujudkan sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Undang-undang ini memakai roh “common law” iaitu undang-undang teras
berdasarkan nilai hidup, falsafah dan budaya masyarakat British bernegara
semasa pemerintahan beraja di England pada kurun ke-14 yang lalu. Undnag-undang ini kebanyakannya tidak
bertulis tetapi menjadi garis panduan sosial dalam bermasyarakat dan membendung
mereka terjebak dengan kesusilaan yang tidak pantas dilihat di dalam
masyarakat. Undang-undang budaya juga
telah mengalir dalam diri masyarakat Melayu termasuk menerusi Islam sebagai
pegangan akidah mereka sejak zaman bahari lagi – zaman Kesultanan Melayu
Melaka.
Tetapi Islam tidak diserapkan dengan
baik semasa Portugis merampas Melaka daripada Sultan Mahmud sekitar tahun 1511
di Melaka dahulu. Belanda dan Inggeris
juga tidak mengambil undang-undang Islam Melaka secara total dalam mengurus dan
mentadbir Melaka kerana ia menjadi tugas Penghulu dan ketua-ketua Masyarakat
yang menjaganya terutama ehwal budaya dan adat resam Melayu Islam untuk
bermasyarakat. Manakala undang-undang sekular
Barat diperkenalkan British secara bertahap di Tanah Melayu bagi mengurangi kejadian
jenayah dan kesalahan lain mengikut pertimbangan mereka yang menyamakan negara ini
adalah di bawah kekuasaan undang-undang Ratu England. Akhirnya, semua perundangan di tangan
Penghulu dan Ketua Masyarakat ini diambil alih oleh Majistret dan pentadbir-pentadbir
perundangan oleh British. Lenyaplah
undang-undang Islam Melaka (juga undang-undang Perak dan Kedah yang mengamalkan
undang-undang Budaya/Islam) di Tanah Melayu.
Konsep perundangan Islam sangat jelas
iaitu mencegah dan mengelakkan dari berlaku pelanggaran sosial serta menghukum
dengan keras agar menjadi peringatan bahawa perbuatan jenayah tidak akan
berlaku lagi selain terdapat beberapa perkara dalam menjatuhkan
hukumannya.
“Maka
Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi
orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan
suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”. (Al-Baqarah 2:66)
“Dan orang lelaki yang mencuri
dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka
sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maaidah 5:38)
Jelaslah bahawa Islam itu menangani isu
adalah secara tuntas dan tidak bertangguh-tangguh selain memastikan masalah
masyarakat dapat di atasi dengan sebaik-baiknya tanpa ulangan. Islam juga menegah kepada pembelaan kepada
mereka yang benar-benar salah kerana adalah lebih berintegriti bagi setiap
pesalah mengakui kesalahannya dan memohon keampunan Allah SWT dan kepada mangsa
kerana akhirnya pelaku-pelaku jenayah ini akan sedar kesalahannya. Bagi yang membela mereka yang bersalah, sebenarnya
akan melakukan pengkhianatan kepada masyarakat di mana penjenayah ini tidak akan
berasa bersalah bahkan mengulanginya lagi di masa hadapan dan akhirnya
kebijaksanaan menipu ini akan menimbulkan kejanggalan sosial dalam hidup rukun
bermasyarakat.
“Sesungguhnya Kami menurunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya
engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan
kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi
orang-orang yang khianat.” (An-Nisaa' 4:105)
Dalam pada itu, sebagai mentaati seruan
Islam yang menggalakkan kehidupan yang penuh rukun dan aman, Islam menekankan
konsep adil dalam melaksanakan hukuman.
Beberapa ayat kelihatan sangat keras bunyinya iaitu memotong tangan bagi
pelaku pencurian atau rompakan (mengambil hak orang lain tanpa kebenaran). Tetapi darjah kesalahan itu boleh diukur dengan
tahap jenayah yang dilakukan; sama ada memadai dengan membayar ganti rugi atau
didenda dengan jumlah wang tertentu.
Bagi kesalahan yang sebenar-benarnya serius, memotong tangan adalah
hukuman bagi mengingatkan sang pelaku bahawa di dunia ini hukuman itu adalah
setimpal, tetapi diakhirat jika mereka masih ingkar untuk memohon keampunan
Allah, maka adalah lebih berat lagi hukuman yang bakal dikenakan.
“Segala hukum yang tersebut
adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan
RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang
amat besar.” (An-Nisaa' 4:13)
“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu
(dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan
kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan
nikmatKu).” (Al-Baqarah 2:152)
Menjatuhkan hukuman kepada pesalah juga
bukanlah satu tugas semudah menghukum seperti zaman dahulu kala yang kekurangan
teknologi. Di zaman yang serba moden
ini, menggunakan ujian DNA, kamera litar tertutup serta apa-apa elemen yang
sahih serta relevan dalam menentukan kaedah penilaian masih boleh diambil
kira. Selain mencari empat orang saksi
yang mukmin (yang benar-benar takut kepada Allah dalam memberikan penilaian
kepada seseorang yang lain serta menjalankan kerukunan sebagai Muslim yang
sempurna), teknologi serta mana-mana penggunaan peralatan modern tidak pernah
menyekat Islam dalam membuat satu penilaian.
Jika tidak adanya peralatan ini maka ia akan menjejaskan dakwaan, maka
itu telah berlaku ketidakadilan kepada mangsa dan juga si pelaku atau yang
dituduh. Oleh itu, Islam sentiasa memicu
mana-mana teknologi dan sains dalam membentuk sesuatu perkara. Sesuailah dengan kalimatNya seperti berikut:-
“Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.”
(Al-Baqarah 2:242)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya),
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan
adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.” (An-Nisaa' 4:58)
Masalah
Hudud Malaysia
Cuma di Malaysia ini terdapat beberapa
perkara yang pada pandangan mata kasar tidak secocok untuk dilaksanakan dalam
masa yang singkat dan tanpa fahaman agama yang jitu dan jelas. Sebagai contoh, jika di zaman pemerintahan
Islam sama ada oleh Rasulullah SAW atau Sahabat (Khalifah Al-Rasyidin) mahupun
khalifah-khalifah Islam yang lain sebagai Ketua, semua undang-undang ini dikenakan
kepada sesiapa jua termasuk kepada yang bukan Islam. Ini kerana yang bukan Islam itu bersetuju
untuk dinaungi oleh Pemerintah Islam (Ulil Amr) yang mentadbir negara. Oleh itu ia juga adalah perkara (subjek) kepada
pemerintah tersebut. Manakala pada zaman
Malaysia modern ini, kededua Islam dan bukan Islam boleh memerintah negara ini dan
masing-masing berhak untuk melihat sesuatu pelindungan itu antara dengan yang
lain (saling berpaut – Majoriti Islam di Malaysia hanya 56% sahaja).
Jika umat Islam di Malaysia dikenakan
hukuman Syariah misalnya, apakah yang bukan Islam tidak wajar dikenakan hukuman
yang sama? Sedangkan dalam melaksanakan hukum itu hendaklah berlaku adil dan
saksama, iaitu terpakai juga kepada bukan Islam yang dinaungi oleh Kerajaan
Islam. Jika tidak, umat Islam akan
melihat ini sebagai suatu ‘penganiayaan’ khususnya kepada pesalah yang boleh
mempertikaikan jenis hukuman yang berbeza.
Tun Dr. Mahathir dikecam kerana perkara pokok ini bahawa beliau
mengandaikan banyak umat Islam akan kudung tangannya (umat Melayu/Islam di
Malaysia ramai yang terlibat jenayah) jika mencuri sedangkan bukan Islam pula
hanya dihukum penjara sahaja dan akan bebas dalam beberapa ketika. Oleh itu, seharusnya, pada pandangan Dr.
Mahathir menghukum potong tangan juga kepada bukan Islam (kerana hukuman kenalah
tuntas dan tunggal bukannya dwi-standard).
Barulah Islam membuktikan keadilannya iaitu menegakkan keadilan sosial yang
seimbang, hukuman tunggal bagi jenayah sama.
Jika tidak, umat Islam sendiri akan mempertikaikan keadilan undang-undang
Islam tersebut dan membawa mudarat kepada umat termasuk dari segi akidah.
Dalam konteks Malaysia kini, tidak
kelihatan bukan Islam meminta mereka dinaungi tetapi melihat mereka juga
sebagai satu entiti yang sama seperti Muslim yang lain. Oleh itu, kejelasan di sini harus
ditengakkan, jika tidak ia pasti mengundang satu campur tangan asing dalam
menghuraikan kejelasan Islam di sini khususnya dari puak penentang. Jika bukan Islam di Malaysia mengikuti ajaran
samawi iaitu mempercayai Tuhan Yang Satu, maka ia tidak menjadi satu bebanan
kerana dalam agama Yahudi juga undang-undang tuhan dinamakan Halakha atau 613 Mitzvot kelihatan serupa dengan Islam.
“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat
itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung
dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas
dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang
melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Maaidah 5:45)
Oleh itu, perkara asas dan pokok
perbincangan hukum Allah ini bukanlah satu polemik dan tidak wajar dikaji-kaji
tetapi kaedah atau method yang manakah
lebih sesuai untuk dilaksanakan? Bagi hukum-hukum Qisas dan Hudud ia perlu
diberikan beberapa perhatian khusus manakala bagi undang-undang Takzir,
elemen-elemen ini boleh dipertimbangkan mengikut kemash’alatan umah yang rukun
dan bersatu-padu dalam menggubalnya.
Tidak wajar mempertikaikan hukum-hukum yang telah diperintahkan oleh
Allah SWT cuma di dalam konteks Malaysia yang bernegara nasionalistik dan
perkauman (agama), hal ini perlu dilihat dengan sebaik-baiknya kerana ia
berbeza dengan konteks pemerintahan Islam sebelum ini yang lebih fokus – konsep
menaungi.
Tanah Yang Dijanjikan (Erezt Yisrael)
bagi penganut Yahudi adalah tanah hak milik bangsa itu yang akan mewajibkan
semua bangsa Yahudi untuk patuh kepada undang-undang Israel kuno tersebut serta
beberapa peraturan-peraturan tambahan lainnya mengikut keadaan zaman semasa. Mereka giat memastikan tanah tersebut menjadi
milik mereka agar mereka dapat melaksanakan semua hukum-hukum Taurat dan
perkara yang dibangkitkan oleh Tuhan kepada mereka untuk dilaksanakan. Jika mereka berada diluar atau dalam komuniti
mereka di tanah yang lain (diaspora), kemungkinan hal itu tidak boleh berlaku
kerana perbezaan kepercayaan serta pemerintah yang bukan dari kalangan mereka
sendiri yang mengerti dan boleh menaungi bangsa lain-lainnya. Maka sebab itulah, bangsa Yahudi berkeras mahukan
tanah tersebut agar perintah-perintah agama ini boleh dilaksanakan pada
pandangan mereka serta terbentuknya Kerajaan Tuhan di bumi ini.
Bagi Masyarakat Kristian dan Islam pula,
Allah melonggarkan hukum-hukumNya dengan membenarkan ia dilaksanakan oleh
pemerintah yang menguasai pemerintahan atau kerajaan tertentu kerana Islam menaungi
bangsa-bangsa lain yang terdiri dari kafir Harbi. Di zaman pemerintahan Islam di Timur Tengah
juga tidak timbul perkara-perkara ini kerana majoriti yang diperintah adalah
kaum muslimin selain bangsa-bangsa lain adalah meminta naungan pemerintahan
Islam ketika itu dan kini. Di Arab Saudi
yang masih kekal menggunakan sistem ini juga tidak menghadapi banyak masalah
bahkan ia turut dikenakan kepada pekerja-pekerja bukan Islam yang bertugas di
sana tanpa belah bahagi. Bagaimana jika
jenayah zina atau rogol antara bukan agama yang sama? Apakah kaedah yang wajar dalam melaksanakan hukum
yang secara total mencegah yang ampuh ini?
Maka, kritisme-kritisme inilah yang melontarkan pemikiran untuk
melihatnya dengan wajar.
“Dan di dalam hukuman Qisas itu
ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya
kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah 2:179)
Oleh itu, dalam menunjangi isu ini,
kefahaman dan kaedah yang dirancangkan oleh PAS sebelum membentangkan Rang
Undang-Undang Peribadi yang dicadangkan pada akhir 2014 hendaklah menyeluruh
serta memasuki semua elemen-elemen sehingga ke peringkat yang paling halus termasuk
dalam pelantikan Hakim dan Qadi serta memetakan peranan mahkamah dan
perundangan berciri ketuhanan dan global ini.
Jika terdapat tentangan, kempen memberikan makna dan kefahaman yang
meluas hendaklah dilaksanakan agar umat Islam tidak menjadi munafik bahkan
kufur kerana melihat hukum ini seakan menindas mereka sendiri dengan berpegang
kalimah Tauhid.
“Tidakkah engkau mengetahui
bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan
mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya).
Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Maaidah 5:40)
Allahu’Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.