Politik adalah satu pertubuhan perkumpulan
yang berfikiran sejajar dengan komuniti untuk mencapai matlamat bersama khususnya
dalam pemerintahan yang bersistematik.

Akhirnya, pertubuhan-pertubuhan kecil Melayu
ini dikumpulkan, disatukan dan membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Kebangsaan
(PEKEMBAR) yang dideklasmasikan di Kelab Sultan Sulaiman pada Mei 1946. Pertubuhan ini tidak lain dan tidak bukan
adalah pergerakan massa yang memikirkan tentang perut dan ‘tembolok’ mereka
setiap hari yang terjejas dek British yang tergesa-gesa meninggalkan mereka terkapai-kapai
serta Jepun yang menjarah beras dan ubi mereka sehingga nak makan terpaksa
meminjam dan mencari pucuk ubi dan pucuk kelapa (umbut) untuk mengisi perut
mereka yang kosong lagi daif. Ingin memikirkan
memerintah sebuah Kerajaan, mereka tidak tahu menahu selok belok sebuah
pemerintahan yang moden, tetapi perut mereka harus dilihat terlebih
dahulu. Tambahan pula kaum pendatang
seperti Cina dan India hampir tidak terkesan dengan kegawatan ekonomi di masa
pemerintahan Inggeris.

Setelah seketika, pertubuhan-pertubuhan kecil
ini kembali tenang apabila Sultan-Sultan Melayu bersetuju membentuk Malaya dan
memberikan ruang ekonomi yang saksama kepada Melayu ini. Tanah-tanah milik Raja dan kebun-kebun
seliaan British dikembalikan kepada Melayu tadi untuk diusahakan. Terdiam mereka seketika daripada gerakan
massa yang dikumpulkan dan dipicu untuk “memukul balik British”. Perut mereka kembali terisi dan mereka
terdiam seketika.
Tatkala 10 tahun berlalu, kemerdekaan tidak
memberikan Melayu ini nilai tambah lebih dari apa yang patut diperolehi oleh
sebuah bangsa yang berjaya. Tunku Abdul
Rahman kelihatan hanya menyenangkan kaum-kaum pendatang bahkan bersekutu dengan
British untuk mengekalkan status quo dan elit ekonomi dan penjajah. Rakyat mula menunjukkan sikap tidak senang
apabila British dan sekutu bukan Melayunya menguasai ekonomi bahkan elit-elit
kecil Melayu terus merajalela. Marah
dengan beberapa pendekatan Tunku yang tidak mesra ekonomi Melayu selain dipicu
dengan provokasi melampau oleh parti-parti politik bukan Melayu, rusuhan kaum
yang bersejarah tercetus.
Sebulan Malaysia diisytiharkan berkurung dan
ditarik balik perintah itu perlahan-lahan.
Bukan kerana apa, kerana Melayu melihat poket dan perut mereka
terjejas. Dek tersentap dengan kelakonan
orang Melayu yang hanya merempat di tanah yang kononnya telah merdeka, Mahathir
telah menulis sebuah buku mengapa Melayu harus mengamuk dan membaham korban sehingga
tercetusnya rusuhan kaum yang teruk. Sedangkan di awal kemerdekaan, Melayu tidak
kisah apabila Tunku memberikan hampir sejuta taraf warganegara tanpa syarat
kepada kaum pendatang. Kini, Melayu pula yang kuat menentang. Sebabnya ialah perut dan poket orang Melayu
tidak disumbat dengan makanan dan pemikiran yang patut.

Bila Mahathir berpeluang menjabat jawatan
Perdana Menteri, tiada seeorang pun Melayu kebulur bahkan terdapat gerakan
massa yang terpaksa membuat-buat cerita kononnya seorang Melayu mati kebuluran
di Kedah untuk membuatkan rakyat Melayu kembali panik – tetapi ia gagal. Setelah diselidiki, berita tersebut hanya
cubaan menggoncang massa dan Mahathir yang enak di kerusi Perdana
Menterinya. Akhirnya Mahathir terus
membangunkan Malaysia tanpa melihat sejenak pun ke belakang. Dari sebuah hutan tropika kecil Asia Tenggara,
Malaysia dijadikan sebuah negara pertengahan yang digilakan orang semua warga
lain untuk berada dalamnya. Daripada
berita kecil penjajahan Kuwait oleh Iraq hingga kepada isu Palestin dan Aparteid, Mahathir tidak pernah lena
memukul minda rakyatnya agar mengambil tahu berita di luar sana selain terus
menerus tanpa henti memberikan Melayu itu makanan dan wang poket yang
cukup. Siapa yang tidak berada di dalam
jaringan Melayu dan UMNO umpama melukut di tepi gantang. Melayu makmur dan Malaysia maju jaya.
Tatkala Abdullah diberikan jawatan menjadi
Perdana Menteri, semuanya berubah. Dari
sebuah khabar angin yang tidak tentu biji butirnya dianggap benar bahawa
Abdullah mengayakan sesetengah rakannya dan juga anak menantunya. Sesebuah projek diberikan kepada kononnya
kroni dan Melayu yang bekerja mula memikirkan poket mereka yang semakin
menipis. Akhirnya, poket orang Melayu
betul-betul dinipiskan oleh Abdullah apabila inflasi dan kelakonan ekonomi
tidak dikawal dengan baik. Marah dengan
poket dan perut mereka tidak bertambah baik malah semakin membusuk, rakyat
akhirnya menghumban Abdullah ke lubuk yang paling kotor.

Kini Muhyidin, Timbalan kepada Najib melihat,
apakah cara untuk meraih sokongan orang Melayu?
Tidak lain dan tidak bukan ialah perut dan poket orang Melayu. Mereka harus diberikan makanan dan pakaian
yang mencukupi serta jaminan hidup yang lebih bermanfaat. Elit-elit Melayu harus diketepikan, lihat
sahaja penduduk kelas menengah di bandar selain tetap kukuh mempertahankan
penduduk kampung yang mendukungnya yang kekal mendapat manfaat Mahathir. Berikan Melayu ini dengan kerja-kerja yang lebih
baik bahkan dengan memberikan institusi yang memberikan ilmu yang bermanfaat
kepada anak-anak mereka.
Beberapa perkara yang UMNO semakin lupa
bahawa anak-anak elit Melayu ini telah bertambah menjadi semakin besar da
n beranak
pinak, akibatnya jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kini diwarisi kepada
keluarga para elit itu iaitu bekas-bekas Hakim negara, Duta, Ketua Setiausaha
dan lain-lain pangkat diberikan secara tidak saksama. Anak-anak Melayu sukar mendapat biasiswa
selain terpaksa bersaing dengan ketat tanpa sebarang pengecualian. Bagaimana dengan anak-anak kelas menengah di
bandar? Adakah anak mereka mampu dihantar ke tuisyen untuk menambah ilmu? Mereka mampu tetapi poket mereka dinipiskan
untuk tujuan itu. Bila anak mereka
berjaya belajar, nak masuk universiti kena membuat pinjaman pendidikamn beratus
ribu yang asalnya diberikan untuk menggalakkan anak Melayu masuk universiti dengan
mudah. Sistem itu tidak ditambah baik
bahkan dikekalkan dengan satu atau dua syarat sahaja diubah, tetapi tetap
membebankan. Mereka bersaing dengan pelajar
dari sekolah terbaik dan dari kolej-kolej terbaik untuk biasiswa ke luar
negara.
Setelah pulang (jika dapat biasiswa) mereka
juga sukar mendapat pekerjaan yang wajar.
Ada yang sanggup bekerja di luar negara kerana ada peluang di tempat
lain dan bakatnya di sini tidak dihargakan sangat. Akhirnya Melayu berdikari ini terus berdikari
dan melupakan ‘jasa kerajaan’ kepada mereka.
Mereka terus menerus dengan kehidupan sebegitu. Ada dikalangan anak muda yang berkelulusan
universiti yang hanya mampu bekerja di kafe dan telah membuat pinjaman ribuan
ringgit semasa belajar bahkan terus meminjam wang ringgit untuk membeli rumah
dan kereta. Selain itu, membeli makanan
juga memerlukan jumlah ringgit yang tinggi sedangkan kerja dan gaji mereka
sangat tidak seberapa. Apakah dengan
mengempiskan poket orang Melayu dan tidak berusaha untuk berbuat sesuatu boleh
melegakan orang Melayu dan mengekalkan sokongan mereka?
Tidak, Melayu yang berdikari ini akan terus
berdikari dan semakin menjauhi Kerajaan.
Jangan harap mereka akan menyokong kerajaan selagi poket dan perut
mereka tidak dijaga dengan baik. Apa
salahnya Kerajaan menyediakan tuisyen percuma di sekolah dan kawasan Parlimen
bagi anak Melayu yang berpendapatan sederhana, memberikan peluang bagi
kemasukan universiti dengan merit tertentu serta memberikan biasiswa yang
selayaknya bahkan membantu mengurangkan beban sang bapa mereka ini? Berikan mereka ini peluang pekerjaan yang
baik, kurangkan mengambil anak-anak Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dalam mengisi
perjawatan yang sesuai selain mengambil bakat tempatan tanpa kroni membentuk
perusahaan konsultan yang cekap.
Berikan anak-anak Melayu ini peluang berniaga
dan hapuskan pekerja-pekerja kerajaan yang tidak amanah. Ada dikalangan pekerja awam ini menerima
rasuah semata-mata ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak mereka bahkan
sanggup berbuat apa sahaja bagi memperbaiki taraf hidup mereka.
Rawatlah ibu-ibu dan mereka yang sakit terus
ke kawasan rumah dan wujudkanlah klinik-klinik bergerak yang menyokong sistem
kehidupan masyarakat dengan terbaik sekali.
Lihat
Singapura, mereka mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang
terbaik di sana sanggup menghantar pekerja hospital untuk merawat rakyatnya yang
sakit dan menghantar ubat kepada rakyatnya yang perlu di rumah. British semasa Pentadbiran BMA telah
mewujudkan beberapa Straits Settlement bergerak bagi membantu urusan penduduk
kampung yang ingin mendapatkan bantuan Kerajaan penjajah tersebut, dari
mencetak Sijil Tanah, membayar bil tertentu sehingga kepada memberikan bantuan
di masjid-masjid dengan vannya dan petugasnya (penjawat awam bergerak ke
kampung dan memberikan laporan yang betul lagi tepat). Memang mereka memerlukan kos yang tinggi,
tetapi tugas kerajaan membangunkan komuniti dengan baik dan membangunkan
ekonomi dengan cekap adalah tugas yang dibayar gaji. Bukannya memberikan syarikat yang menjana
keuntungan kepada sahabat dan anak-anak kroni sendiri serta memberikan pinjaman
kewangan bersyarat dengan sangat sukar tanpa melihat merit.
Meminjam wang dari kerajaan seolah-olah
meminjam ceti yang terlibat dengan riba.
Bahkan semua sistem di Malaysia sangat terlibat dengan riba, daripada
pinjaman sebuah kereta kecil sehingga rumah dan sistem pendidikan turut
terlibat dengan riba. Apakah tiada
penyelesaiannya?
Sebenarnya, idea yang maha segar oleh
Kerajaan adalah membangunkan komuniti yang lebih baik di sekitar kawasan
kejiranan, dari sebuah institusi tuisyen untuk anak-anak ini, indoktrinisasikan
idea dan fahaman mereka tentang Kerajaan.
Berikan rawatan kesihatan bergerak di lokasi tersebut kepada komuniti
yang sama. Sediakan perkhidmatan
kerajaan yang mesra dan bergerak memudahkan mereka mendapatkan khidmat
masyarakat yang terbaik di lokaliti tersebut.
Berikan peluang belajar dengan sebaik-baiknya sehingga ke Universiti
tanpa pinjaman yang membebankan termasuk riba atau apa-apa bahan faedahnya
serta berikan peluang pekerjaan yang sesuai dengan meritnya.
Bagaimana pula membangunkan dasar-dasar negara
dan pembangunan modal insan yang lebih cemerlang? Apakah persiapan dan kesiagaan Perdana
Menteri kini dalam menyusun masyarakat agar menjadi lebih baik? Contohnya, apakah pandangan rakyat Malaysia
tentang isu luar negara? Apakah protes
massa yang menuntut kerajaan prihatin dan bagaimana untuk membanteras anasir
luar yang mencambahkan benda-benda yang merosak dan mengancam anak-anak muda
Malaysia? Setakat ini semuanya tidak ada
persiapan yang lengkap dan khusus di susun untuk membangunkan Malaysia yang
madani. Bagaimana Mahathir mampu
membangunkan warganegara “punch card”,
cekap dan berkeyakinan dengan masa kerja, memakai jam tangan, memakai tali
leher dan suit dan lengkap – ia sangat mengubah minda dan cara bekerja dan berfikir
orang Malaysia yang moden. Inilah
nilai-nilai kecil yang boleh mengubah pemikiran dan cara bekerja orang
Melayu.
Apakah pelajar Kelas Pertama hanya menerima
gaji sama dengan pekerja ijazah am yang lain?
Apakah anak-anak Tan Sri atau Datuk-Datuk ini sahaja yang layak
menguasai konglomerat komersil milik Kerajaan? Orang lain masih sukar dikawal? Berikanlah anak-anak ini satu kesempatan
bahawa mereka mampu menjadi terbaik dan menyumbang kepada parti dan negaranya
sendiri dengan cara yang Kerajaan sangat menghulurkan tangan sehingga ke akar
pokok bahkan sehingga ke pasar. Malaysia
memang bukan negara komunis yang menyamaratakan semua warganya tetapi menjadi
sosialis dalam sesetengah perkara tidak mengubah apa-apa polisi demokratik. Itulah – jika Kerajaan ingin mendengar,
dengarlah dengan mata hati bahawa poket rakyatnya jangan sesekali
dikompromikan. Bahawa politik bagi orang
Melayu ialah perut dan tembolok orang Melayu itu sendiri?