Kesesakan lalu lintas
berpunca dari sikap pemandu
Perjalanan pulang ke
desa terutama pada cuti panjang dan hujung minggu menjadi budaya masyarakat
Malaysia yang bekerja di bandar.
Ditambah dengan sambutan hari raya yang disambut setahun sekali,
menambahkan lagi pergerakan warga pulang ke desa menyambut lebaran dengan
berkumpul bersama sanak saudara.
Kepulangan dengan jumlah kenderaan yang banyak dengan waktu yang hampir
serentak pasti menimbulkan keadaan lalu lintas yang tidak mulus – sesak.
Walau dinasihatkan
dengan pesanan-pesanan khidmat awam agar memandu dengan berhemah dan mengawasi
sikap toleransi semasa memandu, namun ibarat mencurah air ke daun keladi. Pada yang tua mahupun yang muda, sikap tidak
mengaku kalah, mementingkan diri sendiri tetap membinasakan tak kira
siapa. Masalah sikap pemandu Malaysia
ini diburukkan pula dengan sistem penguatkuasaan yang tidak tegas semakin
menambahkan kesesakan sedia ada.
Sepanjang perjalanan
dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka melalui sistem lebuh raya yang lurus dan
bersistematik ini amatlah mengujakan kepada para pemandu. Oleh kerana terlalu banyak kenderaan yang
bergerak pada satu-satu masa dan sikap pemandu yang memandu mengikut “mood”
masing-masing menyebabkan lalu lintas ini sukar di ramal. Ada yang memandu dengan kelajuan maksimum sehingga
had yang dibenarkan, ada juga yang memandu seolah-olah menikmati perjalanan di
pinggir pantai. Paling memburukkan lagi
keadaan ialah sikap pemandu yang memotong kiri ke kanan, bahkan sehingga
menggunakan lorong kecemasan dan memotong beratus-ratus kenderaan di sebelah
kanannya termasuklah lori, bas dan kenderaan biasa amat mengejutkan. Walaupun diancam dengan saman maksimum RM300,
pemandu ini tidak gentar bahkan mencabar apakah polis berani bertindak ke atas
mereka?
Bila memandu di
lorong kecemasan, pada bila-bila masa yang bersesuaian mereka akan masuk semula
ke lorong kanan iaitu lorong paling kurang kelajuannya. Setelah itu, kenderaan dibelakangnya akan
mula perlahan kerana memberi laluan kepada pemotong tadi. Di belakang, pemandu di lorong kiri ini akan
ke laluan tengah, maka laluan di tengah pula akan perlahan. Sikap seperti inilah yang mengundang
kesesakan di jalan lurus dan lebar ini menjadi tidak terkawal. Sedangkan polis-polis tidak menunggu di
lokasi-lokasi strategik bagi menyaman pengguna ingkar ini khususnya di Nilai,
Seremban dan Senawang.
Bila telah keluar
dari jalan bertol, laluan biasa juga menjadi mangsa. Di simpang-simpang jalan pasti akan terlihat
beberapa buah kereta yang akan cuba memotong kenderaan lain dan masuk barisan
di sebelah kiri. Ada juga yang sanggup
memotong barisan apabila ingin memasuki persimpangan sehingga membuat satu
lorong menjadi dua lorong. Bila berlaku
pemotongan barisan yang tidak wajar, maka masing-masing akan berebut mengadu
kecekapan pemanduan mereka untuk melepasi lampu isyarat. Nah! Sekali lagi kesesakan akan berlaku,
khususnya di persimpangan selepas tol.
Memotong barisan misalnya dari lorong ke kiri dan ke kanan akan berlaku
di tengah-tengah pembahagi jalan (road
divider). Mereka akan berada dikotak
pembahagi jalan dan menunggu giliran untuk memotong dari kotak tersebut. Hal ini kerap berlaku di lokasi-lokasi
strategik termasuk di ibu kota. Memotong
barisan atau “Q” ini sudah tentu akan memperparahkan lagi kesesakan sedia ada.
Pun begitu, menjadi
kehairanan ialah petugas lalu lintasi tidak memerhatikan laluan yang sering
mengundang kesesakan ini dengan serius dan menanganinya dengan ketegasan yang
maksimum. Sebagai contoh, di Lebuh raya
Persekutuan ke arah Pusat Bandar berhampiran simpang ke Bangsar dan Pantai
Dalam, sering berlaku adegan memotong barisan ini. Pelaku akan memilih lorong ke Bangsar tetapi
akan memotong barisan untuk terus ke Pusat Bandar. Jika bernasib baik, adegan ini akan
dihentikan oleh polis di bawah Jejambat, jika tidak maka kesesakan akan terus
memanjang sehingga ke bangunan KWSP di Petaling Jaya. Bukan di situ sahaja, laluan dari arah perumahan
di Puchong ke arah Shah Alam dan ke Pusat Bandar Puchong juga mengalami kesesakan
adalah berpunca dari sikap pemandu yang suka memotong barisan ini. Sekagi pihak berkuasa kita tidak tegas
bertindak mengancam pengguna ‘keras kepala’ ini, maka selagi itulah kesesakan
akan terus berlaku kerana adegan memotong barisan dan menggunakan lorong
kecemasan ini.
Pihak berkuasa wajar
untuk menjadualkan dan meletakkan beberapa kakitangan di persimpangan yang selalu
mengalami kesesakan dan memantau (spy)
tindakan mereka sebelum mengeluarkan saman setelah kesalahan dilakukan. Bukanlah ingin menambah “hasil negara” tetapi
wang petrol dan masa pengguna jalan raya yang lain telah “dicuri” oleh pemotong
barisan ini sebenarnya, yang menjadi punca kesesakan di jalan yang lurus. Jika situasi ini dapat diatasi, maka
kesesakan jalan raya biasa yang dialami mungkin mampu diatasi sedikit demi
sedikit.
Memang diakui,
personil atau petugas lalu lintas sangat sedikit bagi mengawal lalu lintas,
tetapi tanpa memikirkan kesan dan akibat dari penguatkuasaan, maka kesesakan
lalu lintas ini tidak akan ada kesudahannya.
Memotong barisan terutama di lorong kecemasan jika tidak ditangani
dengan tuntas sebenarnya mengundang sikap pemandu yang semakin tidak peka serta
cuai dan mereka ini hanya akan berhati-hati sekiranya ada polis atau petugas
lalu lintas. Sekiranya tidak, keadaan
meruncing ini merugikan pengguna yang lain.
Kadang-kadang sering terlihat petugas lalu lintas bandaraya yang hanya
memerhatikan sahaja kelakuan pengguna ingkar ini tanpa apa-apa tindakan. Apakah kerana “budi bicara tinggi” maka
pengguna lain menerima kesannya?
Pengguna di Jalan Tun Razak di hadapan Institut Jantung Negara misalnya
ke arah Jalan Pahang juga sering berlaku adegan memotong-motong barisan sama
ada terus atau ingin ke Jalan Pahang.
Kesesakan ini akan terus memerangkap kenderaan lain kerana di hadapan
terdapat gugatan cubaan masuk ke jalan utama melalui memotong barisan
tadi. Apakah mereka tidak sedar punca
sebenar kesesakan di persimpangan begini?
Sebenarnya beberapa pengguna
jalan raya di Malaysia ini mempunyai masalah sikap yang mementingkan diri
sendiri. Namun, jika pihak penguatkuasa
hukum turut bertindak sambil lewa, kekusutan ini tidak menuntaskan apa-apa
komitmen Kerajaan dalam apa jua hal.
Ketua Polis Negara dengan tegas mengeluarkan kenyataan akan menyaman
mereka yang menggunakan lorong kecemasan khususnya di lebuh raya, tetapi jika
ia masih berlaku dan tidak dipantau di lokasi-lokasi “kerap sesak” maka
kata-kata beliau umpama angin yang meniup pokok, ibarat mencurah air ke daun
keladi. Kesesakan terus berlaku,
pelanggaran hukum terus terjadi, sikap mereka tidak diperbetulkan dan
seterusnya pengguna lain menjadi mangsa.
Sungguh dahsyat apabila mereka boleh memandu sehingga 80KMJ di lorong
kecemasan dan memotong barisan dengan wewenang, tetapi pengguna yang taat
terpaksa menempuh kesesakan dek kerana “mereka” ini yang akan memotong barisan
di hadapan. Apakah wajar pengguna ingkar
dengan sikap ini dibiarkan merajalela di atas jalan raya kita tanpa apa-apa tindakan?
Semoga lebuh raya dan
pihak penguatkuasa kita mengambil inisiatif pintar (proaktif) dengan menunggu “pengguna
ingkar” ini di beberapa “hotspot”
kerap berlaku kesesakan daripada berdiri tegak di lampu isyarat atau di sudut
jalan raya tanpa bertindak apa-apa selain melihat dengan tenang masalah yang
berlaku. Semoga pengguna dengan sikap
tidak wajar ini dapat dikikis dari mengemudi kenderaan di jalan raya kita agar
pemandu berhemah boleh memandu kenderaan mereka dengan lebih sentosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas maklum balas anda.