Isnin, 18 Ogos 2014

UMNO dan Ekonomi Tembolok Melayu

Politik adalah satu pertubuhan perkumpulan yang berfikiran sejajar dengan komuniti untuk mencapai matlamat bersama khususnya dalam pemerintahan yang bersistematik. 

Dalam sejarah Melayu, pertubuhan-pertubuhanyang memperjuangkan kehendak masing-masing telah mula tumbuh dan bercambah tatkala Jepun mula menjajah Tanah Melayu.  Selain slogan “Asia Untuk Asia” yang dibawakan oleh Jepun dalam kempen perang dunia keduanya, kegagalan British mempertahankan Tanah Jajahannya juga dilihat sebagai satu faktor, bahawa British juga tidak kebal bahkan tidak mampu mentadbir dan mempertahankan sebuah negara yang dijajahnya dan boleh meninggalkannya ketika ia sangat-sangat diharapkan. 

Akhirnya, pertubuhan-pertubuhan kecil Melayu ini dikumpulkan, disatukan dan membentuk sebuah Pertubuhan Melayu Kebangsaan (PEKEMBAR) yang dideklasmasikan di Kelab Sultan Sulaiman pada Mei 1946.  Pertubuhan ini tidak lain dan tidak bukan adalah pergerakan massa yang memikirkan tentang perut dan ‘tembolok’ mereka setiap hari yang terjejas dek British yang tergesa-gesa meninggalkan mereka terkapai-kapai serta Jepun yang menjarah beras dan ubi mereka sehingga nak makan terpaksa meminjam dan mencari pucuk ubi dan pucuk kelapa (umbut) untuk mengisi perut mereka yang kosong lagi daif.  Ingin memikirkan memerintah sebuah Kerajaan, mereka tidak tahu menahu selok belok sebuah pemerintahan yang moden, tetapi perut mereka harus dilihat terlebih dahulu.  Tambahan pula kaum pendatang seperti Cina dan India hampir tidak terkesan dengan kegawatan ekonomi di masa pemerintahan Inggeris.

Kesusahan orang Melayu ini dipacu dengan suara menuntut kemerdekaan oleh Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tatkala berpeluang untuk memimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu kecil yang bergabung tadi menjadi kesatuan yang besar.  Seluruh penduduk yang mengaku Melayu dan Islam bersama-sama memikul deklarasi untuk merdeka daripada penjajahan yang menyebabkan mereka terus kebulur bila Jepun mencetak wang “pokok pisang”. 

Setelah seketika, pertubuhan-pertubuhan kecil ini kembali tenang apabila Sultan-Sultan Melayu bersetuju membentuk Malaya dan memberikan ruang ekonomi yang saksama kepada Melayu ini.  Tanah-tanah milik Raja dan kebun-kebun seliaan British dikembalikan kepada Melayu tadi untuk diusahakan.  Terdiam mereka seketika daripada gerakan massa yang dikumpulkan dan dipicu untuk “memukul balik British”.  Perut mereka kembali terisi dan mereka terdiam seketika. 

Tatkala 10 tahun berlalu, kemerdekaan tidak memberikan Melayu ini nilai tambah lebih dari apa yang patut diperolehi oleh sebuah bangsa yang berjaya.  Tunku Abdul Rahman kelihatan hanya menyenangkan kaum-kaum pendatang bahkan bersekutu dengan British untuk mengekalkan status quo dan elit ekonomi dan penjajah.  Rakyat mula menunjukkan sikap tidak senang apabila British dan sekutu bukan Melayunya menguasai ekonomi bahkan elit-elit kecil Melayu terus merajalela.  Marah dengan beberapa pendekatan Tunku yang tidak mesra ekonomi Melayu selain dipicu dengan provokasi melampau oleh parti-parti politik bukan Melayu, rusuhan kaum yang bersejarah tercetus. 

Sebulan Malaysia diisytiharkan berkurung dan ditarik balik perintah itu perlahan-lahan.  Bukan kerana apa, kerana Melayu melihat poket dan perut mereka terjejas.  Dek tersentap dengan kelakonan orang Melayu yang hanya merempat di tanah yang kononnya telah merdeka, Mahathir telah menulis sebuah buku mengapa Melayu harus mengamuk dan membaham korban sehingga tercetusnya rusuhan kaum yang teruk.  Sedangkan di awal kemerdekaan, Melayu tidak kisah apabila Tunku memberikan hampir sejuta taraf warganegara tanpa syarat kepada kaum pendatang. Kini, Melayu pula yang kuat menentang.  Sebabnya ialah perut dan poket orang Melayu tidak disumbat dengan makanan dan pemikiran yang patut.

Buku The Malay Dilemma membuatkan Tunku benar-benar berada dalam dilema dan akhirnya terpaksa bersara awal daripada puncak kepimipinan walaupun beliau masih berhasrat menjabat jawatan tertinggi tersebut.  Langkah keluar ditunjukan oleh UMNO bahawa Tunku tidak lagi relevan.  Idea-idea Mahathir diambil dan dicetuskan dengan gerakan yang betul dan pantas oleh Tun Razak.  Beliau membangunkan FELDA dan mewujudkan MARA agar anak-anak dan bangsa Melayu terus mendapat manfaat dan boleh menjamah nasi tanpa segan silu.  Poket-poket orang Melayu peneroka diberikan dengan wang yang cukup, kerja yang bagus selain jawatan-jawatan kerajaan yang dulunya Melayu tak pernah ingin untuk menjabat.  Orang Melayu juga kini boleh ke sekolah walaupun hanya tamat setakat darjah 6 ataupun Low Certificate Examination setaraf lulus tingkatan tiga kini. 

Bila Mahathir berpeluang menjabat jawatan Perdana Menteri, tiada seeorang pun Melayu kebulur bahkan terdapat gerakan massa yang terpaksa membuat-buat cerita kononnya seorang Melayu mati kebuluran di Kedah untuk membuatkan rakyat Melayu kembali panik – tetapi ia gagal.  Setelah diselidiki, berita tersebut hanya cubaan menggoncang massa dan Mahathir yang enak di kerusi Perdana Menterinya.  Akhirnya Mahathir terus membangunkan Malaysia tanpa melihat sejenak pun ke belakang.  Dari sebuah hutan tropika kecil Asia Tenggara, Malaysia dijadikan sebuah negara pertengahan yang digilakan orang semua warga lain untuk berada dalamnya.  Daripada berita kecil penjajahan Kuwait oleh Iraq hingga kepada isu Palestin dan Aparteid, Mahathir tidak pernah lena memukul minda rakyatnya agar mengambil tahu berita di luar sana selain terus menerus tanpa henti memberikan Melayu itu makanan dan wang poket yang cukup.  Siapa yang tidak berada di dalam jaringan Melayu dan UMNO umpama melukut di tepi gantang.  Melayu makmur dan Malaysia maju jaya.

Tatkala Abdullah diberikan jawatan menjadi Perdana Menteri, semuanya berubah.  Dari sebuah khabar angin yang tidak tentu biji butirnya dianggap benar bahawa Abdullah mengayakan sesetengah rakannya dan juga anak menantunya.  Sesebuah projek diberikan kepada kononnya kroni dan Melayu yang bekerja mula memikirkan poket mereka yang semakin menipis.  Akhirnya, poket orang Melayu betul-betul dinipiskan oleh Abdullah apabila inflasi dan kelakonan ekonomi tidak dikawal dengan baik.  Marah dengan poket dan perut mereka tidak bertambah baik malah semakin membusuk, rakyat akhirnya menghumban Abdullah ke lubuk yang paling kotor. 

Tatkala Abdullah terpuruk dan negara kembali bergeser, Najib menaiki tangga Perdana Menteri.  Malangnya, tiada apa-apa perubahan yang signifikan ditunjukkan oleh Najib untuk menambah poket dan mengenyangkan ekonomi orang Melayu.  Memburukkan lagi situasinya, rakyat ditunjukkan dengan jelas betapa Najib tidak sehebat bapanya yang mencari dan melakar formula yang mampan lagi kukuh membangunkan ekonomi Melayu yang semakin statik.  Memang benar rakyat diberikan bantuan tunai, Abdullah juga begitu tatkala minyak melonjak kepada RM2.70 seliter. Najib juga memberikan tunai selain tidak berbuat apa-apa yang lebih signifikan dalam poket dan minda orang Melayu.  Yang ada sejak Mahathir berikan kekal begitu sahaja tanpa apa-apa perubahan, bahkan melihat Najib berbelanja mewah semakin menyesakkan minda orang Melayu yang sangat cemburu dengan cara perbelanjaan mewah beliau dengan isterinya termasuk percutian dan melantik penasihat (konsultan) asing.

Kini Muhyidin, Timbalan kepada Najib melihat, apakah cara untuk meraih sokongan orang Melayu?  Tidak lain dan tidak bukan ialah perut dan poket orang Melayu.  Mereka harus diberikan makanan dan pakaian yang mencukupi serta jaminan hidup yang lebih bermanfaat.  Elit-elit Melayu harus diketepikan, lihat sahaja penduduk kelas menengah di bandar selain tetap kukuh mempertahankan penduduk kampung yang mendukungnya yang kekal mendapat manfaat Mahathir.  Berikan Melayu ini dengan kerja-kerja yang lebih baik bahkan dengan memberikan institusi yang memberikan ilmu yang bermanfaat kepada anak-anak mereka. 

Beberapa perkara yang UMNO semakin lupa bahawa anak-anak elit Melayu ini telah bertambah menjadi semakin besar da
n beranak pinak, akibatnya jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kini diwarisi kepada keluarga para elit itu iaitu bekas-bekas Hakim negara, Duta, Ketua Setiausaha dan lain-lain pangkat diberikan secara tidak saksama.  Anak-anak Melayu sukar mendapat biasiswa selain terpaksa bersaing dengan ketat tanpa sebarang pengecualian.  Bagaimana dengan anak-anak kelas menengah di bandar? Adakah anak mereka mampu dihantar ke tuisyen untuk menambah ilmu?  Mereka mampu tetapi poket mereka dinipiskan untuk tujuan itu.  Bila anak mereka berjaya belajar, nak masuk universiti kena membuat pinjaman pendidikamn beratus ribu yang asalnya diberikan untuk menggalakkan anak Melayu masuk universiti dengan mudah.  Sistem itu tidak ditambah baik bahkan dikekalkan dengan satu atau dua syarat sahaja diubah, tetapi tetap membebankan.  Mereka bersaing dengan pelajar dari sekolah terbaik dan dari kolej-kolej terbaik untuk biasiswa ke luar negara.

Setelah pulang (jika dapat biasiswa) mereka juga sukar mendapat pekerjaan yang wajar.  Ada yang sanggup bekerja di luar negara kerana ada peluang di tempat lain dan bakatnya di sini tidak dihargakan sangat.  Akhirnya Melayu berdikari ini terus berdikari dan melupakan ‘jasa kerajaan’ kepada mereka.   Mereka terus menerus dengan kehidupan sebegitu.  Ada dikalangan anak muda yang berkelulusan universiti yang hanya mampu bekerja di kafe dan telah membuat pinjaman ribuan ringgit semasa belajar bahkan terus meminjam wang ringgit untuk membeli rumah dan kereta.  Selain itu, membeli makanan juga memerlukan jumlah ringgit yang tinggi sedangkan kerja dan gaji mereka sangat tidak seberapa.  Apakah dengan mengempiskan poket orang Melayu dan tidak berusaha untuk berbuat sesuatu boleh melegakan orang Melayu dan mengekalkan sokongan mereka?

Tidak, Melayu yang berdikari ini akan terus berdikari dan semakin menjauhi Kerajaan.  Jangan harap mereka akan menyokong kerajaan selagi poket dan perut mereka tidak dijaga dengan baik.  Apa salahnya Kerajaan menyediakan tuisyen percuma di sekolah dan kawasan Parlimen bagi anak Melayu yang berpendapatan sederhana, memberikan peluang bagi kemasukan universiti dengan merit tertentu serta memberikan biasiswa yang selayaknya bahkan membantu mengurangkan beban sang bapa mereka ini?  Berikan mereka ini peluang pekerjaan yang baik, kurangkan mengambil anak-anak Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dalam mengisi perjawatan yang sesuai selain mengambil bakat tempatan tanpa kroni membentuk perusahaan konsultan yang cekap. 

Berikan anak-anak Melayu ini peluang berniaga dan hapuskan pekerja-pekerja kerajaan yang tidak amanah.  Ada dikalangan pekerja awam ini menerima rasuah semata-mata ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak mereka bahkan sanggup berbuat apa sahaja bagi memperbaiki taraf hidup mereka. 

Rawatlah ibu-ibu dan mereka yang sakit terus ke kawasan rumah dan wujudkanlah klinik-klinik bergerak yang menyokong sistem kehidupan masyarakat dengan terbaik sekali.  Lihat
Singapura, mereka mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di sana sanggup menghantar pekerja hospital untuk merawat rakyatnya yang sakit dan menghantar ubat kepada rakyatnya yang perlu di rumah.  British semasa Pentadbiran BMA telah mewujudkan beberapa Straits Settlement bergerak bagi membantu urusan penduduk kampung yang ingin mendapatkan bantuan Kerajaan penjajah tersebut, dari mencetak Sijil Tanah, membayar bil tertentu sehingga kepada memberikan bantuan di masjid-masjid dengan vannya dan petugasnya (penjawat awam bergerak ke kampung dan memberikan laporan yang betul lagi tepat).  Memang mereka memerlukan kos yang tinggi, tetapi tugas kerajaan membangunkan komuniti dengan baik dan membangunkan ekonomi dengan cekap adalah tugas yang dibayar gaji.  Bukannya memberikan syarikat yang menjana keuntungan kepada sahabat dan anak-anak kroni sendiri serta memberikan pinjaman kewangan bersyarat dengan sangat sukar tanpa melihat merit.

Meminjam wang dari kerajaan seolah-olah meminjam ceti yang terlibat dengan riba.  Bahkan semua sistem di Malaysia sangat terlibat dengan riba, daripada pinjaman sebuah kereta kecil sehingga rumah dan sistem pendidikan turut terlibat dengan riba.  Apakah tiada penyelesaiannya?

Sebenarnya, idea yang maha segar oleh Kerajaan adalah membangunkan komuniti yang lebih baik di sekitar kawasan kejiranan, dari sebuah institusi tuisyen untuk anak-anak ini, indoktrinisasikan idea dan fahaman mereka tentang Kerajaan.  Berikan rawatan kesihatan bergerak di lokasi tersebut kepada komuniti yang sama.  Sediakan perkhidmatan kerajaan yang mesra dan bergerak memudahkan mereka mendapatkan khidmat masyarakat yang terbaik di lokaliti tersebut.  Berikan peluang belajar dengan sebaik-baiknya sehingga ke Universiti tanpa pinjaman yang membebankan termasuk riba atau apa-apa bahan faedahnya serta berikan peluang pekerjaan yang sesuai dengan meritnya. 

Bagaimana pula membangunkan dasar-dasar negara dan pembangunan modal insan yang lebih cemerlang?  Apakah persiapan dan kesiagaan Perdana Menteri kini dalam menyusun masyarakat agar menjadi lebih baik?  Contohnya, apakah pandangan rakyat Malaysia tentang isu luar negara?  Apakah protes massa yang menuntut kerajaan prihatin dan bagaimana untuk membanteras anasir luar yang mencambahkan benda-benda yang merosak dan mengancam anak-anak muda Malaysia?  Setakat ini semuanya tidak ada persiapan yang lengkap dan khusus di susun untuk membangunkan Malaysia yang madani.  Bagaimana Mahathir mampu membangunkan warganegara “punch card”, cekap dan berkeyakinan dengan masa kerja, memakai jam tangan, memakai tali leher dan suit dan lengkap – ia sangat mengubah minda dan cara bekerja dan berfikir orang Malaysia yang moden.  Inilah nilai-nilai kecil yang boleh mengubah pemikiran dan cara bekerja orang Melayu. 


Apakah pelajar Kelas Pertama hanya menerima gaji sama dengan pekerja ijazah am yang lain?  Apakah anak-anak Tan Sri atau Datuk-Datuk ini sahaja yang layak menguasai konglomerat komersil milik Kerajaan? Orang lain masih sukar dikawal?  Berikanlah anak-anak ini satu kesempatan bahawa mereka mampu menjadi terbaik dan menyumbang kepada parti dan negaranya sendiri dengan cara yang Kerajaan sangat menghulurkan tangan sehingga ke akar pokok bahkan sehingga ke pasar.  Malaysia memang bukan negara komunis yang menyamaratakan semua warganya tetapi menjadi sosialis dalam sesetengah perkara tidak mengubah apa-apa polisi demokratik.  Itulah – jika Kerajaan ingin mendengar, dengarlah dengan mata hati bahawa poket rakyatnya jangan sesekali dikompromikan.  Bahawa politik bagi orang Melayu ialah perut dan tembolok orang Melayu itu sendiri?  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas maklum balas anda.