Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan

Khamis, 20 Februari 2014

Latihan Bakal Presiden Indonesia Mula Di Kritik



Teliti, pengamatan mendalam serta cermat adalah perwatakan Gabenor Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta - Joko Widodo atau lebih dikenali dengan sapaan mesra Jokowi. Oleh sebab itulah  Jokowi hampir setiap hari mengadakan walkabout atau tinjauan mesra ke lokasi-lokasi kehidupan masyarakat sekitar Jakarta. Beliau sering memeriksa apa jua kerja anak buahnya sama ada sudah selesai diperbaiki atau belum, selain dia juga harus mendengar sendiri keluhan penduduk untuk tindakan susulan.

Namun, beberapa persoalan yang membelenggu Pemerintah Daerah DKI Jakarta ketika ini hingga menimbulkan tanda tanya besar. Bagaimana bas yang baharu dibelinya berkarat? Mengapakah projek monorel boleh dimulakan tanpa kelulusan? Mengapa Jokowi yang pada awal-awal penglibatan kerjaya sebagai Gabenor Jakarta  menolak pembinaan enam lorong jalan tol di tengah-tengah Jakarta kini berpaling tadah? Mengapa penjaja-penjaja kaki lima Blok G, Jakarta boleh turun ke jalan semula?

"Sebenarnya, ada apa dengan Jokowi?" ujar pengamat pendapat umum Universiti Indonesia, Agus Pambagyo kepada akhbar Kompas.com, pada 20 Februari 2014.

Jokowi juga disebut-sebut calon yang bersih serta layak untuk dicalonkan sebagai Presiden Indonesia pada Pilihanraya Umum yang akan diadakan pada tahun ini, semakin merisaukan pemimpin Parti Demokratik Indonesia – Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekartoputri, Mantan Presiden Indonesia. 

Dari bas karat sampai ke Blok G

Soal bas baru Transjakarta (pengangkutan awam tempatan) dan bas kota yang disambungkan dengan bas Transjakarta (BKTB) yang berkarat dan rosak, Agus sangat menyesali perkara tersebut boleh terjadi.  Agus beranggapan, walaupun bukan urusan Gabenor, tetapi Jokowi atau timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama sepatutnya memeriksa dokumen pembelian bas tersebut secara terperinci, bukan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Jabatan Perhubungan Jakarta.


"Bukankah menambahbaik sistem pengangkutan awam di Jakarta adalah manifesto dan program utamanya menjadi Gabenor. Kalau mereka mahu melaksanakannya bersungguh-sungguh, mereka harus memeriksanya dengan lanjut, sesuai mengikut prosedur atau tidak. Berbahagilah tugas antara Jokowi dan Timbalannya, misalnya Jokowi ke lapangan dan lawatan mesra manakala Timbalannya Basuki pula ditugaskan untuk memeriksa dokumen-dokumen di pejabat," kata Agus.

Menurut Agus, amalan pentadbiran ‘ala mafia’ di Pejabat Bandar raya DKI Jakarta masih terjadi khususnya dalam proses perolehan. Spesifikasi barang pembelian masih tidak berkualiti tetapi hanya mengutamakan harganya yang murah, selain pemenang tender dijangkakan seperti telah diatur.  Tanpa pengawasan secara teliti dan cermat, Agus yakin kualiti barang yang diperolehi juga pasti buruk dan tidak sesuai.

Selain daripada itu, soal meneruskan pembinaan 6 lorong jalan bertoldi Jakarta,  Agus menegaskan mengapa Jokowi-Ahok, semasa menjadi calon Gabenor dan Timbalan Gabenor menolak pembinaan projek tersebut dan kini secara tiba-tiba berpaling arah dengan mendukung dan menyetujuinya?  Langkah itu, menurut Agus amat tidak sesuai dengan falsafah untuk mengurangkan jumlah kenderaan peribadi dan memperbanyakkan kemudahan pengangkutan awam di ibu kota Jakarta selain membebankan para pengguna.   

"Waktu saya jadi moderator debat calon Gabenor, Jokowi-Ahok amat bertegas menyatakan ketidaksetujuan beliau terhadap projek tersebut. Sekarang, tiba-tiba dia setuju, saya merasa curiga.  Mereka telah didekatkan bersama-sama pihak yang mengusulkan pembinaan enam lorong jalan bertol itu dan mereka berjaya  mempengaruhi Jokowi," ujar Agus.

"Nanti saya memuat naik (upload) rakaman video debat Jokowi-Ahok tersebut yang telah menolak enam lorong jalan bertol itu. Biar semuanya ingat kembali," ucapnya.

Para ahli pengangkutan awam jelas Agus, sudah sepakat menyatakan bahawa pembangunan jalan raya yang baharu hanya memicu jumlah kenderaan peribadi dan tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas. Seharusnya, Pejabat Bandar raya Jakarta harus fokus dengan hanya menggandakan kemudahan pengangkutan awam sahaja.

Begitu juga dengan pengadaan bas dan enam lorong jalan bertol, Agus mengatakan beliau tidak habis berfikir dengan tindakan Jokowi terkait dengan kerja-kerja tanah dalam pembinaan monorel pada Oktober 2013.  Ini kerana selain sejumlah kajian yang perlu diadakan, banyak pihak menyebutkan bahawa monorel bukan satu pilihan pengangkutan awam yang baik, rekod perkhidmatan syarikat pengendali pembinaan juga diketahui buruk.

"Sudah dimaklumkan dari awal, jangan diteruskan, tapi dia teruskan juga. Pertama, monorel itu bukan pengangkutan awam, monorel itu hanya kereta berbentuk pelancongan atau kereta dari satu pasaraya ke satu pasaraya yang lain kerana laluannya hanya di dalam kota ini saja. Ada juga di lain-lain Negara yang mempunyai kemudahan ini tetapi rugi dan akhirnya tutup," tutur Agus.

"Kedua, rekod perkhidmatan (track record) PT Jakarta Monorail (JM) itu yang sangat buruk. Cuba diselidiki siapa Edward Soeryadjaya?. Syarikat Astra juga duhulu menjadi bangkrtap olehnya. Ini secara mendadak, beliau juga masih pegang itu projek pembinaan monorel tersebut bukankah sangat aneh," katanya.

Selain itu, Agus juga hairan mengapa Jokowi melakukan upacara pecah tanah sebelum menandatanganani perjanjian kerja sama (PKS) antara Pejabat Bandar raya dengan PT JM?  Turut menjadi kehairanan Agus ialah tentang hal pengurusan kewangan ketika operasi itu dilaksana kelak.  Agus menyifatkan tindakan memecah tanah tersebut sebagai suatu tindakan terburu-buru  Jokowi-Basuki.

Begitu juga halnya di Blok G Pasar Tanah Abang, Jakarta Pusat. Agus menilaikan, tindakan Jokowi adalah silap percaturan dalam menyusun semula peniaga dan penjaja kaki lima di sana. Pada awal penyusunan semula itu, Agus mengaku telah menyarankan agar ada penyusunan secara teratur di blok tersebut untuk memudahkan pengunjung dan pembeli sehingga boleh ke lantai tiga dan empat Blok G dengan mudah tanpa sekatan penjaja kecil.

Secara psikologi, pengunjung atau pembeli tidak sanggup naik hingga ke tingkat tiga atau empat hanya untuk membeli barang yang mudah dijumpa di bahu-bahu jalan dan kaki lima pusat penjaja tersebut. Tambahan pula, laluan untuk ke tingkat tersebut amat menyukarkan dek sekatan peniaga kaki lima.   

"Ia tidak akan berhasil jika bentuknya masih seperti sekarang. Menjaja di kali lima sahaja sudah boleh memperolehi untung sekitar Rp 5 juta rupiah. Sementara di dalam Blok G, mereka hanya mampu menjual satu dua helai baju sahaja, apatah lagi dengan mereka harus membayar sewa bulanan.  Lebih baik berniaga di kaki lima, percuma tanpa sewaan” kata Agus.   

Boleh menurunkan kepercayaan Masyarakat   

Agus tidak menyalahkan Jokowi-Basuki seratus peratus di atas tindakan-tindakan pentadbiran yang telah dibuat. Dia menganggap kededuanya adalah ‘orang bersih’ (bebas rasuah). Hanya mereka tidak mendapat maklumat yang lengkap dan tepat dari orang-orang di sekitarnya termasuk para pegawainya sehingga tindakannya pun tidak tepat pada sasaran dan ini boleh menyebabkab menurunnya kepercayaan masyarakat di atas keberhasilan tugasnya.

"Saya hanya berpesan, orang-orang di lingkaran Gabenor tolonglah jangan bohongi Jokowi-Ahok lagi. Mereka itu orang baik yang benar-benar mahu bekerja. Mereka perlu dibantu. Sekarang para pembantunya juga harus benar-benar orang yang mahu bekerja. Bukan cuma hanya mengurus projek dan mendapat keuntungan, boleh bertambah rosak lagi Jakarta kita ini," ucap Agus.

Agus menambah, ada kesannya jika Jokowi-Ahok terlalu tergesa-gesa dalam menjalankan sebuah projek sehingga hasilnya tidak mencapai sasaran yang maksimum. Namun, dia yakin bahawa kededua tokoh itu belum terlambat lagi untuk memimpin Jakarta ke arah lebih baik dan memperbaiki lagi langkah dan tindakannya ke kerangka biru (blue print) pembangunan Jakarta yang sempurna.

Tukikan:  Kompas.com
Diolah semula dengan Bahasa Melayu. 

Selasa, 18 Februari 2014

Indonesia Suka Keruhkan Hubungan Diplomatik Antara Negara




Ketegangan Indonesia dan Singapura terkait Armada Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Usman-Harun masih belum reda. Dalam sesi sidang Parlimen Singapura pada 18 Februari 2014, Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen menegaskan, Singapura memutuskan untuk melarang kapal perang Indonesia itu daripada memasuki wilayah kedaulatannya termasuk pelabuhan dan pusat pangkalan angkatan laut mereka.

“Mustahil bagi Askar Singapura sebagai pelindung Singapura untuk berlayar atau melakukan latihan ketenteraan bersama kapal laut ini,” tegas Dr Ng.

Dr Ng menyampaikan kekecewaan yang sangat mendalam terhadap keputusan Indonesia untuk terus menamakan kapal kontroversial itu dengan nama pengganas Usman dan Harun yang telah meletupkan Bangunan McDonalad di Singapura pada 10 Mac 1965 pada zaman era konfrontasi Malaysia – Indonesia.  Pada ketika itu, Singapura adalah salah satu wilayah dalam Malaysia sebelum berpisah dan merdeka pada Ogos 1965.

Menteri yang berusia 55 tahun ini menyampaikan bagaimana dia merasakan amat terganggu dengan penamaan kapal tersebut dengan nama pengganas yang telah dijatuhi hukuman mati pada Oktober 1968 itu.

Menteri tersebut turut menekankan bahawa KRI Usman-Harun yang berlayar di perairan antarabangsa akan terus mencetuskan ingatan duka kepada kekejaman yang telah dilakukan oleh pengganas Usman dan Harun terhadap penduduk awam tidak berdosa di Singapura.  Menurut sumber, 3 orang dilaporkan meninggal dunia serta berpuluh-puluh yang lain cedera parah dan mengalami trauma.

“(Tindakan ini) sama sahaja dengan membuka kembali luka lama yang telah ditutup”. Dr Ng turut mengingatkan akan “kemesraan hubungan ketenteraan antara kededua negara yang telah terjalin sejak 1974 lagi”.   

"Jangan lupa, kita selalu saling bantu-membantu. Pada tahun 1997, Indonesia membantu proses pencarian korban Silk Air di Palembang dan pada tahun 2004 tentera Singapura adalah yang pertama sampai dalam misi bantuan bencana tsunami Acheh,” tambah Ng.

Sementara itu, anggota Parlimen Bishan-Toa Payoh  turut menyatakan penamaan nama kapal ini dengan nama pengganas adalah merupakan satu langkah mundur bagi hubungan ketenteraan Indonesia – Singapura yang telah sekian lama terjalin erat. “Kami selalu ingin menjalin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain, kita akan lihat apa yang boleh dilakukan untuk kembali memperbaiki hubungan ini,” ujar Ahli Parlimen tersebut.

Dari sisi yang lain pula, Menteri Luar Negeri Singapura K Shanmugam menyampaikan bahawa Singapura telah mengirimkan surat bantahan rasmi kepada Pemerintah Indonesia tentang penamaan kapal ini dengan nama kededua askar yang dijadikan tokoh pahlawan di negara Indonesia kerana telah berjaya membolos dan sempat menghuru-harakan sebuah negara imperialis baru di rantau ini.

Harian Kompas turut pernah melaporkan bahawa Pedana Menteri Singapura En. Lee Hsien Loong telah “memutuskan hubungan” dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di akaun Facebook dan Twitter sebagai langkah protes selain memadamkan tag gambar bersama pemimpin terbabit.  Namun, sumber berita masih tidak dapat disahkan setakat ini. 

Insiden ini tercetus apabila Singapura membantah kepada pihak Indonesia daripada menamakan Armada Kapal Perang (KRI) yang baru dibeli dari England dengan nama pengganas tersebut sebelum menyertai Pameran Ketenteraan (Singapore Airshow) di Singapura pada 11 hingga 16 Februari kerana pihak Indonesia dikatakan akan mempamerkan Armada Kapal Perang (KRI) yang baru tersebut.  Tindakan itu menyebabkan Indonesia menarik balik dan membatalkan penyertaan di pameran tersebut serta-merta selain Menteri Pertahanan Indonesia membatalkan dialog kededua negara yang dijangka diadakan sepanjang pameran tersebut berlangsung.  Sejak insiden tersebut, hubungan diplomatik khususnya dalam bidang ketenteraan kededua negara dilihat tidak stabil.   

Indonesia turut menghadapi hubungan diplomatik yang keruh bersama pihak Australia terkait isu pengintipan perbualan telefon dan sekatan penghantaran migran yang cuba menyeludup masuk Australia melalui laut Indonesia.