Memaparkan catatan dengan label policies. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label policies. Papar semua catatan

Isnin, 3 Mac 2014

Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!



Imigresen Tangkap PATI, Dewan Bandaraya Sorok!!!
Operasi Bersepadu Menteri KDN bersama Imigeresen baru-baru ini

4 Mac, Kuala Lumpur – Keputusan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi menguatkuasakan peraturan imigresen negara dan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sama ada tinggal melebihi tempoh, berniaga ataupun apa-apa tujuan yang tidak memberikan pulangan ekonomik kepada negara rupa-rupanya menjadi sia-sia. 

Sedang pihak berkuatkuasa seperti imigresen, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertugas siang dan malam bagi menangkap PATI yang memusnahkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan ancaman jenayah, pihak berkuatkuasa Dewan Bandaraya (PBT) pula menyimpan bahkan memberikan lesen perniagaan kepada golongan imigran gelap ini.  Tindakan ini seolah-olah mencabar kekuasaan dan ketegasan Menteri yang bersungguh-sungguh menjaga kedaulatan dan ketenteraman awam dari masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ini. 

PATI ini kelihatan begitu selesa dan berasa ‘tidak terancam’ langsung dengan siri tangkapan dan pengusiran yang kadang-kala turut dihadiri oleh Menteri dan Timbalannya ke lapangan bagi menyelesaikan isu berbangkit ini.  Kelihatan mereka tetap berniaga, bekerja dan bebas bergerak walaupun tanpa dokumen yang sah.  Bila diajukan pertanyaan, mereka berasakan tidak kisah serta tahu tindakan pengusiran sedang dijalankan oleh pihak berkuasa, namun mereka ‘kurang gentar’ bahkan memaklumkan sudah ada ‘pelindung’ yang boleh membantu mereka khususnya di premis-premis perniagaan jika terdapat ‘gangguan’ di kalangan penguatkuasa yang mempunyai hubungan rapat dengan orang kenamaan. 

Premis-premis perniagaan di sekitar Chow Kit dan Jalan Silang, Kuala Lumpur masih lagi beroperasi dengan PATI-PATI ini masih menjalankan perniagaan khususnya pakaian dan kedai-kedai arked selain premis makanan.   Di Kawasan Perumahan Mentari Petaling Jaya, Selangor juga kelihatan PATI-PATI ini meneruskan aktiviti harian mereka tanpa sebarang campur tangan bahkan kelihatan beberapa anggota polis dan penguatkuasa sedang asyik menikmati makan tengah hari di gerai-gerai milik PATI ini di atas rezab tanah TNB dan tanah Kerajaan berhadapan dengan kawasan perumahan padat tersebut.  Ada dikalangan PATI juga kelihatan bebas memandu kereta di lokasi ini seolah-olah mereka mendapat “lesen besar” dan “kebal” dari sebarang tindakan pihak berkuasa. 

Sedang Menteri sendiri bersengkang mata mencari dan menangkap PATI ini untuk kesejahteraan rakyat yang ‘berang’ dengan kebanjiran PATI ini, aparat penguatkuasa pula menjadi dalang dan tali barut menyelamatkan PATI ini dari sebarang tindakan undang-undang.  Apakah polis dan penguatkuasa MBPJ yang mendapat gaji dari rakyat ini berhak menikmati makan tengah hari secara ‘percuma’ di kedai-kedai tanpa lesen dan milik PATI ini sedang rakyat yang membayar gaji mereka semakin tidak betah menanggung kenaikan kos sara hidup dan sulit dalam mendapatkan pekerjaan yang juga dikuasai oleh PATI ini?  Adalah lebih wajar agar polis dan penguatkuasa yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti ini ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan dengan mereka yang benar-benar menginginkan pekerjaan selain menghargai pekerjaan awam dan berkhidmat dengan sebaik-baiknya untuk rakyat yang membayar gaji mereka.


Tugas utama Menteri Dalam Negeri sebelum melancarkan operasi ialah memecat pegawai yang menjadi “duri dalam daging” ini terlebih dahulu dan barulah bertindak menangkap PATI agar maklumat operasi dalaman tidak bocor serta tindakan dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa ada ‘lubang-lubang tikus’ untuk mengelakkan PATI ini menyusup keluar dan terus hidup seperti biawak di Malaysia ini. 

Sabtu, 1 Mac 2014

Lee: Melayu Bukan Pemilik Malaysia dan Tanah Melayu

Siri II, Singapura merumuskan Melayu bukan Islam, Malaysia bukan Tanah Orang Melayu. 

Keputusan mengeluarkan Singapura dari Persekutuan Malaysia dibuat secara perseorangan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Malaysia  ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman dikatakan sedang bercuti sakit dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di London selama 53 hari. 


Lee Kuan Yew yang merupakan Ketua Menteri Singapura dan ketua parti PAP pimpinannya enggan bertolak ansur dengan Perdana Menteri Malaysia tentang kedudukan istimewa orang Melayu sebagai “Subjek Raja” merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Lee Kuan Yew mendakwa orang Melayu ketika itu hanya berjumlah 39 % sementara bukan Melayu 51 % (data 1963) dan dengan itu ia melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tindakan Lee Kuan Yew yang memberi ‘kewarganegaraan segera’ kepada sejumlah pendatang China ketika itu, telah menyebabkan populasi penduduk Persekutuan Malaysia menjadi tidak seimbang apabila penduduk asal Melayu/Islam disusutkan dengan warganegara baharu ini. 


Lee Kuan Yew juga mempersoalkan orang Melayu yang beragama Islam sebagai penduduk jati asal Malaysia.  Sedangkan pada pendapatnya yang “gila kuasa” ketika itu merumuskan bahawa orang Melayu (termasuk Sultannya) sebenarnya adalah juga pendatang dari Indonesia (yang telah merdeka dari Belanda pada 1945) sebagaimana orang Cina dan India.

Beliau turut memberikan contoh bahawa Syed Jaafar Albar, ahli politik UMNO Johor ketika itu mempunyai darah campuran keturunan Arab sebagai bukti bahawa Melayu itu pendatang dan bercampur gaul dengan bangsa lain.  Lee Kuan Yew turut menyalahkan Tunku dalam kegagalan konsep "Malaysian Malay". Tunku dikatakan telah terpengaruh dengan semangat ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh beberapa kumpulan pelampau Melayu yang terdiri daripada 'ultra Malay' yang berfahaman sama seperti 'Young Turk' iaitu Persatuan Sekular yang mempertahankan Negara Bangsa Sekular Turki Baru Yang Merdeka dan Nasionalist.

Sebaliknya, Lee Kuan Yew sendiri mewujudkan Gagasan Baharu yang lebih kurang radikalnya dengann nasionalis Turki iaitu konsep "Malaysian Malaysia" dan mendapat sambutan banyak parti di Semenanjung Malaysia, Sabah danSarawak, kecuali Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang sedar akan ‘keistimewaan’ dan anugerah pemberian taraf kewarganegaraan oleh Raja Melayu kepada orang Cina. Gagasan Lee Kuan Yew meliputi Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak di mana di negeri-negeri ini tiada Raja Melayu dan Agama Islam tidak dimasukkan secara khusus dalam pentadbiran Undang-Undang Tubuh Negeri.

Sebelum Tahun 1963, Parti Tindakan Rakyat (PETIR/PAP) hanya bertanding di Singapura sahaja dan Perikatan (UMNO-MCA-MIC) bertanding di Semenanjung Malaysia sahaja. Tapi pada 1963, Tan Siew Sin mendesak Perikatan bertanding di Singapura, namun UMNO kalah teruk di sana. Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA ketika itu merangkap sebagai Menteri Kewangan Malaysia ketika itu terkesima dengan kekalahan UMNO di sana. Dan pada 1964, Lee Kuan Yew mengarahkan PAP turut bertanding dalam pilihan raya kebangsaan (PRU) di Semenanjung Malaysia bagi menentang MCA dek kerana MCA pernah mendesak UMNO agar bertanding di Singapura.

Selain itu, UMNO turut mahu Perlembagaan Singapura digubal bagi menjamin masa depan orang Melayu di negeri itu, tetapi Lee Kuan Yew sebagai Ketua Menteri Singapura yang ada autoriti dalam pentadbiran enggan berbuat demikian. Sebaliknya Lee Kuan Yew hanya berjanji secara lisan untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan skim perumahan rakyat ketika itu. 

Dalam projek perumahan rakyat, perkampungan orang Melayu di Singapura telah dihapuskan secara bertahap. Akibatnya, beberapa pergaduhan telah berlaku di lokasi yang terlibat. Pada Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu bertemu dengan Othman Wok iaitu Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura bagi membincangkan kepincangan orang Melayu Singapura ketika itu yang kelihatan semakin memburuk di bawah kekuasaan Lee Kuan Yew. (Othman Wok adalah bekas Wartawan Utusan Melayu yang menyertai politik mewakili parti PAP bukannya UMNO ketika itu). 
Rusuhan Kaum di Singapura pada 1964 sebelum merebak ke Kuala Lumpur pada 1969.  

Tatkala itu, seramai 12,000 orang Melayu telah mengadakan perarakan di jalan raya-jalan raya Singapura membantah penghapusan perkampungan dan pengambilalihan tanah mereka. Akhirnya tercetuslah rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina di Singapura. Dalam peristiwa itu, dilaporkan lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Pada bulan Ogos 1964 pula, sekali lagi pergaduhan telah berlaku antara orang Melayu dan Cina dengan 8 orang telah terbunuh dan 60 orang yang lain cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan kaum yang lebih dashyat lagi kerana Lee Kuan Yew amat menentang orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi dan keistimewaan Orang Melayu dan Raja-rajanya.  Tidakan segera harus diambil bagi memulihkan kuasa Persekutuan dan mengekalkan Perkara 153 – Hak Istimewa Orang Melayu Islam termasuk agama dan bahasa rasminya.  Lee juga semakin kemaruk kuasa apabila membandingkan populasi Cina dan Melayu Islam di Tanah Melayu semakin menjurang di mana Melayu Islam bukan lagi majoriti di negara yang baru Merdeka itu.  Akhirnya, Singapura disingkirkan dengan warganegara segera dan baharu itu dalam memastikan bahawa Islam terus bertahan di bumi Orang Melayu ini dan Rajanya terus bertakhta dengan sentosa.


Walaupun ramai juga Melayu terkilan dengan tindakan unilateral Tunku ketika itu kerana menyerahkan sebuah wilayah Orang Melayu kepada pendatang Cina, tetapi Tunku mengambil jalan “membuang mudarat sedikit dari pada mengorbankan dan melibatkan mudarat yang lebih besar”.  Itulah harga sebuah Persetukuan Malaysia di mana orang Melayu telah membuang sebuah wilayahnya kerana ingin mengekalkan Orang Melayu dan Islam serta Rajanya di puncak tertinggi kuasa di Asia Tenggara ini.  Harga yang mahal ini tetap tidak memuaskan hati Lee Kuan Yew yang semakin kemaruk kuasa menjadi Perdana Menteri terhebat di Asia.  Dia tidak berhenti di situ, bahkan meninggalkan legasi partinya – Parti Tindakan Demokrasi (DAP) dalam Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia. 


Selasa, 18 Februari 2014

Indonesia Suka Keruhkan Hubungan Diplomatik Antara Negara




Ketegangan Indonesia dan Singapura terkait Armada Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Usman-Harun masih belum reda. Dalam sesi sidang Parlimen Singapura pada 18 Februari 2014, Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen menegaskan, Singapura memutuskan untuk melarang kapal perang Indonesia itu daripada memasuki wilayah kedaulatannya termasuk pelabuhan dan pusat pangkalan angkatan laut mereka.

“Mustahil bagi Askar Singapura sebagai pelindung Singapura untuk berlayar atau melakukan latihan ketenteraan bersama kapal laut ini,” tegas Dr Ng.

Dr Ng menyampaikan kekecewaan yang sangat mendalam terhadap keputusan Indonesia untuk terus menamakan kapal kontroversial itu dengan nama pengganas Usman dan Harun yang telah meletupkan Bangunan McDonalad di Singapura pada 10 Mac 1965 pada zaman era konfrontasi Malaysia – Indonesia.  Pada ketika itu, Singapura adalah salah satu wilayah dalam Malaysia sebelum berpisah dan merdeka pada Ogos 1965.

Menteri yang berusia 55 tahun ini menyampaikan bagaimana dia merasakan amat terganggu dengan penamaan kapal tersebut dengan nama pengganas yang telah dijatuhi hukuman mati pada Oktober 1968 itu.

Menteri tersebut turut menekankan bahawa KRI Usman-Harun yang berlayar di perairan antarabangsa akan terus mencetuskan ingatan duka kepada kekejaman yang telah dilakukan oleh pengganas Usman dan Harun terhadap penduduk awam tidak berdosa di Singapura.  Menurut sumber, 3 orang dilaporkan meninggal dunia serta berpuluh-puluh yang lain cedera parah dan mengalami trauma.

“(Tindakan ini) sama sahaja dengan membuka kembali luka lama yang telah ditutup”. Dr Ng turut mengingatkan akan “kemesraan hubungan ketenteraan antara kededua negara yang telah terjalin sejak 1974 lagi”.   

"Jangan lupa, kita selalu saling bantu-membantu. Pada tahun 1997, Indonesia membantu proses pencarian korban Silk Air di Palembang dan pada tahun 2004 tentera Singapura adalah yang pertama sampai dalam misi bantuan bencana tsunami Acheh,” tambah Ng.

Sementara itu, anggota Parlimen Bishan-Toa Payoh  turut menyatakan penamaan nama kapal ini dengan nama pengganas adalah merupakan satu langkah mundur bagi hubungan ketenteraan Indonesia – Singapura yang telah sekian lama terjalin erat. “Kami selalu ingin menjalin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain, kita akan lihat apa yang boleh dilakukan untuk kembali memperbaiki hubungan ini,” ujar Ahli Parlimen tersebut.

Dari sisi yang lain pula, Menteri Luar Negeri Singapura K Shanmugam menyampaikan bahawa Singapura telah mengirimkan surat bantahan rasmi kepada Pemerintah Indonesia tentang penamaan kapal ini dengan nama kededua askar yang dijadikan tokoh pahlawan di negara Indonesia kerana telah berjaya membolos dan sempat menghuru-harakan sebuah negara imperialis baru di rantau ini.

Harian Kompas turut pernah melaporkan bahawa Pedana Menteri Singapura En. Lee Hsien Loong telah “memutuskan hubungan” dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di akaun Facebook dan Twitter sebagai langkah protes selain memadamkan tag gambar bersama pemimpin terbabit.  Namun, sumber berita masih tidak dapat disahkan setakat ini. 

Insiden ini tercetus apabila Singapura membantah kepada pihak Indonesia daripada menamakan Armada Kapal Perang (KRI) yang baru dibeli dari England dengan nama pengganas tersebut sebelum menyertai Pameran Ketenteraan (Singapore Airshow) di Singapura pada 11 hingga 16 Februari kerana pihak Indonesia dikatakan akan mempamerkan Armada Kapal Perang (KRI) yang baru tersebut.  Tindakan itu menyebabkan Indonesia menarik balik dan membatalkan penyertaan di pameran tersebut serta-merta selain Menteri Pertahanan Indonesia membatalkan dialog kededua negara yang dijangka diadakan sepanjang pameran tersebut berlangsung.  Sejak insiden tersebut, hubungan diplomatik khususnya dalam bidang ketenteraan kededua negara dilihat tidak stabil.   

Indonesia turut menghadapi hubungan diplomatik yang keruh bersama pihak Australia terkait isu pengintipan perbualan telefon dan sekatan penghantaran migran yang cuba menyeludup masuk Australia melalui laut Indonesia.